LEIF ERIKSON – KISAH HIDUP VIKING YANG MENEROKA DUNIA BARU

Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (26 Januari 2016). Years Before Columbus: Leif Erikson, His Life and His Voyage of Adventure to the New World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/years-columbus-leif-erikson-his-life-and-his-voyage-adventure-new-world-005242

Penterjemah: Amir Zayyanid


Ramai yang masih mempercayai bahawa individu yang ‘menemukan’ Amerika adalah Christopher Columbus melupai hakikat bahawa di benua itu sudah pun ada masyarakat asli. Fakta lain yang sering dikesampingkan adalah Dunia Baru sudah pun dikunjungi dan dikolonikan secara sementara kira-kira 492 tahun sebelum Columbus, oleh seorang lagi warga Eropah – lelaki yang dikenali sebagai Leif Erikson.


SEJARAH KELUARGA TERBUANG DAN PENGEMBARAAN MEREKA

Leif Erikson dilahirkan sekitar tahun 970 Masihi di Iceland. Beliau adalah anak kepada Erik the Red dan Thjodhild. Leif mempunyai seorang saudara perempuan bernama Freydis dan dua orang saudara lelaki, Thorsteinn dan Thorvald. Ketiga-tiga beradik ini adalah anak kepada lelaki yang bertanggungjawab mengkolonikan Greenland.

Menurut Sagas of Icelanders, Leif adalah orang Eropah pertama yang mendarat di Kanada moden. Namun sebelum itu, Leif membesar di Greenland, tempat keluarga Erik the Red berpindah setelah mendirikan koloni di situ. Isteri Leif bernama Thorgunna, dan beliau melahirkan sekurang-kurangnya dua orang anak untuk Leif, iaitu Thorgils dan Thorkell. Leif Erikson dikenang sebagai seorang lelaki yang bertimbang rasa, gagah dan bijaksana.

Sejarah penerokaan dalam keluarga Leif bermula dari hari di mana Thorvald Asvaldsson (datuk Leif) diusir dari Norway. Asvaldsson memulakan pengembaraan pertama dalam keluarganya bersama anak beliau, Erik the Red. Keluarga ini hidup di Iceland sehingga Erik pula diusir dari tanah tersebut. Erik mengembara ke barat dan berlabuh di tempat yang kini dikenali sebagai Greenland. Beliau tiba di sana pada tahun 986 Masihi.

Tugu peringatan Leif Erikson di Shilshole Marina Bay (Pelabuhan Sheattle)


Namun, pengembaraan keluarga tersebut tidak berakhir di situ. Leif meninggalkan Greenland dan mencari kehidupan yang lebih mencabar. Tidak seperti bapa dan datuknya, beliau tidak pernah diusir dari tanah airnya, Greenland. Leif meninggal dunia sekitar tahun 1020 Masihi di Greenland. Semasa hayatnya, beliau dipandang sebagai seorang legenda.


MENGEMBARA KE TANAH BARU

Leif meninggalkan Greenland buat kali pertama pada usia 24 tahun, semasa beliau pergi menghantar hadiah yang dikirimkan oleh bapanya kepada Raja Olaf di Norway. Pengembaraan ini mungkin menjadi penyuluh minatnya untuk meneroka tanah-tanah baru, terutama tanah yang jauh dari Norway dan Greenland.

Apabila Leif pulang, beliau mengingati kembali pengembaraan yang dilalui oleh datuk dan bapanya. Lantas, beliau mengambil keputusan untuk turut merasai pengalaman mengembara. Untuk tujuan itu, beliau pun membeli sebuah kapal dan memulakan persiapan bagi menghadapi pengembaraan yang terbesar dalam hidupnya.

Sumber-sumber menyatakan bahawa beliau berlayar ke barat sejauh 600 batu (965.6 km) dan menemukan sebuah tanah yang berbatu-batu dan berglasier tinggi. Tanah ini dipanggil oleh beliau sebagai Hellulan yang membawa maksud ‘Tanah Papak’ (The Slab Land).

Kini, para penyelidik meyakini bahawa tempat tersebut merujuk kepada Pulau Baffin. Leif dan anak-anak kapalnya tidak menamatkan perlayaran mereka di sini. Sebaliknya, mereka melanjutkan perlayaran menuju ke selatan, di mana beliau menemukan daratan berpantai  yang ditumbuhi banyak pokok. Tanah ini dipanggilnya sebagai Markland (Tanah Hutan). Sejarahwan berpendapat bahawa tanah ini merujuk kepada pantai timur Kanada.

Pulau Baffin, diperkirakan sebagai ‘Helluland’ oleh Leif Erikson


Selepas menemui tempat yang sesuai, mereka pun membina rumah bagi menghadapi musim sejuk. Setelah bersiap untuk mendepani tempoh paling sejuk dalam setahun, Leif menghantar sepasukan peneroka untuk meninjau lebih lanjut tanah tempat mereka diami ini. Sekembalinya pasukan peneroka ini, mereka meluahkan rasa teruja kerana menemui anggur di kawasan itu. Peemuan ini mendorong Leif untuk menamakan tanah tersebut sebagai Vinland yang membawa maksud ‘Tanah Arak’. Anggur merupakan salah sebuah khazanah paling bernilai yang beliau bawa pulang ke Greenland.

Pantai timur laut Pulau Baffin, Nunavut, Kanada


PERBEZAAN KEPERCAYAAN ANTARA BAPA DAN ANAK

Leif dan isterinya telah meninggalkan kepercayaan nenek-moyang dan menganut agama Kristian. Beliau dibaptiskan oleh Raja Olaf Tryggvason dan disifatkan sebagai ‘evangalist Viking’ di Greenland. Leif juga berkhidmat dalam istana Tryggvason di Norway. Selepas pulang ke tanah airnya, beliau turut mengajak seluruh penduduk Greenland agar memeluk agama Kristian. Malahan, Leif dan Thorgunna membina gereja pertama di Greenland. Dalam pada itu, Erik tetap dengan kepercayaan tradisi paganisme Norse dan tidak menggemari agama Kristian.

Ketika Leif berada jauh di Amerika Utara moden, tepatnya sekitar Newfoundland, Erik meneruskan amalannya memuja dewa-dewa. Sebelum memulakan pengembaraannya, Leif sempat berhajat agar bapanya dapat menyertai beliau. Namun, Erik sudah tidak berminat untuk meninggalkan Greenland.

Menurut legenda, diceritakan bahawa Erik sebenarnya mahu memenuhi permintaan anaknya itu. Justeru, beliau menunggang kuda menuju ke kapal anaknya. Namun sebaik mendekati pelabuhan, beliau terjatuh dari kuda. Kejadian ini dianggapnya sebagai satu petanda buruk. Lantaran itu, Erik memutuskan supaya Leif mengembara tanpa beliau. Isyarat petanda buruk ini ternyata munasabah, kerana mereka berdua tidak lagi dapat bertemu. Erik meninggal dunia pada musim sejuk sebelum kepulangan Leif.

Perincian grafik berkenaan laluan perlayaran ke Greenland, Vinland (Newfoundland), Helluland (Pulau Baffin), dan Markland (Labdrador) yang diharungi oleh beberapa orang legenda dalam saga-saga Iceland


KAJIAN-KAJIAN ARKEOLOGI MENGESAHKAN LEGENDA

Sebuah perkampungan Viking dari kurun ke-11 ditemui pada tahun 1960, di L’Anse aux Meadow yang berlokasi di hujung utara pulau Newfoundland. Ahli-ahli arkeologi menemukan lapan buah rumah dan sisa-sisa makanan. Mereka juga menemukan jasad haiwan-haiwan yang diburu, seperti karibu, serigala, musang, kucing buas (lynx), musang hutan (marten), anjing laut, paus dan segala jenis burung dan ikan. Ramai pihak yang menganggap hasil ekskavasi ini terlah berjaya mengesahkan ekspedisi yang dilakukan oleh Leif ke Amerika Utara. L’Anse aux Meadow disahkan sebagai tanah Vinland yang diduduki oleh Leif.

Tapak Viking di L’Anse aux Meadows yang dibina semula pada zaman moden


Greenland menjadi sebahagian daripada Denmark pada tahun 1814. Pada tahun 1932, sekumpulan ahli arkeologi dari Denmark menjalankan kerja-kerja ekskavasi di ladang Erik the Red yang dikenali sebagai Brattahlid (Lereng Curam). Usaha mereka ini membawa kepada penemuan runtuhan gereja, yang dikelilingi oleh tembok penghalang. Berdekatan gereja, mereka juga menemukan sebuah dewan tempat orang memasak makanan dan meluangkan masa-masa lapang bermain permainan papan.

Pada tahun 1961, sebuah lagi penemuan berjaya dilakukan di tapak ini. Sebuah biara kecil berbentuk ladam kuda yang didedikasikan kepada isteri Erik, Thjodhild, ditemui. Biara ini memberikan pengetahuan yang lebih jelas terhadap kepercayaan Thjodhild yang mengikuti anaknya dalam menganuti agama Kristian. Biara ini mempunyai sebuah bilik yang boleh memuatkan seorang 20 hingga 30 orang.

Ketika menjalankan ekskavasi di biara ini pada tahun 1960, ahli-ahli arkeologi turut menemukan sebanyak 144 tulang rangka manusia. Kebanyakan mereka bersaiz tinggi dan tegap, sama seperti masyarakat Scandinavia moden. Dalam kalangan tulang rangka tersebut, terdapat tulang rangka milik sekumpulan lelaki yang dikebumikan secara beramai-ramai dalam satu kubur. Bukti lanjut mendapati mereka berkemungkinan mati dalam sebuah pertempuran. Salah seorang daripada mereka bahkan ditemui dalam keadaan pisau besar tercucuk di celah tulang rusuknya.

Jasad paling menarik yang ditemui oleh ahli arkeologi adalah tulang rangka milik tiga orang manusia yang dikebumikan berhampiran dengan tembok gereja. Catatan-catatan zaman pertengahan menyatakan bahawa orang yang dikebumikan berdekatan dengan gereja adalah orang yang berada dalam barisan pertama di Hari Pengadilan. Para penyelidik meyakini bahawa ketiga-tiga tulang rangka manusia ini adalah milik Erik the Red, isterinya Thjodhjild, dan anaknya, Leif Erikson. Kini, tulang rangka mereka disimpan di makmal Copenhagen.


SUMBER
  • Jane Smiley. The Sagas of the Icelanders. 2000.
  • Malcolm C Jensen. Leif Erikson the Lucky. 1979.
  • Angus Somerville, Andrew R. McDonald. The Viking Age: A Reader. 2010.
  • William, R. Short. Icelanders in the Viking age: the people of the sagas. 2010.
  • http://archive.archaeology.org/online/features/greenland/