- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
M R Reese. (25 Mei 2018). Ching Shih – from Prostitute to Pirate Lord. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ching-shih-prostitute-pirate-lord-002582
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ching-shih-prostitute-pirate-lord-002582
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ching Shih (atau Zheng
Shi) adalah seorang pelacur China yang menjadi lanun wanita yang memimpin
Armada Panji Merah. Armada ini berkembang pesat di bawah kepimpinannya,
terutama berikutan penyimpanan harta rampasan yang semakin meningkat dan sistem
perdagangan yang tersusun. Setelah beberapa tempoh, Ching Shih mendapatkan
pengampunan yang ditawarkan oleh pentadbiran China, namun terlebih dahulu
berunding demi mengekalkan harta kekayaan yang diraihnya sepanjang bergelar
raja lanun.
Tidak banyak yang kita
ketahui tentang hari-hari awal Ching Shing. Beliau dilahirkan di wilayah
Guangdong, China pada tahun 1775 dan nama asalnya adalah Shil Ciang Gu. Beliau
bekerja sebagai seorang pelacur di rumah pelacuran terapung di Canton. Pada
tahun 1801, seorang lanun yang bernama Zheng Yi, pemimpin Armada Panji Merah
menyedari kejelitaan yang dimiliki oleh Ching Shih. Lantas, beliau berhajat
untuk memperisterinya. Terdapat pelbagai catatan yang menceritakan tentang
perkahwinan mereka.
Menurut satu catatan,
Zheng Yi mengutuskan sebuah pasukan penyerang dan mengarahkan agar mereka
menjarah rumah pelacuran itu. Beliau turut memerintahkan agar mereka membawakan
kepadanya Ching Shih, pelacur kegemaran beliau. Lanun-lanun itu melaksanakan
perintah tersebut, dan Zheng Yi dan Ching Shih pun berkahwin.
Dalam catatan lain,
diceritakan bahawa Zheng Yi sekadar mengajak Ching Shih agar berkahwin. Wanita
itu menerima lamaran tersebut dengan syarat, beliau diberikan sebahagian kuasa
dalam organisasi Armada Panji Merah dan meraih pembahagian yang sama rata dalam
harta rampasan.
Walaupun terdapat
kepelbagain versi tentan perkahwinan mereka, Ching Shih dan Zheng Yi memimpin
Armada Panji Merah secara bersama.
![]() |
Potret Ching Shih |
Dengan keduanya saling
berganding bahu, Armada Panji Merah berkembang pesat dari 200 buah kapal kepada
lebih 600 buah kapal dan seterusnya mencecah 1700-1800 buah kapal. Armada
mereka diberikan kod warna tertentu, dengan armada utama diberi kod Merah dan
saki-bakinya pula berkod Hitam, Putih, Biru, Kuning dan Hijau. Mereka turut
membentuk Pakatan Lanun Canton dengan seorang lanun lain yang bernama Wu
Shi’er. Zheng Yi meninggal dunia pada tahun 1807, hanya enam tahun selepas
mengahwini Ching Shih.
Menjelang kematiannya,
Armada Panji Merah terdiri daripada 50 000 – 70 000 orang lanun. Ching Shih
yang tidak mahu kembali hidup sebagai pelacur, mengambil peluang untuk menjadi
raja lanun. Beliau boleh sahaja mundur daripada organisasi berkenaan dan
membenarkan Chang Pao, orang kedua setelah Zheng Yi-, mengambil-alih
kepimpinan. Chang Pao sebelum ini turut diambil sebagai anak angkat oleh Zheng
Yi dan Ching Shih. Namun, Ching Shih dahagakan kuasa dan nama. Dengan sokongan
Chang Pao, Ching Shih menjadi ketua Armada Panji Merah.
![]() |
Lengkukan unik ‘kapal jong’ China. Armada lanun mengibarkan panji merah |
Ching Shih merupakan
seorang ketua lanun yang tegas. Beliau banyak menumpu pada bisnes dan strategi
ketenteraan. Beliau turut membentuk organisasi ala kerajaan, di mana armada
lanunnya digabungjalinkan dan dilindungi oleh undang-undang dan cukai. Mana-mana
harta rampasa yang diraih perlu terlebih dahulu diserahkan kepada kepimpinan
armada untuk didaftarkan, sebelum ia boleh diagihkan. Mana-mana kapal lanun
yang berjaya merampas sesebuah kapal bersama harta kekayaannya diberikan hak
untuk mengekalkan (memiliki) 20% dari nilai keseluruhannya, sambil baki 80%
yang lain dimasukkan ke dalam dana kolektif armada.
Ching Shih melaksanakan
peraturan yang sangat ketat berkenaan layanan terhadap tawanan, terutama
tawanan perempuan. Tawanan wanita yang dianggap berupa-paras hodoh akan
dibebaskan tanpa diapa-apakan. Mana-mana lanun yang berhajat untuk mengahwini
tawanan wanita yang jelita dibenarkan berbuat demikian, namun diperintahkan
supaya berlaku setia dan menjaga kebajikannya. Berlaku curang atau merogol
merupakan satu jenayah di mana pelakunya akan dijatuhi hukuman bunuh.
Hukuman keras merupakan
satu kebiasaan bagi lanun-lanun Armada Panji Hitam yang tidak mematuhi kod
perndangan. Para pembelot akan diburu habis-habisan, dan telinga mereka akan
dipotong sebaik ditangkap. Hukuman-hukuman lain antaranya termasuklah cambuk
dan kerat anggota badan.
![]() |
Ching Shih, ratu lanun China |
Armada Ching Shih
banyak menguasai kampung di pesisiran pantai. Bahkan, mereka mengenakan cukai
ke atas kampung-kampung berkenaan. Kawasan yang dikuasai ini meliputi Macau
hingga ke Canton. Ching Shih dipanggil sebagai Penggegar Laut China Selatan”.
Beliau lazim menghukum sesiapa sahaja yang menentangnya dengan memaku kaki
mereka pada dek kapal dan memukul mereka.
Sebilangan sejarahwan
berpendapat bahawa Ching Shih turut bergiat sebagai penyeludup candu. Ada juga
yang menyatakan bahawa aktiviti beliau hanya terhad kepada penjarahan, rompakan
dan cukai yang dikenakan ke atas kampung-kampung yang dikuasai. Kapal-kapal
tentera laut China, Portugal dan British semuanya tewas di tangan armada Ching
Shih. Lantaran beliau tidak dapat ditewaskan, China menawarkan pengampunan
kepada kesemua lanun dengan harapan dapat menamatkan penguasaan Ching Shih ke
atas laut.
Rundingan awal di
antara Chang Pao dan pegawai kerajaan, Zhang Bai Long tidak berjalan lancar.
Kerajaan China menghendaki kesemua lanun itu tunduk melutut kepada mereka.
Persetujuan tentang harta rampasan juga tidak mencapai kata putus. Namun, Ching
Shih kemudiannya mengendalikan hal ini sendirian – berjalan memasuki pejabat
Zhang Bai Long tanpa senjata sambil ditemani oleh 17 orang wanita dan
kanak-kanak yang buta huruf. Perjanjian berjaya dimeterai antara mereka berdua.
Ching Shih dibenarkan
untuk menyimpan segala hartanya. Berkenaan soal melutus, Zhang Bai Long
bersetuju untuk menjadi saksi perkahwinan antara Ching Shih dan Chang Pao, di
mana dengan demikian, mereka berdua sememangnya perlu melutut di hadapan Zhang
Bai Long si saksi perkahwinan sebagai tanda penghargaan.
Peristiwa ini menandakan
tamatnya karier Ching Shih sebagai lanun. Menerusi perkahwinannya dengan Chang
Pao, beliau dikurniakan seorang anak. Selepas kematian Chang Pao, Ching Shih
pulang ke Canton dan membuka rumah perjudian. Beliau kekal menetap di Canton
sehingga meninggal dunia pada tahun 1844.
Kisah Chin Shih
sememangnya merupakan sebuah cerita klasik yang kaya dengan pelbagai unsur.
Menerusi sifatnya yang gagah dan berani, Ching Shih menjadi seorang lanun yang
berkuasa dan memimpin sebuah armada yang besar. Seiring peredaran masa,
kekayaannya semakin bertambah dan apabila pengampunan ditawarkan oleh kerajaan,
beliau sama sekali tidak melepaskan peluang. Menerusi perbincangan di meja
rundingan, Ching Shih berjaya pulang dengan membawa segala kekayaannya.
Penulis Sarah Brenman
dan kartunis Harry Harrison pernah bekerjasama dalam menghasilkan sebuah siri
kanak-kanak yang laris di pasaran, yang berjudul Chinese Calendar Tales.
Kisah-kisah ini menggunakan setiap simbol zodiak China sebagai dasar untuk
menceritakan elemen-elemen kebudayaan China yang tertentu. Penceritaan seputar
kisah hidup Ching Shih turut ditampilkan, dengan melibatkan seekor anjing laut
fiksyen yang bernama Desmon. Brennan memaklumkan kepada South China Morning
Post tentang faktor beliau memilih Ching Shih sebagai karakter utama:
“[…] suatu ketika saya
menulis beberapa buah artikel tentang figura-figura sejarah dan salah satunya
ialah Ching Shih. Semasa menulis tentang beliau, saya berasa, “Betapa beliau
ini seorang wanita yang mengagumkan”. Beliau menjadi lanun yang paling hebat di
dunia – Hanya tuhan sahaja tahu mengapa dunia barat hanya mengenali Blackbeard,
yang cuma memiliki satu perempat dari armada wanita ini – justeru saya
terfikir, “Baiklah, (kisah ini) tentang sebuah perahu nelayan, di sana terdapat
seekor anjing, dan wajib ada lanun di laut itu, dan lanun itu semestinya Ching
Shih’. Begitulah ilham saya untuk menggandingkan mereka berdua.”
SUMBER
- The Female Prostitue That Rose to Become One of the Most Powerful Pirates in History and Whose Armada Took on the Chinese, British and Portuguese Navies… and Won – Today I found out.
- Ching Shih (1775-1844) Princess of the Chinese Seas – Rejected Princesses.
- Zheng Shi, Pirate Lady of China – About Education.
- Get link
- X
- Other Apps