- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
M R Reese. (23 September 2014). The Dramatic Life and Death of Penthesilea:
Queen of the Amazons. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/dramatic-life-and-death-penthesilea-queen-amazons-002104
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/dramatic-life-and-death-penthesilea-queen-amazons-002104
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Penthesilea adalah Ratu
Amazon dalam mitologi Yunani. Beliau adalah puteri kepada Ares dan Otrera serta
saudara perempuan kepada Hippolyta, Antiope dan Melanippe. Kisah Penthesilea
merupakan salah satu hikayat pahlawan wanita yang paling epik, lebih-lebih lagi
pada babak kematiannya di tangan Achilles yang penuh dramatik.
Penthesilia merupakan
anggota sebuah suku pahlawan wanita legenda, iaitu Amazon. Wanita-wanita Amazon
merupakan pahlawan yang amat berdedikasi hinggakan mereka dipercayai memotong
salah satu payudara mereka agar dapat menggunakan busur panah dengan lebih
efisien. Benar ataupun tidak hal ini masih lagi dibincangkan oleh ilmuwan.
Penthesilea begitu
mahir menggunakan senjata. Malahan, beliau juga seorang yang bijak dan jelita.
Dalam beberapa sumber, beliau disebutkan sebagai pencipta kapak-perang. Ketika
berburu pada suatu hari, Penthesilea secara tidak sengaja terbunuh saudara
perempuannya yang bernama Hippolyta dengan menggunakan sebatang lembing. Hal
ini menimbulkan rasa duka yang beramatan buat Penthesilea hinggakan beliau
berhasrat untuk mati. Pun begitu, sebagai seorang pahlawan Amazon, beliau hanya
boleh mati secara bermaruah di medan tempur.
![]() |
| Penthesilea (1862) oleh Gabriel-Vital Dubray (1813-1892) di istana Louvre, Paris |
Pemerintahan Penthesilea
sebagai Ratu Amazon berlangsung pada tahun-tahun berlakunya Perang Trojan. Suku
Amazon tidak menyebelahi mana-mana pihak secara khusus dalam perang ini dan
Penthesilea sendiri berusaha seupaya mungkin untuk menjauhi konfik tersebut.
Namun ketika Achilles membunuh putera Trojan yang bernama Hector, dan sesudah
saudara perempuannya terbunuh secara kemalangan, Penthesilea mengambil
keputusan untuk berangkat ke Troy dan mencampuri peperangan tersebut.
Di medan perang,
Penthesilea bukanlah seorang ratu yang duduk di barisan belakang sambil
menyaksikan tentera-tenteranya bertempur mati-matian. Akan tetapi, beliau
adalah seorang pahlawan sejati. Diceritakan bahawa beliau menggempur tentera
Yunani bagaikan kilat yang menyambar, membunuh ramai musuh.
Beliau juga disifatkan
sebagai seorang pahlawan yang lincah lagi gagah. Penthesilea berusaha untuk
membuktikan bahawa suku Amazon adalah pahlawan terkemuka di situ. Beliau juga
berhasrat untuk membunuh Achilles demi menuntut bela atas kematian Hector, di
samping beliau sendiri berhajat untuk terbunuh dalam pertempuran itu.
Walaupun Penthesilea
merupakan seorang pahlawan yang gagah, nyawanya berakhir di tangan Achilles.
Achilles menyaksikan beliau bertempur melawan tentera-tenteranya dan tertarik
hati melihat kegagahannya. Sambil berlawan, Achilles berusaha untuk mendekati
Penthesilea.
Walaupun beliau berasa
tertarik dengan Penthesilea dengan niat untuk bertarung dengannya, beliau kemudiannya
jatuh cinta dengan ratu Amazon itu sebaik sahaja berhadapan dengannya. Namun
begitu, keadaan sudah pun terlambat untuk melunaskan perasaan cintanya itu.
Selepas menewaskan
Penthesilea, Achilles mendakap tubuhnya sebaik ia rebah jatuh ke bumi. Seorang
pahlawan Yunani yang bernama Thersites mencemuh Achilles kerana berbuat sedemikian
terhadap tubuh Penthesilea. Diceritakan juga Thersites mencungkil mata
Penthesilea dengan pedangnya. Tindakannya itu menaikkan berang Achilles yang
langsung sahaja memenggal kepala Thersites.
Berikutan kematian
Thersites, suatu pergaduhan pun tercetus. Diomedes, sepupu kepada Thersites
bertindak mengambil jasad Penthesilea dan mengheretnya menggunakan pedati
sebelum menghumbannya ke dalam sungai. Jasad tersebut kemudian didapatkan
semula oleh Achilles. Beliau kemudian menyemadikan jasad Penthesilea selayaknya.
Dalam beberapa cerita,
Achilles dikatakan melakukan perbuatan nekrofilia ke atas jasad Penthesilea.
Dalam legenda lain, dihikayatkan bahawa Penthesilea mengandungkan putera
Achilles sesudah mati.
![]() |
| Achilles mendakap Penthesilea selepas membunuhnya |
Seorang pemuisi Rom
purba yang bernama Virgil menulis tentang Penthesiliea:
“Penthesilea yang
gagah, (sambil) pengikat pinggang emas dililit di bawah dadanya yang terdedah,
(beliau) memimpin barisan perang Amazon dengan perisai ringannya yang berbentuk
bulan sabit… (beliau sememangnya) seorang pahlawan wanita, srikandi yang cukup
berani untuk memerangi kaum lelaki.”
Virgil menggunakan
perkataan Bellatrix untuk memerincikan Penthesilea dan dikhabarkan
bahawa hal ini menjadi inspirasi buat JK Rowling untuk menamakan watak
Bellatrix Lestrane dalam siri Harry Potter.
Kisah perihal
Penthesilea tidak diceritakan di dalam Illiad. Illiad berakhir dengan
pengebumian Hector, iaitu sebelum suku Amazon tiba di Troy untuk menuntut bela
atas kematiannya. Kisah berkenaan Penthesilea diceritakan di dalam epik
Aethiopis.
Riwayat hidup dan
kematian Penthesilea penuh dengan dramatis. Beliau digambarkan sebagai seorang
pahlawan wanita yang gagah dan berani, serta seorang yang begitu terkesan
dengan kematian saudara perempuannya, Hippolyta. Perasaan dukanya itu menompok
bersama dengan hasratnya untuk menjadi seorang pahlawan terkemuka yang mati
secara terhormat di medan tempur.
Perasaan-perasaan ini
membawanya ke Troy, di mana kematiannya di sana melemahkan Troy dan menimpakan
kehuru-haraan di dalam kem tentera Yunani berikutan kematiannya itu memberi
kesan yang besar terhadap Achilles sehingga beliau melakukan tindakan-tindakan
yang mencetuskan pergaduhan sesama sendiri.
Sememangnya,
Penthesilea pada akhirnya mati secara terhormat di medan perang sepertimana
yang beliau inginkan, lebih-lebih lagi di tangan seorang pahlawan legenda
seperti Achilles.
SUMBER
- Mortal Women of the Trojan War: Penthesilea. Stanford University.
- Myth of the week: Penthesilea. Madeline Miller.
- Penthesilea. Theoi.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Penthesilea – Ratu Amazon Dalam Mitologi Yunani’
- Get link
- X
- Other Apps


