- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Alicia McDermott. (6 Ogos 2015). Hindu Temples and a Fallen Kingdom in Vietnam:
The My Son Sanctuary. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/hindu-temples-and-fallen-kingdom-viet-nam-my-son-sanctuary-003551
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/hindu-temples-and-fallen-kingdom-viet-nam-my-son-sanctuary-003551
Penterjemah:
Amir Zayyanid
My Son adalah sebuah
candi Hindu yang unik, terletak di tengah-tengah Vietnam, di ibu kota Kerajaan
Champa. Tapak yang telah digunakan sejak kurun ke-4 hingga kurun ke-13 Masehi
ini pernah mengandungi lebih 70 buah struktur batu. Kebanyakannya diabadikan
buat dewa Shiva, Krishna dan Vishnu. Pada hari ini, hanya sekitar 20 buah candi
sahaja yang tinggal berikutan pengeboman ke atas tapak berkenaan. Walaupun
Kerajaan Champa telah lama tumbang, budaya Cham masih terus hidup sehingga ke
hari ini.
SENI BINA MY SON –
PERINCIAN DAN SIMBOLISME
My Son terletak di
tengah-tengah wilayah Quang Nam, di hutan tebal yang dikelilingi oleh
gunung-ganang. Lokasi candi ini hampir dengan Sungai Thu Bon yang mengalir
keluar ke Laut China Selatan. Justeru, kedudukan My Son sememangnya strategik.
Candi-candi yang ada di
tapak ini terbahagi kepada lima seksyen, merangkumi keluasan lebih 142 hektar.
Kesemua bangunannya diperbuat daripada bata bakar dengan tiang-tiang batu dan
relif-relif batu pasir yang menggambarkan mitologi Hindu. Seni bina Candi My
Son mengambil sumber daripada India.
Para penyelidik
menyatakan bahawa menara pusat, atau disebut sebagai kalan, membawa
simbol Gunung Meru (pusat alam). Tapak candi yang berbentuk segi empat, atau
disebut sebagai bhurloka adalah gambaran bagi dunia manusia. Menara
utamanya, iaitu bhuvakola dibina tinggi daripada batu-bata dan
dilengkapi dengan tiang-tiang dan pintu di bahagian timur.
![]() |
| Candi My Son, Quang Nam, Vietnam |
Bahagian dalam struktur
ini berbentuk rata. Terdapat banyak ceruk kecil untuk menempatkan lampu. Shivalingam,
yang mewakili dunia ghaib, terletak di tengah-tengah ruang dalam tersebut.
Atap, yang disebut sebagai suarloka pada asalnya dilitupi dengan emas
atau daun perak dan dipisahkan dari menara-menara oleh ukiran berhias.
Seni bina yang begitu
teliti dan penuh simbolik yang dihadirkan pada Candi My Son membuktikan bahawa
ia merupakan tapak yang penting bagi masyarakat Cham. Candi-candi ini juga
merupakan bukti kepada kemajuan masyarakat Cham di samping memberikan kefahaman
tentang politik dan agama mereka.
TAMADUN DI SEBALIK MY
SON – KERAJAAN CHAMPA DAN CHAM MODEN
Kerajaan Champa
ditubuhkan pada tahun 192M, ketika Dinasti Han di China sedang mengalami
perpecahan. Champa menguasai wilayah yang kini membentuk bahagian selatan dan
tengah Vietnam. Pemerintahannya berlangsung dari tahun 192 hingga 1697 Masehi.
Kerajaan Champa terkenal sebagai pahlawan yang gagah dan penguasaannya di
lokasi-lokasi strategik seperti My Son merupakan faktor utama tercetusnya
konflik di antara Kerajaan Champa dengan China, Monggol, Khmer dan Vietnam.
![]() |
| Pertempuran laut melibatkan pahlawan-pahlawan Champa di atas perahu dan tentera-tentera Khmer yang terkorban di dalam air, Bayon, Angkor, Kemboja |
Bangsa Cham bukan
sekadar pahlawan gagah. Mereka juga masyhur dengan kekayaan – emas, perak, batu
permata, rempah-ratu, kayu agar, haiwan-haiwan eksotik dan hamba sahaya. Mereka
menjalankan perdagangan dengan China, Taiwan, Indonesia, Jepun, Malaysia,
India, Timur Tengah dan Afrika Utara yang jauh. Sebahagian penyelidik malah
berpendapat bahawa dalam perlayaran keempat dan terakhirnya, Christopher
Columbus berusaha untuk menjejaki Kerajaan Champa demi mendapatkan sebahagian
daripada kekayaan ini.
Tidak dinafikan bahawa kesemua
aktiviti perdagangan ini memberikan impak pada budaya Cham. Sejarahwan meyakini
bahawa para pedagang India memperkenalkan Hinduism kepada Kerajaan Champa pada
tahun-tahun awal pemerintahannya. Seawal tahun 986M, dokumen-dokumen China pula
menunjukkan bukti kehadiran bangsa Cham yang beragama Islam. Tentunya,
kedua-dua agama ini digabungkan dengan pemujaan roh nenek-moyang, raja dan
dewa-dewa tempatan.
Peperangan yang
berterusan merupakan salah satu faktor kejatuhan Kerajaan Champa. Walaupun
kerajaannya sudah tumbang, kesenian bangsa Cham masih boleh ditemui terutama
pada prasasti dan patung yang terdapat di Candi My Son dan candi-candi lain di
Vietnam.
![]() |
| Dekorasi pada runtuhan My Son, Quang Nam, Vietnam |
Populasi Kerajaan
Champa yang dianggarkan berjumlah 400 000 – 1 juta orang mendiami kawasan
sempadan Kemboja-Vietnam. Pada hari ini, mereka bertutur dalam bahasa Cham atau
Kemboja. Mereka lazimnya hidup di kampung kecil yang populasinya hanya sekitar
200 hingga 300 orang. Selepas ketumbangan Kerajaan Champa, masyarakat Cham yang
membawa diri ke Kemboja kebanyakannya adalah penganut agama Islam (dipanggil
sebagai Balamon atau Utsul). Sementara kebayakan masyarakat Cham yang hidup di
Vietnam pula adalah beragama Hindu (dipanggil sebagai Bani).
Setelah diisytiharkan
sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1999, My Son pada akhirnya mula
diberikan perhatian yang selayaknya. Kerja-kerja pemeliharaan di My Son
dimulakan pada tahun 1975 setelah Vietnam disatukan. Perhatian di peringkat
kebangsaan dan antarbangsa mula diberikan kepada tapak bersejarah itu dan
runtuhannya boleh disaksikan pada hari ini atas usaha-usaha pemeliharaan
tersebut.
SUMBER
- Da Nang Museum of Cham Sculpture. 2015. My Son Gallery.
- Diario del viajero. 2011. Las ruinas de My Son en Vietnam.
- Encyclopedia Britannica. 2015. Champa: Ancient Kingdom, Indochina.
- Hinduism Today. 2014. Vietnam’s Champa Kingdom Marches On.
- Lonely Planet. 2015. Introducing My Son.
- National Geographic. 2014. The Cham: Descendents of Ancient Rulers of South China Sea Watch Maritime Dispute From Sidelines.
- UNESCO. 2015. My Son Sanctuary.
- Vietnamitas en Madrid. n.d. My son el santuario y ruinas de my son.
- Get link
- X
- Other Apps



