- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Veronica Parkes. (26 September 2018). A Universe from Vomit: The Creation Story
of Mbombo.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/mbombo-0010755
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/mbombo-0010755
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kesemua budaya dan
agama mempunyai kisah penciptaan mereka yang tersendiri. Sebilangan daripadanya
lazim didengari dan adapula cerita yang luar daripada kebiasaan. Antaranya
seperti kisah penciptaan yang melibatkan Dewa Mbombo memuntahkan dunia, manusia
dan alam semesta. Lazimnya, kisah penciptaan bermula dengan satu kemenjadian
berkuasa mencipta segala sesuatu dalam alam semesta. Namun, ada juga kisah
penciptaan yang bermula dengan muntah!
DEWA MBOMBO
Pada awal kewujudan,
dalam alam ini hanya terdapat Mbombo si pencipta dan air serta kegelapan.
Mbombo, atau Bumba, sebagaimana nama yang dipanggil dalam tradisi Boshongo,
disifatkan sebagai satu dewa gergasi yang berwarna putih. Tambahan lagi, mitos
menyebutkan bahawa Mbombo telah menanggung sakit selama jutaan tahun. Punca
penyakit tersebut adalah kesunyian yang tidak terubat. Mitos penciptaan ini
datang dari kaum Kuba yang hidup di Afrika Tengah, atau lebih tepat, di
Republik Demokratik Congo moden.
![]() |
| Mbombo mencipta alam semesta |
MUNTAH YANG MENCIPTAKAN
ALAM SEMESTA
Menurut mitos, Mbombo
muntah dan mengeluarkan matahari lalu terciptalah cahaya dan siang. Keadaan ini
mendorong air yang telah sekian lama wujud mengering lalu membentuk pula
daratan. Mbombo kemudiannya muntah buat kali kedua. Pada kali ini, muntahnya itu
mengeluarkan bulan dan bintang yang membahagikan waktu antara siang dan malam.
Untuk kali ketiganya,
beliau muntah dan mengeluarkan sembilan jenis haiwan, iaitu harimau bintang
(Koy Bumba); helang (Ponga Bumba); buaya (Ganda Bumba); ikan (Yo Bumba); kura-kura
(Kono Bumba); burung pucung (Nyanyi Bumba); kambing (Budi); kumbang dan haiwan
yang berupa seperti kucing hitam yang kelak menjadi kilat (Tsetse Bumba).
Burung pucung yang
pertama ini melahirkan lebih banyak jenis burung. Buaya pula mengeluarkan lebih
banyak jenis reptilia dan ular, sementara kambing membiakkan pelbagai haiwan
bertanduk. Aneka spesis ikan lahir daripada ikan pertama tadi dan kumbang pula
melahirkan segala jenis serangga. Biawak, yang lahir daripada buaya, membiakkan
haiwan yang tidak bertanduk.
Bersama dengan
membiaknya haiwan-haiwan ini, lobak merah dan manusia pun kemudiannya wujud.
LEGASI YANG BERTREUSAN
Mbombo mempunyai tiga
orang anak lelaki yang menyempurnakan lagi dunia sebaik segala jenis haiwan
sudah tercipta. Anak pertama, Nyonye Ngana, cuba menciptakan semut-semut putih
dengan memuntahkan mereka. Namun, beliau mati tidak lama setelah itu. Untuk
mengenang jasanya, semut-semut ini mengorek jauh ke bawah tanah untuk mencari
tanah hitam bagi tujuan mengebumikannya. Mereka berjaya menemukan tanah hitam
ini dan membawanya ke permukaan sekaligus mengubah padang pasir menjadi
permukaan bumi seperti yang kita lihat pada hari ini.
Chonganda si anak kedua
pula menciptakan satu jenis tumbuhan yang berupaya menghidupkan segala macam
pokok dan tumbuhan lain. Anak ketiga, Chedi Bumba, mencipta burung terakhir,
iaitu burung layang-layang.
Pada suatu tahap,
Tsetse Bumba membuat kerenah yang merimaskan sehingga Mbombo menghalaunya dari
bumi dan menghantarnya ke langit. Di sana, Tsetse Bumba berubah menjadi petir
dan semenjak itu, beliau sering menyambar bumi kerana marah.
Mbombo juga dipercayai
mengajarkan manusia cara mencipta api dari pokok. Menurut Mbombo, segala jenis
pokok mengandungi api. Setelah segala sesuatu di atas muka bumi sudah diciptakan,
Mbombo pun pulang ke langit dan menyerahkan kesemua ciptaan itu untuk ditadbir
oleh manusia.
Beliau juga
meninggalkan manusia pertama (Loko Yima) untuk bertanggungjawab sebagai ‘dewa
di atas muka bumi’. Wanita lautan, yang dikenali sebagai Chienge, dipercayai
hidup di Timur dan puteranya, Woto, menjadi raja pertama kaum Kuba. Woto si
raja Bushango (Bakuba) berpindah ke Barat bersama anak-anaknya, menjauhkan diri
dari ibunya. Di sana, mereka menghitamkan kulit dan menukar bahasa dengan cara
meletakkan ubat pada lidah mereka.
KAUM KUBA
Kerajaan Kuba adalah
sebuah kerajaan pra-kolonial di Afrika Tengah. Kerajaan ini mengalami
perkembangan pada kurun ke-17 hingga kurun ke-19 dan berlokasi di tenggara
Republik Demokratik Congo moden. Kerajaan Kuba mencapai zaman kegemilangannya
pada pertengahan kurun ke-19 dan ia mula dimasuki masyarakat Eropah pada tahun
1884. Pemerintah mereka yang berkuasa pada hari ini, Kot-a-Mbweeky III, telah
berada di pucuk pimpinan kaum ini sejak tahun 1969.
Selain Mbombo, kaum
Kuba juga percaya pada kewujudan satu makhluk luar biasa yang bernama Woot.
Woot inilah yang menamakan segala jenis haiwan yang dikeluarkan oleh Mbombo.
Begitu juga dengan segala sesuatu yang ada di muka bumi ini. Woot dipercayai
sebagai manusia pertama yang dicipta oleh Mbombo, justeru Kuba kadangkala
dikenali sebagai ‘Anak-Anak Woot’.
SUMBER
- Knappert, J. 1977. Bantu Myths and Other Tales. Brill Archives.
- Vansina, J. 1978. The Children of Woot: A history of the Kuba peoples. University of Wisconsin.
- Allen, P dan C Sanders. 2013. Bumba: African Creator God.
- Mythical Creatures Catalogue. 2017. Bumba, Mbombo.
- Oxford Reference. Bumba Vomits Up the Universe.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Mitos Kaum Kuba – Muntah Yang Menciptakan Alam Semesta’
- Get link
- X
- Other Apps

