EMPAYAR PALA – PEMBINA PUSAT PENDIDIKAN BUDDHISME DI BENGAL

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (19 Jun 2018). The Pala Empire: An Indian Dynasty Ruled by Protectors of Buddhism. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/pala-empire-indian-dynasty-buddhism-0010229

Penterjemah: Amir Zayyanid


Empayar Pala merupakan sebuah empayar yang berpusat di Bengal dan Bihar, sekitar bahagian utara dan timur laut India. Empayar ini ditubuhkan pada kurun ke-8M dan bertahan selama hampir 400 tahun. Salah satu ciri yang paling signifikan bagi Empayar Pala adalah para pemerintahnya merupakan penganut Buddhisme dan ramai dari kalangan mereka memberikan sumbangan yang penting terhadap kepercayaan berkenaan.

Sebelum Empayar Pala ditubuhkan, kawasan Bengal mengalami suatu era huru-hara susulan kematian Shashanka, pemerintah Kerajaan Gauda. Di bawah pemerintahan Shashanka inilah daerah Bengal dapat mengecapi kesatuan dan menjadi sebuah entitik politik yang tersendiri. Pentadbiran pusat yang lemah mengakibatkan kekacauan dalaman dan membangkitkan risiko serangan daripada luar.

Shankha-shankha yang berukir (cengkerang konc) dari era Pala


SEJARAH DI SEBALIK PENGAMBILAN NAMA PALA

Seabad selepas bermulanya huru-hara ini, penduduk Bengal tidak lagi dapat bertahan. Justeru, para pembesar mereka bermesyuarat dan melantik Gopala sebagai pemerintah. Peristiwa ini dianggap penting dari segi sejarah politik, lantaran Gopala dilantik sebagai pemerintah secara demokrasi.

Perkataan pala dipercayai membawa maksud ‘pelindung’ dalam bahasa Sanskrit. Nama Empayar Pala diambil lantaran kesemua pemerintahnya, bermula dari Gopala, mempunyai imbuhan – pala pada nama mereka. Pemerintah pertama Empayar Pala, iaitu Gopala, dipercayai sebagai pembesar tempatan dan keluarganya meraih kuasa semenjak era huru-hara lagi. Nama bapanya dicatatkan sebagai Vapyata manakala datuknya pula adalah Dayitavishnu.

Walaupun Dayitavishnu disifatkan sebagai seorang yang berpendidikan, sejarah tidak mengenali beliau sebagai komander tentera yang pernah meraih sebarang pencapaian signifikan. Akan tetapi anaknya, Vapyata disebukan sebagai seorang pembesar yang berkuasa lagi berpengaruh yang berjaya menewaskan musuh-musuhnya. Mungkin disebabkan pencapaian dan reputasi Vapyata inilah makanya Gopala dipilih sebagai pemerintah.

Malangnya, tidak banyak maklumat yang kita ketahui tentang Gopala. Namun apa yang pasti, beliau berjaya mengembalikan keamanan buat Bengal. Gopala juga direkodkan sebagai seorang penganut Buddhisme yang taat. Antara jasanya adalah pembinaan biara Odantapura di Bihar. Tahun kemangkatan Gopala, iaitu sekitar 770M, ditandai dengan keamanan dan kegemilangan bagi Empayar Pala. Kedudukan Gopala diwarisi oleh puteranya, Dharmapala yang melanjutkan dasar pemerintahan ayahandanya.

Buddha, Mahayana, Dinasti Pala, kurun ke-11


BANGKIT DAN JATUHNYA EMPAYAR PALA

Pada sekitar waktu itu, terdapat dua buah kuasa lain yang bersaing dengan Empayar Pala. Kuasa-kuasa yang dimaksudkan ini adalah Empayar Pratihara di barat laut India dan Empayar Rashtrakuta di Deccan. Dharmapala tidak berupaya menewaskan salah satu dari dua kuasa ini. Pun begitu, beliau berjaya meraih manfaat yang paling besar dalam konflik yang berlangsung itu.

Empayar Pala pernah ditewaskan oleh Empayar Pratihara. Namun Pratihara kemudiannya dikalahkan oleh Empayar Rashtrakuta yang juga pernah menewaskan Empayar Pala dalam sebuah pertempuran, sebelum kemudiannya mereka pulang ke Deccan. Sebaik sahaja tentera-tentera Rashtrakuta pulang, Dharmapala berupaya mengubah Empayar Pala menjadi kuasa dominan di utara. Malah, Dharmapala turut meletakkan calon pilihannya sebagai pemegang takhta di kota Kannauj, kota yang berfungsi sebagai ibu kota Maharaja India Utara, Harsha.

Shiva dan Parvati, Dinasti Gurjara-Pratihara di Kannauj, Uttar Pradesh, kurun ke-9 hingga awal kurun ke-10


Takhta Dharmapala diwarisi oleh puteranya, Devapala. Empayar Pala terus mengecapi kegemilangan di zaman pemerintahannya. Namun selepas kemangkatan Devapala, Empayar Pala mula mengalami kemunduran pertamanya. Situasi ini berlanjutan sehingga era pemerintahan Mahipala I, iaitu sekitar lewat kurun ke-10M. Beliau berjaya mengembalikan kegemilangan empayar yang telah hilang.

Apapun, para pengganti Mahipala tidak secekap beliau dan empayar sekali lagi mengalami kemunduran. Pemerintah penting Empayar Pala yang terakhir adalah Ramapala, yang memerintah pada kurun ke-11 dan 12 Masehi. Sama seperti Mahipala, beliau berjaya mengembalikan kegemilangan buat empayarnya. Namun tidak lama selepas kemangkatannya, kekuasaan Empayar Pala diambil-alih oleh Empayar Sena.

Patung dari era Pala atau Sena


LEGASI EMPAYAR PALA

Legasi Empayar Pala yang paling utama adalah sumbangannya terhadap Buddhisme. Berkat naungan para pemerintah Pala, pusat-pusat pendidikan Buddhisme yang penting seperti Odantapura, Vikramashila dan Somapura Mahavihara dapat dibangunkan.

Di samping itu, bidang kesenian dan kebudayaan turut mengecapi kegemilangan, sebagaimana yang dapat dibuktikan menerusi kewujudan patung-patun batu yang terselamat sehingga ke hari ini. Malah, disebabkan oleh para mubaligh Buddhisme yang diutus oleh para pemerintah Empayar Pala inilah makanya penyebaran Buddhisme di Tibet dapat berlaku buat kali kedua, sekaligus membolehkan ajaran tersebut bertapak di rantau berkenaan.

Runtuhan Vikramashila Mahavihara


SUMBER