- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (18 Januari 2019). When Julius Caesar was Kidnapped by Pirates –
and Made Them Increase the Ransom! Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/julius-caesar-kidnapped-0011344
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/julius-caesar-kidnapped-0011344
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Perlanunan merupakan
sebuah kegiatan yang sejarahnya boleh dijejak kembali di zaman silam. Di laut
Mediterranean, lanun bukanlah ancaman yang besar selagimana kegiatannya dapat
dikawal terutama oleh armada laut yang kuat.
Namun menjelang lewat
kurun ke-2SM, aktiviti perlanunan semakin berleluasa, semakin berbahaya dan
mula menghuru-harakan Mediterranean, terutama di bahagian timurnya. Fenomena
ini berlanjutan sehingga kurun pertama Sebelum Masehi, iaitu sebelum ditamatkan
oleh Pompey.
Antara kisah yang
paling diingati tentang lanun-lanun ini (dikenali secara spesifik sebagai
lanun-lanun Cilicia) adalah detik penculikan Julius Caesar, bakal Diktator
Republik Rom.
KETIADAAN TENTERA LAUT
YANG DOMINAN DI MEDITERRANEAN
Menjelang kurun ke-2SM,
tiada pasukan tentera laut yang signifikan di Mediterranean. Carthage tumbang
di tangan Rom pada tahun 246SM, manakala Empayar Seleucid dan Kerajaan Ptolemy
pula mengalami kemunduran. Walaupun Rom merupakan kuasa dominan di
Mediterranean pada waktu itu, mereka tidak memiliki armada yang ampuh. Selain
itu, peperangan yang tercetus antara Rom dan Empayar Seleucid pada awal kurun
ke-2SM menimbulkan lebih banyak kehuru-haraan di Mediterranean timur.
![]() |
| Empayar Seleucid pada tahun 200SM, dengan Republik Rom di barat |
Ketiadaan kuasa laut di
Mediterranean bukanlah satu-satunya faktor yang menjadi pencetus kepada masalah
perlanunan di situ. Perkembangan pesat aktiviti perlanunan pada tempoh itu juga
disebabkan oleh bangsa Rom yang bergantung
pada mereka dalam mendapatkan bekalan hamba sahaya.
Lanun-lanun sering menyasarkan
kapal-kapal dagang yang berlayar perlahan, terutamanya kapal-kapal makanan yang
mengangkut gandum dari Mesir ke Itali. Apabila kapal-kapal tersebut diserang
dan dirampas, anak-anak kapalnya dibawa ke Pulau Delos, yang merupakan pusat
perdagangan hamba peringkat antarabangsa pada waktu itu. Hamba-hamba ini dijual
kepada golongan elit Rom dan lazimnya mereka dikerahkan untuk bekerja di sektor
perladangan di Itali.
LANUN-LANUN
BERPANGKALAN DI MEDITERRANEAN
Lanun-lanun di
Mediterranean pada asalnya berpangkalan di Crete (Mediterranean timur) dan
Kepulauan Balearic (Mediterranean barat). Kemudian, mereka menjadikan Cilicia
barat sebagai pusat operasi, justeru meraih nama ‘lanun-lanun Cilicia’.
Sebagaimana yang telah
disebutkan di atas, lanun-lanun ini lazimnya menangkap anak-anak kapal dan
menjual mereka sebagai hamba. Namun, tawanan-tawanan yang kaya tidak mengalami
nasib sedemikian. Sebaliknya, mereka akan ditahan dan nilai tebusan sebagai
pembebasan akan diminta.
![]() |
| Lanun-lanun mendominasi perairan Mediterranean kerana tiada pasukan tentera laut yang dominan |
JULIUS CAESAR DIJADIKAN
SEBAGAI TEBUSAN
Salah seorang tahanan
paling berharga yang pernah dipunyai oleh lanun-lanun Cilicia adalah Julias
Caesar. Pada tahun 755SM, bakal Diktator Rom yang ketika itu berusia 25 tahun
ditangkap oleh lanun-lanun Cilicia ketika sedang dalam perjalanan ke Rhodes
untuk mempelajari seni berpidato.
Lanun-lanun tersebut
menuntut nilai tebusan sebanyak 20 talent. Mendengar hal itu, Julius Caesar
hanya tertawa dan menawarkan supaya nilai tebusan itu ditingkatkan sehingga 50
talent.
Sepanjang berada dalam
tahanan selama 38 hari itu, Julius Caesar bersikap bersahaja. Ketika beliau
mahu tidur misalnya, Julius Caesar akan menyuruh mereka supaya berhenti berbual
dan memarahi mereka andai tidak menghargai puisi atau ucapan yang ditulisnya.
Dalam banyak situasi, Caesar bahkan pernah mengugut sambil tersenyum, bahawa
suatu hari nanti beliau akan menghukum gantung mereka semua. Lanun-lanun itu
membiarkan sahaja ugutan sebegitu berlalu.
![]() |
| Julius Caesar |
Kemudian, setelah wang
tebusan diterima, Caesar pun dibebaskan di Miletus. Lantas, Caesar langsung
sahaja memimpin beberapa buah kapal dan berangkat untuk memerangi lanun-lanun
tersebut. Sebaik sahaja lokasi mereka ditemukan, Julius Caesar segera menangkap
dan memenjarakan mereka di Pergamon. Beliau membenarkan Marcus Junius, gabenor
Asia, untuk menjatuhkan sendiri hukuman ke atas lanun-lanun itu berikutan
jenayah ini berada di bawah lingkungan pentadbirannya.
Namun, gabenor bersikap
teragak-agak sekaligus mendorong Caesar untuk menguruskan sendiri hal itu.
Beliau mengeluarkan kesemua lanun itu dari penjara dan menjatuhkan hukuman
salib ke atas mereka.
ROM MEMERANGI LANUN
Tidak lama selepas
berlakunya peristiwa penculikan Caesar, Rom menghantar sejumlah ekspedisi bagi
memerangi lanun. Misalnya, Publius Servillus Vatia dihantar bagi memerangi
lanun-lanun di Cilicia. Walaupun beliau berjaya menewaskan mereka, pasukannya
tidak berpeluang memberikan pukulan terakhir lantaran perang tercetus di antara
Rom dan Mithridates VI dari Pontus. Di samping itu, lanun-lanun Crete juga
ditangani oleh Quintus Caecillus dan pulau tersebut diserap masuk ke bawah
pemerintahan Rom pada tahun 67SM.
![]() |
| Pantai Crete |
BERAKHIRNYA KEGIATAN
PERLANUNAN CILICIA
Kegiatan lanun-lanun Cilicia
berakhir tidak lama selepas ketumbangan Crete. Lantaran lanun-lanun mengancam
bekalan makanan Rom, Pompey diberikan autoriti khusus untuk memerangi mereka. Disebabkan
lanun-lanun ini pernah ditewaskan di Vatia beberapa tahun yang lalu, Pompey
tidak berhadapan dengan masalah untuk menundukkan mereka.
Namun tidak seperti
Caesar, Pompey menyikapi lanun-lanun yang tewas ini dengan pendekatan yang
berbeza. Beliau memahami bahawa selepas kehilangan pangkalan di Cilicia,
lanun-lanun tersebut menjadi gelandangan dan tiada tempat untuk dituju. Maka,
Pomepy tidak menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka. Sebaliknya, beliau
menempatkan mereka di kawasan pedalaman agar mereka dapat berkhidmat kepada Rom
sebagai petani. Semenjak itu, lanun-lanun Cilicia tidak lagi menjadi masalah
buat Rom.
SUMBER
- Lendering, J. 2015. Caesar and the Pirates.
- Lendering, J. 2018. Cilician pirates.
- Plutarch. Parallel Lives: Julius Caesar [Perrin, B. (trans.) 1919. Plutarch’s Parallel Lives: Caesar.]
- Plutarch. Parallel Lives: Pompey [Perrin, B. (trans). 1917. Plutarch’s Parallel Lives: Pompey].
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. The Time Julius Caesar was Captured by Pirates.
- Get link
- X
- Other Apps




