KOTA LAMA ZINDER – PUSAT KEBUDAYAAN NIGER

Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (3 Mac 2020). Zinder Old Town, Celebrated Cultural Capital of Niger. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/zinder-old-town-0013367

Penterjemah: Amir Zayyanid


Wilayah Sahel, Afrika kaya dengan sejarah yang mengujakan. Banyak tinggalan empayar-empayar hebat ditemui di rantau itu. Salah satu tapak yang paling mengagumkan adalah kota lama Zinder di Niger. Di sini, para pengunjung akan dapat menyaksikan kehidupan tradisional masyarakat Zinder dan melihat artisan tempatan menghasilkan barang dagangan mereka dengan kaedah yang hampir sama seperti nenek-moyang mereka.


SEJARAH KOTA LAMA ZINDER

Bermula dari kurun ke-15 Masehi, sejumlah kerajaan suku Hausa ditubuhkan di kawasan yang terletak di antara Sungai Niger dan Tasik Chad. Suku Hausa menganut agama Islam dan merupakan pedagang dan artisan yang mahir. Zinder yang pada asalnya hanyalah sebuah kampung suku Hausa ditawan oleh golongan aristokrat Kanuri yang menubuhkan negara Damagaram, sebuah wilayah yang memerdekakan diri dari Empayar Kanem-Bornu.

Lokasi Zinder, Niger


Damagaram berkembang dengan pantas hasil penaklukan ke atas wilayah-wilayah Bornu. Zinder kemudiannya menjadi ibu kota empayar tersebut dan membangun menjadi sebuah kota yang besar di bawah pemerintahan golongan elit Kanuri.

Kota ini berupaya mengecapi kegemilangan lantaran kedudukannya yang strategik, terletak di laluan perdagangan penting sekaligus membolehkan melakukan kegiatan perdaganan dengan negara-negara Islam dan bukan Islam. Ramai suku Tuareg dan suku-suku lain menetap di Zinder. Kebanyakan suku Hausa pula hidup di kota lama Zinder.

Menjelang pertengahan 1800an, kota itu menjadi ibu kota kepada sebuah wilayah yang berkeluasan sekitar 70 000 batu persegi. Menjelang tahun 1890, kekuasaan Perancis menembusi Niger menerusi pangkalan mereka di Senegal. Sepasukan tentera Perancis, terutamanya tentera koloni, menewaskan Sultan Empayar Damagaram dalam sebuah pertempuran yang berlangsung sekitar 7 batu (10 km) dari Zinder. Kota itu dan wilayah-wilayah yang berhampiran dengannya tidak diapa-apakan oleh Perancis dan Sultan terus memegang autonomi di sana.

Zinder menjadi ibu kota Niger-Perancis sehingga tahun 1927, tahun di mana Niamey menjadi ibu kota. Pun begitu, Zinder tetap dianggap sebagai pusat kebudayaan.


PEMANDANGAN KOTA LAMA ZINDER

Pada hari ini, bandar Zinder moden merupakan bandar nombor dua di Niger. Kota lama Zinder terletak berhampiran pusat bandar moden dan sebahagian daripada tembok-tembok lama yang pernah mengelilingi Zinder masih boleh kelihatan. Kota lama ini dibina pada sebuah tapak berbentuk bulat dan mempunyai sejumlah lorong sempit.

Banyak rumah tradisional yang diperbuat daripada bata jemur dan setinggi satu tingkat masih kekal sehingga kini. Rumah-rumah tradisional ini diperindahkan dengan gambar dan dekorasi yang lazimnya bercorak geometrik dan diteduhi pokok-pokok rimbun.

Pemandangan Masjid Jamek Zinder di Niger


Di kota lama ini juga terdapat sejumlah madrasah di mana para pelajarnya mempelajari ilmu al-Quran. Masjid yang diwarnakan dengan indah ini turut dilengkapi dengan deretan pasar yang menjual barangan seni dan hasil kraftangan tradisional. Pasar-pasar ini aktif sejak berkurun lamanya.

Sultan yang memerintah, yang merupakan individu penting di wilayah setempat, menghuni di sebuah istana yang megah di kota lama Zinder. Sehingga ke hari ini, sultan lazimnya mengadakan majlis keraian dan tradisi-tradisi purba Afrika. Istana kediaman sultan ini merupakan sebuah bangunan batu jemuran yang besar dan mempunyai banyak terowong sempit dan ruang dewan.

Pemandangan kediaman sultan Damagaram dari luar


Gerbang utamanya dibina mengikut gaya tradisional Hausa. Jendela-jendelanya pula ditutupi dengan bingkai. Terdapat banyak lukisan dan dekorasi pada dindingnya yang diperbuat daripada kayu-kayu yang diwarnakan. Istana ini dikawal oleh pegawai-pegawai keselamatan yang memakai jubah merah tradisional. Kebanyakan akses ke bangunan di kompleks ini ditutup. Namun, kawasan-kawasannya yang umum boleh dikunjungi dengan bayaran kemasukan.


MENGUNJUNGI KOTA LAMA ZINDER

Zinder mempunyai sebuah lapangan terbang yang kecil. Pun begitu, pengunjung juga boleh mengambil teksi dari Nigeria atau ibu kota Niger. Bas mungkin merupakan pengangkutan terbaik untuk menuju ke kota lama Zinder. Walau bagaimanapun, tidak banyak penginapan yang disediakan di sana. Sebagai tambahan, Niger adalah sebuah negara Muslim, justeru dinasihatkan agar pengunjung menghormati budaya masyarakat tempatan.


SUMBER