- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
M R Reese. (8 Oktober 2014). Hatshepsut: The Queen who became King. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/hatshepsut-queen-who-became-king-002181
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/hatshepsut-queen-who-became-king-002181
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Hatshepsut adalah firaun
wanita yang paling lama memegang kuasa. Di bawah pemerintahannya, Mesir
mengecapi kegemilangan. Beliau yang dikenali sebagai ‘Raja Wanita’ berjaya
membawa ekonomi masyarakat Mesir ke arah lebih baik semasa mentadbir sebagai
firaun. Beliau turut menggerakkan pembinaan dan pembaikpulihan sejumlah
bangunan, makam, tugu peringatan dan kuil.
Namun selepas beliau
mangkat, firaun-firaun sesudahnya berusaha untuk memadam segala kesan dan jejak
Hatshepsut. Walaupun namanya cuba dihapuskan dari rekod sejarah, cubaan-cubaan
seperti ini hanya membangkitkan keinginan manusia di zaman moden untuk menggali
maklumat perihal Hatshepsut dengan lebih lanjut. Lebih 3000 tahun sesudah
kematiannya, pencarian tapak persemadian Hatshepsut menjadi tumpuan ahli-ahli
arkeologi
Hatshepsut dilahirkan
pada tahun 1508SM sebagai satu-satunya zuriat Firaun Thutmose I bersama
ratunya, Ahmose. Ketika berusia 12 tahun, Hatshepsut kehilangan bapanya. Beliau
kemudian berkahwin dengan saudara tirinya, Thutmose II dan meraih gelaran
sebagai ratu firaun sehinggalah Thutmose II mangkat sekitar 15 tahun kemudian,
atau ketika Hatshepsut berusia 27 tahun.
Beliau dan Thutmose II
dikurniakan seorang puteri yang diberi nama Neferure. Dalam masa yang sama,
Thutmose II juga mempunyai seorang putera bersama dengan seorang gundik, yang
diberi nama Thutmose III. Ketika beliau mangkat, Thutmose III masih lagi
berusia kecil. Hal ini sekaligus mendorong Hatshepsut untuk menggalas peranan
sebagai pemangku, sebelum kemudiannya beliau sendiri menabalkan diri sebagai
firaun.
Penabalan ini merupakan
suatu perkara yang begitu bercanggah dengan kebiasaan di zaman itu. Menurut
kepercayaan masyarakat Mesir, dewa-dewa melarang status firaun disandang oleh
wanita. Namun, Hatshepsut enggan menuruti tradisi tersebut dan sekitar tahun
1437SM, beliau menabalkan dirinya sendiri sebagai Firaun Mesir. Lebih daripada
itu, beliau turut menukar namanya daripada Hatshepsut (yang bermaksud Penghulu
Wanita Kehormat) kepada Hatshepsu.
![]() |
| Relif Hatshepsut dan suaminya, Thutmose II |
Semasa memerintah
sebagai firaun, Hatshepsut sering digambarkan seperti lelaki yang memiliki
jambang dan bertubuh maskulin serta memakai pengikat pinggang dan mahkota yang
menjadi kelaziman para firaun lelaki.
Hal ini bukanlah
bertujuan untuk memperdayakan masyarakat agar menganggap Hatshepsut sebagai
seorang lelaki, sebaliknya sejarahwan mempercayai bahawa gambaran sedemikian
dilakukan lantaran ketiadaan perkataan atau persimbolan untuk diberikan kepada
seorang firaun wanita memandangkan situasi tersebut adalah sesuatu yang di luar
kebiasaan mereka.
Pada era
pemerintahannya, Hatshepsut sempat membangunkan semula laluan-laluan
perdagangan yang terjejas akibat pendudukan Hyksos ke atas Mesir pada Zaman
Pertengahan Kedua (1650-1550SM). Beliau juga bertanggungjawab ke atas usaha
pemindahan pokok asing yang pertama direkodkan, iaitu apabila beliau membawa 31
batang pokok kemenyan atau myrrh dari Punt.
Selain itu, Hatshepsut turut
mengusahakan ratusan projek pembinaan di seluruh Mesir Hulu dan Mesir Hilir.
Bangunan-bangunan yang dibina pada zaman pemerintahannya dianggap jauh lebih
megah berbanding bangunan-bangunan yang dibina oleh para pendahulunya. Malahan,
firaun-firaun yang mewarisinya masing-masing cuba mendakwa bahawa kononnya
bangunan tersebut adalah binaan mereka, sebagai bukti betapa gemilangnya era
pemerintahan Hatshepsut.
Pencapaian terulung
Hatshepsut dalam seni bina adalah pembinaan kompleks permakaman di Deir
el-Bahri yang berlokasi di tebing barat Nil. Kompleks permakaman tersebut
dianggap sebagai salah satu keajaiban seni bina Mesir Purba.
![]() |
| Kuil Hatshepsut di Deir el-Bahri |
Setelah memerintah
sebagai firaun selama 22 tahun, Hatshepsut mangkat sekitar tahun 1458SM pada
usia lewat 40an. Beliau disemadikan di sebuah makam yang terletak di Lembah
Raja-Raja, di perbukitan belakang Deir el-Bahri. Sebelum itu, beliau sempat
memindahkan sarcophagus bapanya ke makam itu supaya mereka dapat bersemadi
bersama. Berikutan kemangkatannya, Thutmose III, anak tiri Hatshepsut pun
ditabalkan sebagai firaun dan memerintah selama 30 tahun.
Thutmose III adalah
firaun yang memerintahkan agar kesan-kesan pemerintahan Hatshepsut dihapuskan.
Beliau turut menitahkan agar imej-imej Hapshepsut sebagai firaun dipadam dari
mana-mana kuil dan monumen. Sejarahwan berpendapat bahawa beliau mahu membuang
sebarang bukti yang dapat menunjukkan bahawa masyarakat Mesir pernah diperintah
oleh seorang firaun wanita yang berkuasa dan berpengaruh.
Atas sebab itulah
sejarahwan sebelum tahun 1822 kurang mengetahui tentang Hapshepsut. Firaun wanita
itu menggamit minat ilmuwan hanya setelah tulisan-tulisan hieroglif pada
dinding-dinding Deir el-Bahri berjaya difahami.
![]() |
| Thutmose III cuba untuk memadam segala kesan pemerintahan Hatshepsut |
Setelah kewujudan
Hatshepsut mula diketahui, timbul pelbagai spekulasi dan persoalan tentang
lokasi persemadiannya. Pada tahun 1902, seorang ahli arkeologi yang bernama
Howard Carter berjaya menemukan sarcophagus milik Hatshepsut. Namun, ianya
ditemui dalam keadaan kosong. Bertahun-tahun kemudian, Dr. Zahi Hawass pula
menggerakkan usaha pencarian mumia Hatshepsut.
Pada mulanya, pencarian
beliau ditumpukan pada makam Hatshepsut di Lembah Raja-Raja, yang dikenali
sebagai KV20. Makam inilah yang diselidiki oleh Howard Carter. Setelah puas
melakukan pencarian tanpa sebarang hasil, Dr. Zahi Hawass berpindah pula ke
makam lain yang terletak di Deir el-Bahri, berhampiran kompleks permakaman
binaan Hatshepsut yang masyhur. Makam tersebut dikenali sebagai DB320.
Walaupun ahli arkeologi
mendapati bahawa usia makam tersebut tidak sezaman dengan era pemerintahan
Hatshepsut, makam itu merupakan lokasi di mana kebanyakan mumia kerabat diraja
dikebumikan semula setelah makam asal mereka digeledah pada zaman Dinasti ke-21
dan 22. Apapun, ahli arkeologi hanya berjaya menemukan mumia milik Thutmose I,
II dan III.
Lantaran itu, Dr.
Hawass memindahkan lokasi pencarian ke sebuah makam di Lembah Raja-Raja, yang
dikenali sebagai KV60. Di makam inilah Howard Carter menemukan dua mumia.
Namun, ujian dan imbasan yang berkali-kali dilakukan tidak menemukan sebarang
jawapan dalam usaha mengenalpasti identiti mumia-mumia tersebut. Dr. Zahi
Hawass kemudiannya menjalankan imbasan ke atas sebuah kotak kecil yang
diperkirakan mengandungi organ dalaman yang sudah reput. Hasilnya, mereka
menemukan organ berserta sebatang gigi.
Setelah itu, para
penyelidik melakukan penelitian semula terhadap imbasan-imbasan yang dilakukan
ke atas mumia-mumia wanita dimakam itu. Dapatan yang diperoleh menemukan bahawa
salah satu mumia di situ mempunyai soket gigi yang kosong dan gigi yang ditemui
tadi sepadan dengan soket tersebut. Ujian lanjut dijalankan dan menerusi
keupayaan sains forensik moden, pada tahun 2007, mumia itu dikenal pasti secara
positif sebagai Hatshepsut.
![]() |
| Jasad Firaun Wanita Hatshepsut dikenalpasti menerusi ujian DNA ke atas sebatang gigi |
Pengenalpastian mumia
Hatshepsut merupakan salah satu kejayaan arkeologi yang paling besar. Walaupun
puteranya, Thutmose III berusaha sedaya upaya untuk memadam nama Hatshepsut
dari lembaran sejarah, sains moden berjaya memastikan yang keadaan sebegitu
tidak berlaku.
SUMBER
- Hatshepsut’s ascent to power – Biography.com.
- Hatshepsut – History.com.
- Hatshepsut – Discovering Egypt.
- Tooth solves Hatshepsut mummy mystery – The Guardian.
- Hatshepsut – Encyclopedia Britannica.
- The Quest for Hatshepsut – Zahi Hawass.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Hatshepsut – Firaun Wanita Pertama Dan Antara Yang Paling Gemilang’
- Get link
- X
- Other Apps




