- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
GAIA MENENTANG KEKEJAMAN
Wu Mingren. (25 Oktober 2018). Gaia: The Greek Earth Goddess Had No Tolerance
for Cruel Family Members. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/gaia-0010891
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/gaia-0010891
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Menurut mitologi
Yunani, Gaia adalah dewata awal dan merupakan personafikasi Bumi. Namanya
sendiri boleh diertikan sebagai ‘daratan’ atau ‘bumi’. Gaia adalah kemenjadian
kedua yang wujud semasa fasa awal penciptaan alam semesta. Namanya mungkin
paling dikenali sebagai dewi yang melahirkan Titans, walaupun beliau turut
mempunyai ramai anak yang lain.
Menurut satu versi
mitos penciptaan Yunani, Gaia (juga dieja sebagai Gaea), Chaos dan Eros
wujud secara bersama pada awal kejadian alam. Mitos lain menyebutkan bahawa
ketiga-tiga entiti ini lahir dari sebuah Telur Kosmik. Namun, mitos yang paling
masyhur berkenaan Gaia boleh ditemukan dalam Theogony, karya Hesiod. Theogony
adalah sebuah puisi yang memerincikan asal-usul dewa. Dalam karya sastera
ini, Gaia dikatakan wujud selepas Chaos. Gaia seterusnya melahirkan
Ouranos, personafikasi langit yang kemudiannya menjadi pasangan Gaia. Gaia
turut melahirkan Ourea (gunung-ganang) dan Pontus (laut).
GAIA DAN ANAK-ANAKNYA
Bersama Ouranos, Gaia
melahirkan Dua Belas Titan – Oceanus, Coenus, Crius, Hyperion, Iapetos, Theia,
Rheia, Themis, Mnemosyne, Phoebe, Thetys, dan akhir sekali, Cronus. Selain
dewa-dewa Titan, Ouranod dan Gaia juga mempunyai dua rangkaian anak, iaitu
Cyclopes yang antaranya adalah Brontes, Steropes dan Arges; serta
Hecatoncheires (makhluk gergasi berkepala 50 dan bertangan 100) seperti Cottus,
Briareos, dan Gyes.
Ouranos merupakan
seorang bapa yang kejam dan sebaik sahaja anak-anaknya lahir, beliau mengurung
mereka di dalam perut Gaia. Gaia yang tidak boleh bertahan dengan sikap
Ouranous ini lantas melakukan sesuatu.
Beliau meminta bantuan
anaknya untuk menghukum Ouranos. Namun, masing-masing dicengkam rasa takut.
Akhirnya, Cronus si Titan yang paling muda, tampil untuk membantu ibunya. Gaia
menciptakan sebilah sabit bergerigi yang diperbuat daripada batu. Menurut
rancangan yang diatur, Cronus perlu menyerang hendap Ouranos ketika bapanya itu
mahu mengadakan hubungan dengan Gaia. Rancangan ini dilaksanakan dan dengan
sabit bergerigi itu, Cronus mengembiri Ouranos. Sebaik sahaja darah menitis
pada Gaia, beliau langsung sahaja melahirkan Erinyes, ras Gergasi (giant)
dan ras pari-pari (Nymph).
![]() |
| Di bahagian timur Ara Pacis terletak sebuah relif Tellus Mater, dewi bumi Rom. Tellus adalah Gaia versi Rom |
GAIA MENENTANG KEKEJAMAN
Selepas Ouranos
digulingkan, dewa-dewa Titan dengan dipimpin oleh Cronus pun memerintah alam.
Demi memastikan pemerintahannya dapat kekal abadi, Cronus bertindak menelan
kesemua anaknya sebaik mereka dilahirkan. Gaia tidak dapat membiarkan kekejaman
anaknya itu terus berlanjutan. Justeru, beliau menyebelahi generasi cucunya.
Apabila putera bongsu Cronus, iaitu Zeus dilahirkan, ibunya iaitu Rhea meminta
bantuan Gaia agar menyembunyikan Zeus dari Cronus. Untuk memperdaya Cronus,
Rhea menyerahkan batu yang dibedung dengan kain untuk ditelan.
Apabila Zeus sudah
mendewasa, beliau pun pulang dan membebaskan adik-beradiknya sebelum memerangi
dewa-dewa Titan demi berebutkan kekuasaan. Dewa-dewa generasi lama ditewaskan
dan dihumban ke dalam Tartarus. Gaia tidak bersenang hati melihat tindakan Zeus
terhadap anak-anaknya (generasi Titan), justeru beliau pun menentangnya.
Mulanya beliau
melahirkan puak gergasi dan seterusnya melahirkan pula puak raksasa yang
membiak dari Typhon. Namun, kedua-dua cubaan untuk menjatuhkan Zeus ini tidak
berjaya. Akhirnya, Gaia memaklumkan kepada Zeus bahawa suatu saat nanti, Zeus
akan dijatuhkan oleh putera yang dilahirkan oleh Metis. Demi menghindari takdir
yang diramalkan ini, Zeus pun menelan Metis. Tindakan ini membawa kepada
kelahiran Athea dari kepala Zeus dalam keadaan lengkap bersenjata.
Selain anak dan cucu
yang dilahirkan menerusi hubungan dengan Ouranos, Gaia juga melahirkan ramai
zuriat lain. Misalnya bersama Pontus, beliau melahirkan dewa-dewa laut.
Mitos lain berkenaan
Gaia yang menarik adalah berkenaan kelahiran Erichthonius, pemerintah pertama
Athen. Dalam mitos ini, diceritakan bahawa Hephaestus cuba merogol Athena.
Walaupun tidak berhasil, air maninya sempat jatuh pada peha dewi itu. Air mani
itu dilap dengan menggunakan kapas, dan kapas itu dilemparkan oleh Athena ke
bumi. Justeru, lahirlah Erichthonius. Dalam erti kata lain, secara tidak
langsung, Gaia adalah ibu kepada raja legenda ini.
![]() |
| Kelahiran Erichthonius: Athena menerima bayi Erichthonius dari tangan dewi bumi, Gaia. Hephaestus menyaksikan peristiwa ini, 470-460SM |
GAIA DALAM HASIL SENI
YUNANI
Dalam hasil-hasil seni,
Gaia lazimnya digambarkan sebagai wanita yang besar buah dadanya. Gambaran ini
sebagai simbol kepada kesuburannya. Gaia juga sering ditampilkan berpakaian
hijau, yang juga merupakan simbolisme kesuburan. Selain itu, gambaran tentang
Gaia turut lazim diiringi dengan buah-buahan atau personafikasi musim bagi
menandakan peranannya sebagai dewi pertanian.
![]() |
| ‘Victory, Janus, Chronos dan Gaea’ (1532-1534) oleh Giulio Romano |
SUMBER
- Atsma, A. J. 2018. Gaia.
- Greek Gods and Goddesses. 2018. Gaea.
- Parada, C. & Forlag, M. 2018. Gaia.
- Crystalinks. 2018. The Titans.
- Greek Mythology. 2018. Gaea.
- Get link
- X
- Other Apps



