TEUTA – RATU ILLYRIA YANG MENGANCAM PERDAGANGAN LAUT ROM

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (26 Mei 2015). The Fierce Queen of the Illyrians: Teuta the Untameable. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/fierce-queen-illyrians-teuta-untameable-003126

Penterjemah: Amir Zayyanid


Berikutan kekalahan Carthage dalam Perang Punik Pertama pada tahun 241SM, Republik Rom menjadi kuasa yang mendominasi Laut Mediterranean. Apapun, penguasaan ini bukanlah bersifat mutlak. Di timur Itali, terdapat sebuah lagi kekuasaan yang sedang meningkat naik, iaitu Kerajaan Ardiaea yang diperintah oleh suku Illyria. Kerajaan ini sering mengancam kapal-kapal dagang Rom yang melalui Laut Adriatik. Takhta kerajaan ini disandang oleh Ratu Teuta (selepas kemangkatan suaminya).

Teuta adalah isteri kepada Agron, raja Kerajaan Ardiaea. Di bawah pemerintahan Agron, Kerajaan Ardiaea berupaya membangun sebagai sebuah kerajaan yang dikenali ramai. Menurut seorang penulis Rom yang bernama Appian of Alexandria, Agron meluaskan sempadan kerajaannya dengan menakluk sebahagian Epirus, Corcyra, Epidamnus dan Pharus. Tambahan lagi, armada Agron sangat digeruni di Laut Adriatik.

Pada tahun 231SM, Agron mangkat secara tiba-tiba setelah mengecapi kemenangan ke atas Aetolia. Menurut sejarahwan Yunani yang bernama Polybius, “Raja Agron, ketika armadanya pulang dan para pegawainya memberikan laporan (kemenangan) tentang pertempuran, begitu bergirang gembira lantaran mengenangkan bahawa beliau telah berjaya menewaskan Aetolia. Kemudian bagi meraikannya, beliau pun minum dan berseronok sepuas hatinya hinggakan beliau diserang radang paru-paru yang membawa kepada maut beberapa hari kemudian.”

Memandangkan pewaris Agron, iaitu Pinnes masih kecil pada waktu itu, maka tampuk pemerintahan Kerajaan Ardiaea diambil oleh Teuta yang bertindak selaku ratu pemangku.

Walaupun Teuta melanjutkan kegemilangan mendiang suaminya dengan meneruskan polisi perluasan kuasa, tindakan-tindakannya itu digambarkan secara negatif oleh Polybius. Namun, sejarahwan berpendapat bahawa sikap bias Polybius ini adalah disebabkan oleh tumpuannya yang lebih terarah kepada historiografi Rom itu sendiri. Menurut Polybius, Teuta memiliki ‘sifat pendek akal yang alami bagi seorang wanita’ dan beliau ‘tidak mencapai sebarang kejayaan melainkan yang kecil dan tidak tahu-menahu tentang apa yang berlaku di tempat lain’.

Polybius juga menyebutkan bahawa Teuta mendokong kegiatan perlanunan masyarakat Illyria, menyerang wilayah-wilayah jirannya tanpa simpati dan mengarahkan komander-komander perangnya agar bermusuhan dengan semua pihak luar.

Tugu Teuta si Ratu Illyria


Kegiatan-kegiatan perlanunan sebeginilah yang kemudiannya mendorong Rom untuk memerangi Teuta. Pada mulanya, Senat Rom tidak mengendahkan aduan-aduan berkenaan Teuta yang dikemukakan oleh para pedagang yang merentasi Laut Adriatik. Namun, lantaran jumlah aduan sebegitu meningkat, maka Senat pun terpaksa mengambil tindakan.

Rom memulakan tindakannya dengan mengambil langkah diplomasi dan menghantar perutusan ke istana Teuta. Sumber-sumber purba merekodkan bahawa Teuta sama sekali tidak bersenang hati dengan utusan-utusan Rom itu. Dalam rundingan yang cuba diadakan, beliau mengambil sikap tidak beralah. Lebih teruk daripada itu, imuniti diplomatik utusan-utusan ini dilanggar. Polybius mencatatkan bahawa salah seorang utusan itu dibunuh ketika sedang bersiap untuk kembali ke Rom. Cassius Dio pula menyebutkan bahawa sebahagian perutusan itu dipenjarakan manakala yang lain dibunuh.

Topi pelindung masyarakat Illyria (Kurun ke-6 dan 5 SM)


Sesampai sahaja berita tentang hal ini ke pegetahuan Rom, mereka pun naik berang dan langsung mengisytiharkan perang ke atas Tuta. Sebuah armada yang terdiri daripada 200 buah kapal dibentuk untuk tujuan serangan, sambil diiringi oleh sepasukan tentera darat. Sasaran pertama armada Rom ini adalah Pulau Corcyra, yang ditadbir oleh Demetrius yang juga merupakan gabenor Pharus. Dalam catatan-catatan Appian dan Polybius, Demetrius dikatakan telah mengkhianati suku Illyria apabila menyerahkan Corcyra dan Pharus kepada Rom.

Namun menurut Cassius Dio, Teuta sendiri yang memerintahkan Demetrius untuk menyerahkan Corcyra kepada Rom sebagai langkah berdamai. Pun begitu, tidak lama sesudah perjanjian perdamaian ini dimeterai, Teuta menyerang Epidamnus dan Apollonnia. Hal ini mendorong Rom untuk sekali lagi mengambil tindakan. Demetrius pula kemudiannya menumpahkan khidmat setianya kepada Rom lantaran tidak tahan lagi dengan kerenah ratunya itu.

Menyedari bahawa beliau tidak dapat menandingi Rom dalam medan perang, maka Teuta pun menyerah diri pada tahun 227SM. Menurut Polybius, Teuta ‘bersetuju untuk membayar sebarang jumlah ufti yang dikenakan ke atas mereka, menyerahkan seluruh Illyria kecuali beberapa kawasan dan paling penting bagi masyarakat Yunani, untuk tidak lagi berlayar melangkaui Lissus dengan lebih dari dua buah kapal tidak bersenjata’.

Tambahan lagi, Appian turut menyebutkan bahawa Corcyra, Pharus, Issa, Epidamnus dan seluruh Illyrian Atintani menjadi naungan Rom. Saki-baki Kerajaan Ardiaea yang masih tersisa diperintah oleh Pinnes, yang kini pemerintahannya dipangku oleh Demetrius.

Walaupun Teuta berpeluang untuk hidup beberapa dekad berikutnya, terdapat sebuah kisah menarik yang menyebutkan bahawa Teuta telah terjun dari cenuram di Risan, Teluk Kotor, Montenegro moden kerana enggan menyerah kepada Rom. Masyarakat Risan mempercayai bahawa sebelum membunuh diri, Teuta sempat menurunkan sumpahan ke atas bandar itu sehingga mengakibatkan Risan menjadi satu-satunya bandar di teluk itu yang tidak memiliki tradisi perlautan.

Teluk Kotor di mana Ratu Teuta kononnya terjun dari cenuram kerana enggan menyerah kepada Rom sekitar tahun 229SM. Katanya, bandar ini adala satu-satunya yang tidak memiliki tradisi perlautan di situ, lantaran sumpahan Teuta


SUMBER


Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Teuta – Ratu Illyria Yang Mengancam Perdagangan Laut Rom