- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 April 2017). Five of the Most Powerful and Influential Empires
of the Ancient World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/five-most-powerful-and-influential-empires-ancient-world-007874
https://www.ancient-origins.net/history/five-most-powerful-and-influential-empires-ancient-world-007874
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sejarah telah
menyaksikan kebangkitan dan kejatuhan banyak empayar di dunia. Kebanyakan
empayar ini memberikan pengaruh dan kesan pada skala setempat dan bahkan skala
dunia. Sebilangan empayar boleh dikatakan lebih ‘hebat’ berbanding yang lain.
Namun, ‘kehebatan’ ini bukanlah satu aspek yang boleh dicirikan secara mudah,
memandangkan terdapat pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan.
Antara faktor lazim
yang sering dipertimbangkan adalah saiz wilayah dan tempoh kekuasaan sesebuah
empayar. Selain itu, sumbangan empayar tersebut terhadap bidang kesenian dan
sains (keilmuan) di samping kekuatan ekonominya juga diambil kira.
Walaupun kelihatan
rumit, artikel kali ini cuba untuk menyenaraikan lima buah empayar terhebat
yang pernah wujud dalam sejarah.
EMPAYAR BRITISH
Dalam senarai empayar
‘terhebat’, tidak lengkap kalau tiada nama Empayar British. Hal ini kerana
empayar tersebut merupakan empayar yang paling besar pernah wujud dalam sejarah
manusia. Pada zaman kemuncaknya, wilayah kekuasaan empayar ini secara keseluruhannya
berkeluasan 35.5 juta kilometer persegi, atau hampir suku dari saiz daratan
bumi. Rakyat yang bernaung di bawah pemerintahannya pula mencecah lebih 500
juta orang, yang mana angka ini hampir meliputi satu perempat populasi dunia
pada waktu itu.
Salah satu pengaruh
yang ditinggalkan oleh Empayar British pada dunia moden adalah penggunaan
Bahasa Inggeris secara meluas sebagaimana yang dapat kita lihat pada hari ini.
Pun begitu, antara yang menyumbang kepada penggunaan bahasa ini secara meluas
adalah kebangkitan Amerika Syarikat sebagai adikuasa dunia selepas tamatnya
Perang Dunia Kedua.
![]() |
| Peta Empayar British pada tahun 1886 |
EMPAYAR MONGGOL
Walaupun Empayar
British adalah yang paling besar dalam sejarah manusia, status empayar
bersempadan terbesar jatuh pada Empayar Monggol. Bermula dari Steppe Monggol,
Genghis Khan memulakan kempen menakluk dunia. Perluasan kuasa Empayar Monggol
diteruskan oleh anak cucunya. Pada zaman kemuncak empayar ini, wilayahnya
terbentang dari China di sempadan timur hingga ke Hungary di sempadan barat.
Tidak seperti Empayar
British, Monggol tidak memanfaatkan kemajuan teknologi untuk membolehkan mereka
mentadbir empayar yang begitu luas ini. Lantaran itu, Empayar Monggol kemudian
berpecah menjadi entiti-entiti kecil. Empayar Monggol terkenal dengan
kebengisan dan kekejaman mereka. Walau bagaimanapun, salah satu pencapaian
mereka adalah pembunaan semula Laluan Sutera yang menghubungkan antara China
dan Eropah.
![]() |
| Peta lokasi Empayar Monggol |
EMPAYAR ROM
Walaupun Empayar
British dan Empayar Monggol masing-masing dikenali sebagai empayar paling besar
dalam sejarah manusia, masing-masing tidak bertahan lama. Status ini diambil
oleh Empayar Rom (seandainya kita menerima Empayar Byzantine sebagai sebahagian
daripada Empayar Rom). Empayar ini ditubuhkan pada tahun 27SM menerusi
pertabalan Augustus. Kekuasaannya berakhir pada tahun 1453M dengan ditandai
oleh tumbangnya Konstantinopel di tangan Uthmaniyah.
Sebagai kepilan fakta,
kekuasaan Empayar Rom di bahagian baratnya berakhir pada kurun ke-5M dan
Empayar Byzantine pula pernah terbubar secara sementara pada kurun ke-13
berikutan Perang Salib Keempat.
Apapun, Empayar Rom
tetap merupakan empayar yang bertahan selama hampir satu milenium setengah.
Tanpa dapat dinafikan, tamadun Rom meninggalkan pengaruh yang begitu besar pada
lanskap sejarah Eropah, Asia dan Afrika.
![]() |
| Peta Empayar Rom di zaman kemuncaknya |
KEKHALIFAHAN UMAYYAH
Sebuah lagi empayar
yang namanya perlu ada di dalam senarai ‘empayar terhebat dalam sejarah dunia’
adalah Kekhalifahan Umayyah, yang merupakan kekhalifahan kedua dari empat
kekhalifahan yan ditubuhkan selepas kewafatan Nabi Muhammad.
Pada zaman kemuncaknya,
iaitu sekitar kurun ke-7M, wilayah kekuasaan Kekhalifahan Umayyah meliputi kawasan
seluas 11.1 juta kilometer persegi, dan ia mentadbir hampir satu pertiga
populasi dunia.
Salah satu sumbangan
paling signifikan empayar ini kepada sejarah dunia adalah penyebaran agama
Islam secara meluas sehingga agama tersebut diperakui sebagai salah sebuah
agama utama dunia. Malah, Kekhalifahan Umayyah sering dianggap sebagai Zaman
Keemasan Islam berikutan banyak sumbangan dalam bidang seni dan sains (ilmu)
dilakukan oleh ahli-ahli intelek dari zaman itu.
![]() |
| Masjid Cordoba, Sepanyol. Sebuah monumen mengagumkan dari Kekhalifahan Umayyah |
EMPAYAR ACHAEMENID
Empayar terakhir yang
melengkapkan senarai ini adalah Empayar Achaemenid. Empayar tersebut merupakan
empayar paling besar di zaman purba. Berlokasi di Iran moden, para pemerintah
Achaemenid memerintah empayar yang luasnya hampir mencecah 8 juta kilometer
persegi dan rakyatnya pula berjumlah hampir seramai 49.4 juta orang.
Selain saiznya yang
besar, Empayar Achaemenid juga dianggap sebagai empayar global pertama dalam
sejarah memandangkan ia merupakan empayar pertama yang berkuasa di tiga benua
berbeza, iaitu Asia, Eropah dan Afrika.
Tambahan lagi,
kebanyakan tamadun maju pada waktu itu seperti Babylon, Mesir dan Lydia diserap
ke dalam empayar ini sekaligus membuktikan keampuhan pasukan tenteranya. Di
bawah pemerintahan Empayar Achaemenid, Timur Tengah berpeluang menikmati zaman
keamanan dan keharmonian yang berpanjangan selama 200 tahun, di mana hakikat
ini sendiri boleh dianggap sebagai suatu pencapaian yang besar.
![]() |
| Naqsh-e-Rustam. Makam para pemerintah Achaemenid di atas, relif-relif Sassanid di bawah. Makam dari kiri ke kanan adalah milik Darius II, Artaxerxes I, Darius I, Xerxes I |
SUMBER
- Aaron Ahmadi. 2011. Top 10 Greatest Empires in History.
- Freikorptrasher. 2010. Top 10 Greatest Empires in History.
- Ivan. 2016. Top 5 Most Powerful Empires & Civilizations in History.
- Klosowski, T. 2017. 10 Most Long-Lived Empires in History.
- Matthews, C. 2014. Fortune 5: The most powerful economic empires of all time.
- Pillalamarri, A. 2015. The 5 Most Powerful Empires in History.
- Rogers, A. 2011. The 10 Greatest Empires in the History of the World.
- Smashing Lists. 2017. 10 Greatest Empires in the History of World.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘5 Empayar Paling Berkuasa Dan Berpengaruh Zaman Silam’
- Get link
- X
- Other Apps





