DEWA-DEWA PENCIPTA DAN LEGENDA TUJUH MAKHLUK MENAKUTKAN DALAM LEGENDA GUARANI

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (22 April 2015). The Gods of Creation and Legendary Beasts of the Guarani. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-americas/gods-creation-and-legendary-beasts-guarani-002937

Penterjemah: Amir Zayyanid


Budaya masyarakat Guarani, yang secara umumnya meliputi Paraguay, Brazil, Argentina dan Bolivia pada hari ini masih kekal teguh seperti di zaman silam berkat tradisi-tradisi lisan yang menurunkan kisah-kisah mitos dan legenda mereka dari satu generasi ke satu generasi. Antaranya melibatkan kisah penciptaan masyarakat Guarani dan legenda tujuh saudara yang disumpah sehingga menjadi makhluk yang menakutkan.

Tidak banyak maklumat yang dimiliki tentang masyarakat Guarani pada zaman pra-kolonial. Mereka merupakan masyarakat nomad dan desentralisasi serta tidak mempunyai sebarang sistem tulisan. Lantaran itu, sejarah awal mereka benar-benar bersandarkan pada sumber lisan.

Tatkala orang-orang Eropah tiba di benua itu pada kurun ke-15, ramai masyarakat Guarani ditukarkan agama kepada Kristian sekaligus mengakibatkan sebahagian tradisi dan amalan keagamaan mereka hilang atau berkurangan. Walau bagaimanapun, terdapat banyak asas kepercayaan mereka yang masih kekal sehingga membolehkan kisah-kisah penciptaan masyarakat Guarani diceritakan semula sehingga ke hari ini.

Kanak-kanak Guarani berlatih memburu


MITOS PENCIPTAAN GUARANI

Tupa merupakan dewa terulung dalam mitos penciptaan Guarani. Menurut mitologi mereka, Tupa datang dari matahari, dan dengan bantuan dewi bulan yang dikenali sebagai Arasy, Tupa turun ke sebuah bukit yang terletak di Aregua, Paraguay. Di sana, beliau mencipta seluruh alam semesta ini, termasuklah manusia. Selain itu, beliau turut mencipta Tau si semangat jahat dan Angatupyry si semangat baik.

Manusia-manusia awal yang diciptakan oleh Tupa bernama Rupave dan Sypave. Mereka berdua melahirkan ramai anak, termasuklah Marangatu. Marangatu merupakan seorang pemimpin yang luhur peribadinya dan baik pula hatinya. Beliau kemudian dikurniakan seorang puteri jelita yang bernama Kerana.

Kejelitaan Kerana ini menarik perhatian Tau si semangat jahat. Tau kemudian mengubah bentuknya menjadi seorang lelaki tampan demi menggoda Kerana. Namun sebaik sahaja tiba di rumah Kerana, Tau mendapati Angatupyry, si semangat baik sedang menanti kehadirannya. Lantas, mereka berdua pun saling bergaduh selama tujuh hari tujuh malam dengan keadaan dimenangi oleh Tau. Tau seterusnya menangkap Kerana dan mereka berdua melahirkan tujuh orang putera.


LEGENDA TUJUH MAKHLUK MENAKUTKAN

Tindakan Tau ini menimbulkan kemurkaan dewi terulung, Arasy. Beliau lantas menjatuhkan sumpahan ke atas tujuh orang putera Tau, sehingga menukarkan mereka menjadi makhluk yang menakutkan.

Tau dan Kerana


TEJU JAGUA

Anak sulung Tau dan Kerana dikenali sebagai Teju Jagua, suatu makhluk yang berbentuk cicak dan berkepala anjing. Matanya dipercayai boleh mengeluarkan api. Walaupun Teju Jagua digeruni lantaran matanya itu, beliau hanya boleh bergerak secara perlahan dan pembawaannya pula bersifat tenang.

Teju Jagua dikenali sebagai semangat gua dan pelindung buah-buah. Hal ini kerana beliau melindungi harta-karun yang tersimpan di dalam gua dan memakan buah-buahan. Beliau lazimnya diperincikan sebagai makhluk yang bersinar dan kulitnya yang bersisik itu terang bergemerlapan lantaran lazim berguling di atas emas dan batu-batu berharga.

Gambaran Teju Jagua dari Muzium Mitologi Ramon Elias


MBOI TUI

Anak kedua Tau dan Kerana adalah Mboi Tui, makhluk yang tubuhnya berbentuk ular dan berkepala burung kakak tua. Lidangnya yang bercabang berwarna merah darah. Kulitnya bersisik dan kepalanya dipenuhi dengan bulu. DIpercayai bahawa Mboi Tupu boleh mengeluarkan bunyi keok yang boleh didengari dari jauh dan menimbulkan rasa takut bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Mboi Tui adalah raja merangkap pelindung lautan dan makhluk akuatik.

Gambaran Mboi Tui dari Muzium Mitologi Ramon Elias


MONAI

Makhluk ketiga dalam legenda masyarakat Guarani ini adalah Monai, si raja udara dan semangat padang luas. Sama seperti Mboi Tui, tubuh Monai berbentuk ular. Namun, kepalanya memiliki dua batang tanduk yang berfungsi seperti antenna. Antenna ini mempunyai kuasa hipnotik yang boleh memukau mangsanya, sekaligus membolehkannya memburu dengan mudah.

Monai disifatkan sebagai makhluk nakal yang gemar mencuri dan menyembunyikan barang curiannya itu di dalam gua. Lantaran itu, setiap kali kampung diserang atau ada harta-benda yang hilang, Monai akan dipersalahkan.

Gambaran Monai dari Muzium Mitologi Ramon Elias


JASY JATERE

Jasy Jatere (Yasy Yatere), yang mana namanya itu membawa maksud ‘cebisan kecil bulan’ dipandang sebagai salah satu dewa yang paling penting bagi masyarakat Guarani. Tidak seperti saudara-saudaranya yang mempunyai bentuk seperti raksasa, Jasy Jatere lebih mirip dengan manusia kerdil. Rambut perangnya mengurai panjang dan matanya berwarna biru. Jasy Jatere lazim memikul sebatang tongkat ajaib, yang memiliki kuasa untuk menidur atau mengkhayalkan manusia.

Beliau adalah dewa tidur, pelindung pokok yerba mate dan harta-harta tersembunyi. Menurut satu versi penceritaan, Jasy Jatere lazim menggeledah seluruh kampung mencari kanak-kanak yang tidak tidur siang. Tatkala menemukan kanak-kanak yang tidak tidur, beliau akan mengumpan mereka masuk ke dalam hutan dengan bunyi wisel. Di sana, Jasy Jatere akan mengurung mereka atau menjadikan mereka sebagai santapan buat saudaranya, Ao Ao.

Kisah Jasy Jatere sehingga ke hari ini terus diceritakan kepada kanak-kanak Guarani bagi menakut-nakutkan mereka supaya tidur siang.

Gambaran Jasy Jatere dari Muzium Mitologi Ramon Elias


KURUPI

Kurupi adalah semangat kesuburan dan syahwat. Beliau digambarkan sebagai makhluk yang memiliki zakar yang begitu panjang hinggakan ia boleh melilit pinggangnya.
Zakar milik Kurupi ini disifatkan mampu mencengkam. Dalam erti kata lain, ia boleh mencapai atau memegang sesuatu. Ia juga memiliki kuasa untuk memanjang dan keluar dari pintu atau tingkap lalu memasuki rumah wanita-wanita yang sedang tidur, lalu mengakibatkan kehamilan yang tidak terjangka. Kurupi lazim dijadikan alasan oleh wanita-wanita yang berzina bagi menghindari kemarahan suami mereka. Anak-anak yang berbapakan Kurupi dipercayai akan lahir dalam saiz yang kecil, berwajah buruk dan berbulu seperti bapanya.

Kurupi dengan zakarnya yang melilit pinggangnya


AO AO

Ao Ao si semangat bukit dan gunung adalah makhluk yang rupanya mirip kambing. Beliau memiliki taring yang besar. Ao Ao disifatkan sebagai makhluk yang gemar memakan manusia. Nama Ao Ao diambil bersempena bunyi lolongan yang dihasilkannya. Beliau tidak pernah berhenti mencari mangsa. Satu-satunya cara untuk melepaskan diri dari buruan Ao Ao adalah dengan memanjat pokok sawit yang dipercayai memiliki kuasa untuk menangkis serangan makhluk tersebut.

Gambaran Ao Ao dari Muzium Mitologi Ramon Elias


LUISON

Putera terakhir dari tujuh orang putera Tau dan Kerana adalah Luison (Lobizon). Luison merupakan makhluk yang mirip dengan serigala-jadian. Beliau sering bermundar-mandir di kawasan perkuburan dan memakan daging reput. Luison dianggap sebagai raja alam kematian. Malah, masyarakat Guarani meyakini bahawa sentuhan kecil daripada Luison merupakan petanda bahawa seseorang itu akan disapa ajal. Menurut kepercayaan mereka, anak yang dilahirkan sebagai anak ketujuh memiliki nasib yang malang kerana memikul sumpahan serigala jadian ini.

Gambaran Luizon dari Muzium Mitologi Ramon Elias


Pada hari ini, budaya dan tradisi masyarakat Guarani mengalami ancaman lantaran populasi mereka berkurangan secara drastik dan tanah air mereka pula dirampas. Apapun, masyarakat Guarani masih memelihara tradisi dan sejarah mitologi mereka menerusi kaedah lisan.


SUMBER