- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (3 Februari 2015). How Castaway Survivor Alexander Selkirk Inspired
the Tale of Robinson Crusoe. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/how-castaway-survivor-alexander-selkirk-inspired-tale-robinson-crusoe-002638
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/how-castaway-survivor-alexander-selkirk-inspired-tale-robinson-crusoe-002638
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ramai yang mengenali
novel Robinson Crusoe, sebuah novel yang dikarang pada kurun ke-17/18
Masihi oleh seorang penulis Inggeris, Daniel Defore. Dalam novel berkenaan,
karakter utamanya dikisahkan terdampar di sebuah pulau terpencil di Caribbean
selama hampir 28 tahun. Fiksyen oleh Defoe ini berkemungkinan digarap
berdasarkan sebuah kisah sebenar, antaranya daripada pengalaman Alexander
Selkirk, seorang warga Scotland yang juga hidup sezaman dengan Defoe.
![]() |
| Tugu gangsa Alexander Selkirk di tapak rumahnya di Main Street, Lower Largo, Fife, Scotland |
Alexander Selkirk
dilahirkan di Lower Largo, Fife, Scotland pada tahun 1676. Pada tahun 1693/5
(sumber yang berbeza memberikan tarikh yang berbeza), Selkirk dipanggil
menghadap Sesi Kirk atas ‘kelakuan tidak bermoral di gereja’. Namun, beliau
tidak memunculkan diri atas alasan ‘keluar ke laut’. Detik ini menjadi
permulaan hari-hari Selkirk di lautan lepas.
Pada tahun 1703,
Selkirk menyertai kapal peribadi yang diketuai oleh seorang privateer Inggeris,
William Damper menuju ke Laut Selatan. Memandangkan Perang Pewarisan Takhta
Sepanyol yang melibatkan England dan Perancis baru sahaja bermula dua tahun
yang lalu, ramai privateer mengambil peluang untuk mengumpulkan kekayaan
dan berkhidmat untuk negara dengan menyerang kapal-kapal musuh. Pada tanggal 11
September tahun sama, kapal St. George dan Cinque Ports memulakan
perlayaran dari Kinsale, Ireland. Selkirk menaiki kapal Cinque Ports dan
berkhidmat sebagai ketua kelasi.
Tatkala kapten Cinque
Ports, iaitu Charles Pickering meninggal dunia pada November tahun sama,
kedudukannya diambil-alih oleh Thomas Stradling, seorang kelasi atasan yang
masih muda. Beliau tidak begitu digemari oleh anak-anak kapalnya. Pada bulan September,
kapal berlabuh di sebuah pulau terbiar lagi terpencil di pantai Chile moden.
Setelah meluangkan masa selama sebulan untuk berehat dan mengisi semula
bekalan, Cinque Ports kembali bersedia untuk berlayar meredah lautan
lagi.
Namun, Selkirk meragui
keadaan kapal tersebut dan menyatakan bahawa beliau lebih rela tinggal di pulau
itu berbanding berlayar di atas Cinque Ports. Sudah tentu, Stradling
tidak berat hati untuk memenuhi permintaan tersebut lantaran kedua-duanya
saling tidak mesra. Lantaran itu, Selkirk pun ditinggalkan di Mas a Tierra (Lebih
Hampir ke Rumah, atau kini dikenali sebagai Pulau Robinson Crusoe), pulau
kedua terbesar di Kepulauan Juan Fernandez. Beliau ditinggalkan bersama
sejumlah kecil barangan, termasuklah pakaian, alat navigasi, periuk untuk
memasak, sebilah pisau, sebilah kapak, selaras musket, dan senaskhah Bible.
![]() |
| Pulau Robinson Crusoe, Kepulauan Juan Fernandez, Chile, di mana Selkirk hidup terdampar |
Sepanjang empat tahun
dan empat bulan berikutnya, Selkirk hidup bersendirian di pulau berkenaan.
Takdirnya mungkin boleh dikatakan tidak begitu buruk, memandangkan keraguannya
berkenaan keadaan Cinque Ports ternyata benar apabila kapal itu karam di
pantai Colombia. Hanya Stradling dan tujuh orang anak kapal sahaja terselamat,
walaupun kemudiannya mereka terpaksa menyerah diri kepada Sepanyol dan
dipenjarakan di Lima, Peru.
Di pulau itu, Selkirk
dapat melangsungkan hidup dengan berbekalkan sumber alam yang terdapat di sana.
Bagi makanan misalnya, beliau boleh mendapatkan lobak putih, kobis, pepper
berries, dan kambing liar yang ditinggalkan oleh pelayar-pelayar terdahulu.
Sebagai tempat berteduh, Selkirk membina dua buah pondok kayu yang diatapi
dengan rumput panjang yang kemudiannya dibentang dengan kulit kambing.
Jika
pakaiannya lusuh, Selkirk menghasilkan pakaian daripada kulit kambing berbulu. Sementara
bagi memenuhi masa-masa senggang dan menenangkan diri, Selkirk melazimi
pembacaan Bible. Namun apapun, sebagai sifat alami, Selkirk tentunya
mendambakan teman yang boleh mengubati kesepiannya dan berhasrat untuk keluar
dari pulau itu.
![]() |
| Ilustrasi Crusoe menunjukkan pengaruh dari keadaan hidup Selkirk |
Peluangnya kunjung tiba
pada suatu masa apabila dua buah kapal berlabuh di teluk pulau tersebut.
Melihatkan hal itu, Selkirk segera bergegas ke pantai hanya untuk dihampakan.
Kapal-kapal tersebut adalah milik Sepanyol dan seandainya Selkirk ditangkap,
beliau akan dihukum gantung kerana berkhidmat sebagai privateer untuk
Inggeris. Mujur, Selkirk berjaya melarikan diri dan pihak Sepanyol sendiri
beredar selepas gagal menangkapnya.
Pada 1 Februari 1709,
peluang kedua tiba apabila dua buah kapal lain melabuhkan sauh di pulau itu.
Kali ini, kapal-kapal tersebut dipunyai oleh seorang privateer Inggeris,
iaitu Woodes Rogers. Maka, Selkirk pun terselamat. Tambahan lagi, salah seorang
pengemudi kapal tersebut ialah William Dampier, bekas kapten Selkirk justeru
identiti Selkirk sebagai bekas kelasi privateer Inggeris dapat disahkan
kepada Rogers.
Selkirk terus
melanjutkan kariernya sebagai privateer dan kemudian kembali ke England
pada tahun 1711. Pada tahun berikutnya, Woodes Rogers menerbitkan sebuah buku
berkenaan ekspedisi perlayarannya, yang antara lain turut memuatkan catatan
perihal kehidupan Selkirk ketika terdampar sendirian di pulau terpencil itu.
Pada tahun 1719, Daniel Defoe menerbitkan novel Robinson Crusoe, yang
mana protagonis novel tersebut mempunyai kemiripan dengan Selkirk.
![]() |
| Judul halaman buku The Life and Adventures of Alexander Selkirk, the Real Robinson Crusoe (1835) |
Namun, kemasyhuran
Selkirk tidak begitu diraikan di kampung halamannya sendiri, Lower Largo.
Walaupun tugu beliau ada dinaikkan pada tahun 1885 tepat di tapak rumahnya,
ramai yang kurang mengenali ‘wira’ tempatan ini. Kemasyhurannya sebagai privateer
(yang dalam nada lain, lanun) membuatkan beliau dipandang buruk dan
reputasinya tercalar dalam kalangan masyarakat tempatan. Justeru, mereka lebih
cenderung melupakan Selkirk berbanding mengenang namanya.
SUMBER
- Alleyne, R. 2008. Mystery of Alexander Selkirk, the real Robinson Crusoe, solved.
- Bruce, J.S. & Bruce, M.S. 2007. The Real Robinson Crusoe (part 2).
- Evers, M. 2009. Trapped on a Pacific Island. Scientists Research the Real Robinson Crusoe.
- Selcraig, B. 2005. The Real Robinson Crusoe.
- BBC. 2015. Two Extraordinary Travellers, Alexander Selkirk – the Real Robinson Crusoe?
- Scotsman. 2005. Island gives up secret of real Robinson Crusoe.
- Get link
- X
- Other Apps




