- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (20 Mei 2016). Wang Cong’er: A Famous Female Warrior and Leader in
the White Lotus Society. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/wang-conger-famous-female-warrior-and-leader-white-lotus-society-005925
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/wang-conger-famous-female-warrior-and-leader-white-lotus-society-005925
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Wang Cong’er merupakan
seorang wanita yang hidup di China pada kurun ke-18 Masehi. Namanya terkenal
sebagai pemimpin Persatuan Teratai Putih. Gerakan pemberontakan (oleh
persatuan) ini merupakan penentangan berskala besar yang masyhur dalam
memerangi Dinasti Qing. Pemberontakan ini dilancarkan pada tahun 1796.
Wang Cong’er merupakan
salah seorang pemimpin penting dalam pemberontakan ini, lebih-lebih lagi kerana
beliau berupaya bertahan lama ketika memerangi pasukan tentera diraja Qing.
Walaupun dianggap sebagai seorang pemberontak semasa hayatnya, imej Wang
Cong’er kemudian diubah menjadi seorang perwira oleh beberapa sumber di zaman
moden. Sebilangan sumber malah menyamakan beliau dengan pahlawan wanita legenda
China, Hua Mulan. Namun, penyamaan yang dilakukan ini turut menerima kritikan
yang tidak kurang hangat.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan Hua Mulan dalam Gathering Gems of Beauty |
PAHLAWAN WANITA YANG
GAGAH
Wang Cong’er dilahirkan
pada tahun 1777. Beliau merupakan warga tempatan Xianyang, yang terletak di
barat laut wilayah Hubei, China Tengah. Sebelum menjadi salah seorang pemimpin
Persatuan Teratai Putih, Wang Cong’er bekerja sebagai penghibur jalanan.
Mungkin menerusi pekerjaannya itulah beliau berupaya menjadi seorang ahli
akrobatik dan pemahir seni bela diri.
Ketika usianya
menginjak dewasa, Wang Cong’er dikahwinkan dengan seorang lelaki bernama Qi
Lin, yang pada suatu tahap kelak menjadi ketua di yamen (pejabat
pentadbiran/kediaman elit China tempatan) Daerah Xianyang. Setelah itu, Qi Lin
bergiat aktif sebagai pemimpin terkemuka Aliran Kayangan Barat Mahayana, salah
satu dari tiga cabang Persatuan Teratai Putih.
PERSATUAN TERATAI PUTIH
Pada tahun 1795,
Persatuan Teratai Putih mengatur rancangan untuk melancarkan sebuah
pemberontakan besar-besaran menentang Kerajaan Qing. Kumpulan-kumpulan yang
terlibat dalam pemberontakan ini dibekalkan dengan senjata. Antara kumpulan
yang dimaksudkan termasuklah kumpulan yang dipimpin oleh Qi Lin dan Wang
Cong’er.
Namun, perancangan ini
dapat diketahui oleh para pegawai kerajaan. Lantas, mereka pun menggagalkan
usaha tersebut. Susulannya, ramai ahli Persatuan Teratai Putih ditangkap dan
lebih 100 orang ahli Aliran Kayangan Barat Mahayana, termasuklah Qi Lin dihukum
bunuh.
![]() |
| Maharaja Qianlong (1735-1796) dalam persalinan istana |
Walaupun sejarah
keagamaan Persatuan Teratai Putih boleh dijejak kembali pada kurun ke-5 Masehi,
bentuknya di zaman Dinasti Qing berasal-usul dari pertengahan kurun ke-12.
Semasa ia ditubuhkan, pergerakan ini secara rasmi diharamkan oleh kerajaan.
Apapun, ajaran-ajaran yang disebarkan oleh Persatuan Teratai Putih bersifat
ringkas dan mudah difahami. Justeru, gerakan ini berupaya menarik ramai
penyokong. Pada awal-awal zaman pemerintahan Dinastu Yuan, Persatuan Teratai
Putih diberikan perakuan rasmi dan bahkan ditaja oleh kerajaan sekaligus
menjadikannya sebagai sebuah institusi ajaran Buddha yang penting.
Doktrin Persatuan
Teratai Putih adalah berteraskan pada ajaran-ajaran agama Buddha. Pada mulanya,
ia hanya menumpu pada aspek kesederhanaan dalam ajaran tersebut. Namun merentas
masa, ajaran daripada agama-agama lain turut diserapkan ke dalam doktrin
persatuan tersebut dan pergerakan ini mengambil ciri yang lebih bersifat
messiah (Messianic).
Antara kepercayaan yang
sangat masyhur dalam kalangan penyokong gerakan ini adalah kononnya Amitabha
Buddha atau Maitreya Bodhisattva akan turun daripada Langit untuk menyelamatkan
manusia. Demi mempercepatkan ketibaannya, ahli-ahli Persatuan Teratai Putih
meyakini bahawa Dinasti Yuan perlu digulingkan. Justeru, mereka pun memulakan
pemberontakan. Hal ini mencemaskan para pemerintah Monggol, yang kemudian
mengharamkan persatuan ini. Polisi pengharaman tersebut diteruskan oleh Dinasti
Ming dan Dinasti Qin.
![]() |
| Amitabha Buddha bersama pengkhidmatnya, Avalokitesvara Bodhisattva dan Mahasthamaprapta Bodhisattva. Hangzhou, wilayah Zhejiang, China |
TAKTIK PERANG WANG
CONG’ER
Kembali ke kisah hidup
Wang Cong’er, beliau dilantik sebagai pemimpin tertinggi selepas suaminya dihukum
bunuh. Bersama timbalannya yang bernama Yao Zhifu, Wang Cong’er bertindak
menyerang sejumlah bandar. Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan Wang
Cong’er adalah strategi pergerakannya yang agresif. Kumpulan-kumpulan Teratai
Putih yang lain cenderung mengamalkan strategi ketenteraan yang bercorak
defensif, di mana keadaan ini mengakibatkan kekalahan mereka. Wang Cong’er pula
bertindak sebaliknya apabila memilih untuk bergerak secara ofensif dan
menggunakan taktik perang gerila.
![]() |
| Wang Cong’er dalam medan tempur |
Pada tahun 1797,
pemberontakan Wang Cong’er tiba di Sichuan. Di sana, beliau menggabungkan
kekuatan dengan kumpulan-kumpulan Teratai Putih yang lain. Pasukan ini
kemudiannya diorganisasikan semula, walaupun pada hakikatnya mereka tidak memiliki
kesatuan sebenar. Sebagai contoh, pasukan pemberontak enggan bertahan sebagai
satu pasukan dan hal ini memaksa Wang Cong’er mengundurkan pasukan pimpinannya
ke wilayah Hubei.
PEMBERONTAK ATAU
PERWIRA?
Pasukan tentera utama
dihantar untuk menghambat pasukan tentera Wang Cong’er. Dalam pengunduran yang
dilakukan, pasukan tentera Wang Cong’er diperangkap oleh tentera-rakyat
tempatan di sebuah lembah yang terletak berhampiran Sungai Shancha semasa
mereka sedang cuba memasuki Yunxi, Hubei. Tidak lama kemudian, pasukan tentera
Qing pula sampai dan hal ini mengakibatkan Wang Cong’er dan pasukannya
terkepung. Lantaran gagal memecahkan kepungan ini, Wan Cong’er pun pada
akhirnya membunuh diri dengan terjun dari cenuram.
Di zaman moden, imej
Wang Cong’er diubah dari seorang pemberontak menjadi seorang perwira. Malahan,
beliau turut disamakan dengan Hua Mulan. Walaupun kedua-dua figura ini
sememangnya pahlawan wanita yang gagah, kesamaan di antara mereka terhenti
setakat itu.
Wang Cong’er berperang
dengan tujuan untuk menumbangkan kerajaan, manakala Hua Mulan berperang untuk
melindungi kerajaannya dari serangan pihak luar. Tambahan lagi, motivasi Wang
Cong’er untuk berperang bertuntas daripada ajaran yang bersifat messianic.
Menurut beberapa sumber, Wang Cong’er juga dikatakan berperang bagi membelas
dendam atas kematian suaminya. Sebaliknya, teras perjuangan Hua Mulan pula
bermotivasi daripada ketaatan, lantaran beliau mahu menggantikan tempat bapanya
yang sudah uzur di medan tempur.
![]() |
| Tugu besi Mulan dan bapanya di Xnxiang, China |
SUMBER
- Zhang Xiaolin. 1998. Wang Cong’er. In: L.X.H. Lee, Lau & A. Stefanowska, eds. Biographical Dictionary of Chinese Woman: v.1: The Qing Period, 1644-1911. London: Routledge.
- Theobald, U. 2012. Terms in Chinese History, Bailian jiao (the White Lotus Sect).
- WangCongEr. 2012. Wang Cong’er.
- Watkins, T. 2016. The White Lotus Religion in China.
- Colorq. 2016. Wang Cong’er – Supreme Commander of the eight armies of the White Lotus Sect.
- Get link
- X
- Other Apps





