- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (18 November 2015). The Heroic Warrior Ba Trieu: A Figure of
Resistance Against Patriarchy and the Enemies of Vietnam. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/heroic-warrior-ba-trieu-figure-resistance-against-patriarchy-and-enemies-020626
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/heroic-warrior-ba-trieu-figure-resistance-against-patriarchy-and-enemies-020626
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Peperangan adalah
sebuah medan yang telah lama didominasi oleh kaum lelaki. Akan tetapi dalam
lipatan sejarah, terdapat sejumlah wanita yang muncul sebagai pahlawan ulung
atau komander cekap. Salah seorang pahlawan wanita yang kurang dikenali
(setidaknya di luar negara kelahirannya adalah seorang srikandi Vietnam yang
dikenali sebagai Ba Trieu.
Nama ini membawa maksud ‘Cik Puan Trieu’. Ba Trieu
juga dikenali sebagai Trie Au, Trieu Trinh Nuong dan Trieu Thi Trinh. Pun
begitu, nama sebenarnya tidak diketahui. Sebilangan sejarahwan menyifatkan Ba
Trieu sebagai Joan of Arc bagi Vietnam.
LATAR POLITIK DI ZAMAN
BA TRIEU
Ba Trieu dipercayai
hidup pada separuh pertama kurun ke-3 Masehi. Pada waktu itu, jiran utara
Vietnam iaitu China sedang menghadapi zaman Tiga Kerajaan (220-280M) di mana ia
terpecah kepada tiga buah kerajaan; Wei, Shu dan Wu. Kerajaan yang paling
selatan, iaitu Kerajaan Wu, mempunyai beberapa wilayah di Vietnam utara.
Justeru, mereka sering berkonflik dengan masyarakat tempatan. Lebih kurang
beginilah latar politik di zaman Ba Trieu.
Menurut sebuah sumber
China dari kurun ke-3M yang dikarang oleh Chen Sou, iaitu ‘Catatan Sejarah Tiga
Kerajaan’ (Records of the Three Kingdoms), pada zaman pemerintahan Sun
Quan si maharaja Wu, sebuah pemberontakan tercetus di beberapa buah wilayah di
Vietnam utara seperti Jiaozhi dan Jiuzhen. Untuk menangani hal ini, Sun Quan
melantik seorang panglima bagi tujuan menundukkan pemberontak.
Menerusi
pendekatan ketenteraan dan diplomasi, pemberontakan ini berjaya dipadamkan.
Namun, tidak ada satu pun nama pemberontak yang disebutkan dalam sumber China
berkenaan. Lantaran itu, kita perlu menyelak sumber-sumber Vietnam untuk
mendapatkan sejarah tentang Ba Trieu.
![]() |
| Kuil Ba Trieu, wilayah Thanh Hoa, Vietnam |
LEGENDA-LEGENDA YANG
MEMERINCIKAN KISAH HIDUP BA TRIEU
Antara sumber Vietnam
yang menulis tentang Ba Trieu adalah Sejarah Pertahunan Lengkap Dai Viet (Complete
Annals of Dai Viet) dan Catatan Nota Atas Perintah Diraja Yang Mengimbau
Sepenuhnya Sejarah Viet (Imperially Ordered Annotated Text Completely
Reflecting the History of Viet).
Tidak seperti sumber
China, kedua-dua karya ini tidak dihasilkan pada zaman Ba Trieu. Sumber pertama
ditulis pada kurun ke-15 untuk dijadikan sebagai sejarah rasmi DinastiLe,
manakala sumber yang kedua pula dikarang pada kurun ke-19 sebagai sejarah rasmi
bagi kegunaan Dinasti Nguyen.
Ba Trieu merupakan
figura yang sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Vietnam. Menurut sumber
tradisi, Ba Trieu dipercayai memiliki ketinggian mencecah 9 kaki (2.7 meter)
dan buah dada sepanjang 3 kaki (0.91 meter). Satu sumber menyebutkan bahawa Ba
Trieu mempunyai suara seperti bunyi loceng kuil. Kononnya beliau berupaya
berjalan sejauh 3000km dalam masa sehari dan rupa parasnya pula sangat jelita.
Sebagai seorang
pahlawan, beliau sering disifatkan memakai baju emas, dadanya diikat pada bahu,
dan menunggang seekor gajah perang. Beliau dipercayai memimpin sepasukan
tentera yang berkekuatan 1000 orang (termasuk lelaki dan wanita) dan terlibat
dalam 30 buah pertempuran (kesemuanya berkemungkinan melibatkan perang
menentang China).
![]() |
| Lukisan Dong Ho yang menggambarkan Ba Trieu sedang menunggang seekor gajah |
KETAKUTAN TERHADAP
PERKARA JIJIK DAN KUASA LUAR BIASA BA TRIEU
Satu lagi sumber
tradisi menyebutkan bahawa antara kelemahan Ba Trieu adalah sifat takutnya
terhadap sebarang benda yang berbau, jijik dan kotor. Hal ini kemudiannya
dimanfaatkan oleh tentera China dan mengakibatkan kematian Ba Trieu. Dalam
sebuah hikayat, diceritakan bahawa Ba Trieu menantikan tentera-tentera China
keluar dari kubu mereka untuk bertempur di medan tempur. Hal ini kerana beliau
tidak mempunyai sebarang kelengkapan mengepung.
Kemudian, komander
China mengarahkan supaya tenteranya keluar dari kubu seperti haiwan-haiwan
liar, yakni dalam keadaan telanjang, terpekik terlolong dan menendang-nendang
debu. Melihat keadaan ini, Ba Trieu segera naik jijik dan meninggalkan medan
perang. Tatkala tentera-tenteranya menyaksikan beliau beredar, mereka diserang
panik dan ikut berundur. Akibatnya, Ba Trieu dikepung dan hikayat memerihalkan
bahawa beliau memilih untuk membunuh diri berbanding membiarkan dirinya
ditangkap.
Ba Trieu juga kononnya
memiliki kuasa luar biasa, kerana hikayat menceritakan bahawa beliau masih
tetap memerangi China walau sesudah mati. Dikisahkan bahawa selepas kematian Ba
Trieu, pahlawan itu muncul dalam mimpi ngeri komander China. Selain itu, suatu
wabak menimpa tentera-tentera China yang kononnya wabak ini disebabkan oleh Ba
Trieu. Untuk menangkis dan menghalau gangguan dari semangat atau roh Ba Trieu,
komander China mengarahkan agar tukang-tukang kayu mereka mengukir ratusan imej
zakar dan menggantungnya pada pintu.
BA TRIEU SEBAGAI SEBUAH
SIMBOL PENENTANGAN
Masyarakat Vietnam
terus meraikan dan menghormati Ba Trieu walau sesudah kematiannya. Tambahan
lagi, ketika Vietnam berada di bawah pemerintahan orang tempatan, Ba Trieu
diberikan kemuliaan dan gelaran istana.
Apapun, kisah-kisah
menakjubkan seputar Ba Trieu berkemungkinan adalah penokokan tambah yang dibuat
oleh masyarakat umum ketika memperturunkan kisah-kisah tersebut (dari sumber
lisan) dari satu generasi ke satu generasi. Terdapat juga anggapan yang
berpendapat bahawa Ba Trieu ini adalah perwira legenda, yang kisahnya direka
berdasarkan seorang figura sejarah yang identitinya tidak dapat kita kenal
pasti.
![]() |
| Makam Ba Trieu di kuil Ba Trieu, wilayah Thanh Hoa, Vietnam |
Walau apapun
keadaannya, baik Ba Trieu itu benar-benar wujud, atau sekadar perwira fiksyen,
atau penokokan tambah daripada masyarakat umum, tidak dinafikan bahawa namanya
dijadikan sebagai simbol penentangan berikutan penentangannya terhadap China
dan amalan patriarki. Selama mana Ba Trieu kekal dalam hati dan minda
masyarakat Vietnam, semangatnya akan terus dijulang oleh pelbagai macam
ideologi yang berjuang demi matlamat yang tersendiri.
SUMBER
- Turner, K. 2008. Trinh Trieu Thi. In: The Oxford Encyclopedia of Women in World History: 4 Volume Set. Oxford: Oxford University Press, p. 248.
- Marr, D.G. 1981. Vietnamese Tradition on Trial. 1920-1945. Berkeley: University of California Press.
- Sherrow, V. 2007. Women in the Military. New York: Chelsea House Publishers.
- Chen Shou, 3rd Century A.D. Record of the Three Kingdoms (in Chinese).
- Puchko, K. 2014. 9 Female Warriors Who Made Their Mark on History.
- Szczepanski, K. 2015. Trieu Thi Trinh, Vietnam’s Warrior Lady.
- Travel China Guide. 2015. Three Kingdoms Period.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Ba Trieu – Srikandi Vietnam Yang Menentang Tentera Wu Dari Dinasti Han’
- Get link
- X
- Other Apps



