- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (4 Mac 2015). Built by Kings, the Ancient Bayon Temple of Cambodia
Mixes Spiritually, History and Symbolism. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/built-kings-ancient-bayon-temple-cambodia-020246
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/built-kings-ancient-bayon-temple-cambodia-020246
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kurun ke-12 secara umum
dianggap sebagai zaman kemunduran Eropah. Namun di belahan dunia timur, lain
pula ceritanya. Di Asia Tenggara, Empayar Khmer menikmati Zaman Keemasan. Di
bawah pemerintahan raja-rajanya, empayar ini meluaskan sempadannya dan
mendominasi tanah besar Asia Tenggara.
Kekayaan dan
kegemilangan yang dikecapi oleh empayar ini membolehkan raja-raja Khmer membina
banyak kuil sebagai bukti kebudayaan dan keagamaan mereka. Daripada sekalian
kuil yang dibina, yang paling masyhur tidak lain dan tidak bukan adalah Angkor
Wat, monumen keagamaan terbesar di dunia. Walau bagaimanapun, terdapat kuil
atau candi-candi Khmer yang lain yang tidak kurang pentingnya, seperti Candi
Bayon.
![]() |
| Candi Bayon |
Candi Bayon dibina pada
lewat kurun ke-12 atau awal kurun ke-13 Masehi oleh Jayavarman VII, salah
seorang raja teragung Empayar Khmer. Candi Bayon berfungsi sebagai candi utama
bagi ibu kota baru Jayavarman, iaitu Angkor Thom. Berikutan pemusatan Buddhisme
dalam Empayar Khmer, maka Candi Bayon didirikan di tengah-tengah Angkor Thom.
Tidak seperti candi-candi Khmer yang lain, Candi Bayon memiliki keunikan yang
tersendiri apabila menjadi satu-satunya candi utama yang dibina sebagai candi
Mahayana Buddhisme dan diabadikan buat Buddha. Namun selepas kemangkatan
Jayavarman VII, ciri-ciri Candi Bayon diubah mengikut kepercayaan agama para
pemerintah berikutnya. Justeru, terdapat elemen-elemen Hindu dan
Buddha-Theravada yang bukanlah sebahagian daripada elemen asli candi berkenaan.
![]() |
| Wajah-wajah batu dari tiang atau menara di Candi Bayon, Kemboja |
Daripada sekalian ciri
asal Candi Bayon, lebih 200 patung wajah batu besar mungkin adalah ciri yang
paling menonjol. Patung-patung wajah yang dianggap sebagai ‘Mona Lisa bagi Asia
Tenggara’ ini hadir dalam empat kumpulan, yang setiap satunya bersifat serupa
(identikal) dan menunjuk ke arah mata angin.
Tempat di mana
patung-patung wajah ini berada, iaitu pada 50 buah menara ganjil di Candi Bayon
menyimbolkan keagungan pemilik wajah berkenaan (yang disifatkan berada di
mana-mana). Menurut sebahagian sejarahwan, patung-patung ini mewakili wajah
Avalokitesvara, iaitu bodhisattava kepada sifat luhur. Pendapat ini didokong
oleh ciri-ciri yang ada pada wajah itu sendiri, terutama pada mata yang
terpejam dan senyuman yang misteri. Ciri-ciri ini ditafsirkan sebagai tanda
pencapaian tingkat Pencerahan (dalam agama).
Namun, sebahagian
sejarahwan yang lain berpendapat bahawa wajah ini menggambarkan Jayavarman
sendiri, kerana ia mempunyai kemiripan dengan imej-imej lain raja itu. Terdapat
juga kemungkinan bahawa patung-patung wajah ini bermaksud untuk menggambarkan
Jayavarman dan Avalokitesvara secara bersama sekaligus membolehkan Jayavarman
mengambil sifat-sifat bodhisattva.
![]() |
| Sejarahwan berpendapat bahawa Raja Jayavarman VII mempunyai kemiripan dengan wajah-wajah di Candi Bayon |
Antara yang turut
menarik perhatian adalah relif-relif yang terdapat pada dinding-dinding di
sekitar candi. Pada dinding sebelah luar terdapat relif-relif berkenaan sejarah
Khmer dan kehidupan sehari-hari. Antaranya menggambarkan keadaan raja-raja
Khmer yang sedang berperang dengan jiran mereka, Cham.
Relif-relif ini
berkemungkinan memerihalkan tentang kekalahan Khmer kepada Cham, dan penaklukan
semula oleh Jayavarman ke atas bekas wilayah-wilayah Khmer. Walaupun kebanyakan
relif pada dinding di sebelah luar ini banyak menggambarkan tentang peperangan,
terdapat juga relif yang memerihalkan kehidupan domestik dan masyarakat awam
dalam Empayar Khmer.
Relif-relif pada galeri
atau dinding di sebelah dalam pula menggambarkan dewa-dewa Hindu. Antaranya
seperti Brahma, Vishnu dan Shiva serta beberapa gambaran tentang mitologi Hindu
seperti mitos ‘Menggodak Lautan Susu’. Namun, relif-relif ini tidak dihasilkan
oleh Jayavarman VII. Sebaliknya oleh penggantinya iaitu Jayavarman VIII. Secara
keseluruhan, terdapat lebih 11 000 figura berukir pada dinding-dinding di candi
ini yang jika dibuat ukuran, panjangnya mencecah 1.2km (0.7 batu).
Menurut kosmologi
Hindu, Lautan Susu adalah elemen kelima dari tujuh lautan yang mengelilingi
ruang (alam). Atas perintah Vishnu, para deva (dewa) dan asura (syaitan) saling
bekerjasama selama ribuan tahun menggodak lautan ini (dengan menarik Raja Ular)
sehingga mengeluarkan Amrita, air mauhul hayat.
Sebaik sahaja Amrita
dan beberapa khazanah lain diperolehi, para dewa dan asura ini mula saling
bergaduh kerana berebutkannya. Namun, Vishnu dalam bentuk Mohini berupaya
memperdaya asura supaya menyerahkan Amrita, yang kemudiannya diserahkan pula
kepada para deva. Seorang asura yang bernama Rahu menyamar diri sebagai deva
untuk meminum Amrita. Namun, Surya (dewa matahari) dan Chandra (dewa bulan)
melakokan perkara tersebut kepada Vishnu. Vishnu lantas memenggal kepala Rahul
ketika beliau baru sahaja menelan Amrita, justeru hanya kepalanya sahaja yang
kekal abadi.
| Mitos ‘Menggodak Lautan Susu’: Avatar Kurma bagi Vishnu, di bawahnya Gunung Mandara dengan Vasuki melilitnya, 1870 |
Pada hari ini, Candi
Bayon merupakan sebahagian daripada Taman Arkeologi Angkor, yang telah pun
disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Bersama dengan candi-candi
lain di dalam taman arkeologi ini, seperti Angkor Wat, Preah Khan dan Ta Prohm,
Candi Bayon menjadi legasi bagi sebuah tamadun yang gemilang dan keagamaannya,
politiknya, serta sejarah budayanya diabadikan pada monumen ini.
![]() |
| Ukiran relif dari galeri timur menunjukkan pasukan tentera Khmer sedang berangkat |
SUMBER
- Tourism of Cambodia. 2014. Prasat Bayon.
- UNESCO. 2014. Angkor.
- Oriental Architecture. 2014. Bayon Temple, Angkor, Cambodia.
- Rough Guides. 2014. Angkor Thom and the Bayon.
- Sacred Destinations. 2014. Bayon Temple, Siem Reap.
- Visit Mekong. 2014. Bayon & Ta Prohm Temples.
- Get link
- X
- Other Apps




