- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (27 Jun 2018). The Vijayanagara Empire: Friendly and Feuding
Brothers Who Ruled the South of India. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/vijayanagara-empire-feuding-brothers-ruled-india-0010275
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/vijayanagara-empire-feuding-brothers-ruled-india-0010275
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada suatu tempoh,
berlaku perpecahan di antara pemerintahan politik di India utara dan selatan.
Di kala bahagian utara India diperintah oleh Kesultanan Islam Delhi, wilayah
selatannya pula kekal dengan tradisi lama dan diperintah oleh Empayar
Vijayanagara.
Empayar Vijayanagara
adalah sebuah empayar zaman pertengahan India yang berpusat di Dataran Deccan,
India selatan. Empayar ini ditubuhkan pada kurun ke-14 dan berkuasa sehingga
kurun ke-17 Masehi. Nama empayar ini diambil sempena nama ibu kotanya,
Vijayanagara (berlokasi di Hampi dan kini merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO)
yang membawa maksud ‘Kota Kemenangan’ dalam Bahasa Sanskrit.
DUA BERADIK PENGASAS
EMPAYAR
Empayar ini diasaskan
oleh dua orang beradik, Harihara Raya I dan Bukka Raya I. Ayahanda kedua
beradik ini bernama Bhavana Sangama. Memandangkan mereka berdua merupakan
pemerintah terawal Empayar Vijayanagara, dinasti mereka dikenali sebagai
Dinasti Sangama.
Pada 1330an, Kesultanan
Islam Delhi berada pada kemuncak perluasan kuasanya berikutan kempn demi kempen
ketenteraan yang digerakkan oleh Muhammad bin Tughluq. Walaupun kebanyakan
wilayah di sub-benua India berjaya ditakluk oleh kesultanan tersebut, pada
hakikatnya tugas mentadbir kawasan tersebut jauh lebih sukar.
Di selatan, Harihara
Raya I dan Bukka Raya I mengambil peluang untuk mengisytiharkan kemerdekaan
dari penguasa Muslim mereka di Delhi. Hal ini kerana mereka dapat menghidu
bahawa Kesultanan Islam Delhi sedang mengalami keruduman terutama dari sudut
sumber. Gerakan mereka ini diinspirasikan oleh seorang pendeta Hindu yang
bernama Vidyaranya. Vidyaranya bertanggungjawab menggesa mereka berdua agar
memerangi masyarakat Muslim di India selatan.
![]() |
| Simbol diraja Empayar Vijayanagara; babi hutan, matahari, bulan dan pisau pendek |
Justeru pada
dekad-dekad berikutnya, para pemerintah Empayar Vijayanagara pun melaksanakan
polisi perluasan kuasa menerusi kempen ketenteraan. Maharaja pertama mereka,
Harihara Raya I menakluk wilayah-wilayah di selatan Sungai Tungabhadra
sekaligus meraihkannya gelaran Purvapaschima Samudradhishavara (bermaksud ‘Raja
Lautan Timur dan Barat’).
Maharaja kedua pula,
Bukka Raya I meneruskan polisi saudaranya itu dan penaklukan yang dilakukannya
merangkumi kawasan di sekitar Penukonda, lembah Tungabhadra-Krisha, dan Goa.
Pada era pemerintahan beliau ini jugalah ibu kota Empayar Vijayanagara
dipindahkan dari Anegondi yang terletak di tebing utara Sungai Tungabhadra, ke
Vijayagara yang berlokasi di tebing selatan sungai itu. Kedudukan tersebut jauh
lebih selamat dan mudah pula untuk dipertahankan dari serangan musuh.
![]() |
| Sungai Tungabhadra, Hampi (Vijayanagara) |
PERJUANGANGAN DEMI MEMPERTAHANKAN
KUASA
Vijayanagara
sememangnya perlu berhadapan dengan serangan demi serangan musuh yang datang
menceroboh pada awal kurun ke-15. Pada tahun 1404, pengganti Bukka Raya I iaitu
Harihara Raya II mangkat sekaligus mendorong kepada berakunya krisis pewarisan
takhta.
Maharaja ketiga Empayar
Vijayanagara digantikan oleh salah seorang puteranya yang bernama Virupaksha
Raya. Namun, beliau dibunuh oleh putera-puteranya sendiri setelah memerintah
hanya beberapa bulan. Pada tempoh masa yang singkat, Vijayanagara kehilangan
banyak wilayahnya di tangan kerajaan Muslim lantaran empayar diperintah oleh
maharaja yang lemah dan tidak berupaya untuk melindungi wilayah-wilayah
kekuasaannya.
Beliau kemudiannya
digantikan oleh salah seorang saudaranya yang bernama Bukka Raya II. Setelah
memerintah selama dua tahun, beliau digulingkan oleh seorang saudara yang lain,
iaitu Deva Raya I. Maharaja baru ini memerintah selama hampir 15 tahun.
Lantaran empayar diserang secara bertali-arus oleh kerajaan-kerajaan jiran
seperti Velama dari Telangana, Reddi dari Kondavidu dan Gajapati dari Orya,
maka Vijayanagara mengambil pendekatan yang bersifat defensif.
![]() |
| Kubu semula jadi di Vijayanagara |
Deva Raya II yang
memerintah dari tahun 1424 hingga 1446 berupaya menghentikan seketika kejatuhan
Empayar Vijayanagara. Pun begitu, para penggantinya bersifat lemah dan tidak
cekap sekaligus mengakibatkan empayar terus mengalami zaman kemunduran.
Pada tahun 1485, sebuah
rampasan kuasa dilakukan oleh panglima Saluva Narasimha Deva Raya. Dalam
peristiwa tersebut, pemerintah terakhir Dinasti Sangama, iaitu Praudha Raya
digulingkan. Lantas, sebuah dinasti baru yang dikenali sebagai Dinasti Saluva
pun ditubuhkan. Dinasti ini berkuasa sehingga tahun 1505.
Dinasti Saluva juga
tidak berkesempatan menikmati masa-masa aman lantaran musuh-musuh empayar terus
melanjutkan serangan mereka. Lebih daripada itu, sejumlah pemberontakan dan
kehuru-haraan turut berlaku. Oleh yang demikian, dinasti ini pun menemui
penamatnya apabila Tuluva Narasa Nayaka yang berkhidmat sebagai pemangku kepada
pemerintah terakhir Saluva merampas kuasa pada tahun 1505.
Walau bagaimanapun,
Empayar Vijayanagara mengecapi zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan
Dinasti Tuluva, terutama pada era Krishna Deva Raya. Beliau adalah pemerintah
yang paling masyhur dalam kalangan para pemerintah dinasti ini. Pun begitu,
berikutan kemangkatannya pada tahun 1529, empayar sekali lagi mengalami
kejatuhan.
![]() |
| Patung gangsa Krishna Deva Raya |
KEJATUHAN EMPAYAR
VIJAYANAGARA
Pada tahun 1565,
Empayar Vijayanagara mengalami kekalahan paling teruk dalam Pertempuran
Talikota. Dalam pertempuran tersebut, mereka memerangi sebuah tentera pakatan
yang dibentuk oleh lima buah kesultanan Deccan. Kekuatan tentera Empayar
Vijayanagara habis dihancurkan, ibu kotanya pula dijarah dan dibumihangus, dan
pemangkunya, Tirumala Deva Raya pula melarikan diri ke Penukonda sambil membawa
sejumlah besar harta empayar.
Selepas mangkatnya
pemerintah terakhir Dinasti Tuluva, iaitu Sadashiva Raya pada tahun 1570,
Tirumala Deva Raya pun menubuhkan dinastinya sendiri yang dikenali dengan nama
Dinasti Aravidu. Dinasti ini dapat bertahan sehingga tahun 1646 walaupun
Empayar Vijayanagara sendiri tidak berupaya untuk pulih sepenuhnya sejak
kekalahan dalam Pertempuran Talikota.
Kekuasaan Empayar
Vijayanagara berakhir apabila ia ditakluk oleh Kesultanan Bijapur dan Golkonda.
Lantas, kuasa-kuasa naungannya pun turut memanfaatkan peluang untuk
mengisytiharkan kemerdekaan sekaligus mengakibatkan India selatan terpecah
kepada sejumlah negara kecil.
![]() |
| Pertempuran Talikota. Hussain Nizam Shah I dan persekutuan kesultanan-kesultanan Deccan menewaskan dan membunuh Aliya Rama Raya |
SUMBER
- Explore Hampi. 2015. Rise of the Vijayanagara Empire and its Capital City.
- Kessler Associates, 2018. Vijayanagara Empire.
- Nag, O.S. 2017. Hampi – Unique Ruins of the Vijayanagara Empire.
- New World Encyclopedia. 2016. Vijayanagara Empire.
- Pillalamarri, A. 2015. 450 Years Ago, This Battle Changed the Course of Indian History.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Vijayanagar.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Vijayanegara: Empayar Yang Pernah Berkuasa Di Selatan India’
- Get link
- X
- Other Apps





