ASAL-USUL BUDAYA MEMINUM KAVA DALAM MASYARAKAT ASLI DI KEPULAUAN PASIFIK

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (14 Julai 2014). The ancient origins of the ceremonial Kava drink of the Pacific. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ancient-origins-ceremonial-kava-drink-pacific-001848

Penterjemah: Amir Zayyanid


Asal-usul budaya meminum kava boleh dijejak kembali sejarahnya sekurang-kurangnya pada 3000 tahun lalu. Budaya ini dikaitkan dengan upacara keagamaan mahupun fungsi sosial. Dari dulu sehingga sekarang, kava sangat penting bagi masyarakat tempatan kerana ia digunakan sebagai ubat penenang, ubat yang melonggarkan otot, diuretik, dan penawar kepada kegusaran dan insomnia.

Namun, kava lebih dari sekadar penawar tradisional bagi pelbagai jenis penyakit. Kava digunakan di serata Pasifik baik semasa perkumpulan sosial mahupun upacara keagamaan atau budaya dalam rangka mencapai ‘tingkat kesedaran yang lebih tinggi’.
Kava, atau kadangkala dikenali sebagai awa, dihasilkan daripada sejenis tumbuhan yang terdapat di Pasifik barat dan secara tradisinya diminum oleh kebanyakan masyarakat di Laut Pasifik, seperti Fiji, Vanuatu, Hawaii dan Polynesia.

Di Fiji misalnya, kava dianggap sebagai minuman kebangsaan dan diamalkan secara meluas. Menurut tradisi, penyediaan kava melibatkan akar tumbuhan dipotong kepada beberapa keratin, lalu dikunyah oleh beberapa orang (seringkali oleh kanak-kanak atau gadis jelita bagi merendahkan kandungan bakteria) dan diludahkan ke dalam mangkuk. Kemudian, ia dicampurkan dengan santan.

Dipercayai bahawa prosedur mengunya h itu tadi bertujuan untuk mencampurkan akar dengan enzim-enzim yang terdapat pada air liur sekaligus menggalakkan pengekstrakan bahan-bahan aktif di dalam akar bagi menghasilkan rasa yang lebih sedap. Ramuan ini kemudiannya disapu pada serat kelapa, dan diramas sehingga kesemua jusnya bercampur dengan air. Kemudiannya, ia disaring ke dalam mangkuk lain untuk diminum.

Pada hari ini, akar itu tidak lagi dikunyah dan diludah. Sebaliknya ia digiling, ditumbuk atau diparut. Namun, terdapat juga sebilangan masyarakat tempatan yang masih mengekalkan cara tradisional itu.

Penyediaan kava


Walaupun budaya meminum kava dilihat sebagai suatu yang agak santai, ia memainkan peranan utama dalam banyak upacara, termasuklah perkahwinan, pengebumian, rawatan, pemberian nama, dan sebagainya. Budaya ini juga diamalkan semasa pemahkotaan Raja Tupou, Raja Keenam Tonga yang ditabalkan pada tahun 2012.

Di Fiji, kava mempunyai fungsi simbolik dalam menyatukan dua kumpulan individu. Apabila seseorang mengunjungi sebuah perkampungan yang baru, menjadi kewajipan bagi penduduk tempatan untuk menghadiahkan kava. Penduduk tempatan ini digalakkan berkumpul untuk menyiapkan minuman kava dan meminumnya secara beramai-ramai.

Selepas ketua kampung menikmati secawan kava, minuman itu akan dihidangkan kepada ahli-ahli komuniti yang lain dalam sebuah mangkuk yang dikongsi bersama. Sebelum menerima minuman, tradisi menetapkan agar menepuk tangan sekali dan selepas selesai minum, tangan perlu ditepuk sebanyak tiga kali. Sebaik sahaja upacara meminum kava ini selesai, semua yang ada dalam perkumpulan itu dianggap sebagai rakan dan keraian akan dilangsungkan.

Kava bukanlah minuman yang memabukkan atau dadah yang mengkhayalkan. Apapun, ia sememangnya mengandungi bahan sedatif (penenang) dan anaestatik (bius). Walaupun kesan meminum kava berbeza bagi setiap individu, secara umumnya jika diambil dalam jumlah yang sedikit akan memberikan kesan seperti rasa mengantuk, badan dan otot terasa longgar, hati terasa gembira, dan kebas pada mulut, lidah dan tekak. Jika diambil dalam kuantiti yang banyak, kava akan mengakibatkan kehilangan kawalan terhadap otot, mengantuk yang bersangatan, mata menjadi merah, anak mata membesar dan rasa sakit pada tubuh.

Walaupun kesan jangka-pendek dari meminum kava tidaklah begitu serius, kesan jangka-panjangnya didakwa agak teruk dan boleh mengakibatkan pelbagai masalah. Kesannya merangkumi implikasi kecil seperti otot-otot melemah dan juga implikasi serius seperti kegagalan jantung.

Menjelang tahun 2002, sekurang-kurangnya 68 kes berkenaan jantung bertoksik yang berkaitan dengan pengambilan kava dilaporkan, termasuklah sembilan kes kegagalan jantung. Enam daripada kes ini melibatkan pemindahan jantung sementara tiga lagi berakhir dengan kematian.

Sebagai tindakan susulan, kebanyakan negara-negara di Eropah, Asia dan Amerika Utara mengharamkan penjualan produk yang berasaskan kava, sekaligus mengakibatkan industri eksport kava mengalami kejatuhan.

Apapun, laporan tentang implikasi serius yang berkaitan dengan pengambilan kava ini menimbulkan tanda tanya lantaran masyarakat asli di Kepulauan Pasifik mengamalkan budaya meminum kava setidak-tidaknya sejak tiga ribu tahun tanpa mengalami sebarang kerosakan jantung.

Ramai yang meyakini bahawa ‘ketakutan terhadap kavar’ ini disebarkan oleh industri farmasi kerana kava secara disifatkan secara meluas di Eropah sebagai alternatif yang berkesan lagi selamat bagi dadah sintetik yang dijual oleh syarikat-syarikat farmasi.


SUMBER