- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (30 April 2016). Jayavarman II: Self-Proclaimed God-King of the
Khmer Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/jayavarman-ii-self-proclaimed-god-king-khmer-empire-005803
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/jayavarman-ii-self-proclaimed-god-king-khmer-empire-005803
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Jayavarman II merupakan
pengasas Empayar Khmer, sebuah empayar yang memerintah kebanyakan wilayah Asia
Tenggara pada kurun ke-9 hingga kurun ke-15 Masehi. Empayar Khmer terlebih
dahulu didahului oleh Kerajaan Chenla, justeru hari-hari awal Jayavarman
ditandai oleh perseteruan di antara penguasa-penguasa tempatan yang berterusan.
Berikutan kejayaannya
menundukkan penguasa-penguasa ini, Jayavarman berhasil menyatukan kerajaan
Chenla. Malahan, perluasan sempadan empayar juga dilaksanakan oleh beliau
justeru menjadikan Empayar Khmer sebagai sebuah kuasa yang dominan di tanah
besar Asia Tenggara. Lebih daripada kesemua ini, Jayavarman menggelarkan
dirinya sendiri sebagai ‘deva-raja’ yang bermaksud Dewa Raja sekaligus
menjadikan kultus pemerintah sebagai kepercayaan rasmi negara.
PRASASTI TENTANG
SEJARAH HIDUP JAYAVARMAN II
Tidak banyak maklumat
yang kita ketahui tentang sejarah hidup Jayavarman. Maklumat-maklumat yang kita
miliki datang daripada prasasti-prasasti yang kebanyakannya dihasilkan beberapa
kurun selepas kemangkatan Jayavarman. Sebahagian daripadanya pula ada yang
saling bercanggah.
Misalnya, prasasti Sdok
Kak Thom yang ditulis pada tahun 1051
Masehi dianggap sebagai ‘biografi piawai’ Jayavarman. Akan tetapi,
peristiwa-peristiwa sejarah berkaitan Jayavarman yang diceritakan dalam
prasasti ini tidak dapat ditemukan dalam prasasti-prasasti lain. Selain itu,
terdapat juga dua buah prasasti dari lewat kurun ke-8M yang memberikan maklumat
tambahan tentang hari-hari awal Jayavarman sebelum beliau menubuhkan Empayar
Khmer.
![]() |
| Sdok Kok Thom, Thailand |
LOKASI JAVA
Menurut prasasti Sdok
Kak Thom, Jayavarman berasal dari sebuah tempat yang bernama ‘Java’ (Jawa).
Memandangkan beliau dipercayai berketurunan Khmer, keberadaannya di Java
seperti yang didakwa oleh prasasti Sdok Kak Thom diperkirakan sama ada sebagai
tawanan ataupun buangan. Lokasi Java masih menjadi bahan perdebatan. Secara
umum, ia dianggap merujuk kepada pulau Jawa di Indonesia.
Walau bagaimanapun,
penafsiran sebegini membangkitan beberapa persoalan. Misalnya, tidak wujud
sebarang kisah penaklukan Indonesia/Jawa di Kemboja pada kurun ke-8M dalam
catatan sejarah Indonesia/Jawa. Justeru, terdapat sejarahwan yang berpendapat
bahawa sebutan tentang ‘Java’ dalam prasasti Sdok Kak Thom ini berkemungkinan
adalah legenda yang direka pada kurun ke-10 dan kurun ke-11M, zaman yang
memperlihatkan kebangkitan pusat perdagangan baru yang penting di Jawa Timur.
![]() |
| Topografi Jawa |
PENGISYTIHARAN SEBAGAI
DEWA-RAJA
Prasasti Sdok Kak Thom
kemudiannya mendakwa bahawa Jayavarman kembali ke Kemboja, mungkin sebagai
orang bawahan Jawa. Jayavarman dikatakan mula mengumpulkan sokongan dari
wilayah tengah Kemboja sebelum bergerak ke kawasan yang kini dikenali sebagai
Roluos, berjarak kira-kira 20km (12.42 batu) arah barat daya dari Angkor moden
dan menubuhkan ibu kotanya di sana.
Walaupun sumber ini
tidak merekodkan tarikh kepulangan Jayavarman (ke Kemboja), terdapat sumber
lain yang memperkirakan bahawa ia berlaku pada tahun 790M. Apapun, menurut
naratif ini, Jayavarman bukanlah orang bawahan yang tunduk patuh pada Jawa.
Pada tahun 802M (atau lebih lewat daripada itu), beliau membelakangkan
pemerintah atasannya, mengisytiharkan kemerdekaan dan menabalkan diri sebagai
deva-raja.
![]() |
| Kultus Devaraja membolehkan raja-raja Khmer melakukan projek berskala besar, seperti pembinaan Angkor Wat |
Dua prasasti yang
bertarikh lewat kurun ke-8M memberikan naratif yang berbeza. Nama ‘Jayavarman’
boleh ditemukan pada prasasti-prasasti ini. Sejarahwan berpendapat bahawa Jayavarman
yang dimaksudkan dalan kedua-dua prasasti ini adalah individu yang sama yang
menubuhkan Empayar Khmer. Menurut kedua-dua sumber ini, Jayavarman memulakan
kempen ketenteraannya di wilayah tengara Kemboja, sebelum berpindah ke Kratie
dan kemudian mendirikan ibu kotanya di Roluos.
Naratif ini
dipersetujui oleh kebanyakan sejarahwan, yang berpendapat bahawa Jayavarman
bukanlah penguasa bawahan yang dihantar dari tanah yang jauh (Jawa), sebaliknya
adalah seorang pemerintah tempatan yang hidup di Kemboja sebelum menubuhkan
empayarnya sendiri.
Menurut sumber tradisi,
Jayavarman mengisytiharkan dirinya sebagai deva-raja di Phnom Kulen pada tahun
802M. Pengisytiharan ini melibatkan sebuah upacara keagamaan yang diambil dari
Hinduisme. Dengan menggelarkan dirinya sebagai deva-raja, Jayavarman menegaskan
kedudukannya sebagai pemikul mandat dewa dan berautoriti mutlak ke atas rakyat
dan seluruh wilayah kekuasaannya.
![]() |
| Runtuhan sebuah kuil Khmer di Phnom Kulen |
Sebutan Khmer yang
lebih tepat bagi gelaran ini adalah ‘kamrateng jagat ta raja’ yang boleh
diterjemahkan sebagai ‘raja segala raja’ atau ‘raja kepada dunia raja’. Upacara
pengisytiharan itu juga boleh dikatakan tidak menyeru dewa dari Hinduisme,
sebaliknya dewa-dewa dari pantheon Khmer sendiri.
Malahan, dipercayai
bahawa istilah deva-raja hanya disebutkan di dalam prasasti Sdok Kak Thom dan
orang yang menulis prasasti berkenaan hanyalah orang-orang yang terlibat dalam
upacara keramat tersebut. Justeru, terdapat kemungkinan bahawa mereka
berlebih-lebihan dalam menyifatkan kepentingan pengisytiahran gelaran itu.
Jayavarman dipercayai
mangkat sekitar tahun 835M, dan kedudukannya diambil-alih oleh putera beliau
yang bernama Jayavarman III.
SUMBER
- Vickery, M. 2004. Jayavarman II. In: O. Keat Gin, ed. Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor, Volume I. Santa Barbara. Calif: ABC-CLIO, pp. 694-695.
- Angkor 1431. 2016. Chronology of Cambodian History, Jayavarman II.
- Cambodia-Travel. 2011. Birth of Angkor (802-834 AD).
- Golzio, K-H. 2016. Considerations on the Chronology and History of 9th Century Cambodia.
- National Palace Museum. 2016. From Jayavarman II to Suryavarman I.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Jayavarman II: Pengasas Empayar Khmer’
- Get link
- X
- Other Apps




