- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (28 Julai 2018). 80 Days of Cuitlahuac: The Unforgettable Impact of
a Late Aztec Emperor. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/cuitlahuac-0010456
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/cuitlahuac-0010456
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Cuitlahuac hanya
memerintah Empayar Aztec selama 80 hari. Namun, huey tlatoani ini
memainkan peranan yang penting dalam sejarah empayar tesebut. Pada hari ini,
namanya dikenang sebagai individu yang memimpin penentangan terhadap penjajah
Sepanyol.
Cuitlahuac merupakan huey
tlatoani (maharaja) ke-10 dan kedua terakhir bagi Empayar Aztec. Berikutan
kemangkatan abangnya, Moctezuma II pada lewat Jun 1520, Cuitlahuac ditabalkan
sebagai pemerintah baru Aztec.
![]() |
| Cuitlahuac |
KELUARGA DIRAJA AZTEC
Cuitlahuac dilahirkan
sekitar tahun 1476 Masehi dan merupakan putera ke-11 bekas maharaja Aztec.
Ayahandanya bernama Axayacatl, pemerintah keenam Empayar Aztec, manakala ibunya
yang tidak diketahui namanya, merupakan puteri kepada tlatoani kota
Iztapalapa yang namanya juga adalah Cuitlahuac. Malahan, salah seorang abang
Cuitlahuac, iaitu Moctezuma adalah pemerintah Aztec yang ke-9. Sebelum
ditabalkan sebagai huey tlatoani Empayar Aztce, Cuitlahuac berkhidmat
sebagai tlatoani kota Iztapalapa.
Berikutan ketibaan
Sepanyol di Tenochtitlan, Moctezuma bersama sekumpulan besar bangsawan, termasuklah
Cuitlahuac dijadikan sebagai tawanan. Pada Mei 1520, Hernan Cortes terpaksa
meninggalkan ibu kota Aztec itu untuk memerangi sebuah lagi pasukan conquistador
Sepanyol yang merupakan seterunya.
Untuk itu, beliau meninggalkan salah
seorang kaptennya, Pedro de Alvarado bagi menggalas tanggungjawab di
Tenochtitlan. Tatkala Cortes kembali, beliau mendapati kota tersebut berada
dalam keadaan huru-hara lantaran Alvarado menaikkan amarah masyarakat Aztec
dengan membunuh sejumlah bangsawan semasa kelangsungan sebuah festival
keagamaan.
![]() |
| Pertembugan di antara tentera Sepanyol dan Aztec sebagaimana yang digambarkan dalam ‘History of Tlaxcala’ |
CUITLAHUAC DIBEBASKAN
BAGI MEMERDEKAKAN AZTEC
Pihak Sepanyol
kemudiannya dinasihatkan oleh Moctezuma agar membebaskan Cuitlahuac bagi
menenteramkan masyarakat Aztec. Namun, hal ini hanya sekadar helah beliau
lantaran Cuitlahuac merupakan seorang pahlawan yang cekap. Justeru, Moctezuma
berhasrat untuk membebaskannya agar masyarakat Aztec memperoleh seorang
pemimpin yang berupaya memerangi Sepanyol.
Sememangnya, sebaik
sahaja dibebaskan, Cuitlahuac tidak membuang masa untuk menyusun gerakan
penentangan. Pada 30 Jun 1520, Cuitlahuac dan pasukan tentera Aztec pimpinannya
berjaya mengusir Sepanyol dari Tenochtitlan dan ramai tentera Cortes terkorban
dalam sebuah peristiwa yang dikenang pada hari ini sebagai La Noche Triste (Malam
Duka). Peristiwa ini merupakan kekalahan yang paling memalukan bagi tentera
Sepanyol. Cortes sendiri menanggung kecederaan semasa melarikan diri dari
Tenochtitlan.
![]() |
| La Noche Triste |
Menjangkakan bahawa
tentera Sepanyol akan kembali, maka Cuitlahuac melakukan persiapan seperlunya
demi berhadapan dengan mereka. Antara perkara yang dilakukan beliau adalah
menjalin dan mengekalkan hubungan persekutuan dengan kota-kota di sekitar
Tenochtitlan.
Selain itu, beliau juga perlu memastikan wilayah-wilayah naungan
Aztec kekal menumpahkan keetiaan terhadap Aztec dan tidak berpaling tadah ke
pihak Sepanyol. Tambahan lagi, para pemerintah di beberapa buah kota Aztec yang
merupakan boneka Sepanyol dibuang lalu digantikan dengan mereka yang setia
kepada Cuitlahuac.
PENGAKHIRAN MUKTAMAD
BUAT CUITLAHUAC DAN AZTEC
Apapun,
pengaturan-pengaturan yang dilakukan oleh Cuitlahuac masih belum mencukupi.
Antara lain, beliau gagal memujuk Tlaxcalan agar memutuskan persekutuan dengan
Sepanyol. Sebagai sekutu tempatan Sepanyol yang paling utama, Cortes sudah
tentu akan diberikan pukulan hebat andai Cuitlahuac berjaya memujuk Tlaxcalan
agar membubarkan persekutuan tersebut.
Tambahan lagi,
Cuitlahuac terpaksa membahagikan pasukan tenteranya kepada dua, kerana sejumlah
wilayah naungan Aztec mengambil kesempatan untuk memberontak. Dalam erti kata
lain, Cuitlahuac tidak berkesempatan untuk menyerang Sepanyol ketika mereka
berada dalam keadaan paling lemah, iaitu sejurus selepas pengunduran dari
Tenochtitlan.
![]() |
Pasukan Tlaxcalan yang diiringi oleh tentera Sepanyol dalam penerokaan-penerokaan di Mexico utara pasca-penaklukan. Memasuki Guadalajara, Mexico
Apapun, nasib paling
malang yang menimpa Aztec adalah kematian mengejut Cuitlahuac pada Oktober
1520, tidak lama sebelum Tenochtitlan dikepung oleh Sepanyol. Pemerintah Aztec
itu diserang penyakit cacar, penyakit yang dibawa oleh Sepanyol ke Dunia Baru.
Cuauhtemoc, anak
saudara kepada Cuitlahuac dan Moctezuma, ditabalkan sebagai huey tlatoani yang
baru. Di zaman pemerintahannya, Tenochtitlan tumbang ke tangan Sepanyol
sekaligus menamatkan hayat Empayar Aztec.
SUMBER
- Edsall, T. 2013. Conflict in the Early Americas: An Encyclopedia of the Spanish Empire’s Aztec, Incan, and Mayan Conquests. In: R.M. Seaman, ed. Cuitlahuac. Santa Barbara, Calif: ABC-CLIO. pp. 114-116.
- Van Tuerenhout, D.R. 2005. The Aztecs: New Perspectives. Santa Barbara, Calif: ABC-CLIO Inc.
- Flood, J. 2018. What does (my) name Cuitlahuac mean?
- Tenochtitlan Facts. 2018. Cuitlahuac.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2016. Cuitlahuac.
- Get link
- X
- Other Apps





