- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (9 Disember 2016). Ahuitzotl: Powerful Ruler in the Aztec Golden
Age. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ahuitzotl-powerful-ruler-aztec-golden-age-007156
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ahuitzotl-powerful-ruler-aztec-golden-age-007156
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ahuitzotl merupakan tlatoani
(pemerintah) kota Tenochtitlan dan maharaja kelapan Empayar Aztec.
Pemerintahan beliau bermula dari tahun 1486 hingga 1502 Masehi. Tempoh tersebut
dianggap oleh sebahagian sejarahwan moden sebagai Zaman Keemasan Aztec. Pada
zaman pemerintahan Ahuitzotl inilah Empayar Aztec mencapai kemuncak perluasan
kuasanya, di samping banyak projek pembinaan berskala besar dijalankan.
Namun, Zaman Keemasan
ini tidak berpanjangan dan berakhir menyusuli kemangkatan Ahuitzotl. Kedudukan
beliau lantas digantikan oleh anak saudaranya, Moctezuma II yang dikenang
sebagai pemerintah Aztec terakhir yang merdeka, sebelum Empayar Aztec ditakluk
oleh Sepanyol.
![]() |
| Moctezuma II, dari Historia de la conquista de Mexico oleh Antonio de Solis |
Nama Ahuitzotl (membawa
maksud ‘makhluk akuatik yang berduri’) dikaitkan dengan suatu makhluk mitos
yang hidup di dasar tasik dan memangsakan mereka yang berada di tebing tasik
berkenaan. Sejarahwan tidak mengetahui secara jelas pada tahun bilakah
Ahuitzotl dilahirkan. Namun, beliau dicatatkan sebagai cucu kepada Itzcoatl, tlatoani
Tenochtitlan yang keempat merangkap pengasas Persekutuan Tiga Serangkai
(Tenochtitlan-Texcoco-Tlacopan) yang menjadi asas penubuhan Empayar Aztec.
![]() |
| Peta menunjukkan perluasan empayar Aztec secara berperingkat |
Ahuitzotl dipercayai
mempunyai dua orang saudara, yang masing-masing telah memerintah terlebih
dahulu berbanding beliau. Axayacatl adalah maharaja Aztec yang keenam manakala
Tlzoc adalah yang ketujuh. Axayacatl merupakan seorang maharaja yang sering
memperoleh kemenangan dalam medan perang dan melaksanakan pelbagai prohek
pembinaan. Sebaliknya, Tlzoc disifatkan sebagai seorang yang gagal dan selepas
memerintah selama lima tahun, takhtanya diambil-alih oleh Ahuitzotl. Terdapat
spekulasi yang mengatakan bahawa Tlzoc mati akibat diracun.
![]() |
| Tlzoc dalam Manuskrip Telleriano-Remensis |
Memandangkan Ahuitzotl
masih muda ketika ditabalkan sebagai maharaja, wujud beberapa penentangan
terhadapnya. Namun, beliau berupaya membuktikan kebolehan diri lantaran
sifatnya sebagai seorang pemimpin perang yang agresif. Kempen ketenteraan
pertama beliau melibatkan peperangan dengan wilayah-wilayah bekas naungan Aztec
yang terletak di barat laut. Beliau berjaya membawa pulang kemenangan. Dalam
beberapa tempoh kemudian, kempen-kempen lain pula menyusul dan Ahuitzotl
berupaya memperluaskan lagi wilayah kekuasaan empayar hingga ke Guatemala moden
di selatan, serta di wilayah sekitar Teluk Mexico.
Penaklukan-penaklukan
ini mendorong kepada pemberian ufti yan melimpah ruah kepada Empayar Aztec.
Dalam erti kata lain, empayar meraih kekayaan yang luar biasa. Selain itu,
kempen-kempen ketenteraan ini juga membolehkan penduduk Aztec membawa pulang
ramai tawanan perang. Tawanan-tawanan perang ini kemudiannya digunakan sebagai korban
manusia dalam pelbagai upacara keagamaan yang bertujuan untuk menyenangkan para
dewa dan meraikan kemenangan.
Seorang penulis
Sepanyol yang bernama Fray Diego Durin mencatatkan bahawa seramai 80 400 orang
tawanan perang dikorbankan dalam tempoh empat hari di puncak Templo Mayor,
Tenochtitlan. Namun, sejarahwan moden menyanggah pendapat tersebut dan
menyatakan bahawa angka itu dilebih-lebihkan.
![]() |
| Lukisan Kuil Agung Tenochtitlan |
Selain kejayaan dari
sudut ketenteraan, Ahuitzotl juga dikenang sebagai pemimpin yang berjaya
lantaran banyak projek pembinaan berskala besar yang beliau jalankan. Salah
satu projek pembinaan yang paling signifikan adalah projek perluasan Templo
Mayor, yang siap sepenuhnya pada tahun 1487. Korban-korban manusia yang
dilakukan semasa perasmian kuil baru inilah yang dicatatkan oleh Duran,
sebagaimana yang disebutkan di atas.
Projek pembinaan
penting yang lain adalah pembinaan sebuah terusan yang bertujuan untuk
mengalirkan air dari Coyoacan masuk ke ibu kota. Menurut catatan Duran, projek
ini pada mulanya meraih hasil yang buruk lantaran terlalu banyak air yang
mengalir masuk sehingga kota habis dibadai banjir. Malah, golongan paderi
menyifatkan kejadian tersebut sebagai bala yang ditimpakan oleh Chalchiuhlicue
si dewi air berikutan tindakan maharaja yang membunuh pemerintah Coyoacan.
![]() |
| Huitzilopochtli, sebagaimana yang digambarkan dalam Manuskrip Telleriano-Remensis |
Ahuitzotl mangkat pada
tahun 1502M, dengan diiringi oleh pelbagai versi penceritaan. Salah satu versi
mengisahkan bagaimana seliparnya tersadung pada sebongkah batu basah ketika
taman atau kebunnya dibanjiri berikutan tambak yang rosak. Akibat daripada hal
itu, kepala Ahuitzotl terhantuk pada batu lintel (penutup jenang) dan mengalami
pendarahan kepala yang membawa kepada maut. Versi lain berpendapat beliau
diserang penyakit maut, sekaligus menimbulkan spekulasi kononnya beliau
diracun.
Pada tahun 2007,
dilaporkan bahawa ujian radar penembus permukaan bumi mendedahkan bahawa
terdapat sebuah makam yang tersembunyi di bawah Templo Mayor. Penemuan sebuah
batu monolith pada tahun sebelumnya dijadikan sebagai pencetus kepada
perlaksanaan tinjauan ini. Batu monolith tersebut mengandungi imej seorang dewi
yang memegang seekor arnab sambil terdapat 10 bintik pada kaki kanannya.
Imej
ini ditafsirkan sebagai 10 Arnab, iaitu tahun kemangkatan Ahuitzotl. Seandainya
makam tersebut benar-benar milik Ahuitzotl, maka ia merupakan makam diraja
Aztec pertama yang berjaya ditemui. Apapun, tiada laporan lanjut perihal
penemuan berkenaan.
SUMBER
- Read, K.A. & Gonzalez, J.J. 2000. Mesoamerican Mythology: A Guide to the Gods, Heroes, Rituals, and Beliefs of Mexico and Central America. Oxford: Oxford University Press.
- Tenochtitlan Facts. 2016. Ahuitzotl.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2012. Ahuitzotl.
- The Scribe. 2007. The First Ancient Aztec Tomb Ever Found (ca.1486-1502M)
- Get link
- X
- Other Apps





