- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ancient Origins. (9 Oktober 2016). The Powerful Assyrians, Rulers of Empires.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/powerful-assyrians-rulers-empires-006792
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/powerful-assyrians-rulers-empires-006792
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kebanyakan sejarah
bangsa Assyria dikaitkan dengan jirannya di selatan, iaitu bangsa Babylon.
Kedua-dua empayar Mesopotamia ini menuturkan bahasa yang sama. Kebanyakan dewa
yang dipuja juga sama. Mereka lazim berseteru di medan perang lantaran
berebutkan hegemoni di Timur Tengah.
Sejarah Assyria bermula
dari tahun 2000SM, tatkala bandar-bandar seperti Nineveh dan Calah dibangunkan,
dan berpanjangan sehingga tahun 606SM iaitu tahun di mana Nineveh tumbang.
Ketikamana bangsa
Babylon dikenang menerusi sumbangannya dalam bidang kesusasteraan, seni bina
dan perundangan, sejarah bangsa Assyria masyhur dengan kejayaan kempen-kempen
militarinya, merangkumi kemajuan dalam persenjataan dan
penaklukan-penaklukannya yang gemilang.
Secara geografi, bangsa
Assyria mendiami bahagian tengah dan utara Mesopotamia. Wilayah ini terletak di
antara Sungai Furat dan Sungai Tigris. Antara kota utamanya adalah Calab, Zab,
Ashur, dan Nineveh, ibu kota Assyria.
![]() |
| Lukisan Frederick Arthur Bridgman yang berjudul The Diversion of an Assyrian King |
KEKUASAAN ASSYRIA DI
TANGAN ESARHADDON
“Akulah yang paling
berkuasa; akulah yang menguasai segalanya… Aku adalah raja segala raja yang
tiada tandingan.”
Demikian adalah
kata-kata yang dituturkan oleh Raja Esarhaddon (680-669SM), pemerintah Assyria
yang bertanggungjawab meluaskan sempadan empayar ke tahap kemuncaknya. Pada
zaman kegemilangannya, iaitu sekitar tahun 671SM, Esarhaddon menakluk Mesir
dalam tempoh kurang sebulan.
Kerajaan Mesir dianggap
sebagai salah sebuah kerajaan yang paling sukar ditembusi apatahlagi ditewaskan
di Asia Tengah. Bangsa Mesir telah memerintah secara merdeka dan tidak menerima
sebarang gangguan selama 2500 tahun.
![]() |
| Kempen ketenteraan Ashurbanipal ke atas Elam pada tahun 647SM direkodkan pada relif ini |
Sebaik sahaja Mesir
ditakluk, Esarhaddon dan penggantinya, iaitu Ashurbanipal (680-626SM) menguasai
empayar yang terbentang seluas 1000 batu dari Sungai Nil hingga ke Pergunungan
Kaukasus. Pada zaman tersebut, Empayar Assyria merupakan empayar paling agung
pernah disaksikan oleh manusia dan dunia. Pusat empayar ini terletak di Iraq
moden, dan ibu kotanya dikenali dengan nama Nineveh.
TIGLATH-PILESER I –
PENUNDUK 42 ORANG RAJA
Tiglath-pileser I
adalah seorang raja Assyria di zaman awal yang mula memerintah sekitar tahun
1100SM. Beliau bertanggungjawab menggerakkan sejumlah kempen ketenteraan ke
atas Babylonia, Syria dan beberapa wilayah lain.
![]() |
| Selepas menumbangkan Empayar Babylon, Assyria menakluk Israel, Phoenicia dan bahkan sebahagian empayar Mesir |
Dipercayai bahawa
beliau berjaya menundukkan seramai 42 orang raja dan merekodkan pengisytiharan,
“Aku merampas harta kekayaan mereka, membumihanguskan kota-kota mereka,
menuntut ufti dan hadiah dari mereka, dan menimpakan perundanganku yang berat
ke atas mereka.”
Pemerintah Assyria ini
juga dipercayai sebagai seorang pemburu yang mahir. Dalam satu ekspedisi
perburuan, beliau berjaya membunuh lebih 900 ekor singa dan menangkap beberapa
ekor gajah hidup-hidup.
Di bandar Ashur, beliau
mendirikan sebuah taman perburuan untuk tujuan memburu haiwan. Di Nineveh,
beliau membina taman botani di mana beliau menanam pokok dan menyimpan
haiwan-haiwan yang dikumpulkan semasa perburuannya.
![]() |
| Koleksi dari bangsa Assyria, Muzium British |
Seringkali menjadi
persoalan, bagaimana bangsa Assyria berupaya menubuhkan empayar yang sebesar
itu dan menundukkan musuh-musuhnya yang kuat? Jawapannya terletak pada pasukan
tentera mereka yang sangat terlatih dan professional. Tentera-tentera mereka
juga memiliki pengalaman yang tinggi. Mereka diorganisasikan ke dalam pelbagai
unit khusus seperti pedati, kavalri, pemanah dan pengguna lembing.
Pasukan tentera Assyria
juga mempunyai pasukan jurutera khas yang ditugaskan untuk membina
menara-menara bergerak dan alat-alat perempuh berkepala-besi bagi tujuan
mengepung bandar-bandar bertembok.
Malah, tentera-tentera
Assyria menggunakan senjata-senjata besi yang jauh lebih ampuh berbanding
senjata-senjata gangsa yang digunakan oleh sebilangan musuh mereka. Bangsa
Assyria juga membina rangkaian jalan bagi memudahkan pergerakan tentera mereka.
Justeru, kerajaan-kerajaan yang memberontak dapat ditangani dengan mudah.
Rasa gerun dalam
kalangan rakyat dan musuh juga merupakan satu alat propaganda yang dimanfaatkan
oleh pemerintah Assyria. Walaupun peperangan itu sememangnya kejam, bangsa Assyria
turut masyhur dengan penggunaan pelbagai bentuk penyeksaan. Kata-kata
Assurnarsipal sendiri menjelaskan betapa kejamnya mereka:
“Aku mendirikan tiang
yang tinggi melangkaui gerbang kotanya; dan aku memukul kesemua pembesar
mereka… dan aku litupi tiang itu dengan kulit mereka… sebahagiannya aku sula
pada tiang itu. Ramai tawanan… aku bakar… Sebilangan lain aku kerat tangan dan
jari mereka, dan sebilangan yang lain aku kerat hidung atau telinga… ramai juga
yang aku cungkil matanya.” Assurnarsipal. (c. 875SM)
HARTA RAMPASAN MENERUSI
KEMPEN KETENTERAAN YANG BERJAYA
Pada zaman purba, raja
Assyria sememangnya lazim mengetuai tenteranya ke medan perang lantaran beliau
sendiri adalah pahlawan yang gagah. Menjadi satu kelaziman bagi raja-raja
Assyria untuk merekodkan kemenangan yang mereka raih pada tembok besar istana.
Patung-patung relif pada tembok istana raja Assurbanipal di Nineveh merupakan
antara rekod yang paling terperinci. Patung-patung relif ini dan juga koleksi
tablet tanah liat kuneiform yang berjumlah 25 000 buah ditemui oleh Austen
Henry Layard dan rakan-rakan sekerjanya pada 1840an.
![]() |
| Tentera-tentera Assyria pulang selepas mengecapi kemenangan di medan perang |
Empayar membawa
pengertian kuasa. Kuasa ini pula membawa pengertian kekayaan yang berlimpah
ruah bagi sang penguasa, lantaran keupayaannya untuk mengenakan cukai atau ufti
kepada rakyatnya. Justeru, raja-raja Assyria tidak pernah kehabisan harta
kekayaan.
PEMBAYARAN UFTI YANG
MELIMPAHRUAHKAN PERBENDAHARAAN EMPAYAR
Raja Sennacherib
(704-681SM) pernah merekodkan tentang ufti yang beliau kenakan ke atas
Hezekiah. Sebelum itu, Hezekiah dikepung oleh tentera-tentera Assyria di ibu
kotanya di Jerusalem dalam sebuah peristiwa yang turut diceritakan di dalam
Bible. Peristiwa ini menyebabkan bangsa Ibrani dipaksa membayar ufti dan hadiah
kepada penguasa Assyria.
![]() |
| Sebahagian daripada Relif Lachish, Muzium British. Babak pertempuran, menunjukkan tentera berkuda Assyria beraksi. |
Sennacherib menerangkan
sendiri peristiwa ini pada sebuah tablet: “Beliau menghantar (utusannya)
kepadaku di Nineveh, ibu kota kerajaanku (dengan membawa) bersama 30 talent
emas, 800 talent perak, sejumlah batu permata, antimoni, barang berharga,
puteri-puterinya, haremnya, dan penyanyi-penyanyi baik lelaki mahupun
perempuan.”
EMPAYAR ASSYRIA – BUKAN
SEKADAR BANGSA PAHLAWAN
Dengan kekayaan yang
diperoleh dari rampasan perang dan ufti, raja-raja Assyria membangunkan
kota-kota yang berbentang lagi indah seperti Nineveh, Calah (Nimrud moden).
Pada kota-kota inilah
mereka dirikan istana yang megah, di mana sebahagiannya berkeluasan sehingga
beberapa ekar. Di sini, lazimnya raja-raja Assyria akan menunjukkan sisi yang
lebih bersifat kebudayaan.
![]() |
| Lukisan tahun 1853 berjudul The Palaces at Nimrud Restored |
Pembuatan kaca,
penciptaan backgammon (sejenis permainan papan), dan bahkan urutan
terapi, kesemuanya ini dipercayai merupakan hasil sumbangan bangsa Assyria.
Walau bagaimanapun,
kegemilangan yang dikecapi Empayar Assyria tidak berkekalan. Sebaik sahaja ia
mencapai zaman kemuncaknya, empayar ini mula mengalami kejatuhan. Perebutan
kuasa antara Assurbanipal dan saudaranya mengakibatkan empayar melemah dan
terdedah kepada serangan pihak luar. Akhirnya, Empayar Assyria diruntuhkan pada
tahun 612SM oleh Medes yang datang dari Dataran Iran dan bangsa Kaldan (Chaldea)
yang datang dari Babylon.
SUMBER
- US History. (20 September 2016). Assyrians: Cavalry and Conquests.
- Get link
- X
- Other Apps







