- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Aleksa Vuckovic. (18 Januari 2020). Amerigo Vespucci: The Forgotten Explorer
Who Named America. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/amerigo-vespucci-0013166
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/amerigo-vespucci-0013166
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Zaman Penemuan
sememangnya merupakan salah satu zaman yang paling dramatik dalam sejarah
Eropah. Zaman yang menyaksikan banyaknya perlayaran, penerokaan dan interaksi
dengan Dunia Baru.
Ramai ahli navigasi,
peneroka dan kapten kapal yang ulung teruja dengan kemungkinan wujudnya sebuah
dunia yang terletak di luar sempadan pengetahuan Eropah, dunia yang
keberadaannya jauh melangkaui lautan yang terbentang luas. Di Dunia Baru ini
tersimpan pelbagai macam kepentingan seperti potensi perdagangan, sumber emas,
wilayak penaklukan dan kekayaan.
Pada hari ini, kita mengenali
Dunia Baru sebagai Amerika. Namun, daripada manakah datangnya nama tersebut?
Seorang ahli navigasi dari Florence, yang namanya sering dibayangi oleh
Columbus, merupakan insan yang memberikan namanya kepada benua berkenaan.
Beliau ialah Amerigo Vespucci dan ini adalah kisah tentangnya.
![]() |
Potret Amerigo Vespucci bersama peta, yang mungkin dilukis oleh Cristofano dell’Altissimo |
KEHIDUPAN AWAL AMERIGO
VESPUCCI
Sebelum kita memulakan
penceritaan tentang ahli navigasi yang terkemuka ini, mari kita berbicara
tentang Dunia Baru terlebih dahulu. Benua Amerika tidaklah ditemui buat kali
pertama oleh Columbus mahupun Vespucci sebagaimana anggapan umum. Merentas
zaman, sejarah telah mengenali ramai pelaut dan tamadun demi tamadun yang
menjelajah lautan luas. Sebaik sahaja lautan luas ini diredahi, para pelayar
lambat-laun tentunya dapat menemukan benua Amerika.
Antara pelaut pertama
yang tiba di benua Amerika ialah Viking. Di bawah kepimpinan seorang Viking
dari Iceland yang bernama Leif Erikson, orang-orang Norse ini berjaya meredahi
lautan luas dan tiba di pantai Amerika Utara. Peristiwa ini berlaku sekitar
1000 Masihi, hampir lima kurun sebelum Columbus.
Pada tahun 1492,
peneroka Itali yang bernama Christopher Columbus menjadi orang Eropah pertama
yang tiba di Kepulauan Caribbean. Namun beliau tersilap anggap bahawa dirinya
telah tiba di pinggiran benua Asia, justeru menamakannya sebagai ‘Kepulauan
Hindi’. Pelaut senegara dan sezaman beliau, iaitu Amerigo Vespucci kemudiannya
membuktikan kesilapan Columbus.
![]() |
Gambaran Leif Eriksson menemui benua Amerika, dilukis pada tahun 1893 |
Amerigo dilahirkan pada
tahun 1454 Masihi dalam sebuah keluarga yang terkemuka di Florence, Itali.
Keluarga Vespucci merupakan sebuah keluarga terhormat dan penduduk tempatan di
Florence sejak dua kurun. Ramai yang mengaitkan nama Vespucci ini dengan
kebangsawanan Itali.
Namun, hal ini tidaklah
memaksudkan bahawa keluarga Vespucci ini kaya. Sebaliknya, mereka merupakan
sebuah keluarga yang agak miskin dan lazim bergiat dalam aktiviti perdagangan.
Semenjak awal usianya,
Amerigo dididik oleh bapa saudaranya, seorang mubaligh friar di Dominica yang
bernama Giorgio Antonio Vespucci. Ketika masih kanak-kanak lagi, Amerigo
mempelajari bidang seni, sastera, matematik dan geografi. Kemudian, beliau
dihantar ke Univesiti Pisa untuk mendapatkan pendidikan lanjut. Pada waktu itu,
Florence merupakan pusat kesenian, kesusasteraan dan tapak permulaan
Renaissance, yang kesemua ini lantaran jasa Wangsa Medicci.
Amerigo berkesempatan
untuk berkenalan dengan beberapa ahli keluarga Medicci yang terkemuka ini, dan
seterusnya terlibat dalam dunia perdagangan. Sebagai seorang pedagang, beliau
meraih kedudukan dalam pertubuhan perdagangan Lorenzo de Medici yang agak
terkemuka.
Pencapaian ini antara
lain disebabkan oleh latar belakang keluarganya, di samping keluarga Medicci
sendiri sedang mencari bakat-bakat baru. Bergiat dalam perdagangan di Florence
memerlukan ketrampilan dalam diplomasi, pertuturan dan kecekapan dalam
hal-ehwal komersial. Amerigo menguasai kesemua ketrampilan ini dengan baik.
![]() |
Potret Lorenzo de Medici dari kurun ke-16 |
Selepas meraih
kedudukan tersebut, Amerigo mengembara ke Barcelona di Sepanyol atas tuntutan
kerja. Pada masa itu, Semenanjung Iberia merupakan salah satu lokasi perdagangan
dan pengembaraan yang utama, terutama bagi para peneroka dan ahli navigasi
Portugis dan Sepanyol.
Amerigo Vespucci banyak
terlibat dalam perniagaan di Sepanyol, terutama di Seville, di mana beliau
bertugas menyiapkan bekalan dan menyelenggara kapal-kapal Sepanyol yang bakal
digunakan dalam perlayaran-penerokaan. Sekitar waktu itu, hubungan antara
Monarki Castile dan Christopher Columbus sudah agak renggang. Lantaran itu,
pihak kerajaan mula memberikan lesen dan mencari ahli-ahli navigasi terkemuka
yang lain untuk dihantar menerokai Hindia Barat.
PERLAYARAN-PERLAYARAN
AWAL VESPUCCI
Amerigo Vespucci amat
berminat dengan perlayaran ini. Diperkirakan bahawa pada suatu masa, beliau
berpeluan berlayar bersama Christopher Columbus. Namun kemudian, Vespucci
memasang hajat untuk melakukan perlayarannya sendiri.
Beliau mempunyai
kesemua keperluan – tahap pendidikan yang tinggi, rangkaian hubungan yang luas
di Sepanyol dan Itali, latar belakang dalam dunia perlayaran, serta ketrampilan
dalam bidang perdagangan, geografi dan astronomi.
Beliau pernah berlayar
bersama Alonso do Hojeda dalam salah sebuah pengembaraannya, bertugas sebagai
ahli astronomi dan pedagang. Vespucci bukanlah seorang pelaut yang
calang-calang. Sebagai seorang yang berpendidikan, beliau banyak menumpu pada
bidang astronomi dan mengkaji bintang sambil mengikuti perlayaran dengan
harapan dapat menemukan bintang-bintang selatan.
Ramai yang percaya
bahawa sebaik sahaja beliau terlibat dalam perlayaran, Vespucci menyahut seruan
tersebut dengan bersungguh-sungguh dan berubah sepenuhnya dari seorang ahli
niaga kepada seorang ilmuwan dan ahli navigasi.
Sekembalinya di
Sepanyol, Amerigo Vespucci menolak tawaran tiga buah kapal dan bekalan-bekalan
(atas sebab yang tidak diketahui) untuk sekali lagi berlayar buat kerajaan
Sepanyol. Namun tatkala melihat pencapaian pelaut Portugis, Vasco da Gama, yang
berjaya mengelilingi benua Afrika, Vespucci bertekad untuk berlayar untuk
kerajaan Portugis demi meraih kemasyhuran. Tekad ini juga berputik atas faktor
kapal-kapal Portugis yang lebih laju dan kukuh berbanding Sepanyol.
![]() |
Potret Vasco da Gama |
Justeru itu, Vespucci
pun meraih kepimpinan ke atas tiga buah kapal Portugis. Pada masa inilah beliau
melakukan perlayarannya yang kedua, atau perlayaran pertama beliau yang
dianggap oleh sejarahwan sebagai benar-benar terbukti. Beliau berangkat dari
Portugal pada bulan Mei 1501. Misi yang disasarkannya adalah untuk menemukan
Selat Gatigara, laluan yang kononnya boleh membawa ke Asia sebagaimana yang
didakwa oleh Ptolemy dalam penulisannya.
MENEMUKAN SEBUAH DUNIA
BARU
Namun, perlayaran ini
sebenarnya membawa Vespucci ke pantai Amerika Selatan. Apapun, pencapaian
inilah yang kelak menjadikannya masyhur. Sebaik sahaja beliau menyedari bahawa
beliau sama sekali tidak berada berhampiran Asia, Vespucci mengetahui bahawa
beliau menemukan sebuah benua baru yang terletak di antara Asia dan Eropah.
Memandangkan Vespucci
memiliki pengetahuan geografi dan menyedari akan hakikatnya yang tidak sempurna
dan tidak konsisten, maka beliau pun berlayar di sepanjang pantai. Pemerhatian
secara teliti membolehkan beliau menyimpulkan bahawa daratan yang ditemuinya
ini benar-benar sebuah benua yang belum dikenali oleh orang Eropah.
![]() |
Peta benua Amerika pada tahun 1606 |
Lantas, beliau pun
segera menulis surat kepada Lorenzo Medicci dari tempat yang kini dikenali
sebagai Cape Verde. Beliau memerincikan dengan teliti tentang para penghuni
kawasan tersebut, flora dan faunanya, serta keadaan daratan itu sendiri.
Menerusi surat ini, kita dapat fahami bahawa Vespucci benar-benar seorang yang
berpendidikan tinggi dan terkehadapan, melangkaui zamannya.
Dalam surat yang
diutuskan kepada Medicci, beliau menyebutkan bahawa beliau telah menemukan
sebuah benua baru. Beliau turut memerihalkan tentang jumlah manusia yang
dilihatnya di sana, dan beliau menerangkan bahawa kemajmukan penduduk itu
menandakan keluasan daratan tersebut, saiz pantainya dan juga saiz
sungai-sungainya.
EMPAT BUAH PERLAYARAN
DAN SURAT-SURAT PALSU
Secara keseluruhan,
Amerigo Vespucci berlayar sebanyak empat kali ke Dunia Baru, walaupun
sejarahwan kini tidak begitu pasti tentang dua daripadanya. Kebanyakan catatan
tentang perlayaran Vespucci datang daripada beberapa pucuk surat yang ditulis
oleh Vespucci sendiri.
Surat pertama mendakwa
bahawa perlayaran beliau bermula pada bulan Mei 1497 dan berakhir pada bulan
Oktober 1498. Namun daripada maklumat sejarah, didapati bahawa pada masa itu
Amerigo sedang bekerja sebagai pembekal dan penyelenggara kapal di Seville.
Perlayaran pertama beliau bersama Hojeda pula bermula pada bulan Mei 1499.
Lantaran itu, ramai yang percaya bahawa surat ini sebenarnya adalah surat palsu
yang direka selepas kematian Vespucci.
Sepucuk lagi surat
palsu yang terkait dengan Vespuci ialah surat yang dikenali sebagai Mundus
Novus. Surat ini hadir sesudah kematian Lorenzo Medici dan kandungannya
penuh dengan dakwaan-dakwaan palsu. Begitu juga dengan sepucuk lagi surat yang
dikenali sebagai Empat Perlayaran, yang kononnya ditulis oleh Vespucci
untuk Piero Soderini, ketua majistret Florence.
Dipercayai bahawa
Soderini sendiri menulis surat-surat tersebut kerana cemburu terhadap Lorenzo
de Medici yang meraih seluruh perhatian Vespucci. Kandungan surat ini
mengandungi banyak kesamaan dengan maklumat perlayaran Columbus dan pada hari
ini, ia merupakan sumber bagi kebanyakan anggapan palsu berkaitan Vespucci dan
perlayaran-perlayarannya.
![]() |
Potret Christopher Columbus, 1519 |
AHLI NAVIGASI YANG
TIDAK LAGI KELUAR MENGEMBARA
Selepas perlayaran demi
perlayarannya berjaya menerokai benua Amerika, dan sesudah beliau meyakini
bahawa daratan yang ditemuinya itu adalah sebuah benua baru, Vespucci pun
pulang ke Portugal dan kekal berada di sana sehingga tahun 1504.
Selepas itu,
beliau pulang ke Seville.
Beliau sempat merancang untuk melakukan penerokaan
lanjut, namun rancangannya ini terbatal apabila Raja Ferdinand melantiknya
sebagai Mejar Pilot Sepanyol pada tahun 1508. Jawatan ini menuntut Vespucci
mengajar ahli-ahli navigasi Sepanyol tentang ilmu navigasi, astronomi dan
kosmografi yang dikuasai dan dimanfaatkan olehnya sepanjang karier beliau
sebagai seorang pelaut.
Jawatan ini
memberikannya kedudukan yang sangat tinggi dan penting, di mana beliau
mempunyai autoriti ke atas seluruh armada Sepanyol dan
perlayaran-perlayarannya. Begitu juga dengan seluruh perdagangan yang
dijalankan antara Sepanyol dan koloni-koloni mereka di Dunia Baru.
Namun malangnya,
Vespucci tidak dapat memegang jawatan itu dalam tempoh yang lama. Beliau juga
tidak berkesempatan untuk melakukan sebuah lagi penerokaan sebagaimana yang
diharapkan. Amerigo Vespucci meninggal dunia akibat malaria pada 22 Februari
1512. Walaupun sudah berkahwin, beliau tidak mempunyai anak.
WARISAN YANG KEKAL
BERPANJANAN
Vespucci meninggalkan
legasi yang berkekalan. Beliau benar-benar merupakan salah seorang insan
‘pertama’ dunia, peneraju penerokaan trans-lautan dan perlayaran jarak jauh.
Beliau menginspirasikan malah melatih generasi baru yang kebanyakannya
meneruskan legasi beliau. Generasi yang kelak berusaha mencari laluan laut ke
Asia dengan berlayar di penghujung selatan Amerika Selatan.
![]() |
Amerigo Vespucci, kapal latihan tentera laut Itali, yang didedikasikan kepada peneroka masyhur itu dan masih digunakan hari ini |
Pencapaian-pencapaian
yang diraih oleh Amerigo berjaya mengubah takdir penerokaan maritim. Beliau
merupakan orang Eropah pertama yang tiba dan menyaksikan pantai Brazil, serta
meneroka seluruh pantainya.
Sepanjang
pengembaraannya, Vespucci telah meneroka pantai yang secara keseluruhannya
berjarak 6000 batu (9700 km). Beliau juga merupakan orang Eropah pertama yang
menjejakkan kaki ke Colombia, Argentina, dan Uruguay serta menjadi yang pertama
menemui Sungai Amazon, Sungai Plata dan Sungai Pavia.
Selain itu, beliau juga
orang pertama yang menemui arus khatulistiwa dan memanfaatkan kitaran bulan
untuk menentukan longitud secara tepat. Apapun, pencapaiannya yang paling
penting adalah beliau menyedari bahawa ‘pinggiran Asia’ yang ditemui oleh
Columbus sama sekali bukanlah benua Asia, sebaliknya sebuah benua baru. Dunia
Baru ini dinamakan sebagai Amerika, nama feminin bagi Amerigo dalam Bahasa
Latin – suatu legasi Amerigo Vespucci yang kekal berpanjangan.
Vespucci memiliki
kefahaman yang jauh terkehadapan tentang dunia di sekelilingnya, dan beliau
sememangnya lahir pada zaman yang tepat untuk melakukan penerokaan. Beliau
lazim mengkaji penulisan-penulisan Marco Polo dan Ptolemy, dan hal ini banyak
membantunya dalam memahami bahawa penduduk dan lanskap daratan Amerika Selatan
bukanlah benua Asia.
Beliau berjaya
melakukan perlayaran jarak jauh, dan lantaran pencapaiannya ini, beliau
menyedari bahawa kemajmukan suku asli, keluasan pantai, dan iklim tropika di
situ merupakan petanda bahawa ia merupakan sebuah benua baru. Kesedaran
terhadap hakikat ini adalah salah satu penemuan paling penting dalam sejarah
Eropah.
![]() |
Tugu Amerigo Vespucci untuk mengenang jasanya |
Namun malangnya,
Amerigo Vespucci sering dibayangi oleh Christopher Columbus, insan yang
diperakui sebagai ‘penemu’ benua Amerika walau tanpa menyedari status sebenar
benua yang ditemuinya itu. Selain itu, catatan tentang kehidupan Vespucci
kebanyakannya diiringi dengan perdebatan dan kewujudan surat-surat palsu
berkaitan dengannya.
Justeru pada akhirnya,
ramai yang berpendapat bahawa Amerigo Vespucci melakukan tiga perlayaran ke
Dunia Baru, dan kesemua perlayaran ini berjaya mencetuskan revolusi dalam dunia
penerokaan. Namun, kesemua jasa dan penerokaan beliau ini sering dilupakan.
SUMBER
- Canaday, J. 2010. The Life of Amerigo Vespucci. Millersville University.
- Hoogenboom, L. 2006. Amerigo Vespucci – A Primary Source Biography. Rosen Publishing Group.
- Ray, K. 2004. Amerigo Vespucci: Italian Explorer of the Americas. Rosen Publishing Group.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Amerigo Vespucci – Nama Benua Amerika Diambil Daripada Peneroka Ini’
- Get link
- X
- Other Apps