- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 Mac 2020). Fuxi, Nuwa, and the Creation of Humanity. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/creation-0013397
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/creation-0013397
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Fuxi dan Nuwa merupakan
pasangan dewa-dewi yang penting dalam mitologi China. Mereka dikenang sebagai
pencipta manusia. Lebih mengkhusus, Fuxi dipercayai memperkenalkan
ciptaan-ciptaan yang memberi kemanfaatan besar buat manusia, manakala Nuwa pula
dihikayatkan telah menyelamatkan manusia dari bencana besar.
Lantaran itu, Fuxi dan
Nuwa dikenang sebagai perwira masyarakat China. Dewa-dewi ini dihormati oleh
mereka sejak zaman purba dan dianggap sebagai dua daripada Tiga Pemerintah
Teragung dalam legenda.
PENCIPTAAN DUNIA
Masyarakat China bahawa
kewujudan pertama dalam alam ini, merangkap pencipta seluruh isi dunia adalah
Dewa Pangu. Pangu dikatakan wujud dari unsur huru-hara, yang digambarkan
sebagai telur kosmik. Menurut mitos, Pangu memainkan peranan signifikan dalam
penciptaan dunia. Dengan menggunakan pengetahuan Yin dan Yang, Pangu memisahkan
bumi daripada langit lalu meletakkan jasad-jasad samawi di tempatnya. Beliau
turut membahagikan laut kepada beberapa bahagian dan mencipta lembah-landai
serta gunung-ganang.
Dalam versi penceritaan
yang lain, dunia dipercayai tercipta sebagai susulan daripada kematian Pangu.
Sama seperti versi sebelum ini, Pangu dikatakan wujud dari sebuah telur kosmik
lalu memisahkan langit dan bumi. Cuma bezanya, versi ini menceritakan bahawa
Pangu menahan langit selama 18 000 sehingga beliau mati kepenatan. Setiap inci
tubuhnya kemudian membentuk dunia.
Mata kiri Pangu
membentuk matahari, manakala mata kanannya pula menjadi bulan. Darahnya
melahirkan sungai-sungai, sementara tubuhnya menjadi tanah yang subur.
Tulang-tulangnya pula menjadi batu-batuan sementara rambutnya menjadi pokok dan
tumbuhan.
Menurut mitos, manusia
tercipta daripada kutu-kutu yang ada pada tubuh Pangu. Namun di dalam versi
yang lain, diceritakan bahawa kutu-kutu hama ini membentuk haiwan manakala
manusia hanya diciptakan pada masa-masa terkemudian.
Mitos berkenaan
asal-usul Fuxi dan Nuwa mempunyai bermacam-macam versi. Misalnya, satu versi
menyebutkan bahawa mereka berdua adalah manusia pertama yang wujud semasa Pangu
menciptakan dunia. Versi yang lain pula menyatakan bahawa mereka berdua adalah
satu-satunya individu yang terselamat daripada banjir besar yang melenyapkan
makhluk manusia.
Dalam satu lagi catatan
lain, Fuxi dan Nuwa diperincikan sebagai anak kepada seorang dewi yang kurang
dikenali, iaitu Huaxu. Huaxu mengandungkan mereka berdua setelah melangkah pada
tempat yang pernah dilalui oleh dewa petir.
Berikutan kepelbagaian
versi mitos berkenaan latar belakang Fuxi dan Nuwa, maka kisah selanjutnya juga
hadir dalam bermacam-macam bentuk.
![]() |
| Nuwa dan Fuxi, dua dari Tiga Pemerintah Kayangan |
FUXI DAN NUWA – LELUHUR
MANUSIA
Fuxi dan Nuwa lazim
digambarkan secara bersama dan dianggap sebagai pasangan adik-beradik. Status
atau hubungan yang sebegini melahirkan satu dilemma dalam mitos yang
mengisahkan mereka sebagai dua manusia pertama serta mitos mereka sebagai
satu-satunya manusia yang terselamat daripada banjir besar (di mana sebagai
adik-beradik, mereka perlu melahirkan zuriat untuk kelangsungan manusia).
Dalam kedua-dua mitos
tersebut, pasangan beradik ini membawa diri ke Gunung Kunlun dan meminta
petunjuk dari dewa-dewa sama ada mereka perlu berkahwin dan memenuhkan (semula)
bumi dengan manusia ataupun tidak.
Menurut satu versi
penceritaan, Fuxi dan Nuwa masing-masing memanjat puncak dua buah gunung yang
berbeza dan menyalakan api. Mereka bersepakat bahawa seandainya asap-asap
daripada nyalaan api itu berkepul dan naik menegak, ia membawa maksud dewa-dewa
tidak merestui perkahwinan mereka.
Sebaliknya, jika
kepulan asap ini saling bertemu, ia menandakan bahawa perkahwinan mereka direstui.
Mitos menceritakan bahawa asap dari kedua-dua api tersebut saling bertemu dan
makanya Fuxi dan Nuwa pun berkahwin. Dalam satu versi penceritaan, pasangan ini
dikurniakan seorang anak yang dicirikan dengan mitos, di mana mereka memotong
anggota badan anak itu lalu menaburkannya di seluruh dunia sekaligus melahirkan
lebih ramai manusia.
![]() |
| Fuxi dan Nuwa, pencipta manusia yang lazim digambarkan dalam keadaan saling terjalin |
NUWA MENCIPTA MANUSIA
Walau bagaimanapun,
dalam sebuah versi mitos yang lebih masyhur, diceritakan bahawa manusia
diciptakan daripada tanah liat. Nuwa merupakan karakter utama dalam mitos ini,
memandangkan beliaulah yang memulakan proses penciptaan manusia sementara Fuxi
pula digambarkan sebagai pelindung manusia.
Menurut cerita, segalanya
bermula apabila Nuwa dilanda rasa sunyi. Untuk mengubati perasaan itu, beliau
pun mencipta manusia daripada tanah liat. Dalam satu versi penceritaan, Nuwa
menciptakan pelbagai jenis haiwan dalam tempoh enam hari berturut-turut.
Antaranya seperti ayam, anjing, babi hutan, kambing, lembu dan kuda. Pada hari
yang ketujuh, Nuwa mencipta manusia. Mitos ini dijadikan sebagai asas keraian
Hari Manusia dalam masyarakat China, yang jatuh pada hari ketujuh selepas Tahun
Baru China.
![]() |
| Nuwa, dewi pencipta dalam kepercayaan masyarakat China |
Kisah penciptaan
manusia oleh Nuwa ini juga digunakan sebagai penerangan (dan mungkin juga
sebagai justifikasi) tentan kewujudan hierarki sosial dalam masyarakat China.
Dalam satu versi mitos, Nuwa menciptakan manusia dengan membentuk tanah liat
menggunakan tangannya sendiri. Namun setelah beberapa tempoh, tangannya mula
sakit.
Justeru, Nuwa pun
mengambil seutas tali dan mencelupnya ke dalam tanah liat. Lalu, beliau
mengayunkannya ke sekeliling kepalanya sehingga terbentuk gumpalan tanah liat.
Masyarakat China meyakini bahawa manusia-manusia yang dibentuk oleh tangan Nuwa
adalah golongan bangsawan, manakala manusia yang lahir daripada gumpalan itu
tadi adalah rakyat biasa.
FUXI SEBAGAI BAPA
SEGALA KEMAHIRAN MANUSIA
Walaupun Fuxi tidak
memainkan peranan penting dalam proses penciptaan manusia, beliau dikenang
kerana memperkenalkan sejumlah ciptaan dan teknologi yang memberi kemanfaatan
besar buat manusia. Salah satunya adalah kemahiran menangkap ikan.
![]() |
| Fuxi mengajar manusia cara menangkap ikan |
Menurut hikayat, Fuxi
menyedari bahawa manusia bergantung sepenuhnya pada kegiatan memburu haiwan
liar sebagai sumber makanan. Sekiranya pemburuan tersebut berhasil, maka mereka
mempunyai makanan untuk dimakan. Sebaliknya, jika pemburuan itu berakhir dengan
kegagalan, maka manusia terpaksa pulang dengan perut yang lapar.
Tatkala melihat
sebahagian anaknya (manusia) kebuluran, Fuxi pun jatuh simpati. Lantas, beliau
pergi ke sebatang sungai berhampiran dan menangkap beberapa ekor ikan
menggunakan tangannya. Ikan-ikan ini dibawa pulang dan diberikan kepada
manusia. Fuxi kemudiannya mengajarkan mereka cara-cara menangkap ikan.
Berkat didikan Fuxi
ini, manusia pun memperoleh bekalan makanan yang berterusan. Namun, ikan-ikan
ini adalah rakyat jelata Raja Naga si pemerintah laut dan sungai. Raja Naga
naik berang apabila dapat tahu rakyat-rakyatnya dimakan oleh manusia. Beliau
khuatir seandainya semua ikan ini dimakan oleh manusia, tiada lagi rakyat yang
dapat beliau perintah.
Perdana menteri kepada
Raja Naga, iaitu kura-kura lantas mencadangkan agar Raja Naga menemui Fuxi dan
menegaskan bahawa manusia tidak lagi dibenarkan untuk menangkap ikan
menggunakan tangan. Perintah daripada Raja ini membuatkan Fuxi berasa hampa.
Beliau meluangkan beberapa hari untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini.
Pada suatu hari, ketika
Fuxi sedang berehat di bawah sebatang pokok, beliau terlihat seekor lelabah
menenun sarangnya. Sarangnya ini berjaya menangkap beberapa ekor serangga.
Lantas, Fuxi diilhami dengan satu idea. Beliau segera mengumpulkan sejumlah
rumput liar, lalu menenunnya sehingga menjadi jaring. Jaring ini kemudiannya
dilemparkan ke dalam sungai. Setelah beberapa tempoh berlalu, beliau memukat
jaringnya itu dan bergirang-gembira tatkala menyaksikan betapa banyak ikan yang
dapat beliau tangkap. Fuxi bergegas memperkenalkan ciptaan barunya itu kepada
manusia.
Kemahiran lain yang
diperkenalkan oleh Fuxi kepada manusia adalah penternakan haiwan. Fuxi
menyedari bahawa dengan memelihara haiwan, manusia akan dapat memiliki bekalan
daging yang lebih stabil. Selain itu, haiwan-haiwan ternakan ini juga dapat
memberikan beberapa produk sampingan seperti telur, susu dan tenaga kerja.
Selain kemahiran-kemahiran yang bersifat memenuhi keperluan asas manusia, Fuxi
juga memperkenalkan ciptaan-ciptaan yang menjadi asas kepada ketamadunan
manusia, iaitu penghasilan matawang, sistem tulisan dan adat perkahwinan.
![]() |
| Fuxi mengajar manusia cara menjinakkan dan menternak haiwan |
Tidak seperti Fuxi,
Nuwa tidak memperkenalkan sebarang ciptaan dan kemahiran baru kepada manusia.
Namun, keprihatinannya terhadap manusia tidak kurang berbanding Fuxi. Dalam
mitologi China, tugas Nuwa tidak berakhir dengan sekadar menciptakan manusia.
Akan tetapi, beliau berperanan menyelamatkan manusia dari malapetaka yang
dahsyat.
PENGORBANAN NUWA DEMI
MANUSIA CIPTAANNYA
Menurut mitos, satu
pergaduhan tercetus di antara Gonggong si dewa air dan Zhurong si dewa api.
Tatkala Gonggong menyedari bahawa beliau bakal tewas dalam pergaduhan ini,
amarahnya serta-merta meletus hinggakan Gonggong menghentak-hentak kepalanya
pada Gunung Buzhou (gunung mitos). Gunung ini bukanlah gunung biasa. Ia
merupakan salah satu dari empat tiang yang menahan langit.
Berikutan tindakan
Gonggong itu tadi, Gunung Buzhou pun runtuh. Hal ini mengakibatkan separuh
langit jatuh ke bumi sekaligus mencetuskan gempa dan rekahan. Hutan-hutan
terbakar, dan bumi dilanda banjir. Makhluk-makhluk ganas pula keluar dari perut
bumi. Ramai manusia yang mati terbakar, lemas dan dimakan makhluk buas.
Melihat kesengsaraan
yang ditanggung oleh manusia ciptaannya, Nuwa berasa luluh hati. Beliau segera
mencari jalan untuk menyelamatkan mereka. Pertama-tama, beliau mengumpulkan
lima biji batu berwarna dan meleburkannya. Campuran leburan ini kemudiannya
digunakan oleh beliau untuk menampal langit. Setelah itu, beliau pergi menemui
Ao, si kura-kura kayangan dan meminta bantuannya.
Ao bersetuju untuk
membantu Nuwa dan mengizinkannya untuk mengerat keempat-empat kakinya.
Kaki-kaki ini kemudian digunakan untuk menggantikan tiang (Gunung Buzhou) yang
telah dihancurkan oleh Gonggong itu tadi.
Setelah itu, Nuwa
keluar menangkap dan membunuh seekor naga. Tindakannya ini berjaya menakutkan
makhluk-makhluk buas lain sekaligus menghentikan mereka dari menyerang serta
memakan manusia.Sebagai langkah terakhir, Nuwa kemudian membakar sejumlah
rumput liar dan menggunakan abunya untuk menghentikan banjir.
Menurut satu versi
penceritaan, usaha-usaha ini telah mengerah banyak tenaga Nuwa. Ketika beliau
berbaring untuk beristirehat, Nuwa mati kepenatan. Dalam versi yang lain,
diceritakan bahawa Nuwa tidak menjumpai batu yang cukup untuk menampal langit.
Lantaran itu, beliau mengorbankan dirinya sendiri dan menutup lubang langit
yang masih tersisa itu dengan tubuhnya.
![]() |
| Nuwa membaiki tiang langit |
Dengan pengorbanan Nuwa
ini, dunia berjaya diselamatkan dan manusia dapat meneruskan hidup dengan aman.
Apa yang menarik, mitos ini dijadikan sebagai penerangan kepada aliran
sungai-sungai di China yang mengalir dari barat ke timur. Menurut mitos,
walaupun usaha-usaha Nuwa ini mampu menyelamatkan dunia, akan tetapi beliau
tetap tidak berupaya mensejajarkan kembali bumi dan langit pada kedudukannya
seperti sedia kala.
Oleh sebab itu, bumi
dan langit condong ke arah berbeza buat selama-lamanya. Keadaan ini dijadikan
sebagai penerangan mengapa sungai-sungai di China mengalir dari barat ke timur
manakala matahari, bulan dan bintang-bintang bergerak dari timur ke barat.
Walaupun Nuwa menemui
ajalnya selepas menyelamatkan dunia, Fuxi dipercayai hidup selama hampir 200
tahun lagi. Beliau turut diyakini mati di suatu tempat di daerah Huaiyang,
wilayah Henan. Makam yang dipercayai sebagai milik Fuxi dikatakan wujud sejak
zaman Musim Bunga dan Musim Luruh.
Di kawasan sekitar
makam ini terdapat sebuah perkarangan besar di mana bangunan-bangunan dan
tumbuhan-tumbuhan di situ berkedudukan tersusun sehingga membentuk Lapan
Trigram, iaitu satu lagi ciptaan dan hadiah daripada Fuxi kepada manusia. Pada
tahun 1996, Majlis Negara China memasukkan tapak ini ke dalam program
perlindungan warisan budaya.
Dalam beberapa sumber,
Fuxi dan Nuwa diperincikan sebagai makhluk hibrid, di mana kedua-duanya
bertubuh manusia di bahagian atas dan berekor ular. Gambaran artistik berkenaan
mereka berdua dengan bentuk sedemikian boleh dijumpai dalam karya-karya seni
China Purba. Dalam bentuk sebegini, ekor mereka lazimnya digambarkan berkeadaan
saling bertemu sebagai lambang persatuan mereka.
![]() |
| Nuwa dan Fuxi digambarkan pada lukisan dinding di makam Wu Liang, dinasti Han (206SM-220M) |
Tambahan lagi, mereka
juga sering digambarkan memegang kompas dan pembaris yang merupakan alat
kejuruteraan. Gambaran sebegini dianggap sebagai simbol kepada peranan mereka
sebagai jurutera yang memperkenalkan bermacam-macam ciptaan dan kemahiran
kepada manusia. Dalam keadaan-keadaan lain, Fuxi dan Nuwa turut digambarkan
sebagai manusia.
Melihatkan peranan yan
dimainkan oleh Fuxi dan Nuwa dalam mitologi China, tidak hairanlah seandainya
mereka berdua sangat dihormati oleh masyarakat China sejak zaman-berzaman.
Namun, pemujaan kedua-dua dewa ini tidak hanya terhad dalam lingkungan
masyarakat China. Miao, satu etnik minoriti China selatan misalnya, turut
menganggap diri mereka sebagai keturunan Fuxi dan Nuwa.
Pada hari ini, Fuxi dan
Nuwa terus dipuja oleh masyarakat China. Makam Fuxi masih menjadi tarikan
pelancong, manakala terdapat sejumlah kuil yang diabadikan kepada mereka
berdua. Malah, dua dewa ini turut ditampilkan di dalam budaya-budaya pop dan
muncul dalam sejumlah permainan video. Keadaan ini dianggap sebagai satu
petanda bahawa kemasyhuran dan signifikasi mereka dalam kalangan masyarakat
China akan terus berpanjangan.
SUMBER
- Beth. 2013. Pangu and the Chinese Creation Story.
- Chan, C. 2019. Chinese New Year’s ‘Human Day’ Celebrates ‘Birthday’ of Humankind.
- Hamilton, M. 2020. Fuxi.
- Hamilton, M. 2020. Nuwa.
- New World Encyclopedia. 2013. Fu Xi.
- New World Encyclopedia. 2018. Nuwa.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. Fu Xi.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. Nu Gua.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2020. Pan Gu.
- Theobald, U. 2012. Fu Xi.
- Theobald, U. 2012. Nu Wa.
- Get link
- X
- Other Apps







