- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (20 Januari 2017). Bluetooth: Why Modern Tech is Named After
Powerful King of Denmark and Norway. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/bluetooth-why-modern-tech-named-after-powerful-king-denmark-and-norway-007398
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/bluetooth-why-modern-tech-named-after-powerful-king-denmark-and-norway-007398
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Harald ‘Blatand’
Gormsson adalah seorang Raja Denmark dan Norway yang hidup pada kurun ke-10
Masehi. Beliau bertanggungjawab ke atas penyatuan Denmark. Selepas mencapai
kejayaan tersebut, Harald menyasarkan kawasan-kawasan yang melangkaui sempadan
kerajaannya sendiri dan menakluk Norway.
Walaupun kebanyakan rakyatnya
mengamalkan kepercayaan pagan, Harald sendiri cenderung terhadap agama
Kristian. Beliau berusaha seupaya mungkin untuk memperkenalkan agama asing itu
dalam kalangan rakyatnya. Pada hari ini, Harald Blatand (Bluetooth)
merupakan satu nama yang tidak asing lagi lantaran satu piawai teknologi tanpa
wayar dinamakan bersempena dengannya.
![]() |
| Awalan nama Harald dalam tulisan runic berserta nama timangannya, Bluetooth |
MENYATUKAN DENMARK
Tahun tepat kelahiran
Harald tidak diketahui oleh sejarahwan, walaupun sumber-sumber lama menyebutkan
tahun 910/911M. Harald adalah putera kepada Raja Gorm the Old dan Permaisuri
Thyra. Gorm the Old adalah raja pertama dalam dinasti baru Denmark yang
dikenali sebagai Dinasti Knytlinga (keturunan Cnut) atau Dinasti Gorm. Beliau
adalah individu yang melaksanakan usaha menyatukan Denmark.
Memandangkan kuasanya
berpusat di Jelling, utara Jutland, dinasti ini juga kadangkala dikenali dengan
nama Dinasti Jelling. Ibu Harald, Thyra adalah puteri kepada seorang bangsawan
dari Sunderjylland (Schleswig di Jerman moden). Gorm the Old adalah pengikut
tegar ajaran dewa-dewi Norse manakala Thyra cenderung kepada agama Kristian.
Mungkin pengaruh daripada Thyra inilah yang membuatkan Harald cenderung
terhadap agama asing itu.
![]() |
| Raja Gorm the Old menerima khabar kemangkatan puteranya, Canute |
Tatkala Gorm mangkat
pada tahun 935M, Harald ditabalkan sebagai raja baru. Beliau memulakan pemerintahannya
dengan melanjutkan polisi penyatuan Denmark yang diusahakan oleh ayahandanya.
Usaha tersebut meraih keberhasilan dan beliau melanjutkan pula pemerintahannya
dengan mengampuhkan lagi pertahanan kerajaan. Kubu-kubu sedia ada diperkuatkan
manakala sejumlah kubu baru turut dibina. Selain itu. Harald turut
memperkenalkan polisi toleransi terhadap agama Kristian. Malahan, beliau
membenarkan agama itu disebarkan secara meluas dalam kalangan rakyatnya.
MENYEBARKAN AGAMA
KRISTIAN
Setelah berjaya menjamin
keamanan dalam kerajaannya, Harald menumpukan perhatiannya pada isu-isu luar
negara. Pada tahun 954M, Erik Bloodaxe si Raja Norway terbunuh dalam sebuah
pertempuran di Northumberland, England. Isterinya, Gunnhild yang juga merupakan
saudara perempuan Harald membawa diri ke Norway bersama lima orang anak
lelakinya.
Pada waktu itu, Norway
berada di bawah pemerintahan Raja Haakon the Good. Harald mengambil keputusan
untuk membantu anak-anak saudaranya merebut semula kerajaan mereka. Harald
berjaya meraih kemenangan mutlak dan Harald II Greycloak, salah seorang putera
Erik Bloodaxe ditabalkan sebagai Raja Norway yang baru.
Pembunuhan Harald II
Greycloak kemudiannya dimanfaatkan oleh Harald Bluetooth bagi menuntut hak
penguasaan ke atas Norway. Hasilnya, kerajaan tersebut diserap masuk ke dalam
pemerintahannya selama beberapa tahun.
![]() |
| Syiling Erik Bloodaxe |
Sekitar waktu yang
sama, agama Kristian meraih tempat di Denmark. Beberapa institusi kepaderian di
Jutland ditubuhkan di bawah autoriti pope. Menurut suatu sumber, Maharaja Rom
Suci Otto Agung menjadi tulang belakang kepada penubuhan tersebut. Lantaran
itu, mereka (institusi kepaderian ini) dikecualikan daripada membayar cukai
kepada Raja Denmark.
Hal ini menjadi faktor
tercetusnya konflik di antara Denmark dan Empayar Rom Suci. Sebilangan
sejarahwan berpendapat bahawa Otto Agung menuntut agar Harald memperakuinya
sebagai penguasa atasan. Namun, Raja Denmark enggan melakukan sedemikian
sekaligus mengakibatkan berlakunya peperangan.
![]() |
| Kerajaan Harald (merah) dan wilayah bawahan dan sekutunya (krim), sebagaimana yang disebutkan dalam Heimskringla, Knytlinga Saga, dan beberapa sumber Scandinavia zaman pertengahan |
Pasukan tentera Jerman
berjaya memenangi kempen mereka dan Harald dipaksa menerima dan menyebarkan agama
Kristian di Norway. Sekitar satu dekad kemudian, pasukan tentera Jerman
disibukkan di Itali. Keadaan ini dimanfaatkan oleh Harald yang melancarkan
serangan dan mengusir mereka keluar dari Denmark. Namun tidak lama kemudian,
putera Harald yang bernama Svein Forkbeard memberontak dan Harald mangkat
semasa bertempur melawan puteranya itu pada tahun 985/986M.
![]() |
| Relif menunjukkan Harald Bluetooth sedang dibaptiskan oleh Poppo si rahib |
PIAWAI TEKNOLOGI TANPA
WAYAR BLUETOOTH
Menurut sebahagian
sejarahwan, Harald diberikan nama timangan ‘Blatand’ atau Bluetooth (gigi biru)
kerana beliau memiliki sebatang gigi yang telah mati. Gigi tersebut kelihatan
seakan-akan berwarna biru atau berwarna gelap.
Pada hari ini, nama
timangan tersebut dikenali di seluruh dunia lantaran ia diambil sebagai nama
satu piawai teknologi tanpa wayar. Nama ini dipilih kerana syarikat
telekomunikasi Sweden yang bernama Ericsson ingin menghargai warisan Viking
tersebut.
Mereka berpendapat
bahawa keupayaan Harald Bluetooth dalam menyatukan masyarakat menerusi jalan
rundingan agak bersesuaian dengan konsep teknologi telekomunikasi. Jim Kardach,
salah seorang pengasas Bluetooth SIG menjelaskan:
“Harald menyatukan
Denmark dan meng-Kristiankan mereka. Bagi saya, (nama Bluetooth) merupakan satu
nama kod yang baik untuk program ini. Pada waktu itu, saya juga ada
menghasilkan satu kerajang Powerpoint berserta satu tulisan runic pada
sebongkah batu, di mana Harald memegang sebuah telefon bimbit dan sebuah buku
catatan yang mengandungi terjemahan kepada tulisan runic tersebut,
“Harald menyatukan Denmark dan Norway” dan “Harald beranggapan bahawa komputer
mudah-alih dan telefon bimbit seharusnya membolehkan komunikasi berjalan dengan
lebih lancar.”
![]() |
| Batu besar Jelling, mengandungi inskripsi berkaitan Harald |
SUMBER
- Estes, A. C. 2014. Bluetooth is named after a medieval king who may have had a blue tooth.
- Hiskey, D. 2011. The Bluetooth Standard is Named after a 10th Century Scandinavian King.
- Nuwer, R. 2012. Why is Bluetooth Called Bluetooth? (Hint: Vikings!).
- Snell, M. 2017. Harald Bluetooth.
- Wittman, P. 1910. Harold Bluetooth.
- Fortidensjelling. 2017. King Harold Bluetooth.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Bagaimanakah Sesebuah Bahasa Itu Terbentuk?’
- Get link
- X
- Other Apps






