TOMOE GOEZEN – PAHLAWAN WANITA JEPUN KURUN KE-12

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (29 April 2015). Tomoe Gozen – A Fearsome Japanese Female Warrior of the 12th Century. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tomoe-gozen-fearsome-japanese-female-warrior-12th-century-002974

Penterjemah: Amir Zayyanid


Dalam hampir kesemua kelompok masyarakat pada zaman dahulu, urusan-urusan yang kotor dan penuh berdarah seperti peperangan kebiasaannya didominasi oleh kaum lelaki. Namun, terdapat juga catatan yang memperlihatkan beberapa orang wanita yang berjaya menempa nama di celah-celah tubuh maskulin itu. Sosok-sosok wanita ini tidak hanya meraih kemasyhuran sebagai pahlawan yang digeruni, malah juga sebagai ahli strategi yang licik dan pemimpin yang berwibawa.

Di medan perang, mereka juga setanding, kalau bukan lebih hebat, dengan pahlawan lelaki. Mereka ini termasuklah tokoh-tokoh wanita yang hebat dari tamadun purba seperti Artemisia si Ratu Halicarnassus, Boudica si Ratu Iceni dan Zenobia si Ratu Palmyra.

Seperti kebanyakan kelompok masyarakat lain, peperangan feudal di Jepun juga kebiasaannya hanya melibatkan kaum lelaki. Namun dalam kelompok ini juga, terdapat pahlawan-pahlawan wanita dan antara yang paling masyhur ialah Tomoe Gozen.

Sebelum itu, penting juga untuk dimaklumkan bahawa bukanlah menjadi suatu hal yang aneh pada zaman itu untuk kaum wanita menerima latihan seni bela diri. Pada kurun ke-12 hingga kurun ke-19, kaum wanita berkelas samurai dilatih untuk menggunakan pedang, naginata (batang kayu yang di hujungnya terdapat bilah lengkung) dan busur panah.

Walau bagaimanapun, peranan pahlawan-pahlawan yang disebut sebagai onna bugeisha ini cenderung kepada fungsi pertahanan dan bukannya serangan. Hal ini kerana mereka lebih dituntut untuk mempertahankan diri sendiri dan rumah apabila berlakunya serangan musuh. Apa yang membuatkan Tomoe berbeza dengan onna bugeisha lain adalah beliau diletakkan dalam barisan serangan dan bertempur di medan perang.

Imej pada sutera yang menggambarkan Tomoe Gozen, era Edo, Muzium Kebangsaan Tokyo


Menariknya, sebutan nama Tomoe Gozen hanya terdapat dalam sebuah hikayat tentan Perang Genpei, sebuah peperangan yang berlangsung pada hujung abad ke-12. Catatan tersebut dikenali sebagai Hikayat Heike (Heike Monogatari). Selain karya ini, tidak ada catatan bertulis lain yang memerihalkan sosok wanita yang bernama Tomoe. Hal ini membuatkan sebahagian sejarahwan mendakwa bahawa Tomoe hanyalah watak fiksyen hasilan penulis hikayat tersebut.

Walau apapun halnya, di dalam Heike Monogatari, Tomoe disebutkan seperti berikut:

“Tomoe mempunyai rambut berwarna hitam pekat yang panjang. Kulitnya putih dan mulus. Wajahnya pula sangat jelita. Tambahan lagi, beliau merupakan seorang pahlawan berkuda yang tidak mengenal erti gentar walaupun terhadap kuda yang paling liar atau rupa bumi yang paling mencabar. Ketangkasan beliau dalam bermain pedang dan panah setara dengan kegagahan 1000 orang pahlawan lelaki. Malahan, dipercayai bahawa kekuatannya itu membolehkannya berhadapan dengan dewa mahupun syaitan.

Beliau telah pun turun beberapa kali ke medan tempur dan meraih kemasyhuran hasil pertempurannya melawan pahlawan-pahlawan terkemuka, terutama dalam pertempuran terakhirnya (iaitu Pertempuran Awazu yang berlaku pada tahun 1184M). Dalam pertempuran tersebut, kesemua rakan seperjuangannya terbunuh dan melarikan diri, kecuali 7 orang pahlawan termasuk Tomoe yang gagah menunggang kudanya.”

Tomoe merupakan seorang gadis yang menawan dan pahlawan berkuda yang gagah. Potret oleh Utagawa Kunimasa, Jepun 1797


Sehingga ke hari ini, tidak ada seorang pun mengetahui tarikh lahir dan kisah kehidupan awal Tomoe. Kemunculannya di dalam Heike Monogatari memperlihatkan beliau sebagai seorang pahlawan yang berkhidmat untuk Minamoto Yoshinaka. Sebahagian sejarahwan berpendapat bahawa hubungan antara Tomoe dan Yoshinaka lebih dari sekadar daimyo-samurai. Sebaliknya, Tomoe dipercayai merupakan isteri atau gundik Yoshinaka.

Seperti yang diceritakan di dalam Heike Monogatari, Tomoe sudah pun dikenali sebagai seorang pahlawan terkemuka sebelum berlakunya Pertempuran Awazu. Dalam pertempuran tersebut, Yoshinaka terpaksa memerangi salah seorang ahli puaknya sendiri, iaitu Minamoto Yoshitsune.

Beliau berhadapan dengan situasi sukar apabila mendapati pasukan Yoshitsune jauh lebih besar. 300 orang tenteranya diasak dengan begitu hebat oleh 6000 orang tentera Yoshitsune. Situasi di pihak Yoshinaka begitu teruk hinggakan daripada 300 orang tenteranya itu, hanya 5 orang sahaja dapat bertahan, tidak termasuk Tomoe dan dirinya sendiri.

Di saat-saat getir, Yoshinaka memberikan arahan kepada Tomoe agar meninggalkan medan tempur. Menurutnya, beliau akan menerima malu seandainya mati di sisi seorang wanita. Arahan tersebut dipatuhi dengan berat hati oleh Tomoe, yang terlebih dahulu berjaya memenggal kepala salah seorang pahlawan musuh. Sejak peristiwa hitam itu, nama Tomoe hilang dari sejarah dan nasib hidupnya menjadi tanda tanya ramai pihak.

Tugu Tomoe Gozen dan Yoshinaka, Muzium Yoshinaka, Jepun


Dalam Genpei Seisuiki, iaitu versi lanjutan bagi Heike Monogatari, diceritakan secara ringkas bahawa Tomoe mengalami kekalahan di tangan Wada Yoshimori dan dipaksa menjadi gundiknya.

Dalam kisah lain pula, beliau dikatakan menjadi seorang rahib wanita. Dalam versi yang ketiga, Tomoe diceritakan membalas dendam bagi pihak Yoshinaka dengan membunuh musuhnya. Sesudah selesai melunaskan dendam, beliau membawa kepala tuannya lalu terjun ke dalam laut sekaligus menamatkan riwayat hidupnya dalam keadaan melindungi kepala tuannya dari diapa-apakan oleh musuh.

Kurun demi kurun lamanya, Tomoe dianggap sebagai salah satu ikon besar dan pernah ditampilkan dalam sebuah persembahan teater kurun ke-15 yang berjudul “Tomoe”. Begitu juga dengan sebuah kabuki abad ke-18 yang berjudul “Onna Shibaraku”. Selain itu, terdapat pelbagai lukisan yang dihasilkan bagi menggambarkan keperwiraannya di medan tempur. Bahkan pada hari ini, Tomoe masih terus dikenang dan ditampilkan dalam pelbagai media seperti anime, manga dan permainan video.


SUMBER