SEJARAH PERMAIDANI TERBANG

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (11 Jun 2016). The History of the Magical Flying Carpets. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/history-magical-flying-carpets-006064

Penterjemah: Amir Zayyanid


Permaidani ajaib adalah satu bentuk pengangkutan yang dapat ditemui terutamanya dalam hikayat-hikayat masyarakat timur. Permaidani-permaidani ini juga terkenal sebagai permaidani terbang lantaran ianya mengangkut individu yang menaikinya dari suatu tempat ke suatu tempat dengan membelah udara. Walaupun permaidani ajaib lazim dikaitkan dengan kisah yang terkandung di dalam Seribu Satu Malam (Thousand and One Nights), hakikatnya permaidani ajaib juga pernah disebutkan di dalam tulisan pelbagai tamadun.


SEBUTAN AWAL TENTANG PERMAIDANI TERBANG

Apa yang menarik, berbeza dengan pandangan umum, permaidani ajaib bukanlah ciri utama yang terdapat di dalam Seribu Satu Malam. Sebagai contoh, di dalam manuskrip Galland, iaitu manuskrip tertua yang memuatkan 282 buah kisah terawal (dari keseluruhan 1001 kisah), langsung tidak ada sebutan berkenaan permaidani ajaib.

Dalam versi asal ‘Aladdin dan Lampu Ajaib’, babak penculikan Puteri Badroulbadour dan pasangannya pada malam pernikahan mereka berdua tidak berlaku di atas sebuah permaidani ajaib. Akan tetapi, babak ini melibatkan katil pernikahan mereka, yang diterbangkan oleh jin. Lebih daripada itu, permaidani ajaib sebenarnya muncul buat kali pertama dalam hikayat ini menerusi versi-versinya yang lebih moden, terutama sekali versi Aladdin yang dikeluarkan oleh Walt Disney pada tahun 1992.

Manuskrip Seribu Satu Malam


Walau bagaimanapun, sejarah permaidani ajaib ini boleh dijejak kembali pada zaman yang jauh lebih awal. Figura sejarah terawal yang dikaitkan dengan permaidani ajaib adalah Raja Sulaiman dari Israel, di mana hal ini dapat ditemukan di dalam dua buah versi penceritaan. Salah sebuah versi ini dipercayai ditulis oleh seorang ilmuwan Yahudi kurun ke-13 Masehi yang bernama Isaan Ben Sherira. Kisah ini kononnya dihimpunkan daripada dua buah karya purba yang telah hilang sejak sekian lama.


VERSI PENCERITAAN SHERIRA

Dalam versi penceritaan yang dikeluarkan oleh Ben Sherira, Ratu Saba’ mempunyai seorang ahli alkemis diraja yang berupaya membuatkan sebuah permaidani kecil berwarna perang terbang di udara. Beberapa tahun kemudian, ahli alkemis tersebut menyempurnakan kemahirannya. 

Tatkala hal tersebut diketahui oleh Ratu Saba’, beliau memerintahkan agar sebuah permaidani ajaib dihasilkan dan dihadiahkan kepada Raja Sulaiman sebagai token cintanya. Permaidani tersebut dikatakan diperbuat daripada sutera hijau yang disulami emas dan perak serta ditatahkan dengan batu-batu berharga. Lebih daripada itu, permaidani ini dipercayai sangat besar hinggakan rombongan raja yang ramai boleh berdiri di atasnya.

Lukisan yang menggambarkan Ratu Saba


Ketika hadiah permaidani ajaib ini tiba di istananya, Raja Sulaiman sedang sibuk dengan kerja-kerja pembinaan Kuil Jerusalem. Kesibukan tersebut menghalangnya menerima hadiah tersebut, yang langsung sahaja diserahkan kepada salah seorang pegawai istananya. Tatkala berita tentang sikap Raja Sulaiman yang dingin ketika menerima hadiah tersebut sampai ke pengetahuan Ratu Saba’, beliau patah hati dan memutuskan untuk tidak lagi mempedulikan tentang permaidani-permaidani ajaib.

Tanpa naungan diraja, ahli alkemis dan artisan-artisannya tidak lagi dapat menghasilkan permaidani-permaidani terbang sekaligus mengakibatkan ilmu penghasilannya hilang buat selama-lamanya. Sebagai lanjutan cerita, artisan-artisan yang pernah terlibat dalam penghasilan permaidani ajaib tersebut dipercayai membawa diri dan menetap di Mesopotamia.

Dalam versi penceritaan yang lain, dikisahkan bahawa Raja Sulaiman menerima permaidani ajaib itu daripada tuhan sendiri. Kononnya, permaidani tersebut berupaya memikul seramai 40 000 orang pada bila-bila masa. Semenjak memiliki permaidani ajaib tersebut, dihikayatkan bahawa kononnya kemegahan Raja Sulaiman meningkat setiap hari. Lantaran itu, tuhan pun menghukumnya dengan menggoncangkan permaidani ajaib itu ketika ia sedang terbang sekaligus mengakibatkan 40 000 orang pengiring raja terjatuh dan terbunuh.

Selain menjadi alat pengangkutan, permaidani ajaib juga digambarkan sebagai sejenis senjata yang digunakan dalam pertempuran. Salah sebuah kisah yang memerihalkan gambaran sebegini melibatkan seorang raja Parthia yang memerintah pada lewat kurun ke-2 Sebelum Masehi, iaitu Phraates II. 

Pada tahun 130SM, Phraates berperang dengan Antiochus VII, pemerintah Empayar Seleucid. Dalam kisah tersebut, Phraates dihikayatkan terbang dari Pergunungan Zagros dengan menaiki sebuah permaidani atau sehelai kain untuk mendepani musuh-musuhnya, yang beliau tewaskan dengan api dan kilat. Sekembalinya beliau dari medan perang, Phraates diraikan dengan gilang-gemilang sambil terbang di atas rakyat jelatanya dengan menaiki permaidani ajaib.

Dalam sebuah kisah lain, dihikayatkan bahawa pemerintah Sassanid kurun ke-3M, iaitu Shapur turut memiliki permaidani ajaib. Dengan permaidani ajaib itu, beliau memecah masuk ke kem tentera Rom pada suatu malam dan mengejutkan Maharaja Valeria yang sedang tidur, sebelum menculiknya sebagai tawanan perang.


SUMBER


Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Sejarah Permaidani Terbang