- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (5 April 2013). The Mysteries of Angkor Wat. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mysteries-angkor-wat-00310
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mysteries-angkor-wat-00310
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Jauh di barat daya
Kemboja terletak ibu kota Empayar Khmer dan situ berdiri sebuah monumen yang
diabadikan buat dewa Vishnu. Monumen ini dibina oleh Suryavarman II (bermaksud
Pelindung Matahari) sekitar tahun 1100-1150 Masehi dan nama yang diberikan
terhadap monumen berkenaan membawa maksud ‘Kota Candi’. Luasnya lebih dari 400
ekar dan kawasannya dipenuhi dengan pelbagai macam bangunan sekaligus menjadikan
Angkor Wat sebagai salah sebuah kompleks keagamaan yang paling besar dan paling
rumit pernah dibina dalam sejarah manusia.
Candi-candi ini mula
dikenali oleh orang-orang Eropah sekitar tahun 1860 menerusi mubaligh-mubaligh
Perancis. Henri Mahout, seorang ahli botani yang melakukan penyelidikan yang
mendalam terhadap Angkor Wat pada waktu itu mulanya menganggap Angkor Wat
dibina oleh bangsa lain dan bukannya oleh Kemboja purba.
Pada kurun ke-12,
Empayar Khmer menguasai hampir seluruh tanah besar Asia Tenggara. Pada zaman
inilah Angkor Wat dibina, dalam tempoh masa kira-kira selama 30tahun. Menurut
seorang ahli arkeologi yang bernama Charles Higham, Suryavarman bukan sekadar
seorang manusia, akan tetapi beliau adalah separa-dewa. Dalam pelbagai gambaran
yang dibuat, Suryavarman ditampilkan sebagai seorang yang bertubuh besar dan
tegap berbanding orang-orang lain yang di sisinya. Menurut legenda, Suryavarman
II membunuh bapa saudaranya demi memperoleh takhta.
Kota Angkor adalah
sebuah kota yang dihuni oleh 1 000 000 orang manusia, dengan sistem perairan
yang kompleks, rangkaian jalan yang maju dan bangunan-bangunan yang indah.
Namun dalam tempoh 200 tahun, tamadun Khmer tumbang tanpa sebab yang jelas.
Candi Angkor Wat berupa
sebuah piramid tiga tingkat bersair besar yang dibina di atas permukaan tanah
yang berbentuk segi empat tepat dan dikelilingi oleh air. Ia mempunyai sembilan
buah menara yang setiap satunya berketinggian lebih 60 meter. Candi ini dibina
untuk mewakili ‘rumah para dewa’, iaitu Gunung Meru. Gunung mitos ini dianggap
sebagai kediaman dewa Brahma dan dewa-dewa yang lain. Gunung berkenaan
dipercayai berketinggian kira-kira 1 000 000 km. Perincian sama tentang gunung
sedemikian turut hadir dalam legenda-legenda Jawa dan mitologi-mitologi lain di
seluruh dunia.
Ciri lain yang menonjol
pada Angkor Wat adalah kehadiran sebanyak 1796 figura wanita. Setiap figura
bersifat unik dan para penyelidik masih berteka-teki tentang signifikasi
figura-figura wanita ini. Sudah tentu ianya sangat penting sehingga diabadikan
pada candi paling utama bagi tamadun Khmer.
Mitos menyebutkan
bahawa candi ini dibina secara harmoni dengan alam, terutama pada perkiraan
matematiknya. Jarak dan saiz Angkor Wat dipercayai selari dengan mitologi
India. Dalam karyanya yang berjudul Angkor Celestial Temples of the Khmer
Empire, Eleanor Mannika berpendapat bahawa Angkor Wat turut memainkan
fungsi dalam bidang astronomi. Petikan-petikan daripada Mahabharata, kitab suci
Hindhu, antara relif yang terukir pada dinding candi ini.
Sebagai sebuah monumen
yang besar lagi mengagumkan, Angkor Wat sememangnya merupakan sebuah tempat
yang menarik untuk dikunjungi. Tempat yang berupaya membangkitkan persoalan
tentang perbandingan antara kemajuan di zaman moden dan zaman silam.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Misteri-Misteri Angkor Wat’
- Get link
- X
- Other Apps