- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (27 September 2016). Baekje. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Baekje/
https://ancient.eu/Baekje/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Baekje (Paekche)
merupakan salah satu dari Tiga Kerajaan yang memerintah Korea bermula dari
kurun pertama Sebelum Masihi sehingga kurun ke-7 Masihi. Dengan kekuasaannya
meliputi wilayah barat laut semenanjung, kerajaan ini sentiasa bermusuhan
dengan dua buah kerajaan lain yang wujud pada masa itu, iaitu Silla dan
Goguryeo, serta konfederasi Gaya yang terletak bersebelahan.
Kerajaan Baekje meraih
kemasyhuran lantaran kebudayaannya yang tinggi. Kebanyakan budayanya itu
kemudiannya dieksport ke Jepun yang merupakan sekutunya. Namun ketika Silla
bergabung dengan Dinasti Tang dari China, Kerajaan Baekje dihancurkan dan
djadikan sebagai wilayah China sebelum kemudiannya diserap ke dalam Kerajaan
Silla Bersatu.
PENUBUHAN BAEKJE
Raja-raja Baekje
menganggap diri mereka sebagai keturunan dari suku Buyeo (Puyo) yang berasal
dari timur laut Manchuria. Menurut Samguk Sagi yang dikarang pada kurun
ke-12 Masihi (Catatan-Catatan Sejarah Tiga Kerajaan), kerajaan ini ditubuhkan
pada tahun 18 Sebelum Masihi. Namun, kenyataan ini tidak begitu diyakini.
Sumber yang sama ini
juga ada memaklumkan kepada kita bahawa pengasas kerajaan ini ialah Onjo,
putera kepada Dongmyeong yang bertanggungjawab menubuhkan kerajaan Goguryeo
(Koguryo). Onjo dan saudaranya, Biryu mendirikan ibu kota mereka di Wirye-Song
(Seoul moden).
Nama Baekje membawa maksud
‘memerintah lebih 100 orang’ yang merujuk kepada kumpulan pertama penyokong
Onjo yang berpindah bersamanya.
Namun, sejarahwan moden
menamakan Raja Goi (memerintah 234-286 Masihi) sebagai pengasas Kerajaan Baekje
dan pembentuk kerajaan berpusat. Goi turut membentuk sebuah kabinet yang
terdiri daripada enam orang pegawai (naesin) yang berperanan mentadbir
kerajaan berpusat yang baru ini. Sebuah sistem menteri dengan 16 peringkat
turut dibentuk.
Goi juga berusaha
mengurangkan korupsi di dalam kerajaannya pada tahun 262 Masihi dengan
mengenakan denda sebanyak tiga kali ganda termasuk penyisihan dari jabatan bagi
mana-mana pegawai yang berbuat salah laku.
Kerajaan Baekje
mengecapi kepesatan lantaran kesuburan tanah-tanah pertaniannya. Ia juga
berupaya membangun dengan maju menerusi pemerolehan wilayah-wilayah jiran
seperti kota-kota berbenteng Mahan dan Taebong (bekas negara Chinbon) pada
tahun 314 Masihi.
KELAS-KELAS SOSIAL
Kemudian, satu kelas
bangsawan yang terdiri daripada lapan buah suku (Sa, Yon, Hyop, Hae, Chin, Kuk,
Mok dan Paek) mendominasi kesemua jawatan rasmi yang ada dalam kerajaan.
Golongan bangsawan ini sendiri terbahagi kepada tiga peringkat dan dibezakan
menerusi warna jubah yang dipakai.
Peringkat paling atas
ialah chwapyong yang memakai jubah berwarna ungu (mereka ini membentuk
kabinet naesin). Peringkat pertengahan pula ialah tok yang
dikenali menerusi jubah berwarna merah jambu dan peringkat yang paling bawah
ialah mun-dok dan mudok yang berjubah biru.
Hanya anggota peringkat
tertentu sahaja boleh menduduki jawatan-jawatan tertentu dalam pentadbiran
kerajaan. Pegawai-pegawai tinggi lazimnya memakai topi sutera yang dihiasi
bunga-bunga perak, manakala raja pula memakai topi sama tetapi dengan dekorasi
bunga emas.
Di peringkat wilayah,
para pembesar tempatan mentadbir kampung-kampung yang turut diselia oleh
seorang majistret lantikan negara (kunjang). Majoriti rakyat merupakan
golongan petani dan mereka dituntut agar membayar ufti atau cukai kepada
negara.
Kadangkala, mereka juga
dikerah dalam projek-projek kerajaan ataupun berkhidmat dalam tentera.
Menyusuli kelas rakyat awam ini pula ialah kelas hamba (kebanyakannya merupakan
tawanan perang dan penjenayah) yang berkhidmat di tanah-tanah milik bangsawan.
![]() |
| Peta Tiga Kerajaan Korea, oleh Ashraf Kamel |
HUBUNGAN DENGAN CHINA
& JEPUN
Pengaruh China jelas
terbukti menerusi penggunaan gelaran wang (raja) dalam monarki Baekje
sejak penghujung kurun ke-3 Masihi. Contoh-contoh pengaruh China yang lain
dapat dilihat dalam pendidikan, sistem tulisan (disesuaikan dengan bahasa
Korea), puisi, seni, dan amalan penyemadian. Antara lain juga ialah pengaruh
Taoisme dan seterusnya, Konfusianisme.
Pada tahun 384 Masih,
Buddhisme diangkat sebagai agama rasmi negara semasa pemerintahan Raja Chimnyu
selepas ia diperkenalkan di kerajaan berkenaan oleh pendeta dari India yang
bernama Marananta. Kepercayaan ini menggantikan sistem kepercayaan lama yang
berasaskan idea yang menyatakan bahawa raja itu adalah anak Tuhan.
Selain itu, kebudayaan
Baekje turut dibawa masuk ke Jepun menerusi guru-guru, cerdik-pandai dan
artisan yang mengembara ke negara berkenaan. Turut dibawa bersama adalah
kebudayaan China seperti teks-teks klasik Konfusian yang telah pun disesuaikan
dengan elemen-elemen kebudayaan Korea. Hal ini sebagaimana yang dapat dilihat
menerusi bangunan-bangunan kayu yang dibina oleh jurutera-jurutera Korea di
Jepun.
PERLUASAN WILAYAH &
PERSETERUAN
Kurun ke-4 hingga kurun
ke-6 Masihi memperlihatkan permusuhan panjang lagi berdarah antara Baekje dan
dua buah kerajaan lain di semenanjung itu, iaitu Goguryeo dan Silla. Raja
Baekje pada waktu itu, iaitu Geunchogo (memerintah 346-375 Masihi) berupaya
menakluk federasi Mahan dan menyerang Pyongyang, lalu membunuh raja Goguryeo,
Gogugwon pada tahun 371 Masihi.
Pada era pemerintahan
Geunchogo, hubungan diplomatik dan kebudayaan berjaya dijalinkan dengan Dinasti
Jin Timur dan Waj (Wae) di Jepun. Terdapat bukti yang mengisyaratkan bahawa Wa
sebenarnya merupakan negara feudal yang diperintah oleh raja-raja Baekje yang pada
waktu itu memiliki armada yang maju dan menguasai kawasan-kawasan perdagangan
yang lumayan di sekitar Laut Kuning dan Laut Selatan.
Geunchogo juga
mengasaskan hak pewarisan takhta menerusi jalur lelaki, menetapkan kelaziman
bahawa permaisuri dipilih daripada keluarga Chin, dan berjasa dalam menaja
penulisan Sogi, iaitu catatan sejarah Baekje pada tahun 375 Masihi.
Malangnya, karya tersebut hilang namun ia ada disebutkan di dalam Samguk
sagi yang lebih terkemudian.
Wilayah Kerajaan Baekje
merangkumi separuh barat laut Korea purba, namun mereka lazim ditekan oleh
Goguryeo yang lebih dominan. Pada tahun 475 Masihi, sebuah serangan yang datang
dari kerajaan di utara mengakibatkan kemangkatan Raja Gaero (memerintah dari
tahun 455 Masihi) dan ibu kotanya, Hansong (Gwangsu moden) ditinggalkan.
Ibu kota yang baru
kemudian ditubuhkan (475 Masihi) di Ungjin (Gongju/Kongju moden). Namun, ibu
kota itu juga digantikan pada tahun 538 Masihi oleh Sabi yang kedudukannya
lebih baik (Buyeo/Puyo moden). Kerajaan ini seterusnya dibahagikan semula
kepada 22 buah daerah atau tamno, yang setiap satunya ditadbir oleh
seorang kerabat diraja.
Baekje membentuk
pakatan dengan kerajaan Silla pada tahun 433 hingga 553 Masihi dan menikmati
tempoh-tempoh kegemilangan. Namun, tempoh ini kemudiannya disusuli pengakhiran
yang dramatik lagi tragis apabila Silla menduduki bahagian bawah lembah Sungai
Han.
Seterusnya, seramai 30
000 oran tentera Baekje dikalahkan dan Raja Seong (memerintah 523-554 Masihi)
sendiri terkorban dalam sebuah pertempuran yang berlaku di Kubu Gwansan
(Okcheon moden) dalam usaha Baekje untuk merebut semula wilayah mereka yang
hilang.
KERUNTUHAN
Pada kurun berikutnya,
kerajaan Baekje dan Goguryeo bergabung tenaga bagi menentang Silla dan
mengambil pendekatan ofensif – berupaya menawan Taeya-song (Hapcheon moden)
pada tahun 642 Masihi dan kira-kira 40 buah kubu di sempadan. Pada tahun
berikutnya, Baekje menawan Tanghang-song yang merupakan kota penghubung yang
penting buat Silla dan China.
Namun kemudian, Silla
meraih sokongan padu daripada Dinasti Tang-China (618-907 Masihi) yang merebut
peluang bagi meluaskan kepentingan mereka di Korea dan menakluk kerajaan Baekje
dan Goguryeo yang semakin melemah. Baekje gagal mendapatkan bantuan dari Jepun
dan tidak berupaya menghindarkan kejatuhan Sabi apabila kota itu diserang dari
arah darat dan laut pada tahun 660 Masihi.
Sepasukan tentera Silla
yang terdiri dari 50 000 orang diketuai oleh Kim Yushin dan disertai oleh
sebuah armada berkekuatan seramai 130 000 orang yang dihantar oleh maharaja
Tang Gaozong lebih daripada cukup untuk menghancurkan bala tentera Baekje. Uija
(memerintah 641-660 Masihi), raja terakhir Baekje, dijadikan sebagai tahanan
dan dihantar ke China bersama 12 000 orang rakan seperjuangannya.
![]() |
| Anting-anting emas Baekje, oleh Pressapochista |
Ketika berada di sana,
sinar harapan buat Baekje memancar apabila pasukan pemberontak pada akhirnya
berjaya memujuk Wa dari Jepun agar campur tangan dengan berbekalkan kekuatan
seramai 30 000 orang tentera. Namun, pasukan tentera ini ditewaskan oleh
gabungan armada Silla-Tang di Sungai Paekchon (Geum moden).
Sepanjang tahun-tahun
berikutnya, pasukan-pasukan pemberontak dari Baekje terus cuba merebut semula
kota-kota mereka. Malah, mereka turut mengepung Sabi dan Ungjin. Namun,
pertelagahan dalam kalangan pemimpin menggagalkan usaha tersebut yang pada
akhirnya, mereka dihancurkan pada tahun 663 Masihi. Dengan demikian, Kerajaan
Baekje pun menjadi sebahagian daripada wilayah China.
Silla kemudiannya
menguasai seluruh semenanjung Korea dan berkembang menjadi Kerajaan Silla
Bersatu. Namun berikutan kejatuhan mereka secara perlahan tetapi pasti sejak
penghujung kurun ke-9 Masihi, Baekje yang kini dikenali sebagai Baekje
Terkemudian bagi membezakannya dengan kerajaan yang lama, bangkit untuk tempoh
yang singkat.
Kerajaan ini ditubuhkan
pada tahun 892 Masihi oleh Gyeon Hwon, seorang pemimpin rakyat. Namun kelak,
mereka tunduk kepada kerajaan Goguryeo Terkemudian yang lebih berkuasa, yang
kemudiannya kerajaan ini sendiri berkembang menjadi Dinasti Goryeo (918-1392
Masihi).
KESENIAN DAN SENI BINA
BAEKJE
Kesenian dan seni bina
Kerajaan Baekje secara umum dianggap sebagai yang terbaik di antara Tiga
Kerajaan. Namun malang buat generasi-generasi seterusnya, kebanyakannya
mengalami kerosakan teruk akibat peperangan panjang antara Baekje dengan Silla,
Goguryeo dan China.
Antaran sumbangan
artistik yang signifikan oleh Kerajaan Baekje adalah marmar yang dihiasi
lukisan lanskap indah. Artisan tembikar Baekje juga masyhur dengan penghasilan
dua jenis barangan: iaitu barangan batu yang dibakar panas dan barangan
tembikar berwarna perang cair yang dibakar secara ringan.
Balang-balang bulat,
pasu-pasu berkaki, dan tembikar-tembikar berkaki tiga merupakan antara bentuk
yang lazim. Corak perhiasan tipikal bagi Kerajaan Baekje adalah penggunaan cap
petak-petak.
Selain itu, Baekje juga
masyhur dengan atap marmar yang didekorasi dengan corak kelopak teratai. Patung
dan ukiran dari Baekje yang terbaik mungkin dapat dilihat menerusi
patung-patung gangsa Buddha dan ukiran-ukiran wajah di batu-batu tebing seperti
yang terdapat di Sosan.
Dalam bidang seni bina
pula, antara contoh yang dapat kita lihat ialah kuil Miruk yang dibina oleh
Raja Mu (memerintah 600-641 Masihi) pada kurun ke-7 Masihi. Kuil Miruk
merupakan kuil Buddhisme yang paling besar di Asia Timur dan ia mempunyai dua
buah pagoda batu dan satu pagoda kayu. Kedua-dua pagoda batu masih wujud
sehingga kini, walau salah satunya hanya tinggal enam dari 7-9 tingkat yang
asal. Sebuah lagi pagoda batu yang terselamat terletak di kuil Chongnim di
Buyeo.
Selain itu, elemen seni
bina Baekje juga boleh dilihat pada kebanyakan bangunan kayu di Jepun
memandangkan ramai artisan Baekje berpindah ke sana ketika Wa-Jepun merupakan
sekutu Baekje.
![]() |
| Makam Muryeong-Wang, oleh Straitgate |
Makam-makam Baekje
merupakan struktur berbentuk piramid pertama yang diperbuat daripada batu.
Kadangkala, si mati diletakkan di dalam dua buah bekas seramik yang diletakkan
mulut-ke-mulut. Namun ketika berada di bawah pengaruh China, struktur-struktur
ini berkembang dan diperbuat dariipada batu-bata dan makam-makam ini ditutupi
dengan gundukan tanah. Kebanyakan dinding di bahagian dalam makam ini dihiasi
dengan lukisan mural.
Salah sebuah makam yang
paling mengagumkan adalah makam milik Raja Muryeong-Wang (memerintah 501-523
Masihi). Di bawah gundukan tanahnya yang besar, makam ini mempunyai kamar
separa-bulat yang dimuatkan dengan ratusan batu-bata yang diadun dan dibentuk.
Kebanyakannya dihiasi
dengan corak bunga teratai dan rekaan geometrik. Struktur yang terletak
berhampiran Gongju ini berusia dari tahun 525 Masihi, sebagaimana yang
diisyaratkan oleh sebuah plak yang terdapat di dalam makam itu. Permaisuri
kemudiannya turut disemadikan bersama suaminya di situ pada tahun 529 Masihi.
Selain daripada makam
Muryeong, gerbang makam-makam Baekje yang direka berbentuk horizontal
membuatkan penjarahannya lebih mudah jika dibandingkan dengan makam-makam di
Silla yang ditutup sepenuhnya. Akibatnya, tidak banyak artifak yang dapat
diwarisi daripada salah sebuah kerajaan terkemuka di Korea ini.
Namun, antara kepingan
yang terselamat bagi membuktikan kepakaran artisan Baekje ialah pembakar
setanggi gangsa yang dijumpai berhampiran Sabi. Ia merupakan satu-satunya
artifak sedemikian yang dapat dijumpai di Korea.
Kaki pembakar ini
berbentuk naga dan ia menyokong gunung yang direka dengan bentuk telur yang
dihiasi dengan makhluk kayangan dan awan. Pembakar setanggi ini turut mempunyai
penutup yang dihiasi dengan bentuk phoenix.
SUMBER
- Jackson, B. Korean Architecture. Seoul Selection USA, INC. 2013.
- Jinwung Kim. A History of Korea “Land of the Morning Calm” to States in Conflict. Indiana University Press. 2012.
- Kyung Hwang. A History of Korea. Palgrave Macmillan. 2010.
- Lee, Ki-baik. A New History of Korea. Harvard University Asia Center. 1984.
- Portal, J. Korea: Art & Archaeology. Thames & Hudson. 2000.
- Pratt, K. Korea: A Historical & Cultural Dictionary. Routledge. 1999.
- Get link
- X
- Other Apps



