- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
M R Reese. (20 Februari 2015). The Ultimate Pirate Branding Symbol – the Origin
of the Jolly Roger. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/ultimate-pirate-branding-symbol-origin-jolly-roger-002696
https://www.ancient-origins.net/history/ultimate-pirate-branding-symbol-origin-jolly-roger-002696
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kisah lanun merupakan
sebuah topik yang agak masyhur bagi ramai dari kalangan kita pada hari ini,
dengan kehadiran cerita-cerita romantisme yang melibatkan pengembaraan di
lautan tinggi, persahabatan dan pemburuan harta karun. Namun pada beberapa
kurun yang lalu, lanun adalah penjenayah yang paling dikehendaki dan merupakan
salah satu jenayah tersusun yang terawal dalam sejarah. Sambil berlaya di lautan luas, lanun-lanun
ini menyerang, menjarah dan membunuh dengan kejam.
Terdapat banyak objek
perlanunan yang digunakan sebagai simbol bagi merujuk kepada lanun – berjalan
di atas papan, kaki yang diperbuat daripada kayu, penutup mata, tangan cangkuk,
dan anting-anting gelung emas di sebelah telinga. Namun, simbol lanun yang
paling dikenali adalah bendera hitam dengan rekaan tengkorak dan tulang silang,
atau dikenali sebagai Jolly Roger.
Jolly Roger dikibarkan pada kapal-kapal
lanun untuk menyampaikan mesej tertentu kepada kapal-kapal sasaran. Bendera ini
boleh dimanfaatkan untuk menimbulkan rasa gerun di samping mengisytiharkan
kekuasaan kapal lanun berkenaan.
![]() |
| Rekaan asas Jolly Roger, bendera lanun |
Penggunaan bendera
lanun secara umumnya meniru penggunaan bendera pada kapal-kapal lain. Sepanjang
sejarah maritim, sesebuah kapal akan mengibarkan bendera tertentu untuk menyampaikan
beberapa bentuk mesej. Paling utama adalah mesej yang menyatakan pihak mana
yang ditumpahkan kesetiaan oleh kapal tersebut.
Kapal-kapal peribadi
pula lazimnya akan mengibarkan bendera yang berbeza berbanding kapal-kapal
tentera. Begitu juga dengan kapal-kapal lanun yang mengibarkan bendera tertentu
untuk menyampaikan mesej atau untuk memperdaya kapal-kapal berhampiran.
Menurut sejarah, kapal
lanun yang menyerang kebiasaannya akan mengibarkan bendera yang berwarna hitam
penuh. Pengibaran bendera ini menandakan mesej bahawa selagimana tiada
penentangan, semua anak kapal akan selamat. Namun setelah diberikan tentangan,
bendera merah akan dikibar bagi menyampaikan mesej bahawa tiada belas kasihan
akan ditunjukkan.
Tujuan pengibaran bendera ini adalah untuk menimbulkan rasa
takut kepada pihak yang ingin diserang, sekaligus memberikan kelebihan buat
lanun. Bendera hitam atau merah inilah yang dirujuk sebagai Jolly Roger pada
mulanya, sebelum nama itu dikaitkan dengan rekaan tengkorak dan tulang silang
pada bendera lanun.
![]() |
| Lukisan tahun 1725 yang menggambarkan Stede Bonnet dengan sebuah Jolly Roger |
Asal-usul pengambilan
nama Jolly Roger masih menjadi bahan perdebatan. Pada tahun 1724, Charles
Johnson menerbitkan sebuah buku yang berjudul ‘A General History of the
Pyrates’. Di dalam buku inilah frasa ‘Jolly Roger’ mula berasal, di mana
Johnsohn memetik bukan seorang, tetapi dua orang lanun yang memanggil bendera
mereka sebagai Jolly Roger. Dua orang lanun tersebut adalah Bartholomew Roberts
(pada tahun Jun 1721) dan Francis Spriggs (Julai 1723).
Ada juga pihak yang
berpendapat bahawa nama Jolly Roger berasal dari sebuah perkataan Perancis,
iaitu jolie rouge yang bermaksud ‘merah indah’.
Kemungkinan lain pula
hadir dari sebuah buku tulisan David Hatcher Childress yang berjudul ‘Pirates
& The Lost Templar Fleet’. Di dalam buku ini, Childress berpendapat
bahawa Jolly Roger sebenarnya mengambil nama bersempena Raja Roger II dari
Sicily, seorang Templar yang diyakini sebagai lelaki pertama yang mengibarkan
bendera itu.
Pada hari ini, Jolly
Roger (bendera hitam dengan imej tengkorak dan tulang silang) dianggap sebagai
rekaan piawai bagi bendera lanun. Walau bagaimanapun, rekaan sebegitu bukanlan
rekaan asal bagi Jolly Roger.
Dalam A General
History of the Pyrates, dua orang lanun mengibarkan bendera yang dipanggil
sebagai Jolly Roger. Namun kedua-dua bendera itu tidak mempunyai imej tengkorak
dan tulang silang. Daripada sini dapat kita pastikan bahawa Jolly Roger pada
asalnya tidak mempunyai imej tertentu dan ia adalah istilah umum bagi merujuk
mana-mana bendera lanun.
Kepelbagaian rekaan
bendera lanun sememangnya banyak sepanjang peredaran sejarah; dari merah atau
hitam penuh, kepada kepelbagaian imej berwarna merah dan hitam termasuklah imej
tengkorak, senjata, darah dan hati. Sebahagian contoh Jolly Roger yang pernah
wujud dalam sejarah adalah seperti berikut:
![]() |
| Rekaan-rekaan bendera yang berbeza yang digunakan oleh lanun-lanun dalam sejarah |
Beberapa sumber
menyifatkan rekaan tengkorak dan tulang silang berasal-usul daripada legenda
Templar. Philip Gardiner menulis di dalam The Holy Blood and the Holy Grail:
“Terdapat seorang
wanita dari Maraclea yang dicintai oleh seorang Templar, si Raja Sidon. Namun,
wanita itu mati di usia muda, dan pada malam selepas pengebumiannya, kekasihnya
itu merangkak ke kuburnya, menggalinya dan mencabulnya. Kemudian, suatu suara
entah dari mana menyuruh lelaki itu kembali dalam tempoh sembilan bulan kerana
beliau akan mendapatkan seorang anak lelaki.
Templar itu menuruti perintah
tersebut dan pada masa yang ditetapkan, beliau membongkar semula kubur itu dan
menemukan kepala dan tulang kaki (tengkorak dan tulang silang). Suara yang sama
kemudiannya menyuruh beliau agar menyimpan tulang tersebut dengan baik kerana
ia akan memberi kebaikan kepadanya.
Justeru, beliau pun membawa tulang-tulang
itu bersamanya. Ia menjadi tangkal pelindungnya, dan beliau berupaya menewaskan
musuh-musuhnya dengan hanya menunjukkan tengkorak itu kepada mereka. Seiring
peredaran waktu. Tulang-tulang ini diperturunkan kepada waris-warisnya.”
Pada hari ini, Jolly
Roger, atau secara khusus, imej tengkorak dan tulang silang dianggap oleh ramai
pihak sebagai sebuah penjenamaan secara kolektif yang berjaya. Simbol ini tidak
diambil dan dipakai oleh satu entiti tunggal. Sebaliknya, ia menjadi simbol
sejagat (universal) sampaikan setelah beratus tahun berlalu, simbol
tersebut masih boleh dikenali sebagai simbol lanun.
Cerita-cerita lanun
baik yang lama mahupun yang baru disampaikan secara terus-menerus, sama ada
menerusi kisah lanun sebenar seperti Blackbeard dan Ching Shing, ataupun
kisah-kisah dongeng klasik seperti ‘Peter Pan’s Captain Hook’ serta Pirates
of the Caribbean.
Menerusi simbolisasi
seperti Jolly Roger, setiap cerita ini walaupun menggambarkan lanun yang sangat
berbeza, masing-masing menimbulkan imej lanun klasik – menjarah harta-benda,
meminum banyak arak, pelayar yang cekap, dan raja lautan.
SUMBER
- Why did pirates fly the Jolly Roger? – Scientific American.
- Jolly Roger – Cosmo Smith.
- Origins of the Jolly Roger – Today I found out.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Asal-Usul Jolly Roger Bendera Lanun’
- Get link
- X
- Other Apps



