- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 Jun 2014). Port Royal and the Real Pirates of the Caribbean.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/port-royal-and-real-pirates-caribbean-001740
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/port-royal-and-real-pirates-caribbean-001740
Penterjemah: Amir Zayyanid
Boleh dikatakan bahawa
bagi penggemar kisah-kisah lanun, Pirates of the Caribbean saling tidak
tumpah seperti Indiana Jones di mata ahli-ahli arkeologi. Romantisme
sejarah bagi tujuan hiburan lazimnya mengorbankan ketepatan sejarah, dan filem Pirates
of the Caribbean antara yang tidak terkecuali. Salah satu latar bagi filem
ini adalah Port Royal, Jamaica. Dalam artikel kali ini, kita akan meneroka
fakta-fakta sebenar di sebalik pelabuhan purba Jamaica.
Port Royal diteroka
buat kali pertama oleh masyarakat asli Taino-India. Walaupun sejarahwan kurang
jelas adakah mereka mendiami Port Royal ataupun tidak, masing-masing bersepakat
dalam menyatakan bahawa Port Royal digunakan sebagai pusat operasi penangkapan
ikan. Pada masa itu, Port Royal dipanggil sebagai Caguay atau Caguaya.
Sepanyol
kemudiannya mengkolonikan Jamaica sekaligus kawasan ini dimasukkan ke bawah
pemerintahan negara itu. Namun sama seperti masyarakat Taino sebelumnya,
Sepanyol tidak begitu memanfaatkan Port Royal. Lebih daripada itu, nama yang
digunakan oleh masyarakat Taino bagi merujuk tempat itu (Caguay) juga
dikekalkan.
Pada tahun 1654, sebuah
ekspedisi pimpinan Robert Venables dan William Penn (ayah beliau menubuhkan
Pennsylvania) dihantar oleh Oliver Cromwell bagi tujuan menakluk Pulau
Hispaniola (kini Haiti) dari Sepanyol. Setelah ditewaskan oleh Sepanyol, mereka
berdua berasa takut untuk melaporkan kegagalan itu kepada Cromwell justeru
memutuskan untuk menuju ke barat daya. Tepatnya, ke Pulau Jamaica yang kosong
dari sebarang pertahanan.
Pulau itu berjaya dikuasai dan sebuah kubu yang
dinamakan sebagai Fort Cromwell didirikan. Di sekitar kubu itu, sebuah
petempatan yang dinamakan sebagai Point Cagway dibangunkan. Selepas Charles II
menaiki takhta Inggeris, nama kubu ini diubah menjadi Fort Charles dan
petempatan tersebut pula dinamakan sebagai Port Royal.
![]() |
| Peta Port Royal, Jamaica |
Memandangkan kawasan
ini berupaya menjadi pelabuhan yang besar dengan ciri-ciri alam semula jadi
yang baik, Port Royal membangun menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting
di Caribbean. Berikutan kekayaannya yang berlimpah-ruah, Port Royal perlu
dilindungi dari musuh-musuh England, terutama sekali Sepanyol yang
berkemungkinan memasang hasrat untuk merebut semula Jamaica.
Untuk tujuan itu, suatu
bentuk perlanunan yang sah di sisi perundangan digubal, di mana lanun-lanun
diberikan letter of marque and reprisal, yakni lesen daripada pihak
kerajaan yang membenarkan kapal-kapal peribadi untuk menyerang dan merampas
kapal-kapal musuh untuk dibawa pulang dan dinilai oleh Majlis Tentera Laut.
Sistem perundangan ini secara efektif meluluskan sebarang serangan oleh kapal
persendirian ke atas kapal-kapal Sepanyol.
Berikutan kedudukannya
yang strategik lantaran terletak di laluan perdagangan antara Dunia Baru dan
Sepanyol, Port Royal menggamit perhatian ramai lanun yang berhasrat menjadi privateer
yang sah (pemilik kapal persendirian yang dibenarkan menyerang kapal
musuh).
Salah seorang privateer
yang paling masyhur dan berjaya di Port Royal adalah Henry Morgan, yang
kelak dilantik sebagai Leftenan Gabenor Jamaica.
![]() |
| Kapten Morgan memasuki Port Royal |
Kehadiran privateer-privateer
yang membawa pulang harta rampasan daripada Sepanyol ini menggalakkan
pertumbuhan pelbagai bentuk perniagaan lain. Tidak lama kemudian, bar dan rumah
pelacuran dibuka di seluruh Port Royal dan menjadi tempat para privateer ini
membelanjakan harta mereka. Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa satu
daripada empat bangunan di Port Royal adalah bar atau rumah pelacuran,
sekaligus menandakan betapa pesatnya dua buah perniagaan ini. Hal ini
kemudiannya meraihkan Port Royal gelaran ‘bandar paling keji di muka bumi’.
Hari-hari gemilang Port
Royal berakhir tidak lama kemudian, apabila sebuah gempa bumi dan tsunami yang
dahsyat melanda pada tahun 1692. Akibatnya, sebahagian besar Port Royal
ditenggelami laut. Ramai yang menyifatkan kemusnahan ini sebagai pembalasan
tuhan keatas penduduk Port Royal berikutan gaya hidup mereka yang terlampau
hedonism. Anggota-anggota Majlis Jamaica sendiri mengatakan, “Kita menerima
nasib sebegini sebagai balasan daripada Tuhan yang Berkuasa’.
Walaupun terdapat
sejumlah usaha untuk membina semula Port Royal pada dekad-dekad berikutnya,
bandar ini tidak lagi berupaya mencapai ‘kegemilangan’ sebagaimana yang pernah
ia kecapi. Tidak lama selepas itu, kepentingannya mula dibayangi oleh bandar
Kingston, yang kini menjadi ibu kota Jamaica.
Pada hari ini, Port
Royal hanyalah sebuah kampung nelayan yang sepi. Mungkin, keadaannya di masa
kini saling tidak tumpah seperti hari-harinya ketika ia didiami oleh masyarakat
Taino.
Apapun, tinggalan Port
Royal yang tenggelam berada dalam keadana yang sangat terpelihara sekaligus
membolehkan ahli-ahli arkeologi menjalankan penyelidikan dan mengkaji dengan
lebih mendalam tentang Port Royal dan lanun-lanun atau privateer yang
hidup di situ pada kurun ke-17.
Dengan
penyelidikan-penyelidikan ini, diharapkan kita dapat meraih pengetahuan yang
lebih jitu tentang kehidupan sebenar lanun atau privateer di Caribbean.
SUMBER
- Black Pearl Tales. 2014. Port Royal and Tortuga – Pirate Havens.
- Cordingly, D. 1992. Pirate and Port Royal.
- Davies, N. 2012. Jamaica’s ‘Wickedest City’ Port Royal Banks on Heritage.
- Fenton, C. 2014. Port Royal: Discover the Real Pirates of the Caribbean,
- Pirates of the Caribbean Wiki. 2014. Timeline of the Pirates of the Caribbean series.
- Sheppad Software. 2014. Port Royal.
- Wikipedia. 2014. Port Royal.
- Word & Film. 2011. The Real Pirates of the Caribbean: What the Movies Got Wrong.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Sejarah Port Royal _ Pusat Kegiatan Lanun Di Caribbean’
- Get link
- X
- Other Apps


