- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (5 Ogos 2017). The Controversial Indian Caste System Has Been
Dividing India for 2000 Years. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/controversial-indian-caste-system-has-been-dividing-india-2000-years-021548
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/controversial-indian-caste-system-has-been-dividing-india-2000-years-021548
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sebuah kajian genetik
ke atas penduduk India mendapati sistem kasta masyarakat India telah pun
diamalkan secara meluas selama hampir 2000 tahun.
Sistem kasta berasaskan
prinsip agama Hindu dan ia menentukan bagaimana interaksi antara sesebuah kumpulan masyarakat dengan
kumpulan masyarakat yang lain. Penyusunan hierarki sosial sebegini hanya
membenarkan perkahwinan dalam lingkungan kasta yang sama. Malah, ia menetapkan
bahawa kasta seseorang sudah ditetapkan sejak lahir. Selain itu, setiap kasta
juga dikaitkan dengan lapangan kerja yang tersendiri.
![]() |
| Gambar tahun 1922 mennjukkan kanak-kanak Hindu dari kasta tinggi, Bombay, India |
Live Science melaporkan
bahawa para penyelidik menjalankan analisa DNA terhadap 371 orang dari 73 buah
kumpulan dan melaporkan penemuan mereka itu dalam American Journal of Human
Genetics. Mereka mendapati bahawa populasi di India mengamalkan kehidupan
yang saling bergaul antara satu sama lain sekitar 4200 tahun lalu. Namun,
amalan kehidupan ini terhenti sekitar 1900 tahun yang lalu. Hasil penemuan ini
didokong oleh petunjuk-petunjuk yang ditemui dalam teks-teks purba yang
mengisyaratkan bahawa kasta telah pun wujud sejak 3000-3500 tahun lalu.
Pembahagian kasta menjadi semakin ketat sekitar 2000 tahun lalu.
![]() |
| Gambar tahun 1860an menunjukkan golongan Rajput, yang diklasifikasikan sebagai Hindu berkasta tinggi |
Tiga kumpulan
masyarakat utama, iaitu paderi, bangsawan dan orang awam, dapat dikenal pasti
pada sebuah koleksi gurindam Sanskrit berusia 3500 tahun yang dikenali sebagai
Rigveda. Pun begitu, sumber ini belum menyebutkan tentang pengasingan dan
pengetatan terhadap pelaksanaan kasta. Kumpulan masyarakat keempat yang
dikenali sebagai Shudra (kasta paling rendah) mula disebutkan pada tahun
1000SM. Apapun, hanya pada tahun 100SM barulah teks suci Manusmruti menyebut
tentang larangan langsung perkahwinan campur antara kasta. Larangan ini
kelihatan selari dengan hasil penyelidikan genetik yang disebutkan tadi.
Penulis bersama kertas
kajian tersebut, iaitu Priya Moorjani, seorang ahli genetik di Universiti
Harvard menerangkan bahawa hubungan sosial merentas-kasta pernah menjadi satu
kelaziman bagi penduduk di India. Akan tetapi, suatu ‘perubahan berlaku di mana
kebanyakan kumpulan ini mengamalkan endogami (perkahwinan hanya dijalankan
dalam lingkungan kumpulan tersendiri) sekitar 2000 tahun lalu.”
Sistem kasta ini memiliki
kaitan dengan kepercayaan Hindu tentang empat varna - pengaturan dan penyusunan manusia mengikut
kesucian rohani dalaman mereka. Kedudukan tertinggi dihuni oleh golongan
paderi, atau Brahmin. Golongan pahlawan atau Kshatriya adalah kumpulan yang seterusnya.
Manakala Vaishyas, atau para pedagang adalah kasta yang ketiga.
Kasta paling
rendah adalah Shudra (buruh, artisan dan hamba). Kasta Shudra turut dikenali
sebagai ‘kasta yang tidak boleh disentuh’ dan mereka lazim ditindas. Antara
bentuk penindasan tersebut adalah larangan meminum air dari perigi-perigi yang
digunakan oleh kasta-kasta lain yang lebih tinggi. Mereka juga dilarang dari
terlibat dalam ritual-ritual keagamaan. Malah, bayang-bayang mereka sama sekali
tidak boleh meneduhi kasta Brahmin.
![]() |
| Piramid sistem kasta di India |
Menjelang awal kurun
ke-20, India berusaha mendapatkan kemerdekaannya dari British dan sistem kasta
menjadi suatu isu yang sangat kontroversi pada waktu itu. Sistem ini dikritik
kerana disifatkan sebagai satu bentuk ketidakadilan dan penindasan. Kini,
perlembagaan India melarang penggunaan istilah ‘kasta yang tidak boleh
disentuh’ ketika merujuk kasta Shudra. Penindasan berdasarkan kasta juga
dilarang.
Memasuki zaman
teknologi dan maklumat, kepentingan sistem kasta mula hilang terutama dari
sudut ekonomi. Namun, amalannya berkekalan sebagai doktrin keagamaan dan ia
terus menjadi faktor pemecah-belah dalam kalangan masyarakat India pada hari
ini.
![]() |
| Gandhi mengunjungi Madras (kini Chennai) pada 1933. Ucapan dan tulisan-tulisannya dalam jelajah ini membahaskan tentang penindasan dalam kalangan kasta-kata di India |
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Sejarah Sistem Kasta Di India’
- Get link
- X
- Other Apps




