- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ancient Origins. (13 Oktober 2016). Phoenicians: Creating what is now known as
the Alphabet.
https://www.ancient-origins.net/history/phoenicians-creating-what-now-known-alphabet-006807
https://www.ancient-origins.net/history/phoenicians-creating-what-now-known-alphabet-006807
Penterjemah:
Amir Zayyanid
A-B-C-D-E-F-G… Urutan
abjad yang masyhur ini dikenali hampir di seluruh dunia. Sejarah urutan abjad
ini boleh dijejak kembali pada kurun ke-16SM, di mana asasnya dicipta oleh
sekumpulan kecil pedagang yang dikenali sebagai masyarakat Phoenicia. Mereka
menyusun satu sistem yang terdiri daripada 22 huruf konsonan. Sistem susunan
ini kemudiannya menjadi alfabet yang tidak hanya digunakan oleh penutur bahasa
Inggeris, akan tetapi oleh penutur kebanyakan bahasa di dunia.
Masyarakat Phoenicia
menetap di sepanjang pantai Mediterranean, sekitar Lebanon moden. Mereka
menghuni sejumlah negara kota yang berbeza. Antara yang paling masyhur adalah
Tyre, Byblos, dan Sidon. Tempat-tempat yang dihuni oleh masyarakat Phoenicia
ini lazim berkonflik antara satu sama lain lantaran berebutkan kekuasaan di
rantau itu.
Disebabkan kurangnya
hubungan kerjasama, maka masyarakat Phoenicia pun ditakluk dan dipaksa membayar
ufti kepada hampir setiap empayar di rantau itu, termasuklah Mesir, Hittite,
Assyria, Babylonia, Parsi dan Yunani.
![]() |
| Peta Phoenicia |
MENCIPTA ALFABET
Semasa masyarakat
Phoenicia mencipta alfabet baru, mereka terlebih dahulu menggunakan
simbol-simbol yang telah lama digunakan oleh masyarakat penutur bahasa Semitik
dari Kan’an dan Mesopotamia. Seawal tahun 3000SM, masyarakat Sumeria dan Mesir
sudah pun mencipta sistem tulisan berdasarkan simbol. Tulisan-tulisan awal ini
secara umumnya digunakan oleh para pedagang untuk mencatatkan kontrak, resit
dan senarai barang.
Namun, para pedagang
Phoenicia menginginkan suatu sistem tulisan yang tidak begitu sukar untuk
dipelajari dan pantas serta mudah untuk digunakan. Malangnya, sistem tulisan
Mesir dan Sumeria tidak memenuhi kriteria ini. Mereka menggunakan ratusan
simbol rumit yang berbeza-beza untuk mewakili sesuatu idea (ideogram) dan bunyi
sukukata (fonogram).
![]() |
| Alfabet masyarakat Phoenicia |
Masyarakat Phoenicia
menyedari bahawa kebanyakan perkataan terdiri daripada hanya sejumlah kecil
bunyi ringkas. Mereka mendapati bunyi-bunyi ini boleh diwakili dalam hanya 22
simbol dengan pelbagai kombinasi. Dalam alfabet yang baru mereka cipta ini,
masyarakat Phoenicia menggunakan simbol atau abjad hanya untuk huruf konsonan,
walaupun bahasa pertuturan mereka turut mengandungi bunyi-bunyi vokal. Alfabet
Ibrani dan Arab, yang secara langsung dipengaruhi oleh alfabet Yunani, juga
masih tidak mengandungi simbol untuk huruf vokal.
Masyarakat Phoenica
menyebarkan alfabet mereka ini menerusi rangkaian perdagangan mereka yang luas,
yang terbentang di seluruh rantau Mediterranean. Yunani adalah antara yang
mengambilnya, dan menjelang kurun ke-8SM, mereka menambahkan huruf-huruf vokal.
Kemudian, bangsa Rom juga menggunakan alfabet versi yang sama ini di mana ia
agak mirip dengan versi yang digunakan pada hari ini.
BERDAGANG DI LAUTAN
TINGGI
Masyarakat Phoenicia
merupakan pedagang terhebat di zaman purba pada tempoh 1000SM hingga 600SM.
Mereka merupakan pelaut dan pembina kapal yang mahir. Mereka membina
kapal-kapal layar yang kuat lagi laju untuk mengangkut barang dagangan mereka.
Masyarakat Phoenicia turut mengetahui cara navigasi dan cara memanfaatkan
Bintang utara untuk berlayar pada waktu malam. Terdapat kemungkinan bahawa
mereka pernah berlayar sejauh Britain dan pantai selatan Afrika.
![]() |
| Peta Phoenicia dan laluan perdagangannya di Mediterranean |
Untuk memerangi lanun-lanun
yang sering mengganggu kapal-kapal dagang, masyarakat Phoenicia mereka-cipta
kapal perang khusus untuk mengiringi kapal-kapal dagang mereka. Dalam kapal
perang tersebut, para pendayung akan menolat alat perempuh yang tajam di
hadapan kapal untuk menghentam kapal musuh sehingga mengakibatkannya berlubang
dan seterusnya karam.
Untuk mengembangkan
lagi rangkaian perdagangan mereka, masyarakat Phoenicia turut membina sejumlah
pos yang kelak membangun menjadi kota-kota besar. Antara pos perdagangan yang
paling masyhur adalah Carthage (terletak di Tunisia moden). Carthage
kemudiannya membangun sehingga cukup kaya dan kuat untuk mencabar kekuasaan
Republik Rom.
Pedagang-pedagang
Phoenicia lazim bertindak selaku orang tengah bagi penduduk di wilayah-wilayah
jiran. Mereka mengangkut kain linen dan papyrus dari Mesir, tembaga dari
Cyprus, kain bersulam dari Mesopotamia, rempah-ratus dari Arab, gading gajah,
emas dan hamba sahaya dari Afrika, menuju ke destinasi-destinasi perdagangan
yang terletak di seluruh Mediterranean.
![]() |
| Kapal Phoenicia yang diukir pada sebuah sarcophagus |
Masyarakat Phoenicia
juga mempunyai sumber-sumber berharga dan artisan-artisan yang berkemahiran
tinggi. Daripada cengkering kecil yang bernama murex, mereka
menghasilkan pewarna ungu yang sangat berharga. Pewarna ini lazim dikenakan
pada pakaian berbulu, yang tidak hanya bernilai tinggi pada kecantikannya, akan
tetapi pada kosnya yang amat mahal. Dicatatkan sebanyak 60 000 murex
diperlukan untuk menghasilkan satu paun pewarna. Pewarna ungu ini kemudiannya
diekslusifkan sebagai warna diraja dan hanya dipakai oleh maharaja-maharaja
Rom.
Artisan-artisan
Phoenicia yang berkemahiran tinggi turut mengeluarkan produk kaca, tembikar,
tekstil, hasil pertukangan kayu dan barangan logam yang indah. Barangan ini
meraih permintaan daripada masyarakat di seluruh dunia pada zaman purba. Raja
Sulaiman dari Israel dipercayai pernah menggunakan khidmat artisan dan sumber
dari Phoenicia untuk membina Kuil Ibrani.
Menjelang tahun 572SM,
masyarakat Phoenicia mengalami kejatuhan semasa era pemerintahan Assyria.
Mereka masih lagi meneruskan aktiviti perdagangan seperti biasa. Namun kali
ini, mereka menghadapi persaingan hebat dari Greece dalam berebutkan hegemoni
ke atas laluan perdagangan.
Malah, menjelang kurun
ke-4SM, dua buah kota Phoenicia yang paling penting, iaitu Sidon dan Tyre habis
hancur dimusnahkan oleh tentera Parsi dan Alexander Agung. Ramai masyarakat
Phoenicia meninggalkan pantai Mediterranean dan berpindah ke pos-pos
perdagangan mereka. Lantas, masyarakat Phoenicia bersama identiti mereka
berasimilasi ke dalam budaya-budaya lain.
SUMBER
- US History. 2016, September 20. Phoenicians: Sailing Away.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Masyarakat Phoenicia – Pencipta Asas-Asas Huruf ABC’
- Get link
- X
- Other Apps




