- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 Oktober 2015). A Final Resting Place Fit for an Emperor: The
Thirteen Tombs of the Ming Dynasty. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/final-resting-place-fit-emperor-thirteen-tombs-ming-dynasty-004144
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/final-resting-place-fit-emperor-thirteen-tombs-ming-dynasty-004144
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dinasti Ming ditubuhkan
pada tahun 1368M oleh Zhu Yuanzhang (Maharaja Hongwu) berikutan penggulingan
Dinasti Yuan-Monggol. Sehingga tahun kejatuhannya pada 1644 Masihi, Dinasti
Ming diperintah oleh seramai 16 orang maharaja. Makam 13 orang maharaja Ming
ini terletak di sebuah tempat yang tidak jauh dari ibu kota China, Beijing. Ia
dikenali secara kolektif sebagai Tiga Belas Makam Dinasti Ming.
TIGA ORANG MAHARAJA
MING YANG TIDAK DISEMADIKAN DI SINI
Tiga
orang maharaja Ming yang tidak disemadikan di kawasan ini adalah Maharaja
Hongwu (disemadikan berhampiran ibu kotanya, Nanjing), penggantinya, Maharaja
Jianwen (hilang dari sejarah selepas digulingkan oleh bapa saudaranya), dan
maharaja ketujuh, Jingtai (tidak disemadikan secara diraja oleh penggantinya,
Maharaja Zhengtong).
LOKASI
TIGA BELAS MAKAM
Tiga
Belas Makam Dinasti Ming ini terletak di kaki Gunung Tianshu di Daerah
Changping, sebuah kawasan pinggir bandar yang berjarak 50km (31.1 batu) darh
arah barat laut bandar Beijing. Pembinaan makam pertama Ming di kawasan ini
dimulakan pada tahun 1409M oleh maharaja ketiga Ming, iaitu Maharaja Yongle.
Tapak ini dipilih berdasarkan prinsip feng shui (tuah sesebuah tempat).
Menurut
prinsip ini, semangat-semangat jahat dan tiupan-tiupan angin yang buruk
dipercayai turun dari Utara dan ia perlu dipesongkan haluannya. Justeru,
kawasan berbentuk lengkuk di kaki Gunung Tianshu dipilih. Tapak ini meliputi
kawasan seluas 40km persegi (24.9 batu persegi). Di kawasan ini terdapat sebuah
lembah yang sepi dan air tenang mengalir dari kawasan gunung, justeru
menjadikannya sebuah tempat yang ideal bagi memakamkan maharaja-maharaja Ming.
Selain memenuhi feng shui dan mempunyai pemandangan yang indah, tapak
ini juga dikatakan strategik dari sudut ketenteraan. Hal ini kerana kawasan
pergunungan boleh berfungsi sebagai pertahanan semula jadi.
Gunung Tianshu yang berdiri megah di belakang Tiga Belas Makam Dinasti Ming |
JALAN
SUCI YANG MEMBAWA KEPADA MAKAM
Di
zaman Dinasti Ming, kompleks ini tidak boleh dimasuki oleh orang awam. Namun
pada tahun 1644 Masihi, tentera pemberontak Li Zicheng menjarah dan membakar
kebanyakan makam ini sebelum melanjutkan kemaraan ke Beijing. Pada hari ini,
kompleks ini boleh dikunjungi oleh orang awam. Makam-makamnya boleh diakses
melalui Jalan Suci, sebuah jalan sepanjang 7km (4.3 batu). Jalan Suci
dipercayai menjadi simbolisme kesucian maharaja-maharaja Ming dan autoriti
mereka walau sesudah mangkat.
Di
permulaan jalan ini terdapat sebuah batu peringatan berbentuk lengkuk yang
dibina pada tahun 1540. Mercu tanda ini disusuli oleh jalan yang diapit oleh 36
buah patung batu. 24 daripadanya mewakili haiwan seperti singa, gajah dan unta
manakala baki 12 yang lain mewakili manusia, merangkumi panglima dan pegawai
pentadbiran. Patung-patung ini dipercayai akan menyertai upacara-upacara
kerajaan yang dilangsungkan, selain dianggap sebagai laluan buat roh-roh orang
yang telah mati.
Salah sebuah dari tiga buah patung manusia yang berbaris di Jalan Suci, Changping, China |
Dari
keseluruhan 13 buah makam yang terdapat di lembah ini, hanya tiga buah sahaja
yang dibuka untuk kunjungan awam. Makam-makam tersebut adalah makam maharaja
ketiga Ming, Yongle (Makam Changling), maharaja ke-13, Wanli (Makam Dingling)
dan maharaja ke-12, Longqing (Makam Zhaoling.
MAKAM
CHANGLING YANG PALING TERPERINCI
Makam
Changling merupakan makam yang paling besar dari kesemua 13 buah makam Ming.
Makam ini sendiri mengambil masa sehingga lima tahun lamanya untuk disiapkan,
sambil salah satu strukturnya, iaitu Dewan Nikmat Indah mengambil masa 18 tahun
untuk disiapkan. Dewan ini meliputi kawasan seluas 1956 meter persegi (6417.3
kaki persegi), yang mana saiznya ini hampir sama dengan Dewan Keharmonian Agung
di Kota Larangan Beijing.
Namun
dari sudut seni bina, Dewan Nikmat Indah dikatakan jauh melangkaui dewan di
Kota Larangan, terutama lantaran tiang-tiang serinya diperbuat daripada kayu
cedar China yang dipercayai didatangkan dari Nepal.
Walaupun
makam ini belum diekskavasi sepenuhnya, penggalian yang telah dilakukan setakat
ini membolehkan para pengunjung melihat ruang pengebumiannya. Selain itu, lebih
3000 buah artifak berharga telah berjaya dinaikkan, justeru mengisyaratkan
betapa banyaknya harta kekayaan yang disemadikan bersama maharaja itu.
Dewan Nikmat Indah Makam Changling, (1871) Changping, China |
MAKAM
DINGLING YANG TELAH DISELIDIKI SEPENUHNYA
Tidak
seperti Makam Changling, Makam Dingling telah diekskavasi sepenuhnya oleh
ahli-ahli arkeologi. Makam ini merupakan yang ketiga paling besar di kompleks
tersebut, setelah Makam Changling dan Makam Yongling. Menurut dokumen-dokumen
sejarah, kos pembinaan makam ini mencecah lebih 300 tan perak. Jumlah ini
hampir menyamai kutipan cukai pendapatan kerajaan Ming di bawah maharaja Wanli
selama dua tahun penuh.
Istana
bawah tanah yang terletak kira-kira sedalam 27 meter (88.6 kaki) mempunyai lima
buah ruang. Setiap satunya dibina sepenuhnya daripada batu tanpa menggunakan
satu pun tiang atau alang. Ruang yang paling besar dan penting adalah ruang
belakang, di mana jasad Maharaja Wanli dan dua orang permaisurinya ditemui.
Selain itu, ruang ini turut mengandungi 26 buah kotak kayu yang dibaluti kain
merah yang mengandungi kira-kira 3000 buah objek pengebumian berharga.
MAKAM
ZHAOLING YANG LEBIH KECIL
Makam
Zhaolong adalah makam yang paling kecil di kalangan tiga buah makam yang dibuka
kepada kunjungan awam. Ciri yang paling utama bagi makam ini adalah
keranda-keranda diraja di dalamnya diletakkan di sebuah kawasan unik berbentuk
bulan sabit.
Makam Zhaoling, Changping, China |
Walaupun
hakikatnya pengunjung tidak boleh mengunjungi dan melihat makam-makam lain,
seni bina diraja dan sejarah Tiga Belas Makam Dinasti Ming masing merupakan
satu tarikan yang mengujakan dan menggamit jutaan pelancong pada setiap tahun
untuk turun menyusuri Jalan Suci dan menyaksikan sendiri kemegahan kompleks
permakaman ini.
SUMBER
- China Highlights. 2015. The 13 Ming Tombs – All the Info and How Best to See Them.
- China Internet Information Center. 2015. The Thirteen Ming Tombs in Beijing.
- Lonely Planet. 2015. Introducing Ming Tombs.
- UNESCO. 2015. Imperial Tombs of the Ming and Qing Dynasties.
- Crystalinks. 2015. Ancient Chinese Tombs.
- Travel China Guide. 2015. Ming Tombs (Thirteen Tombs of Ming Dynasty).
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul '13 Makam Raja-Raja Purba Dinasti Ming’
- Get link
- X
- Other Apps