- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (3 Februari 2020). Epic Voyage of Vasco da Gama Connected Europe to
the East. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/vasco-da-gama-0013239
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/vasco-da-gama-0013239
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Vasco da Gama merupakan
seorang pelaut dan pengembara Portugal yang hidup pada kurun ke-15 dan kurun
ke-16 Masihi. da Gama tidak hanya dianggap sebagai figura yang signifikan dalam
sejarah Portugal dan Eropah, namun beliau juga penting dalam sejarah dunia
(sejarah perlautan sekurang-kurangnya). Vasco da Gama merupakan orang Eropah
pertama yang tiba di India melalui jalan laut.
Susulan daripada
penerokaan Vasco da Gama ini, Portugal berjaya mengukuhkan reputasinya sebagai
negara maritim yang dominan dan berkembang pesat menerusi barang dagangan yang
datang dari Timur. Selain itu, penemuan jalan laut oleh da Gama yang
menghubungkan Eropah dan Asia juga boleh dianggap sebagai permulaan kepada
zaman imperialisme global.
Tidak lama selepas
perlayaran pertama da Gama ke Timur, orang-orang Portugal mula menubuhkan
koloni pertama mereka di Asia di mana mereka menakluk Goa di India pada tahun
1510. Koloni terakhir Portugal, iaitu Macau juga terletak di Asia dan ia hanya
diserahkan semula kepada China pada tahun 1999.
![]() |
Pengembaraan Vasco da Gama menghubungkan Eropah dan Timur |
KEHIDUPAN AWAL VASCO DA
GAMA
Vasco da Gama lahir
sekitar tahun 1460 di Sines, sebuah bandar pesisiran di daerah Alentejo,
bahagian barat daya Portugal. Bapa da Gama adalah seorang bangsawan daerah
bernama Estevao da Gama, yang berkhidmat sebagai komander di istana bandar.
Namun, tidak banyak maklumat yang kita ketahui tentang kehidupan awal da Gama.
Maklumat seterusnya
tentang beliau sebelum berlayar ke Timur hanya berkisar dari tahun 1492. Pada
tahun tersebut, Raja Portugal iaitu John II menghantar da Gama ke Setubal,
sebuah kota pelabuhan di antara Lisbon dan Sines bagi merampas kapal-kapal
Perancis.
Serangan ini dijalankan
sebagai tindak balas ke atas serangan-serangan yang dilakukan oleh Perancis ke
atas kapal-kapal Portugal, walaupun kedua buah negara itu pada hakikatnya tidak
berperang. da Gama membuktikan keupayaannya dengan melaksanakan misinya itu
dengan pantas dan berkesan.
POLITIK DAN ARMADA
PORTUGAL
Pada tahun 1497, Vasco
da Gama diberikan tugas untuk mencari laluan laut dari Eropah Barat ke Timur
dan dilantik sebagai pemimpin armada Portugal. Walaupun da Gama adalah salah
seorang pengembara laut Portugal yang terhebat, beliau bukanlah yang pertama.
Kerajaan itu telah pun mula meneroka lautan di barat dan selatan yang belum
dipetakan kira-kira 80 tahun sebelum da Gama melakukan perlayaran pertamanya.
Pada tahun 1415 Masihi,
Portugal merentasi Selat Gibraltar dan menawan Ceuta dari bangsa Moor. Kejayaan
ini dianggap sebagai titik permulaan bagi Empayar Kolonial Portugal. Pada
dekad-dekad berikutnya, Portugal menemukan (dan mengkolonikan) Pulau Madeira
dan Azores, lalu meneruskan penerokaan mereka di pantai barat Afrika.
Menariknya, salah satu
sebab yang menggamit pihak Portugal untuk mencari jalan laut ke Timur adalah
legenda Prester John, yang dipercayai sebagai pemerintah sebuah kerajaan
Kristian yang telah lama hilang di Timur. Sebagai penganut Katolik, para
pemerintah Portugal melihat usaha pencarian ini sebagai satu tugas suci untuk
menyebarkan Kristian dan menghancurkan Islam. Justeru, raja-raja Portugal
berharap dapat menemui raja legenda Kristian ini di Timur, dan membentuk
pakatan dengannya bagi mengepung dunia Islam.
‘Persekutuan besar’
bagi memerangi Muslim seperti yang dibayang-bayangkan ini tidak pernah tercapai
atau dilaksanakan, memandangkan Portugal tidak pernah berjaya menjejak lokasi
Prester John. Apapun, Portugal memperoleh harta kekayaan sebagai kesan positif
dari perdagangan yang mereka jalankan sepanjang perlayaran. Perdagangan yang
paling lumayan antara semua adalah perdagangan hamba Afrika. Kumpulan hamba
pertama yang dihantar ke Lisbon adalah pada tahun 1441.
Enam tahun selepas itu,
para pelaut Portugal berjaya tiba di selatan Sierra Leone moden. Mereka
kemudiannya tiba di Congo pada tahun 1482 dan empat tahun kemudian, mereka
menjejakkan kaki di Cape Cross atau kini dikenali sebagai Namibia. Portugal
pada akhirnya tiba di ‘penghujung selatan’ benua Afrika pada tahun 1488 apabila
Bartolomeu Dias tiba di Tanjung Harapan.
![]() |
Laluan perlayaran pertama Vasco da Gama, 1497-1499 |
Tanjung Harapan
dianggap (disilap anggap) sebagai titik pemisah antara Lautan Atlantik dan
Lautan Hindi. Namun pada hari ini, kita mengetahui bahawa penghujung selatan
Afrika terletak di Tanjung Agulhas, berlokasi di tenggara Tanjung Harapan. Beberapa
sumber mendakwa bahawa nama tanjung tersebut diberikan sendiri oleh Dias, akan
tetapi ada juga sumber lain yang mendakwa bahawa pada asalnya, Dias menamakan
tanjung tersebut sebagai Tanjung Ribut Taufan.
![]() |
Peta Tanjung Harapan dan Tanjung Agulhas sebagai titik paling selatan Afrika |
Nama ini merujuk kepada
cuaca ribut dan gelora laut yang ganas di kawasan tersebut, sekaligus menjadi
cabaran wajib bagi para pelaut awal yang mahu mengharungi perairan tanjung itu.
Dinyatakan bahawa John II adalah individu yang mengubah nama tanjung tersebut
kepada Tanjung Harapan, kerana menganggapnya sebagai petanda baik bahawa
orang-orang Eropah akan berupaya tiba di India melalui jalan laut.
Sejarah kemudiannya
seakan-akan menyaksikan berlakunya hiatus dalam penerokaan laut dari pihak
Portugal sesudah Dias tiba di Tanjung Harapan. Hal ini kerana Portugal
mengambil masa sehingga dekad berikutnya untuk tiba di India. Menjelang waktu
itu, John sudah pun mangkat dan digantikan oleh Manuel I, raja yang memberikan
misi kepada Vasco da Gama untuk mencari jalan laut ke India.
Manuel menyandang
gelaran yang aneh namun baik, iaitu “Bertuah” (Fortunate). Beliau
merupakan putera kesembilan Dom Fernando, adik Afonso V, ayahanda merangkap
pendahulu John. Bersesuaian dengan kedudukannya, Manuel sememangnya tidak
cenderung meraih takhta Portugal. Malah, semasa pemerintahan John, satu-satunya
beradik Manuel dibunuh oleh raja kerana mengesyaki akan berlakunya
pemberontakan.
Namun, Manuel
dilepaskan dan dilantik sebagai Pangeran Beja (Duke of Beja). Pada tahun
1491, anak gahara John, Afonso, mangkat akibat kemalangan semasa menunggang
kuda. Dalam saki-baki hayatnya, John cuba untuk menamakan anaknya yang dungu,
Jorge de Lencastre, sebagai pewaris namun gagal.
Ratu Eleanor of Viseu
sendiri menentang cadangan John tersebut dan menyokong Manuel sebagai pewaris
takhta. Ratu ini merupakan salah seorang saudara perempuan Manuel. Justeru pada
tahun 1494, ketika kesihatan John merudum, beliau menamakan Manuel sebagai
penggantinya dan apabila raja mangkat pada Oktober tahu berikutnya, Manuel
ditabalkan sebagai raja baru Portugal.
MISI VASCO DA GAMA
Manuel adalah raja yang
melantik Vasco da Gama sebagai pemimpin armada yang akan berlayar ke India pada
tahun 1497. da Gama dikatakan sebagai seorang yang kurang berpengalaman untuk
tugas sedemikian walaupun ada yang berpendapat beliau telah mempelajari ilmu
mengemudi dan menavigasi. Tidak kurang juga ada yang berpendapat da Gama
dilantik atas sebab-sebab politik, di mana Manuel menyebelahi keluarga da Gama
dan para penyokongnya.
Walau apapun
keadaannya, Vasco da Gama meninggalkan Lisbon pada 8 Julai 1497. Armada ini
terdiri daripada empat buah kapal – dua kapal bersaiz sederhana dan tiga tiang
layar, dikenali sebagai kerakah (carrack) di mana setiap satunya seberat
120 tahun; sebuah karavel seberat 50 tan dan sebuah kapal bekalan.
![]() |
Ketibaan Vasco da Gama di India pada tahun 1497 |
Kapal-kapal kerakak ini
masing-masing dinamakan sebagai Sao Gabriel dan Sao Rafael. Yang pertama
dipimpin oleh da Gama sendiri, sambil yang lain diketuai oleh saudaranya, Paulo
da Gama. Karavel pula dinamakan sebagai Sao Migeul (digelari Berrio) dan
dipimpin oleh Nicolau Coelho, manakala nama bagi kapal bekalan tidak diketahui
dan ia dipimpin oleh Goncalo Nunes.
Armada ini melalui
Kepulauan Canary (yang berada di bawah pemerintahan Sepanyol) pada 15 Julai dan
pada tanggal 26 Julai, tiba di Sao Tiago di Kepulauan Cape Verde. Armada ini
kekal di pulau tersebut sehingga 3 Ogos sebelum melanjutkan perjalanan. da Gama
pada awalnya berlayar ke selatan di sepanjang pantai barat Afrika, sebelum
melencong sedikit menghala ke Atlantik selatan demi mengelak arus kencang di
Teluk Guinea.
Pada 7 November, armada
ini tiba di Teluk Santa Helena (kini di Afrika Selatan), di mana angin yang
tidak membantu dan arus yang menentang haluan mendorong da Gama dan pasukannya
untuk menghentikan perlayaran selama beberapa minggu. Akhirnya pada 22
November, da Gama tiba di Tanjung Harapan dan melanjutkan pengembaraan ke
timur.
Tiga hari selepas tiba
di Tanjung Harapan, da Gama menjejakkan kaki di Teluk Mossel dan mendirikan
sebuah padrao (tiang batu yang ditinggalkan oleh pengembara Portugal
sebagai mercu tanda dan simbol kekuasaan Portugal di situ). Di kawasan ini
jugalah kapal bekalan da Gama dikaramkan. Sekitar Christmas, da Gama berlayar
melepasi sebuah pantai yang belum lagi pernah diterokai orang Eropah. Beliau
menamakannya sebagai Natal (bahasa Portugal bagi Christmas).
![]() |
Menara Vasco da Gama di Malindi, kini Kenya, didirikan semasa perlayaran pulang |
PENGEMBARAAN VASCO DA
GAMA DILANJUTKAN
Pada bulan-bulan
berikutnya, armada beliau berlayar ke utara di sepanjang pantai timur Afrika.
Pada Januari 1498, armada tersebut tiba di sebuah kawasan di Mozambique moden.
Pada tanggal 25 haribulan bulan sama, da Gama dan pasukannya tiba di Sungai
Quelimane, yang dipanggil sebagai Rio dos Bons Sinais (bermaksud ‘Sungai
Petanda Baik’) dan mendirikan sebuah lagi padrao. Armada ini berehat di
situ selama sebulan kerana ramai yang mengalami skorbut atau scurvy.
Kapal-kapal juga perlu dibaiki.
Pada 2 Mac, da Gama
tiba di Pulau Mozambique yang diperintah oleh seorang sultan Muslim. Penduduk
pulau itu meyakini bahawa pelaut-pelaut itu adalah orang Islam sama seperti
mereka, justeru melayani orang-orang Portugal ini dengan baik. da Gama
memperoleh banyak maklumat dari mereka dan bahkan dihadiahkan dua orang
jurunavigasi oleh sultan. Salah seorangnya kemudian keluar dari kru kapal
setelah mengetahui bahawa mereka adalah penganut Kristian.
Pada bulan April,
armada ini tiba di pantai Kenya moden. Pada tanggal 14 April, da Gama berada di
Malindi. Di sana, beliau meraih khidmat seorang jurunavigasi Gujarat yang
mengetahui jalan menuju ke Calicut, pantai barat daya India. Pada 20 Mei,
armada da Gama tiba di Calicut setelah berlayar selama 23 hari secara berterusan
mengharungi Lautan Hindi.
![]() |
Vasco da Gama berlabuh di Calicut |
Di Calicut,
hadiah-hadiah dari da Gama gagal menambat hati Zamorin (pemerintah Calicut yang
beragama Hindu). Selain itu, para pedagang Muslim yang berada di sana mengambil
sikap bermusuhan terhadap Portugal. Sebagai susulan, Portugal gagal memeterai
perjanjian perdagangan di Calicut.
![]() |
Vasco da Gama menemui Zamorin |
Dalam pada itu,
hubungan antara Portugal dan masyarakat India terus merenggang dan Vasco da
Gama pada akhirnya memutuskan untuk berlayar pulang ke Portugal pada penghujung
Ogos. Mereka yang masih tidak mengetahui corak angin monsun, memilih waktu yang
paling buruk untuk melakukan perlayaran pulang. Lantaran berlayar menentang
angin monsun, da Gama mengambil masa hampir tiga bulan untuk merentasi Lautan
Hindi dan mengakibatkan ramai anak kapalnya meninggal dunia akibat skorbut (scurvy).
Kekurangan anak kapal
memaksa da Gama untuk mengkaramkan Sao Rafael sebaik tiba di Malindi pada 7
Januari 1499. Dua kapal yang berbaki tiba di Tanjung Harapan pada 20 Mac, namun
terpisah selama sebulan akibat ribut.
Kapal Sao Migeul tiba
di Portugal pada tanggal 10 Julai, manakala Sao Gabriel pula tiba pada 9
Semptember. Sembilan hari kemudian, da Gama tiba di Lisbon dan disambut sebagai
perwira.
Raja Portugal
mengurniakan gelaran Dom kepada Vasco da Gama, dan memberikannya pencen tahunan
sebanyak 1000 cruzado dan sejumlah tanah estes. Apapun, da Gama terpaksa
membayar harga yang tinggi bagi meraih kejayaan ini – dari seramai 170 orang
anak kapal secara keseluruhan, hanya 55 orang sahaja terselamat. Saudaranya
sendiri termasuk antara yang terkorban.
![]() |
Raja mengurniakan gelaran Dom kepada Vasco da Gama |
EKSPEDISI-EKSPEDISI
BERIKUTNYA
Kejayaan ekspedisi
Vasco da Gama (dalam meneroka jalan laut ke India) menggalakkan raja untuk
menghantar sebuah lagi armada, kali ini terdiri dari sebanyak 13 buah kapal,
untuk memeterai perjanjian perdagangan dengan Calicut. Walaupun hubungan antara
Zamorin dan pihak Portugal semakin baik kali ini, situasinya semakin lama
semakin memburuk. Pihak Portugal juga berkonflik dengan para pedagang Muslim,
yang mahu mengekalkan monopoli perdagangan di kota itu.
Susulannya, konflik
bersenjata pun tecetus. Pos perdagangan Portugal diserang dan ramai yang
terbunuh. Zamorin dipersalahkan di atas kejadian ini dan kotanya dibedil,
justeru Portugal mengisytiharkan perang ke atas Calicut.
Pada tahun 1502, sebuah
armada dihantar dari Lisbon yang dipimpin oleh da Gama. Armada ini
diperintahkan supaya membedil Calicut dan memaksa Zamorin tunduk kepada
Portugal. Serangan-serangan turut dilancarkan ke atas kapal-kapal dagang Arab,
dan menurut satu cerita, da Gama malah merampas sebuah kapal jemaah haji yang
mengangkut seramai 200-400 penumpang. Harta benda yang terdapat dalam kapal itu
dijarah dan para penumpangnya dikurung, sebelum pihak Portugis membakar kapal
itu.
Ada yang berpendapat
bahawa kisah ini palsu atau ditokoh-tambah, lalu membuatkan Vasco da Gama
dilihat sebagai penjahat di dunia timur. Apapun, salah sebuah kapal da Gama
dari ekspedisi keduanya ini karam di pantai Oman dan ditemui oleh ahli
arkeologi maritim pada tempoh 2013-2015.
Vasco da Gama gagal
memaksa Zamorin agar tunduk kepada Portugal. Malah, beliau kehilangan sokongan
Manuel ketika pulang ke tanah airnya. Sepanjang dua dekad berikutnya dalam
hayat beliau, da Gama bersara ke bandar Evora dan menjalani hidup sederhana
bersama isteri dan enam orang anak lelakinya. Beliau hanya dihantar bagi
menjalankan ekspedisi ketiga dan terakhirnya pada tahun 1524 oleh John III,
pengganti Manuel.
Kali ini, Vasco da Gama
dihantar untuk berkhidmat sebagai wakil Portugal di India. Pada September 1524,
da Gama tiba di Goa dan mula membasmi korupsi yang membarah dalam pentadbiran
Portugal di India.
Namun tiga bulan
kemudian, da Gama meninggal dunia di Cochin akibat diserang penyakit; sama ada
akibat kepenatan atau sebab-sebab lain. Jasadnya disemadikan di Gereja St.
Francis di Cochin, kemudian dibawa pulang ke Portugal pada tahun 1539 dan
disemadikan di Vidigueira sebelum dipindahkan ke Biara Jeronimos di Belem,
Lisbon pada penghujung kurun ke-19 dan kekal di situ sehingga ke hari ini.
![]() |
Kubur Vasco da Gama di Biara Jeronimos, Belem, Lisbon |
SUMBER
- Fernandez-Armesto, F. and Campbell, E. 2019. Vasco da Gama.
- History.com. 2018. Vasco da Gama.
- Lisbon Lisboa Portugal. 2020. Vasco da Gama.
- Livermore, H. 2019. Manuel I.
- New World Encyclopedia. 2019. Portuguese Empire.
- Romey, K. 2016. Shipwreck Discovered from Explorer Vasco da Gama’s Fleet.
- Szalay, J. 2016. Vasco da Gama: Facts & Biography.
- The BBC. 2014. Vasco da Gama (c. 1460-1524).
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. Cape of Good Hope.
- The Mariners’ Museum & Park. 2020. Vasco da Gama.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Perlayaran Vasco Da Gama Menghubungkan Eropah dan Timur Melalui Jalan Laut’
- Get link
- X
- Other Apps