- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (15 Disember 2015). Execution by Elephant: A Gory Method of Capital
Punishment. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/execution-elephant-gory-method-capital-punishment-004932
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/execution-elephant-gory-method-capital-punishment-004932
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Gajah telah banyak
memainkan peranan penting dalam sejarah manusia. Dalam beberapa tamadun, gajah
merupakan haiwan yang dihormati. Misalnya dalam Buddhisme, mimpi yang dialami
oleh ibu kepada Buddha berkenaan khabar kehamilannya mengandungi kehadiran
seekor gajah putih.
Tamadun-tamadun lain
pula menggunakan kekuatan yang dimiliki oleh gajah untuk tujuan pertempuran
ataupun projek pembinaan berskala besar. Terdapat banyak contoh bagi aktiviti
sebegini, misalnya peristiwa Hannibal merentasi banjaran Alps bersama 34 ekor
gajah Afrika pada tahun 218SM dan penggunaan haiwan ini semasa pembinaan Angkor
Wat pada kurun ke-12.
Walau bagaimanapun,
situasi yang mungkin jarang didengari adalah penggunaan gajah sebagai alat
hukuman.
HUKUMAN MATI MENGGUNAKAN
GAJAH DALAM PELBAGAI KELOMPOK MASYARAKAT
Hukuman mati dengan
menggunakan gajah merupakan satu bentuk hukuman mandatori, di samping haiwan
itu turut digunakan sebagai senjata peperangan bagi sebahagian kelompok di
zaman silam. Kaedah hukuman sebegini lazimnya digunakan di dunia Barat.
Beberapa contoh dapat ditemukan dalam sumber-sumber purba. Misalnya, dalam Historiae
Alexandri Magni, seorang sejarahwan Rom yang bernama Quintus Rufus Curtius
menulis:
“ Kemudian, Perdiccas,
tatkala melihat mereka lumpuh dan dengan kuasanya, (beliau) memisahkan mereka
dari lain-lain, sekitar 30 orang yang mengikuti Meleager ketika beliau tampil
dari perkumpulan pertama yang diadakan setelah kematian Alexander, dan sambil
disaksikan oleh seluruh tentera, (beliau) menghumban mereka ke hadapan
gajah-gajah. Kesemua mereka ini dipijak sehingga mati oleh haiwan liar itu…”
![]() |
| Gajah-gajah perang dalam pertempuran era Perang Carnatic oleh Paul Philipoteaux |
Walau bagaimanapun,
hukuman sebegini bukanlah hukuman lazim di Barat. Hukuman mati dengan
menggunakan gajah lebih lazim diamalkan di Asia Tenggara, terutamanya di India.
Bentuk hukuman sebegini juga dikenali sebagai gunga rao dan telah
diamalkan sejak Zaman Pertengahan lagi.
Kaedah hukuman sebegini
terus dilazimi sehingga kurun ke-19. Hanya dengan meningkatnya kehadiran
British di India, barulah penggunaan hukuman kejam ini merudum.
![]() |
| Ilustrasi hukuman mati menggunakan gajah pada tahun 1681 oleh Robert Knox |
KAEDAH HUKUMAN MATI
MENGGUNAKAN GAJAH
Kaedah hukuman mati
menggunakan gajah yang paling lazim dilaksanakan adalah haiwan tersebut
menghancurkan tubuh mangsanya sehingga mati. Selain tentera musuh, orang awam
yang melakukan jenayah tertentu juga boleh dijatuhi hukuman sebegini. Antara
jenayah tersebut termasuklah mencuri, mengelak dari membayar cukai dan
memberontak. Terdapat banyak haiwan liar yang boleh digunakan untuk membunuh
seseorang penjenayah, seperti harimau, singa, buaya, ular dsbg. Akan tetapi,
pemilihan gajah menunjukkan bahawa terdapat sesuatu yang unik pada makhluk ini.
Berbanding
haiwan-haiwan liar yang lain, gajah dianggap sebagai haiwan yang pintar dan
mudah dilatih. Selain itu, gajah juga boleh dilatih supaya menyeksa penjenayah
atau menghukum mereka secara perlahan-lahan. Sebagai contoh, gajah boleh diarahkan
untuk mematahkan anggota badan penjenayah sebelum menamatkan penderitaannya
dengan menghancurkan tengkoraknya.
Contoh lain boleh
didapati dalam catatan Francois Bernier, seorang pengembara Perancis yang
menyaksikan hukuman mati menggunakan gajah di Delhi ketika era pemerintahan
Mughal. Menurut beliau, gajah-gajah dilatih untuk mengerat tubuh penjenayah
dengan menggunakan ‘bilah yang dilekatkan pada gading mereka’. Tambahan lagi,
aktiviti melatih gajah ini boleh dimanfaatkan bagi ditujuan memperagakan
kekuasaan pemerintah.
![]() |
| Lukisan Mughal tentang hukuman mati menggunakan gajah |
HUKUMAN MATI
MENGGUNAKAN GAJAH DI NEGARA-NEGARA ASIA LAIN
Selain India, hukuman
mati menggunakan gajah juga diamalkan oleh beberapa negara Asia yang lain. Sama
seperti di India, kepintaran dan keganasan gajah dijadikan sebab utama haiwan
itu dipilih untuk menghukum penjenayah. Akan tetapi, terdapat sejumlah variasi
dalam kaedah pelaksanaan hukuman. Misalnya di Sri Lanka, gajah yang digunakan
bagi tujuan ini dilengkapkan dengan muncung tajam pada gadingnya. Berbanding
mengerat anggota badan penjenayah, gajah ini akan menikamnya lalu
mengherot-herotkan muncung tajam itu tadi, seolah-olah ‘menyusun semula’ organ
dalaman penjenayah.
Dalam Kerajaan Siam
(kini Thailand), gajah dilatih untuk melambung penjenayah ke udara sebelum
menghancurkan tubuh mereka sehingga mati. Bagi Kerajaan Cochinchina (Vietnam
selatan) pula, penjenayah diikat pada sebatang tiang. Lalu, seekor gajah akan
merempuh dan menghancurkan tubuhnya.
Bentuk hukuman sebegini
bersifat kejam dan menakutkan. Bentuk hukuman ini juga membuktikan kekuatan,
pengaruh serta kepentingan yang dimiliki oleh gajah dalam kalangan masyarakat
di zaman silam. Haiwan bersaiz besar ini tidak hanya dihormati oleh kebanyakan
tamadun. Malah, mereka turut digunakan untuk tujuan yang membunuh dan
menghancurkan.
![]() |
| Gajah putih diraja dalam sebuah lukisan Thai dari Vessantara Jataka |
SUMBER
- Elephantvoices. 2015. Elephants in history and culture.
- Marie, R. 2014. Execution by Elephant: Ancient Capital Punishment in India.
- Panji Samodro, 2013. Death Penalty Executions Conducted by Elephant.
- Pegg, D. 2011. 25 of Humanity’s Most Brutal Methods of Execution.
- Quintus Rufs Curtius. History of Alexander: Vol. II. [Rolfe, J.C. (trans). 1946. Quintus Rufus Curtius’, History of Alexander: Vol. II]
- Get link
- X
- Other Apps




