- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (18 September 2017). The Unshakeable Power of Zeus, Prime Mover of
Ancient Greek Deities. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/unshakeable-power-zeus-prime-mover-ancient-greek-deities-008806
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/unshakeable-power-zeus-prime-mover-ancient-greek-deities-008806
Penterjemah:
Amir Zayyanid
“Kemudian, Zeus tidak
lagi menahan-nahan kuasanya; sebaliknya meluruskan hatinya dipenuhi kemarahan
lalu beliau tunjukkan segala kekuatannya. Dari Langit dan dari Olympus, beliau
datang menderu, melontarkan petirnya; dari tangannya, petirnya itu terbang laju
bersama dengan kilat, berpusar membawa api.” (The Theogony of
Hesiod, II. 687-712)
KELAHIRAN ZEUS
Satu versi penceritaan
tentang kelahiran Zeus boleh ditemui dalam karya Hesiod yang berjudul Theogony.
Dalam puisi Yunani purba ini, Zeus dinyatakan sebagai anak bongsu Cronus dan
Rhea. Lima beradiknya yang lain (Hestia, Demeter, Hera, Hades dan Poseidon)
habis ditelan oleh bapanya sebaik sahaja mereka dilahirkan. Hal ini kerana
Cronus menyedari bahawa salah seorang anaknya telah ditakdirkan untuk
menggulingkannya dan mengambil-alih kedudukannya sebagai raja dewa.
Namun, Zeus terlepas
daripada nasib ini menerusi suatu tipu helah. Rhea tidak menyerahkan Zeus
kepada Cronos, sebaliknya memberikan batu yang dibalut dengan kain untuk ditelan
oleh suaminya itu. Zeus disembunyikan di dalam sebuah gua (sama ada di Gunung
Ida atau Gunung Dikteon) yang terletak di Pulau Crete.
Zeus dibesarkan secara
rahsia oleh ibu angkatnya. Dalam beberapa versi, ibu angkat Zeus dinyatakan
sebagai seekor kambing yang bernama Amalthea. Satu versi lagi mendakwa bahawa
Zeus dibesarkan oleh Gaia, atau salah satu pari-pari.
Walau apapun
keadaannya, Zeus membesar tanpa pengetahuan bapanya. Beliau kemudiannya pulang
untuk mencabar kekuasaan Cronus dan memaksa Cronus memuntahkan semula
adik-beradiknya. Bersama adik-beradiknya, Zeus memerangi dan menewaskan selurun
Titan yang lain dan menjadi raja dewa yang baru.
Selepas selesai
pertempuran antara para dewa ini, Zeus membahagikan dunia ini sesama
adik-beradiknya, Hades dan Poseidon dengan cabutan undi. Zeus menjadi
pemerintah langit, manakala Hades dan Poseidon masing-masing memerintah alam
kematian dan laut.
ANAK-ANAK ZEUS
Menurut suatu mitos,
isteri pertama Zeus adalah Metis si dewi lautan yang kelak dikaitkan dengan kebijaksanaan
dan kelicikan. Diramalkan bahawa suatu hari nanti anak Zeus yang lahir dari
Metis ini akan menggulingkan bapanya. Justeru, Zeus mengatur rancangan untuk
mengelak dari ditimpa takdir ini. Apabila Metis mengandung, Zeus memperdayanya
dan menelannya. Pun begitu, disebabkan tindakannya ini, dewi Athena membesar di
dalam perut Zeus dan kemudiannya lahir dari kepalanya dalam keadaan lengkap
bersenjata.
![]() |
| Kelahiran Athena digambarkan pada sebuah ampora yang berasal dari tahun 550-525SM |
Selain Metis, Zeus juga
mempunyai anak dengan sejumlah dewi dan manusia lain. Misalnya bersama
isterinya yang seterusnya, Hera, Zeus memperoleh Ares, Hebe dan Eileithyia.
Zeus juga dianggap sebagai bapa kepada Artemis dan Apollo (ibunya, Leto adalah
sepupu Zeus). Zeus menjalinkan banyak hubungan dengan wanita manusia, justeru
melahirkan ramai separa-dewa. Separa-dewa yang paling masyhur tidak lain dan
tidak bukan adalah Heracles dan Perseus. Begitu juga dengan Minos (raja pertama
Crete) dan Helen of Troy, wanita paling cantik di dunia menurut mitos Yunani.
Sebagai dewa terulung
pantheon Yunani, banyak kuil dibina dan diabadikan kepada Zeus. Kuil yang
paling penting adalah Kuil Zeus di Olympia. Kuil ini tersenarai sebagai salah
satu dari Tujuh Keajaiban Dunia Purba. Ia meraih kemasyhuran lantaran patung
dewa bersaiz besar yang diperbuat daripada emas dan gading, dihasilkan oleh
seorang tukang arca yang bernama Pheidias. Antara tempat masyhur lain yang
diabadikan kepada Zeus termasuklah Dodona, Gunung Lykaion dan beberapa buah gua
di Crete.
![]() |
| Runtuhan di sebelah barat Kuil Zeus, Olympia, Greece |
SUMBER
- Hesiod. Theogony. [West, M.L. (trans.) 1988. Hesiod’s Theogony and Works and Days. Oxford: Oxford University Press]
- Atsma, A. J. 2017. Zeus.
- Greek Gods & Goddesses. 2014. Zeus.
- Karas, M. & Megas, C. 2017. Zeus.
- Leadbetter, R. 2005. Zeus.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Zeus – Raja Dewa-Dewi Olympia Dalam Mitologi Yunani’
- Get link
- X
- Other Apps


