- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (17 September 2015). Belisarius: Powerful General of the Byzantine
Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/belisarius-powerful-general-byzantine-empire-003870
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/belisarius-powerful-general-byzantine-empire-003870
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Flavius Belisarius
merupakan seorang panglima Byzantine yang hidup pada kurun ke-6 Masihi. Beliau
sering dianggap sebagai salah seorang panglima terhebat Empayar Byzantine.
Selain itu, beliau juga antara calon yang layak diberi gelaran ‘Last of the
Romans’ (Lelaki Rom Terakhir), yakni individu terakhir yang mewakili
nilai-nilai keagungan Empayar Rom.
Kisah Belisarius ini mungkin boleh
dibahagikan kepada tiga bahagian – iaitu permulaan hidupnya yang berlatar
belakang sederhana, kemudian mendaki tangga kuasa, dan seterusnya kejatuhannya.
BELISARIUS BERMULA DARI
LATAR BELAKANG MISKIN
Belisarius dipercayai
lahir di daerah Illyria (bahagian barat Semenanjung Balkan) sebagai anak kepada
pasangan suami isteri yang miskin. Sejarahwan Edward Gibbon menulis di dalam
karyanya, The History of the Decline and Fall of the Roman Empire bahawa
Belisarius “dilahirkan, dan malah dididik, dalam kalangan rakyat miskin
Thracia.”
![]() |
Mozek menunjukkan gaya hidup harian, Istana Besar Konstantinopel (kurun ke-6) |
Berikutan kejayaannya
kelak dalam merebut kembali wilayah-wilayah Afrika untuk Empayar Byzantine,
Gibbon menggelari Belisarius sebagai ‘Africanus bagi Rom baru’. Gelaran ini
merujuk kepada dua orang panglima hebat Republik Rom, iaitu Scipio Africanus
the Elder dan cucu angkatnya, Scipio Africanus the Younger. Mereka berdua
terlibat dalam kempen-kempen memerangi Carthage di Afrika Utara.
Berbeza dengan dua
orang panglima tersebut, Gibbon menekankan tentang latar belakang Belisarius
yang miskin dan menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai “sebarang kelebihan
yang dimiliki oleh Scipio tua dan muda; yakni asal-usul kebangsawanan,
pendidikan tinggi, dan suasana negara yang bebas.”
Ketika masih muda
belia, Belisarius menyertai pasukan tentera dan berkhidmat sebagai pengawal
peribadi maharaja Byzantine pada waktu itu, Justin I. Walaupun beliau
berkemungkinan diserapkan ke dalam pasukan pengawal peribadi maharaja lataran
kegagahannya, Belisarius dipercayai tidak begitu menonjol. Menurut Gibbon,
“Ketiadaan sebarang rekod oleh setiausaha (diraja) yang banyak mulut mungkin
mengesahkan bahawa Belisarius ketika usia mudanya tidak begitu menonjol dengan
sebarang kecemerlangan luar biasa.”
Selepas kemangkatan
Justin I pada tahun 527 Masihi, Belisarius menumpahkan khidmatnya kepada maharaja
baru, Justinian I. Pada masa inilah takdir Belisarius mula berubah dan beliau
mula mendaki tangga kuasa.
BELISARIUS MENEMPA NAMA
Peluang pertama buat
Belisarius membuktikan kecemerlangannya hadir tatkala beliau dilantik oleh
Justinian pada tahun 527M bagi memimpin sebuah pasukan ke timur dalam usaha
menghadapi serangan dari seteru utama Empayar Byzantine, iaitu Sassanid.
Menerusi bakat kepemimpinannya yang cemerlang, Belisarius berupaya menewaskan
pasukan tentera Sassanid yang lebih besar dalam Pertempuran Dara pada tahun
530M.
Walaupun Pertempuran
Callinicum pada tahun 531M berakhir dengan kemenangan mutlak berpihak kepada
Sassanid, penglibatan Belisarius berupaya membuatkan dua kuasa itu
menandatangani perjanjian damai pada tahun berikutnya. Dengan demikian, tempoh
yang relatif antara Byzantine dan Sassanid berjaya dikecapi dan keadaan ini
berlanjutan sehingga tahun 540 Masihi.
![]() |
Lelaki yang dipercayai sebagai Belisarius digambarkan di sebuah mozek bersebelahan Justinian, Basilica of San Vitale, Ravenna, Itali |
Lantaran keamanan
berjaya diperolehi, Belisarius pun digugurkan dari barisan hadapan di sempadan
timur dan dipanggil pulang ke ibu kota, Konstantinopel. Walaupun kekalahan yang
dialaminya di Callinicum serba sedikit menjejaskan reputasinya, Belisarius
diberikan peluang untuk menebusnya pada tahun 532M. Pada tahun tersebut,
pemberontakan Nika yang hampir berjaya menggulingkan Justinian meletus.
Sebagai
pegawai tentera yang berpangkat paling tinggi di kota pada masa itu, Belisarius
bertanggungjawab menundukkan pemberontakan tersebut. Dicatatkan bahawa beliau
membunuh kira-kira 20 hingga 30 ribu orang dalam peristiwa itu.
Sebagai ganjaran di
atas jasanya, Belisarius digalaskan tanggungjawab untuk merebut kembali
wilayah-wilayah Afrika dari Kerajaan Vandal pada tahun 533M. Misi tersebut
berjaya dilaksanakannya dalam tempoh setahun. Sekembalinya ke Konstantinopel,
beliau disambut dengan perarakan kemenangan. Dicatatkan bahawa perarakan
tersebut merupakan perarakan terakhir yang diadakan di Rom.
Justinian
seterusnya menyasarkan Kerajaan Ostrogoth di Itali, dan Belisarius diberikan
kepimpinan ke atas pasukan tentera pada tahun 535M bagi melaksanakan tugas
tersebut. Walaupun Ravenna, ibu kota Ostrogoth berjaya ditakluk pada tahun
540M, peperangan berlanjutan sehingga tahun 554 Masihi.
Nasib Belisarius mula
berubah haluan di mana kemasyhurannya dalam kalangan tentera dan musuh-musuh
yang tewas ini membangkitkan syak-wasangka Justinian terhadapnya. Belisarius
lantas dipanggil pulang ke Konstantinopel sejurus selepas menawan Ravenna.
Belisarius kemudian dihantar ke timur untuk sekali lagi menangani serangan
Sassanid, dan kembali ke Itali pada tahun 545M untuk menundukkan sebuah
pemberontakan yang dicetuskan oleh Ostrogoth.
![]() |
Lukisan Belisarius menolak tawaran takhta Itali oleh Goth (1830) |
Kempen tersebut tidak
berlangsung baik buat Belisarius dan beliau digugurkan pada tahun 548/549
Masihi. Kempen ketenteraan terakhir yang diketuai oleh Belisarius adalah pada
tahun 559M, apabila beliau digalaskan tanggungjawab menundukkan serangan suku
Bulgar.
PERUBAHAN NASIB
BELISARIUS
Pada tahun 562 Masihi,
nasib Belisarius berubah sepenuhnya. Beliau dituduh berlaku korup dan dihumban
ke dalam penjara. Namun kemudian, beliau diampunkan oleh Justinian dan
kemuliaannya dikembalikan.
Terdapat sebuah mitos
yang masyhur di Zaman Pertengahan yang menyatakan bahawa mata Belisarius
dibutakan oleh Justinian dan keadaan tersebut memaksanya menjadi pengemis
sebelum kemudiannya mendapatkan keampunan oleh maharaja. Walaupun sumber mitos
ini kurang diyakini kesahihannya, kisah tersebut meraih kemasyhuran sehingga
ianya dimuatkan ke dalam sebuah novel kurun ke-18 yang berjudul Belisaire.
Lantaran itu, imej
Belisarius sebagai seorang yang buta menjadi suatu subjek yang masyhur dalam kalangan
pelukis pada masa itu, di mana mereka melihat wujud persamaan antara sikap
Justinian dan para pemerintah di zaman mereka. Antara karya yang dihasilkan
termasuklah Belisarius yang dipamerkan di Muzium J. Paul Getti dan Belisarius
receiving Hospitality from a Peasant yang disimpan di Galeri Kebangsaan
London.
![]() |
Belisarius Asking For Alms (Belisarius meminta sedekah), lukisan tahun 1781 oleh Jacques-Louis David) |
SUMBER
- Ancient History. 2015. Belisarius.
- Gibbon, E. 1776-89. The History of the Decline and Fall of the Roman Empire.
- The J. Paul Getty Museum. 2015. Belisarius.
- The National Gallery, 2015. Belisarius receiving Hospitality from a Peasant.
- Get link
- X
- Other Apps