PENGEPUNGAN LACHISH – SEJARAH DARI PIHAK YANG MENANG DAN KALAH

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (15 November 2015). The Siege of Lachish: History from Both the Victors and Defeated. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/siege-lachish-history-both-victors-and-defeated-004554

Penterjemah: Amir Zayyanid


Pengepungan Lachish merupakan sebuah peristiwa yang berlaku pada tahun 701SM. Peristiwa ini melibatkan pengepungan dan penaklukan sebuah petempatan bangsa Israel di Lachish oleh bangsa Assyria. 

Lazimnya disebutkan bahawa ‘sejarah ditulis oleh pihak yang menang’. Akan tetapi, peristiwa pengepungan Lachish berbeza dengan kebanyakan pertempuran di zaman purba di mana kita memiliki maklumat tentang peristiwa ini baik dari perspektif pihak yang menang (Assyria) mahupun pihak yang kalah (Israel). 

Rekod dari bangsa Assyria boleh didapati menerusi satu set panel batu yang dikenali sebagai Relif Lachish, manakala rekod dari bangsa Israel pula boleh ditemui di dalam Bible Ibrani.


SEJARAH RINGKAS LACHISH

Lachish (kini dipanggil sebagai Tell ed-Duweir atau Tel Lachish) merupakan sebuah tempat yang berlokasi kia-kira 40 kilometer (24.9) batu dari arah barat daya Jerusalem, di antara Gunung Hebron dan pantai Mediterranean. Tempat ini dipercayai telah dihuni sejak tahun 5500-4500SM. Pada milenium ke-2SM, sebuah petempatan bangsa Kan’an ditubuhkan di Lachish.

Surat-Surat Amarna dari kurun ke-14SM (atau turut dikenali sebagai Tablt Amarna) memberikan maklumat bahawa Lachish berada di bawah pemerintahan Mesir. Pada lewat kurun ke-12SM, kota Lachish yang didiami oleh bangsa Kan’an musnah dalam sebuah kebakaran. Pada kurun ke-10SM, Lachish sekali lagi dijadikan sebagai sebuah petempatan, kali ini oleh bangsa Israel.

Berikutan perpecahan Kerajaan Israel kepada Judah dan Israel, Lachish menjadi sebuah tapak yang penting lantaran ia merupakan kota paling besar di sempadan barat Kerajaan Judah yang menghadap Dataran Pantai Philistine.

Oleh kerana itu, Lachish diperteguhkan sehingga menjadi sebuah petempatan berkubu yang ampuh di bukit dan dianggap sebagai kota kedua sesudah Jerusalem. Antara ciri pertahanan yang dilengkapkan pada Lachish adalah dua buah kubu bertembok besar. Sebuah daripadanya berada di tengah-tengah lereng bukit sambil sebuah lagi berada di puncak. Terdapat juga sebuah istana kubu yang dibangunkan di tengah-tengah bukit.

Runtuhan istana – kubu di tapak arkeologi Lachish. Tell ed-Duweir


KISAH DARI KITAB RAJA-RAJA

Menurut Kitab Raja-Raja dalam Bible Ibrani, Raja Judah yang bernama Hezekiah enggan membayar ufti kepada raja Assyria yang bernama Sennacherib.

“Dan Tuhan bersama dengannya, dan dia meraih kejayaan ke mana sahaja dia pergi; dan dia bangkit menentang raja Assyria dan enggan tunduk kepadanya.”

Akibat keengganannya itu, Assyria pun menyerang Judah dan menawan banyak kota:

“Kini pada tahun keempat-belas (pemerintahan) raja Hezekiah, datanglah Sennacherib raja Assyria memerangi kesemua kota-kota bertembok Judah dan menaklukinya.”

Akhirnya, Hezekiah menyerah kalah kepada Sennacherib dan membayar ufti kepada raja Assyria itu:

Tawanan-tawanan Judah yang dibawa dari Lachish berikutan kemenangan bangsa Assyria


“Dan Hezekiah raja Judah menghantar utusan kepada raja Assyria, berkata, “Aku telah tersinggung (menanggung malu dari kekalahan ini); pulang dari (wilayah)ku; apa sahaja yang engkau kenakan ke atasku akan aku tanggung.” Dan raja Assyria memerintahkan ke atas Hezekiah raja Judah tiga ratus talent perak dan tiga puluh talent emas. Dan Hezekiah memberikannya segala perak yang ditemui dalam rumah Tuhan dan dalam perbendeharaan rumah raja.”


REKOD DARI PIHAK ASSYRIA

Rekod daripada bangsa Assyria berkenaan peristiwa ini dipercayai datang dari kata-kata Sennacherib sendiri, di mana ianya selari dengan catatan-catatan Bible Ibrani. Pun begitu, terdapat sejumlah penambahan.

Disebabkan Hezekiah raja Judah enggan tunduk kepada pemerintahanku, maka aku datang memeranginya. Dan dengan ketumbukan tentera dan dengan kekuasaanku, aku takluk 46 buah kotanya yang berkubu; dan kota-kota kecil dihancurkan. Aku rampas dan jarah harta yang tidak terhitung jumlahnya. Dari tempat-tempat ini aku ambil dan angkut seramai 200 156 orang, tua dan muda, lelaki dan perempuan, bersama dengan kuda dan baghal, keldai dan unta, kerbau dan kambing.”

Relif dari istana Sennacherib di Nineveh meraikan kemenangan Assyria ke atas kota Lachish. Panel ini menggambarkan wanita-wanita dan kanak-kanak, diikuti oleh seorang lelaki yang membawa kerbau, melarikan diri dari kota yang dikepung


Selain catatan ini, rekod dari pihak Assyria juga diabadikan dalam bentuk Relifh Lachish. Relif-relif ini berupa sebuah set panel batu yang terdapat pada tembok-tembok istana Sennacherib di Nineveh, berhampiran Mosul moden. Relif ini ditemui pada pertengahan kurun ke-19.

Relif Lachish menggambarkan peristiwa pengepungan Lachish dengan jelas, bermula dari kemaraan tentera Assyria pada awal kempen, hingga ke babak memanjat tembok kota Lachish, dan akhirnya menakluk pihak yang tewas setelah kota Lachish ditumbangkan.

Walau bagaimanapun, relif berkenaan pengepungan Lachish bukanlah satu-satunya relif yang ada di situ. Terdapat juga panel-panel yang menggambarkan kemenangan-kemenangan Sennacherib yang lain. Antaranya termasuklah kempen ketenteraan di sekitar Teluk dan pengempungan sebuah kota di pergunungan Armenia atau Parsi.

Apapun, menarik untuk kita renungkan betapa pihak yang menang mahupun yang kalah bersepakat dengan sebab (keengganan membayar ufti) dan akibat (penaklukan kota-kota Judah) dalam peristiwa pengepungan Lachish. Peristiwa ini merupakan satu contoh di mana sejarah ditulis oleh pihak yang menang dan juga yang kalah.


SUMBER
  • Podora, E. 1945. Reliefs from the Palace of Sennacherib. The Metropolitan Museum of Art Bulletin. 3(6), pp. 152-160.
  • The Bible: Standard King James Version. 2014.