- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (21 Oktober 2015). Ashoka the Great: From Cruel King to Benevolent
Buddhist. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ashoka-great-cruel-king-benevolent-buddhist-004259
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ashoka-great-cruel-king-benevolent-buddhist-004259
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Maharaja Ashoka
dianggap sebagai salah seorang monarki terhebat India dan merupakan pemerintah
ketiga Empayar Maurya. Walaupun penaklukan-penaklukan yang dilakukan oleh
Ashoka tidaklah sehebat datuknya, beliau dikenang secara meluas sebagai seorang
pemerintah dan penaung Buddhisme. Sumbangannya terhadap Buddhisme dan
penyebaran moraliti menjadikan beliau sebagai satu figura yang terkemuka dalam
sejarah India.
EMPAYAR MAURYA
Empayar Maurya
diperkirakan sebagai empayar terbesar dalam sejarah sub-benua India. Pada zaman
kemuncaknya, Empayar Maurya bukan hanya menguasai hampir seluruh wilayah India
moden, akan tetapi turut mendominasi Bhutan, Nepal dan Bangladesh di sempadan
timur dan Pakistan, Afghanistan dan sebahagian Iran di sempadan barat.
Kebanyakan penaklukan wilayah-wilayah ini dilakukan pada zaman pemerintahan
Chandragupta Maurya, pemerintah pertama empayar berkenaan merangkap datuk
kepada Ashoka.
![]() |
| Tugu Chandragupta Maurya, pemerintah pertama Empayar Maurya merangkap datuk Ashoka |
PERGELUTAN KUASA DALAM
KALANGAN KERABAT DIRAJA
Ashoka dipercayai lahir
pada tahun 304 Sebelum Masihi sebagai putera kepada maharaja Bindusara dan
Dharmma (isteri berpangkat rendah). Selain seorang adik, Ashoka juga mempunyai
beberapa orang saudara tiri. Menurut satu legenda, Ashoka dikatakan memerangi
dan membunuh 99 orang saudaranya demi mewarisi takhta Maurya. Hanya adiknya
sahaja, iaitu Vitashoka, dibiarkan hidup.
Semenjak kecil, Ashoka
mempamerkan potensi besar sebagai seorang panglima berjaya dan pentadbir yang
cekap. Walaupun begitu, peluang Ashoka untuk mewarisi takhta ayahandanya agak
tipis memandangkan beliau mempunyai beberapa orang saudara tiri. Apapun,
keupayaan yang dimiliki oleh Ashoka membuatkan mereka beranggapan bahawa
Bindusara kelak akan menyerahkan takhta kepadanya. Hal ini sekaligus membuatkan
mereka berasa tidak selamat, terutama sekali bagi Susima si putera sulung
Bindusara.
Lantaran itu, Susima
pun berusaha untuk menyingkirkan Ashoka demi menjamin kedudukannya. Beliau
berupaya meyakinkan ayahandanya agar menghantar Ashoka ke Taxila (di Pakistan
moden) untuk menundukkan sebuah pemberontakan. Namun, rancangan Susima ini
memakan diri lantaran Ashoka disambut baik sebaik tiba di kawasan tersebut
sekaligus berupaya menundukkan pemberontakan tanpa sebarang pertumpahan darah.
Susima kemudiannya
menghasut Bindusara supaya membenci Ashoka, lantas mengakibatkan Ashoka diusir
selama dua tahun. Namun, pemberontakan dahsyat yang berlaku di Ujjain memaksa
Bindusara agar memanggil Ashoka pulang. Ashoka kemudiannya dihantar untuk
menangani pemberontakan tersebut.
Walaupun berjaya menundukkan pemberontakan
itu, Ashoka tercedera dalam sebuah pertempuran. Demi merahsiakan berita
kecederaan tersebut dari Susima, Ashoka dirawat secara rahsia oleh
pendeta-pendeta Buddha. Ramai sejarahwan meyakini bahawa pada saat itulah
Ashoka berinteraksi buat pertama kali dengan ajaran Buddha.
Pada tahun berikutnya
(275 SM), Bindusara gering lalu mangkat. Lalu, perang pewarisan takhta pun
tercetus antara Ashoka dan saudara-saudara tirinya. Ashoka berupaya memenangi
pergelutan kuasa ini dan menjadi maharaja Maurya yang ketiga.
![]() |
| Relif India yang mungkin menggambarkan Ashoka di bahagian tengahnya. Dari Amaravati, daerah Guntur, India |
MULA MEMERINTAH SEBAGAI
MAHARAJA YANG BENGIS
Dikisahkan bahawa pada
tahun-tahun awal kekuasaannya, Ashoka dikenali sebagai seorang pemerintah yang
kejam dan bengis. Misalnya dalam sebuah legenda, diceritakan bagaimana Ashoka
menguji kesetiaan para menterinya dengan memerintahkan mereka supaya menebang
kesemua pokok bunga dan pokok buah, serta meninggalkan hanya pokok-pokok
berduri.
Kesemua menteri kehairanan dan bingung dengan perintah tersebut,
lantas mempersoalkannya. Selepas mempersoalkan perintah Ashoka itu sebanyak
tiga kali, Ashoka pun naik murka lalu “beliau menarik keluar pedangnya dan
memenggal kepala lima ratus orang menteri”.
Terdapat sebuah lagi
legenda lain yang memerihalkan tentang sebuah kamar penyeksaan yang dibina oleh
Ashoka. Kamar ini dikenali sebagai ‘penjara indah’ atau ‘Neraka Ashoka’. Kamar
ini disifatkan “kelihatan indah di luar namun di dalamnya, ia merupakan sebuah
tempat yang mengerikan”. Pembinaan ‘penjara indah’ ini adalah atas permintaan
Girika, algojo yang baru sahaja dilantik oleh Ashoka dan dikatakan bahawa ianya
diinspirasikan dari lima seksaan Neraka.
DUA LEGENDA, SATU
PERUBAHAN
Sebuah legenda
menyatakan bahawa salah seorang mangsa Girika adalah seorang pendeta Buddha
yang bernama Samudra. Walaupun beliau diseksa oleh Girika, tubuhnya langsung
tidak tercedera dan berita tentang keajaiban ini sampai ke pengetahuan Ashoka.
Ashoka datang menemui Samudra yang menegur beliau dan mengarahkan supaya Ashoka
membina 84 000 buah stupa, bersesuaian dengan suruhan Buddha demi menjamin
keselamatan seluruh makhluk. Ashoka menginsafi perbuatannya, meruntuhakan kamar
penyeksaan, menghukum si algojo dan mentaati suruhan Samudra.
Terdapat suatu lagi
versi lain yang memerihalkan tentang perubahan diri Ashoka. Versi ini lebih
masyhur berbanding versi yang melibatkan Samudra. Kesemuanya bermula daripada
penaklukan Kalinga yang dilakukan oleh Ashoka. Selepas menewaskan pasukan
musuh, Ashoka mengunjungi ibu kota Kalinga untuk menyaksikan sendiri kerosakan
dan korban perang. Jumlah kematian dan kehancuran yang diakibatkan peperangan
tersebut dipercayai membuatkan Ashoka berduka cita sekaligus meninggalkan sifat
bengisnya. Semenjak itu, Ashoka mula mentaati ajaran Buddhisme.
![]() |
| Perutusan Ashoka mengisytiharkan perdamaian. Ilustrasi dari Story of the Nations oleh Hutchinson. Ashoka meninggalkan kebengisannya selepas penaklukan Kalinga, jika menurut satu legenda |
ASHOKA KEMBALI KEPADA
BUDDHISME DAN MENYEBARKAN AJARANNYA
Selepas kembali kepada
ajaran Buddhisme, Ashoka mula menyebarkan kepercayaan tersebut ke seluruh
empayarnya. Keadaan ini jelas sekali terpamer dalam titah-titahnya yang diukir
pada batu-batu atau tiang-tiang. Titah-titah ini menyentuh pelbagai topik dalam
ajaran Buddhisme. Misalnya, terdapat bahagian yang menyentuh tentang melindungi
haiwan:
“Sebelum ini, di
dapur Kekasih Tuhan-Tuhan, Raja Piyadasi, ratusan ribu haiwan dibunuh pada
setiap hari demi memasak kari. Namun kini dengan penulisan titah Dhamma ini,
hanya tiga makhluk, dua burungmerak dan seekor rusa boleh dibunuh, dan rusa
tidaklah selalu. Dan suatu ketika, tiga makhluk ini juga tidak dibunuh.”
Serpihan bagi salah
satu Tiang Ashoka terdapat di Muzium British, dan ia mewarwarkan keluhuran budi
Ashoka kepada seluruh rakyatnya:
“Aku merenungi
bagaimana supaya aku dapat membawakan kebahagiaan kepada rakyat, tidak hanya
kerabatku atau penghuni ibu kotaku, akan tetapi mereka yang jauh daripadaku
juga. Setiap perbuatanku, aku mengenangkan keadaan mereka semua. Aku merisaukan
keadaan seluruh rakyatnya, kesemua kelas secara sama. Tambahan, aku menghormati
kesemua aliran agama yang masing-masing ada sembah korbannya. Namun, aku
menganggap menjadi tugas utamaku untuk menziarahi sendiri rakyat jelata.”
![]() |
| Salah sebuah batu yang mengandungi titah-titah Ashoka. Junagadh, Gujarat, India |
KERUNTUHAN SEBUAH
EMPAYAR DAN KEPERCAYAAN
Walaupun kedudukan
Buddhisme diangkat berkat naungan yang diberikan oleh Ashoka, keadaan tersebut
tidak bertahan lama. Berikutan kemangkatan Ashoka pada tahun 232 SM dan
keruntuhan Empayar Maurya kira-kira setengah abad kemudian, Buddhisme
kehilangan pengaruh di India. Apapun, asas-asas Buddhisme sebagai kepercayaan
besar di dunia tanpa dapat dinafikan merupakan jasa Ashoka dan kepercayaan
tersebut meraih kemasyhuran di wilayah-wilayah luar India sehingga ke hari ini.
SUMBER
- Strong, J.S. 1989. The Legend of King Asoka: A Study and Translation of the Asokavadana Delhi: Motilal Banarsidass Publishers.
- Ashoka, The Edicts of King Ashoka. [Dhammika, Ven. S. (trans). 1993. Ashoka’s The Edicts of King Ashoka].
- Szczepanski, K. 2015. Ashoka the Great.
- BBC. 2015. A History of the World in 100 Object, Episode 32: Pillar of Ashoka.
- Cultural India. 2015. Ashoka.
- Get link
- X
- Other Apps




