- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ancient Origins. (12 Disember 2019). How Does Language Emerge? Answer:
Spontaneously. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/language-0012994
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/language-0012994
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pusat Penyelidikan
Leipzig bagi Pembangunan Awal Kanak-Kanak di Universiti Leipzig (Research
Center for Early Childhood Development in University of Leipzig) dan
Institusi Max Planck bagi Perkembangan Antropologi (Max Planck Institute for
Evolutionary Anthropology) cuba membuat simulasi tentang proses
perkembangan sesebuah sistem komunikasi baru menerusi sebuah eksperimen.
Hasil yang diperoleh
sangat mengejutkan, di mana kanak-kanak pra-sekolah juga boleh membangun dan
mengembangkan suatu sistem komunikasi yang menjadi teras kepada sesebuah bahasa
asli secara spontan.
KEMISTERIAN BAHASA
Bagaimanakah
bahasa-bahasa yang wujud di dunia ini muncul dan berkembang? Hal ini sehingga
kini menjadi suatu misteri yang besar. Memandangkan perkembangan bahasa ini
berkemungkinan mengambil masa ribuan tahun, agak menarik juga untuk melihat
bagaimana individu pekak mencipta bahasa-bahasa isyarat yang baru secara
spontan.
Pemerhatian-pemerhatian
yang dilakukan menunjukkan bahawa apabila individu-individu pekak yang saling
tidak mengenali dikumpulkan di dalam sebuah komuniti, mereka berupaya
menghasilkan suatu bahasa isyarat yang tersendiri dalam tempoh masa yang cukup
singkat. Antara contoh yang paling masyhur bagi kes ini adalah Bahasa Isyarat
Nicaragua yang dicipta pada 1980an.
![]() |
| Bahasa Isyarat Nicaragua dibangun dan dikembangkan secara spontan oleh kanak-kanak pekak di sejumlah sekolah di Nicaragua barat |
Tambah menarik,
kanak-kanak memainkan peranan penting dalam mencipta bahasa-bahasa baru. Walau
bagaimanapun, bagaimana proses tersebut dilakukan tidak didokumentasikan oleh
para penyelidik, sebagaimana yang diperincikan oleh Manual Bohn, “Kami hanya
tahu serba-sedikit sahaja tentang bagaimana interaksi sosial dapat membentuk
sesebuah bahasa. Di (titik persoalan) sinilah penyelidikan kami yang baru
dimulakan.”
PENYELIDIKAN TENTANG
BAHASA
Dalam sebuah siri
penyelidikan yang dijalankan, para penyelidik dari Institusi Penyelidikan bagi
Pembangunan Awal Kanak-Kanak Leipzig dan Institusi Max Planck bagi Perkembangan
Antropologi cuba untuk menghasilkan semula proses tersebut (proses pembentukan
sesebuah bahasa).
Menurut Gregor Kachel,
idea untuk melaksanakan penyelidikan ini sudah timbul agak lama. Namun,
terdapat suatu masalah yang menghalang mereka daripada menjalankannya, iaitu,
bagaimanakah caranya untuk membuatkan sepasang kanak-kanak itu berkomunikasi
antara satu sama lain tanpa mereka dapat bertutur?
Penyelesaian bagi
permasalahan ini diperoleh menerusi perbualan Skype antara dua orang penyelidik
dari Jerman dan Michael Tomasello di Amerika Syarikat. Bagi tujuan penyelidikan
tesebut, dua orang kanak-kanak dijemput untuk menetap di dua buah bilik yang
berbeza. Bilik-bilik tersebut disambungkan dengan aplikasi Skype.
Setelah menyesuaikan
kanak-kanak tersebut dengan alatan-alatan yang ada, para penyelidik secara
senyap-senyap mematikan suara (aplikasi Skype) untuk melihat bagaimana
kanak-kanak tersebut menemukan cara komunikasi baharu yang melangkaui bahasa
pertuturan.
Dalam penyelidikan
tersebut, kanak-kanak itu diberikan tugas untuk memerincikan sebuah imej pada
lukisan-lukisan yang berbeza. Dengan imej barangan konkrit seperti tukul
ataupun garpu, kanak-kanak itu dengan pantas berjaya menemukan cara untuk
memerincikannya, iaitu dengan melakonkan aksi berkaitan (misalnya seperti
makan).
![]() |
| Dua orang kanak-kanak perempuan sedang berkomunikasi melalui bahasa yang tidak dituturkan |
Namun, para penyelidik
mencabar kanak-kanak itu dengan imej yang lebih abstrak, seperti sehelai kertas
putih yang kosong. Elemen ‘ketiadaan’ seperti ini sukar untuk diterangkan dalam
bentuk lakonan. Dalam kertas penyelidikannya, Kachel menerangkan bagaimana dua
orang kanak-kanak tersebut menyelesaikan tugasan itu:
“Pada mulanya,
kanak-kanak (yang memainkan peranan sebagai) penghantar pesanan mencuba segala
macam lakonan. Namun, temannya memaklumkan bahawa beliau tidak dapat meneka apa
yang sedang cuba disampaikan.
Kemudian, kanak-kanak
penghantar pesanan menarik baju-T yang sedang dipakainya ke sisi dan
menudingkan jari ke arah titik putih yang ada baju tersebut. Dengan demikian,
kedua kanak-kanak itu berjaya melepasi cabaran tersebut! Putih! Sama seperti
kertas putih!”
Kemudian apabila
peranan yang dimainkan oleh kedua kanak-kanak itu ditukar, kanak-kanak yang
kini menjadi penghantar pesanan tidak mempunyai tompok putih pada baju yang
dipakainya. Namun, beliau tetap menggunakan pendekatan yang sama.
Beliau menarik bajunya
ke sisi dan menuding ke arahnya. Dengan pantas temannya itu dapat mengetahui
apa yang cuba disampaikan. Dalam tempoh masa yang singkat, mereka berdua
mencipta satu bahasa isyarat bagi menerangkan suatu konsep yang abstrak (iaitu
putih).
Sepanjang tempoh
penyelidikan ini berlangsung, imej-imej yang diberikan semakin lama menjadi
semakin kompleks. Begitu juga dengan gerak isyarat yang dihasilkan oleh mereka
berdua.
Misalnya, untuk
berkomunikasi seperti dua haiwan, kanak-kanak itu mencipta gerak isyarat yang
terpisah untuk membezakan antara pelakon (jenis haiwan) dan tindakan (sifat
haiwan itu), sebelum menggabungkannya. Dengan demikian, mereka berupaya
mencipta suatu tatabahasa ringkas.
Kembali kepada
persoalan yang menjadi tajuk artikel ini, bagaimana sesebuah bahasa itu dapat
wujud?
Berdasarkan
penyelidikan terkini, jawapan berikut mungkin merupakan jawapan yang cukup
munasabah: Pertama, manusia menghasilkan rujukan terhadap tindakan dan objek
mewakili isyarat-isyarat yang dapat mewakili kedua subjek tersebut.
Prasyarat bagi hal ini
adalah pasangan interaksi yang terlibat perlu berkongsi pengalaman yang sama.
Dengan demikian, pasangan interaksi ini dapat menyelaraskan diri dengan saling
meniru/melakonkan isyarat yang sama untuk menyampaikan mesej tentang subjek
yang sama.
Kemudian secara
bertahap, isyarat tersebut meraih permaknaan interpersonal dan seterusnya
permaknaan konvensional. Seiring peredaran masa, hubungan di antara
gerak-isyarat dan subjek yang cuba diterangkan menjadi semakin abstrak dan
permaknaannya menjadi semakin spesifik. Lalu, struktur tatabahasa pun
diperkenalkan secara bertahap apabila timbul keperluan untuk berkomunikasi
dengan lebih kompleks.
Namun, apa yang lebih
mengagumkan dalam penyelidikan terkini yang dilakukan adalah proses tersebut
(proses perkembangan bahasa) dapat disaksikan dalam suatu situasi yang terkawal
dan dalam tempoh masa yang singkat, iaitu hanya selama 30 minit.
![]() |
| Mural di Teotihuacan, Mexico menggambarkan seorang individu mengeluarkan selembar gulungan pertuturan dari mulutnya, sebagai simbol bahasa pertuturan |
Penyelidikan-penyelidikan
sebegini menunjukkan bahawa komunikasi tidak hanya terhad pada penggunaan
perkataan sahaja. Apabila tiada lagi cara untuk menggunakan bahasa pertuturan
konvensional, manusia akan mencari jalan lain untuk menyampaikan mesej.
Fenomasi inilah yang menjadi asas kepada pembentukan sesebuah bahasa baru.
Penyelidikan yang
dilakukan oleh Manuel Bohn, Gregor Kachel dan Michael Tomasello ini memberikan
gambaran kepada kita tentang langkah awal perkembangan sesebuah bahasa baru.
Namun menurut Bohn,
beberapa persoalan mula timbul pada peringkat ini, “Menarik bagi kami untuk
melihat bagaimana sistem komunikasi yang baru ini mengalami perubahan seiring
peredaran masa, misalnya apabila ia diperturunkan (diwariskan) kepada generasi
baru. Terdapat bukti bahawa sesebuah bahasa akan menjadi semakin sistematik
apabila ia diperturunkan.”
SUMBER
- Bohn, M. Kachel, G. and Tomasello, M. 2019. Young children spontaneously recreate core properties of language in a new modality. Proceedings of the National Academy of Sciences.
- Get link
- X
- Other Apps



