- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (27 April 2019). The Sumerian Seven: The Top-Ranking Gods in the
Sumerian Pantheon. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/human-origins-religions/sumerian-seven-top-ranking-gods-sumerian-pantheon-007787
https://www.ancient-origins.net/human-origins-religions/sumerian-seven-top-ranking-gods-sumerian-pantheon-007787
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Agama yang dianuti oleh
masyarakat Sumeria bersifat politeisme dan mereka memuja sejumlah dewa.
Dewa-dewa ini pula bersifat antropomorfik (diserapkan bentuk dan sifat manusia)
dan mewakili kuasa-kuasa alam. Sebahagian dewa-dewa ini pula hadir dalam sistem
kepercayaan bangsa-bangsa Mesopotamia yang lain, dengan nama yang berbeza.
Diperkirakan bahawa
dewa-dewa yang ada dalam pantheon Sumeria berjumlah sehingga ratusan atau bahkan
ribuan banyaknya. Apapun, sebilangan dewa-dewi ini tampil lebih signifikan
dalam agama Sumer sekaligus boleh dianggap sebagai dewa-dewi utama dalam
pantheon mereka.
![]() |
| Pantheon Sumeria |
SUMER – TITIK LAHIRNYA
SEBUAH TAMADUN
Bangsa Sumeria adalah
bangsa pertama yang menetap di Mesopotamia lebih 7000 tahun lalu. Bertempat di
bahagian paling selatan Mesopotamia di antara Sungai Tigris dan Sungai Furat
(atau Iraq moden), Sumer sering dianggap sebagai titik lahirnya sebuah tamadun
manusia.
Menjelang millennium ke-4SM, tamadun ini mencipta sebuah sistem
tulisan yang maju, membangunkan hasil-hasil seni serta seni bina yang
mengagumkan, serta memajukan ilmu astronomi dan matematik. Bangsa Akkadia
membangun menyusuli bangsa Sumeria, mengadaptasi budaya mereka lalu
menghasilkan sebuah bahasa baru yang tersendiri sebelum kemudiannya menubuhkan
empayar pertama di dunia.
Bangsa Sumeria
merupakan antara bangsa pertama yang membangunkan banyak penanda aras yang
digunakan untuk mendefinisikan sesebuah ‘tamadun’. Mereka juga diberikan kredit
atas penghasilan kod undang-undang, teknologi pembajakan, pembinaan kapal layar
dan penciptaan kalendar lunar. Mereka juga membangunkan satu sistem angka yang
berdasarkan pada angka 60 yang masih digunakan untuk mengukur saat dan minit.
Namun, legasi mereka paling masyhur adalah penciptaan sistem tulisan.
Bangsa Sumeria mencipta
salah satu sistem tulisan terawal yang dikenali sebagai kuneiform.
Tablet-tablet tanah liat dikeringkan di bawah matahari untuk memelihara teks
yang dihasilkan dalam bentuk tulisan kuneiform. Ratusan ribu tablet terselamat
sehingga kini. Ia memberikan gambaran kepada kita tentang budaya, ekonomi,
perundangan, kesusasteraan, politik dan agama masyarakat Sumeria.
Sumer, yang terletak di
sebuah kawasan yang dipanggil oleh masyarakat Yunani purba sebagai Mesopotamia
(bermaksud ‘tanah di antara dua sungai’), merupakan himpunan negara-negara kota
yang juga merupakan negara-negara mereka. Sebahagian daripadanya berdiri megah
selama 3000 tahun. Bermula sekitar tahun 3500SM, bangsa Sumeria mula
membangunkan kota-kota bertembok, antaranya termasuklah Ur, ibu kota tamadun
tersebut.
Setiap kota ini
mengandungi bangunan-bangunan awam, pasar, kedai, kilang, dan sistem perairan
yang maju. Ia turut dikelilingi kampung-kampung dan tanah pertanian. Kuasa
politik pada asalnya diberikan kepada rakyat. Namun sebaik sahaja perseteruan
di antara pelbagai negara kota semakin meruncing, masing-masing menerapkan
kefungsian institusi beraja.
Setiap negara kota
dipercayai berada di bawah perintah dan perlindungan satu dewa atau dewi
tempatan. Kuil-kuil yang dibina untuk mereka mendominasi bangunan-bangunan yang
ada di dalam kota. Bangsa Sumeria meyakini bahawa dewa-dewa mereka itu
bertanggungjawab ke atas segala sesuatu yang berkaitan dengan alam dan keamanan
sosial.
![]() |
| Ilustrasi yang menggambarkan Mesopotamia |
AN – KETUA DEWA PERTAMA
SUMERIA
Dewa yang paling
penting dalam pantheon Sumeria adalah An (juga dikenali sebagai Anu bagi bangsa
Akkadia). An dipercayai sebagai dewa langit. Pada mulanya, ia dianggap sebagai
Raja Kayangan atau dewata terulung dalam pantheon Sumeria. Kemudian, kedudukan
An sebagai ketua dewa dikongsi atau diambil-alih oleh dewa-dewa lain.
Apapun, signifikasi
yang dimilikinya dikekalkan dan dihormati secara berterusan. Hal ini dapat
dilihat menerusi kepercayaan bahawa apabila dewa-dewa lain diangkat sebagai
ketua dewa, mereka diyakini akan menerima anutu (boleh diterjemahkan
sebagai ‘kuasa An’), justeru menunjukkan status An yang ulung masih dikekalkan
walaupun kedudukannya sebagai dewa terulung telah diambil oleh dewa lain.
![]() |
| Patung penyembah dari kaum lelaki Sumeria, 2750-2600SM |
ENLIL – RAJA DEWA KEDUA
SUMERIA
Satu lagi dewa utama
dalam pantheon Sumeria adalah Enlil, dewa angin dan ribut. Enlil merupakan anak
kepada An dan Ki. Enlil mengambil-alih peranan bapanya sebagai ketua dewa.
Dalam beberapa mitos bangsa Sumeria, Enlil digambarkan sebagai dewa pencipta
yang baik. Isteri utamanya adalah Ninlil, dewi angin selatan. Putera mereka
berdua pula adalah Ninurta.
Dalam satu-satunya
kisah penciptaan Sumeria yang sampai kepada kita, Enlil diceritakan telah
memisahkan ibu bapanya sekaligus menandakan bermulanya penciptaan.
ENKI – PENCIPTA MANSUIA
DALAM KEPERCAYAAN SUMERIA
Enki adalah satu lagi
dewa yang penting dalam pantheon Sumeria. Bagi bangsa Akkadia dan Babylonia,
Enki dikenali sebagai Ea. Bangsa Sumeria mengaitkan Enki dengan kebijaksanaan,
magis dan mantera. Enki juga merupakan salah satu dari tiga dewa paling
berkuasa dalam pantheon Sumeria, di mana dua yang lain adalah An dan Enlil.
Dipercayai bahawa Enki
mencipta manusia. Menurut mitologi Sumeria, Enki juga adalah pelindung manusia.
Diceritakan bahawa Enki adalah dewa yang menyampaikan khabar amaran kepada
Ziusudra tentang banjir yang ingin ditimpakan oleh para dewa ke atas manusia.
Katanya, para dewa mahu menghapuskan seluruh ras manusia. Mungkin disebabkan
peranannya sebagai dewa pelindung manusia, Enki agak masyhur dan menjadi dewa
yang disayangi dalam kalangan masyarakat Sumeria.
![]() |
| Imej dewa Enki. Penghasilan semula di zaman moden terhadap perincian pada mohor Adda (sekitar 2300SM) |
INANNA – DEWA YANG
PALING DISAYANGI OLEH BANGSA SUMERIA
Berdasarkan teks-teks
sastera yang ditinggalkan oleh bangsa Sumeria, boleh dikatakan bahawa dewata
yang paling masyhur dalam pantheon Sumeria adalah Inanna (dikenali sebagai
Ishtar dalam kalangan bangsa Assyria dan Babylonia).
Dalam kebanyakan kisah,
mitos dan gurindam masyarakat Sumeria, Inanna memainkan peranan yang cukup
penting. Antaranya termasuklah The Descent of Inanna (Turunnya Inanna), The
Huluppu Tree (Pokok Huluppu), dan Inanna and the God of Wisdom (Inanna
dan Dewa Kebijaksanaan). Daripada teks-teks inilah sifat dan perincian dewi ini
dapat kita kenali. Inanna dipuja sebagai dewi syahwat, keghairahan, cinta dan
perang.
![]() |
| Relif ‘Ratu Malam’. Figura yang digambarkan ini mungkin adalah dewi Ishtar (Inanna bagi Sumeria), dewi cinta dan perang Mesopotamia |
TUJUH DEWA UTAMA SUMERIA
Selain An, Enlil, Enki
dan Inanna, terdapat tiga dewa lain yang melengkapkan senarai tujuh dewa-dewi
yang paling penting dalam pantheon Sumeria.
Antaranya adalah Utu,
dewa matahari dan dewa keadilan. Pada awal-awal sejarah bangsa Sumeria, Dewa
Utu dianggap sebagai saudara kembar Inanna.
Dewa lain lai adalah
Ninhursag, yang dipuja sebagai Dewi Ibu. Justeru, beliau dikaitkan dengan
kesuburan, alam dan kehidupan di bumi. Selain itu, Ninhursag juga merupakan
pelindung wanita dan kanak-kanak, terutama wanita mengandung dan bayi.
Dewa terakhir dari
tujuh dewa penting Sumeria adalah Nanna, dewa bulan dan kebijaksanaan. Dewa
Nanna kadangkala dianggap sebagai bapa kepada Inanna. Signifikasi yang dipegang
Nanna terletak pada peranan yang beliau mainkan semasa fasa penciptaan.
![]() |
| Raksasa huru-hara dan dewa matahari Sumeria |
SUMBER
- Faculty. GVSU. 2017. Sumerian Myth.
- History-World. 2017. Sumerian Gods and Goddesses.
- Oracc Museum Upenn. 2011. Ancient Mesopotamian Gods and Goddesses.
- Spar, I. 2009. Mesopotamian Deities.
- Mesopotamia. 2017. Gods, Goddesses, Demons & Monsters.
- Get link
- X
- Other Apps






