- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kerry Sullivan. (31 Ogos 2016). Surya Siddhanta: The Startlingly Accurate
Astronomy Book of the 1st Millennium BC. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/surya-siddhanta-startlingly-accurate-astronomy-book-1st-millennium-bc-020969
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/surya-siddhanta-startlingly-accurate-astronomy-book-1st-millennium-bc-020969
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ramai yang mengenali
kehebatan Ravana, di penunduk Sita dalam Epik Ramayana. Namun kurang yang
mengetahui tentang pencapaian bapa mertuanya, Raja Maya, yang menakjubkan.
Menurut legenda, dewa matahari Hindu, iaitu Surya, memberikan pengetahuan yang
khusus berkenaan alam semesta kepada Maya. Mungkin ianya bertujuan untuk
membolehkan penduduk bumi memujanya dengan lebih baik.
Lembaran-lembaran ilmu
yang meliputi pengetahuan ini dikenali sebagai Surya Siddhanta dan ia merupakan
buku astronomi tertua yang diketahui oleh sejarah. Tambah menakjubkan,
kebanyakan kandungannya didapati tepat dan selaras dengan ilmu moden.
Surya Siddhanta adalah
bukti kemajuan ilmu masyarakat India purba. Menerusi teks ini, kita dapat
menemukan asas-asas trigonometri dan matematik seperti tandai piawai dan sistem
perpuluhan. Selain itu, teks ini juga memerincikan tentang graviti seribu tahun
lebih awal berbanding Sir Isaac Newton yang mengembangkan teorinya pada tahun
1687.
Teks ini menerangkan
tentang bagaimana planet bergerak ke arah timur. Ia turut menghitung saiz dan
kedudukan planet-planet yang jauh, serta panjang tahun tropika dan jumlah masa
yang telah berlalu sejak penciptaan alam dengan agak tepat. Dalam perbincangannya
tentang bagaimana masa itu berlalu dalam kadar berbeza dan di bawah keadaan
yang berbeza, teks ini memuatkan asas-asas relativiti.
Hikayat Hindu
menyebutkan bahawa usia Surya Siddhanta mencecah 2 juta tahun. Namun sumber
Vedik menyatakan dalam bentuk lisan bahawa teks ini dikarang buat kali pertama
pada 2500 tahun yang lalu. Ilmuwan moden berpendapat bahawa Surya Siddhanta
ditulis sekitar awal kurun ke-6M.
Tolak ketepi sebentar
kepercayaan yang kononnya teks ini diilhami oleh dewa, ramai ilmuwan meyakini
bahawa kandungan Surya Siddhanta merupakan hasil pertemuan antara tamadun India
dan Yunani sekitar Zaman Hellenistik. Secara lebih mengkhusus, karya Hipparchus
dilihat memberikan impak yang signifikan kepada keilmuan masyarakat India
purba.
Hipparchus diyakini
sebagai ahli matematik pertama yang mencipta (atau setidak-tidaknya memiliki)
jadual trigonometri. Jadualnya itu mengandungi senarai kesemua nilai fungsi
perentas, iaitu panjang perentas kali setiap sudut bulatan. Jadual trigonometri
ini sangat penting dalam pengiraan astrologi, navigasi dan kejuruteraan.
Hipparchus menggunakan jadualnya itu untuk menghasilkan jadual pengorbitan
matahari dan bulan. Karya Hipparchus berkemungkinan akan hilang buat
selama-lamanya andai ia tidak dipelihara oleh ilmuwan di India yang hidup
sezaman dengannya.
![]() |
| Perkiraan geometrik yang digunakan oleh Hipparchus dalam menentukan jarak antara bumi dengan matahari dan bulan |
Jadual trigonometri sin
yang terkandung di dalam Surya Siddhanta didapati lebih tepat dan lebih terperinci
berbanding jadual Hipparchus. Kefungsiannya berkenaan jya (dasar sin)
dan kojya (sin serenjang / cosine) merupakan asas yang dimajukan
oleh tamadun Arab (Islam) di zaman terkemudian.
Surya Siddhanta turut
mengandungi pengaplikasian terawal tangen dan secant dalam
perbincangan tentang bayang jam matahari. Teks di dalamnya mennyebutkan,
“Daripada (jarak rembang meridian matahari), temukan jya dan kojya.
Jika setelah itu jya dan radius masing-masing dikalikan dengan ukuran gnomon
(jam matahari) mengikut perkiraan digit, dan dibahagikan dengan kojya,
hasilnya adalah bayang dan hipotenus pada waktu tengahari.” (Bab 3: ayat 21-22)
Antara perkiraan lain
yang terkandung dalam Surya Siddhanta adalah seperti berikut:
Objek-objek jatuh ke
bumi disebabkan oleh satu daya tarikan dari bumi. Justeru, bumi, planet, buruj,
bulan dan matahari berada dalam orbit lantaran daya tarikan ini.
Panjang purata tahun
tropika adalah 365.2421756 hari. Perkiraan ini hanya 1.4 saat lebih pendek
berbanding perkiraan moden, iaitu 365.2421904 hari.
Panjang purata bagi
tahun bintang adalah 365.2563627 hari, yang mana ia hampir sama dengan
perkiraan moden, iaitu 365.25636305 hari.
Anggaran diameter
planet Merkuri adalah 3008 batu. Perkiraan ini hanya kurang 1% dari kiraan
diameter di zaman moden, iaitu 3032 batu.
Anggaran diameter
planet Zuhal adalah 73 882 batu. Perkiraan ini hanya kurang 1% dari kiraan
diameter di zaman moden, iaitu 74 580 batu.
Surya Siddhanta
memainkan peranan yang penting dalam sejarah tamadun moden. Dengan memelihara
dan mengembalkan keilmuan tamadun Yunani purba, masyarakat India berupaya
merintis jalan bagi pembangunan matematik dan astronomi di zaman kegemilangan
Islam.
Sememangnya, Surya
Siddhanta adalah salah sebuah teks Sanskrit yang diterjemahkan ke dalam bahasa
Arab di zaman Khalifah al-Mansur. Pengetahun ini kemudiannya dimajukan dan
disebarkan ke pelbagai budaya sehingga akhirnya di zaman moden, ia kembali ke
Barat.
SUMBER
- Burgess, Ebeneze. Surya-Siddhanta: A Text-book of Hindu Astronomy. Ed. Phanindralal Gangooly. Delhi: Motilal Banarsidass. 1989. Google Books.
- Jones, Alexander Raymon. Hipparchus. Encyclopedia Britannica.
- NESTA. Surya. Windows to the Universe. The National Earth Science Teachers Association. 2012.
- Sanskriti. Surya Siddhanta. The Oldest Book Known to Man on Astronomy. Sanskriti Indian Culture. Sanskriti Magazine.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Surya Siddhanta – Buku Astronomi Tamadun India Purba’
- Get link
- X
- Other Apps

