- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (5 June 2015). The Helots: Slave Warriors of Ancient Sparta.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/helots-slave-warriors-ancient-sparta-003184
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/helots-slave-warriors-ancient-sparta-003184
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Negara kota Sparta
dalam tamadun Yunani purba mempunyai hierarki sosial yang berbeza dengan
kebanyakan negara-kota Yunani yang lain. Di puncak piramid sosial Sparta
terdapat dua orang raja. Kuasa mereka diseimbangkan oleh ‘majlis orang
tua-tua’. Orang tua-tua ini pula dipilih dari kalangan kelas seterusnya, iaitu
Spartiates. Kelas aristokrat ini kemudiannya disusuli oleh kelas pertengahan
yang dipanggil sebagai Perioeci. Kelas yang paling bawah, juga yang merupakan
kelas paling besar dalam kelompok masyarakat Sparta adalah kelas yang dikenali
sebagai Helot.
Menurut seorang ahli
geografi Yunani yang bernama Pausanias, nama Helot diambil dari sebuah kota
yang bernama Helos. Kota ini dipercayai telah ditakluk oleh tentera Sparta dan
penduduknya menjadi hamba awal mereka. Semenjak itu, kelompok-kelompok
masyarakat yang diperhambakan oleh penduduk Sparta turut dikenali sebagai
Helot.
Namun, sejarahwan
Yunani yang bernama Thucydides memberikan catatan yang berbeza tentang
asal-usul Helot. Menurutnya, Helot adalah keturunan Messenia yang diperhambakan
oleh Sparta semasa Perang Messenia Pertama yang berlangsung pada kurun ke-8SM.
Catatan lain berkenaan
asal-usul Helot boleh didapati dalam karya Strabo yang berjudul Geography.
Menurut beliau, kelompok-kelompok masyarakat yang bernaung di bawah
pemerintahan Sparta pada awalnya diberikan hak yang sama rata. Namun pada era
pemerintahan Agis I, hak-hak ini dicabut dan mereka dipaksa membayar ufti.
Kesemua mereka akur, kecuali penduduk Helus yang memberontak. Lantas, mereka
dihancurkan dalam sebuah peperangan dan penduduknya diperhambakan.
![]() |
| Kuasa terletak di tangan Majlis Orang Tua-Tua, yang terdiri dari seramai 30 orang. Dua orang daripada mereka adalah raja yang mewarisi kuasa. Baki 28 orang yang lain dipilih oleh sebuah sidang |
Walaupun Helot dianggap
sebagai kelompok hamba, sejarahwan mendapati status mereka agak berbeza dengan
golongan hamba di negara-negara kota Yunani yang lain. Misalnya di Athens,
golongan hamba tidak dibenarkan mempunyai keluarga atau kelompok masyarakat tersendiri.
Akan tetapi, Helot di Sparta dicatatkan mempunyai keluarga dan bahkan
komunitinya yang tersendiri.
Tambahan lagi, Helot tidaklah dimiliki secara
peribadi. Sebaliknya, mereka dimiliki oleh negara (Sparta). Menurut Strabo,
“Masyarakat Lacedaemonia (Sparta) menganggap Helot sebagai hamba-negara,
memberikan petempatan khusus kepada mereka untuk melangsungkan kehidupan dan
menetapkan khidmat yang khusus untuk mereka laksanakan.”
Memandangkan golongan
lelaki Sparta dituntut supaya mendedikasikan hidup dalam latihan-latihan sukan
dan ketenteraan, serta perang, politik dan memburu, maka mereka tidak
berpeluang untuk meluangkan masa dalam aktiviti pertanian. Justeru, tugas
menghasilkan makanan diserahkan kepada kelas Helot. Walaupun secara umumnya
Helot adalah golongan petani, mereka juga boleh diberikan tugasan dalam hal-hal
lain, seperti khadam (pelayan atau pengkhidmat) atau penjaga kuda.
Selain itu, Helot turut
boleh dikerah dalam kerja-kerja ketenteraan semasa tempoh peperangan. Sebagai
contoh, sejarahwan Yunani yang bernama Herodotus pernah mencatatkan bahawa bagi
setiap 5000 orang Spartiate yang menyertai Pertempuran Plataea pada tahun
479SM, terdapat tujuh orang Helot bersenjata-ringan yang melindungi mereka.
Dalam erti kata lain, secara keseluruhan terdapat seramai 35 000 orang Helot
menyertai pertempuran tersebut.
Walaupun Helot
memainkan peranan yang sangat penting dalam melicinkan kefungsian masyarakat
Sparta, kelas-kelas lain tidak begitu bersenang hati dengan mereka. Berikutan
jumlah Helot yang jauh melebihi bilangan kelas-kelas lain di Sparta,
kemungkinan untuk mereka memberontak terhadap pemerintah sentiasa wujud.
Pemberontakan berskala
besar pertama yang dilakukan oleh Helot berlaku sekitar tahun 665SM dan ia
dikenali sebagai Perang Messenia Kedua (Perang Messenia Pertama berakhir
sekitar 40 tahun sebelum konflik ini tercetus). Helot mengambil peluang atas
kekalahan Sparta dalam Pertempuran Hysiae untuk melakukan pemberontakan ini.
Sparta mengambil masa hampir 20 tahun untuk menundukkan kemelut tersebut.
Berikutan situasi yang
berbahaya seperti ini, Sparta kemudiannya mengambil langkah berjaga-jaga untuk
menghindarkan Helot dari memberontak. Sebagai contoh, semasa Perang Parsi,
Sparta tidak begitu berhasrat untuk menghantar pasukan hoplite mereka ke
medan perang bagi membela kemerdekaan Greece. Keadaan ini disebabkan oleh
kekhuatiran mereka kalau-kalau Helot akan memberontak semasa ketiadaan tentera
elit Sparta.
Walaupun
langkah-langkah berawas sebegini diambil, sejumlah pemberontakan Helot tetap
berlaku. Misalnya semasa gempa bumi melanda Lembah Eurotas pada tahun 464SM,
Helot memanfaatkan peluang tersebut untuk mencetuskan pemberontakan.
Pemberontakan tersebut dianggap sebagai yang paling besar pernah dicatatkan.
Helot memperkuatkan
kubu mereka di Gunung Ithome, yang dikepung oleh Sparta. Pengepungan ini hanya
berakhir lima tahun kemudian apabila kedua-dua belah pihak bersetuju untuk
berdamai. Golongan Helot ini kemudiannya diambil oleh Athen dan mereka hidup di
Naupactus, yang terletak di Teluk Corinthian.
![]() |
| Tapak di mana Sparta pernah berdiri, terletak di tebing Sungai Eurotas di Laconia, tenggara Peloponnese, Greece |
Layanan penduduk Sparta
terhadap Helot bertambah baik seiring peredaran masa. Mungkin hal ini merupakan
satu kaedah untuk mengelakkan konflik daripada mereka. Helot sentiasa memasang
harapan agar dimerdekakan, dan sejarah mencatatkan bahawa sekumpulan demi
sekumpulan Helot dimerdekakan merentas masa.
Apapun, sistem
perhambaan Helot ini runtuh pada kurun ke-4SM. Pada tahun 371SM, Sparta
mengalami kekalahan memalukan dalam Pertempuran Leuctra. Penduduk Thebes yang
menang kemudiannya menyerang Peloponnese, dan golongan Helot yang berasal dari
Messenia dibebaskan. Helot terakhir, iaitu Helot dari Laconia dimerdekakan pada
lewat kurun ke-3SM, oleh Cleomenes III dan Nabis.
SUMBER
- Herodotus. The Histories. [Waterfield, R. (trans). 1998. Herodotus’ The Histories. Oxford: Oxford University Press].
- Thucydides. The Peloponnesian War. [Hammond, M. (trans). 2009. Thucydides’ The Peloponnesian War. Oxford: Oxford University Press].
- Lendering, J. 2005. Helot.
- Pausanias, Description of Greece. [Jones, W.H.S, Omerod, H.A. (trans). 1918. Pausanias’ Description of Greece].
- Publius Fabius Scipio. 2005. How was Spartan Strategy after the Persian Wars geared toward preventing a helot revolt?
- Strabo, Geography. [Jones, H.L. (trans). 1917-32. Strabo’s Geography].
- PBS. 2015. Sparta: Government and classes.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Helot – Kelas Pahlawan Hamba Dalam Sparta’
- Get link
- X
- Other Apps


