- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Saurav Ranjan Datta. (24 Februari 2020). How Some Naked Monks of India
Fascinated Alexander the Great. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/alexander-great-india-0013328
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/alexander-great-india-0013328
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kesan yang ditinggalkan
oleh Alexander III of Macedon atau lebih dikenali sebagai Alexander Agung masih
dirasai hingga ke hari ini. Malahan di sub-benua India, legasinya masih dapat
dilihat menerusi nama sebilangan kanak-kanak, seperti Sikandar dan Iskandar di
mana nama-nama ini diberikan dengan harapan mereka juga akan dapat memberikan
pengaruh yang sama pada dunia seperti Alexander Agung.
ALEXANDER SI PENGUASA
PENAKLUK DUNIA
Alexander adalah
seorang figura yang sangat dihormati di India dan masyarakat secara umum
menganggapnya sebagai penakluk teragung sepanjang zaman. Legasinya di negara
berkenaan masih dirasai dalam pelbagai bentuk.
Sebuah kampung kecil
lagi terpencil di Himachal Pradesh, India yang dikenali sebagai ‘Malana’
mendakwa bahawa semua penduduknya merupakan keturunan tentera Alexander.
Tentera-tentera ini berkemungkinan menetap di situ selepas tercedera dalam
Pertempuran Hydaspes. Dalam tempoh pemulihan di lembah yang terletak di celahan
gunung ini, mereka berkemungkinan menjadikannya sebagai kediaman tetap.
![]() |
| Malana adalah sebuah kampung di mana sebahagian tentera Alexander menetap selepas tamatnya Pertempuran Hydaspes |
Dalam masa yang sama,
terdapat sebuah lagi kampung lain yang bernama Bara Bangal atau Bara Bhangal
(nama ini mungkin memiliki kaitan dengan daerah Bengal di India) yang mempunyai
hikayat sama. Kampung ini juga terletak di kawasan pergunungan yang indah di
Himachal Pradesh, kawasan beraltitud tinggi yang terpencil dari dunia.
Kawasan ini diapit oleh
gunung-ganang dan Sungai Ravi yang berkelok-kelok di kawasan sekitar. Kampung
ini menyimpan legenda yang lebih kurang sama, di mana ia diselubungi misteri
dan kekaburan.
Bara Bangal adalah
salah satu penempatan paling tua bagi puak Gaddi desa. Di sini, para
penduduknya mendakwa bahawa mereka merupakan keturunan pahlawan-pahlawan
Alexander yang enggan pulang ke Greece/Macedon setelah menyertai kempen
ketenteraan yang meletihkan di India. Justeru, mereka menetap di sini.
Walau apapun jua
sejarahnya yang sebenar, nama Alexander Agung masih hidup di daerah-daerah
terpencil di India. Masyarakat India membesar dengan kisah-kisah seputar
Alexander yang ditampilkan dalam komik mahupun medium popular yang lain.
Justeru tidak hairanlah seandainya rangkap ini sering terngiang-ngiang dalam
minda mereka, “Circa 327/326SM, Si Penakluk Dunia Alexander Agung Menyerang
India”.
ALEXANDER SEBAGAI
PROTÉGÉ ARISTOTLE
Alexander III
dilahirkan sekitar tahun 356SM di kota Pella, ibu kota Kerajaan Macedon purba.
Ayahandanya bernama Raja Phillip II manakala ibunya pula adalah Olympias dari
Epirus. Salah satu fakta mengejutkan pada tahun-tahun awal Alexander adalah
latihan dan pendidikan yang beliau terima daripada ahli falsafah terulung
Yunani, iaitu Aristotle.
![]() |
| Alexander mendengar didikan pengasuhnya, Aristotle dengan tekun |
Ayahandanya, Raja
Phillip II memainkan peranan penting dalam menjadikan Macedon sebagai sebuah
kerajaan yang signifikan di semenanjung Yunani pada masa kecil Alexander.
Beliau juga memasang impian untuk menakluk sebuah lagi kerajaan agung pada
zaman itu, iaitu Parsi. Namun sebelum sempat Raja Phillip II memenuhi impiannya
itu, beliau mati dibunuh pada tahun 336SM ketika Alexander masih berusia 20
tahun. Impian Raja Phillip II itu kelak direalisasikan oleh anaknya yang
menewaskan Darius III dalam kempen penaklukan Parsi.
Kempen-kempen
ketenteraan yang digerakkan oleh Alexander kebanyakannya dicatatkan oleh
individu yang hidup sezaman dengannya. Malah ada pula yang merupakan pengiring
dalam rombongannya, seperti Callisthenes, Nearchus dan Onescritus. Biografi
Alexander Agung juga ditulis secara jelas pada beberapa kurun kemudian menerusi
pena penulis-penulis di zaman klasik seperti Plutarch (Rom), Arrian (Yunani)
dll.
Tiada siapa tahu pada
waktu bila dan bagaimana gelaran ‘Agung’ diiringkan pada nama Alexander.
Gelaran ini mungkin disebut oleh salah seorang penulis terawal, iaitu Quintus
Curtius Rufus dalam karyanya yang berjudul Historiarum Alexandri Magni
Macedonis Libri Qui Supersunt, di mana perkataan ‘Magni’ diterjemahkan
sebagai ‘Agung’ (Magnificent) oleh beberapa orang pakar.
ALEXANDER BERTEMU
DENGAN PENDETA-PENDETA TELANJANG DAN CALANOS
Sejarah kempen-kempen
ketenteraan Alexander di India diketahui oleh hampir setiap orang di India pada
hari ini. Dalam sejarah berkenaan, Pertempuran Hydaspes dan kegagahan Porus si
raja India menjadi antara cerita utama yang diabadikan dalam ingatan mereka.
Namun, kempen-kempen Alexander bukanlah subjek yang akan dibincangkan dalam
artikel pada hari ini.
Alexander dibesarkan
dengan pendidikan yang mendalam berkenaan falsafah, justeru tidak seperti para
penakluk di zaman purba yang lain, beliau berkemungkinan mempunyai minat yang
lebih untuk menyelidiki kemisterian dunia ini.
![]() |
| Alexander dan Porus dalam Pertempuran Hydaspes |
Semasa beliau berada di
Taxila, yang merupakan pusat pendidikan utama di India purba (kini terletak di
sekitar Pakitsan moden), beliau sempat bertemu dengan beberapa orang pendeta
dan pertapa telanjak. Semenjak itu, pendeta-pendeta telanjang ini dipanggil oleh
orang Yunani dan Dunia Barat sebagai gymnosophist yang secara kasarnya
boleh diterjemahkan sebagai ‘failasuf telanjang’.
![]() |
| Alexander bertemu dengan gymnosophist (failasuf-failasuf telanjang) |
Terdapat banyak perkara
yang diperdebatkan tentang identiti para pendeta ini. Spekulasi awal yang
dibuat oleh para pakar mencadangkan bahawa mereka adalah pertapa-pertapa
Jainisme yang menganggap pakaian, malah makanan sebagai penghalang dalam
mencapai kesucian fikiran. Namun, pendapat ini ditolak atas faktor yang akan
dikemukakan kelak.
Sehingga kini,
selagimana tiada bukti lanjut yang ditemui, kita tidak dapat memastikan
identiti keagamaan mereka. Failasuf-failasuf ini mungkin boleh jadi sesiapa
sahaja dan berasal dari mana-mana aliran atau agama. Mungkin sahaja mereka
adalah penganut Ajivika atau Rishi Vedik, atau bahkan Buddhisme yang merupakan
aliran utama di barat laut India pada waktu itu.
Walau bagaimanapun,
salah seorang daripada mereka dikenali oleh masyarakat Yunani sebagai Calanos.
Nama asalnya boleh jadi apa pun jua, antaranya seperti Kalyana lantaran nama
Calanos berkemungkinan merupakan derivasi bahasa Yunani terhadap nama asalnya.
Tatkala Alexander mengutus salah seorang pengiringnya untuk memanggil Calanos,
Calanos dengan angkuh menjawab bahawa Raja Yunani itulah yang mahu bertemu
dengannya dan bukannya beliau yang bertemu dengannya. Justeru, Alexander mesti
datang berjumpa dengannya.
Semasa Alexander
bertemu dengannya di dalam hutan, perbualan yang berlangsung di antara mereka
yang merangkumi soal kehidupan dan alam ada didokumentasikan oleh para penulis
di zaman terkemudian. Alexander begitu terkejut tatkala mempelajari daripada
Calanos tentang kekosongan nilai kebendaan dan harta, serta betapa ilmu
pengetahuan yang suci adalah satu-satunya asas kebahagiaan. Beliau kemudiannya
mengajak Calanos agar mengembara bersamanya dan menjadi gurunya. Calanos
bersetuju dengan permintaan itu lalu ikut mengembara bersama Alexander ke
Parsi.
![]() |
| Tulisan sejarahwan tentang Alexander dan gymnosophist |
Di Parsi, atas beberapa
faktor yang salah satunya mungkin adalah usianya yang telah lanjut, Calanos
memutuskan untuk membunuh diri dalam sebuah api suci. Inilah faktor yang
dimaksudkan di atas, tentang faktor yang melanggar falsafah para pertapa
Jainisme. Menurut kepercayaan mereka, membunuh haiwan sekecil serangga itu
sendiri merupakan satu jenayah yang berat. Justeru, mereka sama sekali tidak
akan memandang ringan perbuatan mencabut nyawa seseorang. Jainisme secara umum
melaksanakan satu ritual yang dipanggil sebagai Sallekhana. Ritual ini
secara perlahan memberhentikan pengambilan makanan sehingga mati kebulur.
Dengan logik yang
sedemikian, dapatlah disimpulkan bahawa Calanos bukanlah penganut aliran
Jainisme. Beliau memasuki api yang bakal membakar tubuhnya tanpa rasa ragu-ragu
dan takut. Malah ketika tubuhnya sedang dibakar, beliau langsung tidak
mengeluarkan sebarang jeritan atau erangan. Alexander dan tentera-tentera
menyaksikan kejadian itu dengan penuh rasa takjub.
Mereka tidak dapat
membayangkan betapa kuatnya pertapa yang hidup sederhana ini mampu membakar
tubuh tanpa rasa sakit dan sambil tersenyum. Sebelum itu, Calanos terlebih
dahulu menyerahkan segala harta miliknya kepada tentera-tentera Alexander.
Menerusi kepatuhannya pada ajaran agama dan ketinggian peribadinya, Calanos
berupaya menanamkan satu tanggapan atau pandangan yang abadi pada minda
masyarakat Barat.
Tambah aneh, semasa
tubuhnya sedang terbakar dalam api tersebut, Calanos memandang Alexander dengan
tenang dan menyatakan bahawa beliau kelak akan bertemu dengannya di Babylon.
Tidak lama kemudian. Alexander mangkat secara misteri di Babylon pada usia yang
masih muda. Hal ini membuatkan Calanos dipandang oleh masyarakat Yunani sebagai
seorang ahli mistik yang mampu melihat masa depan dan meramalkan kematian
Alexander.
![]() |
| Alexander Agung menerima khabar kematian Calanos si pendeta telanjang India |
Legenda menyebutkan
bahawa daripada mulut Calanos atau Kalyana inilah Alexander memperoleh maklumat
tentang Dandamis, pemimpin seluruh gymnosophist atau failasuf telanjang di India pada waktu
itu. Nama Dandamis mungkin merupakan deriviasi Yunani bagi Dandi Swami. Apapun,
ini hanya sekadar satu andaian. Walau apapun jua nama sebenarnya, failasuf
telanjang ini juga berupaya memesonakan Alexander menerusi pegangan falsafah
dan peribadinya yang bersederhana.
PERTEMUAN ALEXANDER
DENGAN DANDAMIS
Menurut legenda,
pertemuan antara Alexander dan Dandamis mengandungi faktor tarikan yang sama
seperti pertemuan-pertemuan yang lain. Alexander berkali-kali cuba untuk
mengumpannya dengan segala kekayaan dan kemegahannya. Namun dalam setiap cubaan
itu, si pertapa itu hanya membalas dengan gelak ketawa sahaja. Dandamis
memaklumkan kepada Alexander bahawa segala barang kebendaan itu hanya kelihatan
seperti batu pada pandangannya. Tambahnya lagi, kesenangan sejati baginya
adalah menemukan zat abadi dan ilmu pengetahuan.
Apabila Alexander cuba
untuk menakut-nakutkannya dengan mengugut bahawa seandainya Dandamis enggan
mengikutnya, maka kepalanya akan dipenggal, beliau sekali lagi tertawa. Kata
Dandamis, Alexander boleh membunuh tubuhnya tetapi tidak jiwanya. Hanya Tuhan
satu-satunya pelindung sejati dan pemilik segala hati dan jiwa.
Perbezaan di antara
penakluk dunia ini dan pertapa telanjang tersebut terletak pada emas dan
berlian. Failasuf telanjang yang terbaring di bawah sebatang pokok yang
dikelilingi oleh alam semulajadi dianggap sebagai bukti sebenar kepada hakikat
bahawa kuasa hakiki tidak terletak pada kekayaan atau kekuatan tentera. Akan
tetapi, ia terletak pada pencarian hikmah sejagat.
![]() |
| Dandamis tidak gentar terhadap Alexander Agung si penakluk dunia |
Pertemuan dengan
Calanos dan Dandamis adalah yang pertama di antara Barat yang memiliki dan
kerohanian India yang sebenar. Impak pertemuan ini berpanjangan sehingga ke
hari ini. Yunani merupakan tempat di mana pelbagai aliran falsafah di zaman
purba terbentuk, justeru pertembungannya dengan aliran-aliran lain di Timur
merupakan suatu hal yang mengagumkan.
Tanggapan Barat tentang
India banyak dipengaruhi oleh pertemuan Alexander dan tentera-tenteranya dengan
para failasuf ini. Semenjak itu, India disinonimkan dengan kemistikan dan
tanahnya disifatkan sebagai penuh dengan keajaiban. Identiti Calanos dan
Dandamis menjadi salah satu topik yang dibincangkan secara hangat sehingga ke
hari ini.
Benar ramalan Calanos.
Alexander Agung kemudiannya mangkat di Babylon pada tahun 323SM pada usia yang
sangat muda. Ketika itu beliau sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air,
setelah tentera-tenteranya yang kepenatan memberontak dan enggan melanjutkan
kempen jauh ke India bagi menakluk Nanda. Kemangkatan Alexander sehingga ke
hari ini diselubungi misteri.
Sebilangan sejarahwan
berpendapat bahawa beliau diracun sambil sebahagian yang lain mendakwa bahawa
beliau tewas terhadap kecederaan-kecederaan yang ditanggung sepanjang kempen
ketenteraannya yang panjang. Malah, ada juga yang berpendapat bahawa beliau
diserang penyakit dari Timur yang tidak diketahui.
Filem Hollywood tahun
2004 yang diarahkan oleh Oliver Stone, di mana Colin Farrel berlakon sebagai
Alexander, turut merangkumkan tentang babak kemangkatannya. Walau apapun jua
faktor kematiannya, ‘Failasuf-Failasuf Telanjang India’ sama sekali tidak
tersilap dalam meramalkan bahawa semua manusia, tanpa mengira betapa berkuasa pun
ia, atau betapa kaya atau miskin pun ia, akan tersungkur mati pada suatu hari
nanti.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kisah Pertemuan Menarik Alexander The Great Dengan Pendeta Telanjang Di India’
- Get link
- X
- Other Apps







