MAHMUD GHAZNI – PEMERINTAH AGUNG EMPAYAR GHAZNAWI

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (18 Jun 2017). Mahmud of Ghazni: Merciless Tyrant Obliterated Hindu Temples and Conquered Territories Through Plunder and Slaughter. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mahmud-ghazni-merciless-tyrant-obliterated-hindu-temples-and-conquered-021444

Penterjemah: Amir Zayyanid


Sebilangan sejarahwan menyifatkan Mahmud sebagai seorang pemimpin sederhana yang menghormati hak kebebasan kelompok masyarakat yang dikuasainya. Namun, bukti sejarah jelas menunjukkan keadaan yang sebaliknya. Mahmud adalah seorang pemerintah yang keras dan tamak serta lazim melancarkan perang ke atas penganut Hindu. Menerusi penyerangan dan penjarahan yang dilakukan, beliau membangunkan sebuah empayar yang terbentang luas dari Iran hingga ke India.

Yamin ad-Dawlah Abdul Qasim Mahmud ibn Sabuktegin atau lebih dikenali sebagai Mahmud Ghazni adalah pemerintah ketiga Empayar Ghaznawi. Pada zaman kemuncaknya, keluasan empayar ini merangkumi Afghanistan, sebahagian besar Transoxiana dan Iran, serta bahagian barat laut sub-benua India. Mahmud Ghazni sering dianggap sebagai pemerintah teragung Empayar Ghaznawi. Selain itu, beliau juga dikenang sebagai pemerintah pertama yang menggunakan gelaran ‘Sultan’ dalam sejarah.

Sultan Mahmud Ghazni adalah pemerintah berkuasa dari Empayar Ghaznawi, Afghanistan


MENAIKI TAMPUK KUASA DAN MEMAKAI GELARAN ‘SULTAN’

Mahmud Ghazni dilahirkan pada tahun 971M di bandar Ghazni, Khorasan (kini bahagian tenggara Afghanistan). Ayahandanya, Abu Mansur Sabuktegin adalah seorang pahlawan Mamluk berketurunan Turki dan merupakan pengasas Empayar Ghaznawi. Pada tahun 977M, Sabuktegin mewarisi kedudukan bapa mertuanya, Alptigin sebagai gabenor Ghazna. Seperti pendahulunya, Sabuktegin memperakui autoriti Empayar Samani. Namun, keadaan ini berubah apabila puteranya, Mahmud berkuasa.

Sultan Mahmud Ghazni


Pada tahun 997M, Sabuktegin mangkat kerana gering dan kedudukannya digantikan oleh salah seorang puteranya, Ismail. Mahmud tidak berpuas hati dengan keadaan ini. Beliau lantas memberontak menentang adiknya. Maka pada tahun 998M, pertempuran Ghazni pun tercetus di antara kedua-dua belah pihak dengan Mahmud tampil sebagai juara sekaligus beliau ditabalkan sebagai pemerintah baru Empayar Ghaznawi. Mahmud mengambil keputusan untuk membebaskan empayarnya dari autoriti Empayar Samani yang sedang mengalami kemunduran pada waktu itu.

Mahmud adalah seorang Muslim yang bersungguh-sungguh dalam agamanya. Beliau memakai gelaran ‘Emir’ sebagai simbol penghormatan terhadap Khalifah Abbasiyah yang memperakui pemerintahan Mahmud. Mahmud juga memakai gelaran ‘Sultan’ yang membawa maksud ‘Yang Berkuasa’ dalam Bahasa Arab. Penggunaan gelaran ini bermaksud untuk membuktikan kekuasaannya dan untuk mengisytiharkan kemerdekaannya dari Empayar Samani.

Kejayaan pertama Mahmud Ghazni menurut cerita Hutchinson


MEMPERTAHANKAN EMPAYAR

Tugas pertama yang digalas oleh Mahmud sejak menjadi sultan adalah menjamin keselamatan sempadan utara empayarnya. Beliau pada mulanya menyerang Empayar Qarakhanid, namun mengalami kekalahan. Beliau lebih cenderung meraih kejayaan menerusi jalan diplomatik. Dengan demikian, beliau berupaya melindungi sempadan utaranya.

Ancaman lain buat empayar Mahmud datang dari Empayar Samani yang sedang mengalami kemunduran. Justeru pada tahun 999M, Empayar Samanid ditewaskan secara muktamad oleh Mahmud dan kerajaannya dibahagi-bahagikan sesama kerajaan-kerajaan jiran. Khorasan diserap menjadi sebahagian wilayah Empayar Ghaznawi manakala ibu kota Samani, iaitu Bukhara pula diambil oleh Qarakhanid.


KEJAYAAN DI INDIA

Setelah itu, Mahmud mencurahkan perhatiannya ke sempadan tenggara empayarnya, yang juga merupakan bahagian barat laut sub-benua India. Kempen ketenteraan berskala besar pertama yang dilancarkan oleh Mahmud di rantau ini adalah kempen ke atas seorang pemerintah Hindu-Punjab yang bernama Jaipal. Pada tahun 1000/1001M, Jaipal ditewaskan dan ditawan oleh Ghaznawi. Walaupun Jaipal dibebaskan pada beberapa tempoh kemudian, beliau tidak dapat menerima kekalahannya. Lantaran itu, beliau pun turun takhta lalu menabalkan puteranya, Anandpal sebagai penggantinya. Setelah itu, beliau menghumban dirinya sendiri ke dalam api pengebumiannya sekaligus mengakibatkannya mati terbakar.

Pada tahun 1008M, Anandpal, dengan bantuan para pemerintah Hindu yang lain, berupaya menghimpunkan sepasukan tentera bagi tujuan memerangi Ghaznawi. Pada awal pertempuran, kedua-dua belah sayap pasukan tentera Ghaznawi menerima pukulan kuat dari tentera kaum Khokar yang terkenal gagah. Hal ini memberikan kelebihan buat Anandpal ke atas Mahmud.

Pun begitu, keadaan berubah apabila sebatang panah sesat membuatkan gajah milik Anandpal menjadi panik lalu melarikan diri dari medan tempur. Melihat keadaan itu, para tentera menganggap Anandpal sedang melarikan diri. Maka, moral mereka pun runtuh dan mereka turut melarikan diri. Justeru, pertempuran tersebut dimenangi oleh Ghaznawi.

Kejayaan terakhir Mahmud Ghazni menurut cerita Hutchinson


MEMENUHKAN PERBENDAHARAAN

Mahmud mengambil keputusan untuk memberikan pelajaran kepada para pemerintah Hindu yang bergabung tenaga dalam memeranginya. Lantaran itu, beliau pun melancarkan serangan ke atas wilayah-wilayah mereka dan memusnahkan kuil-kuil serta monumen-monumen penting mereka. Dalam kesempatan itu, Mahmud menyedari kekayaan yang dimiliki oleh para pemerintah tersebut yang disimpan di dalam kuil-kuil mereka.

Menurut sebilangan sejarahwan, sebanyak 17 buah kempen ketenteraan yang digerakkan oleh Mahmud pada tahun-tahun berikutnya melibatkan penjarahan yang disasarkan untuk merampas kekayaan yang dimiliki oleh para pemerintah Hindu. Pun begitu, kempen-kempen ketenteraan ini juga tidak luput daripada maksud perang suci. Hal sebegini dijelaskan secara terperinci dalam penulisan setiasausaha Mahmud sendiri, iaitu Utbi.

Lukisan berjudul ‘Masjid dan Makam Maharaja Sultan Mahmood Ghazni’ oleh Leftenan James Rattray, sekitar 1839


LEGASI SULTAN

Mahmud Ghazni mangkat pada tahun 1030M. Menjelang kemangkatannya, wilayah kekuasaan Empayar Ghaznawi terbentang luas merangkumi Iran hingga ke barat laut India. Walaupun empayar tersebut berupaya mengekalkan kuasa sehingga tahun 1187M, pada hakikatnya ia sudah pun mengalami kehancuran secara bertahap sejak sebelum kemangkatan Mahmud lagi. Hal ini dapat dilihat pada empat tahun terakhir pemerintahan Mahmud Ghazni yang diluangkan untuk memerangi puak-puak nomad yang menceroboh bahagian utara empayarnya.


SUMBER