BOUDICCA – AMUKAN RATU CELTIC KE ATAS ROM (BAHAGIAN 1)

Pautan ke artikel asal:
Joanna Gillan. (17 Jun 2019). Boudica: The Celtic Queen Who Unleashed Fury on the Romans. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/boudicca-celtic-queen-unleashed-fury-romans-002065

Penterjemah: Amir Zayyanid


“Kita warga British sudah biasa dipimpin oleh komander-komander wanita dalam peperangan; aku adalah keturunan lelaki-lelaki yang gagah! Namun sekarang, aku tidak berjuang demi kerajaan dan harta kekayaanku. Aku berjuang sebagai insan biasa yang telah dirampas kebebasannya, telah dicambuk tubuhnya, dan aku berjuang demi membela kemarahan puteri-puteriku… Lihatlah betapa ramai dari kalian yang berjuang – dan lihatlah atas sebab apa kalian berjuang! Dengan demikian, kalian akan dapat memenangi peperangan ini atau mati kerananya. Itulah yang aku, seorang perempuan, mahu lakukan! – biarkan sahaja lelaki-lelaki itu hidup dalam perhambaan jika itu yang mereka mahukan.”

Demikianlah kata-kata Ratu Boudicca, sebagaimana yang dicatatkan oleh Tacitus si sejarahwan purba, ketika pahlawan wanita itu menyeru masyarakatnya supaya berjuang menentang tentera-tentera Rom yang menceroboh tanah Britain. Boudicca, atau kadangkala dieja sebagai Boadicea, merupakan seorang ratu suku Iceni, iaitu sebuah suku Celtic yang berjaya menyatukan beberapa buah suku British demi menentang Empayar Rom pada 60-61 Masihi.

Walaupun beliau berjaya menewaskan pasukan tentera Rom dalam tiga buah pertempuran, kemenangan yang dikecapinya itu tidak bertahan lama. Pasukan Rom berpeluang menghimpunkan semula kekuatan mereka dan seterusnya menghancurkan pasukan penentang, menghukum ribuan individu dari suku Iceni dan menjadikan sebahagian daripadanya sebagai tawanan perang. Nama Boudicca dikenang oleh sejarah sebagai seorang ratu pahlawan yang berjuang menuntut kebebasan buat dirinya sendiri dan juga seluruh suku Celtic di Britain.

Tugu Boudicca hasilan Thomas Thornycroft yang terletak bersebelahan Jambatan Westminster


TAHUN-TAHUN AWAL BOUDICCA

Tidak banyak yang diketahui tentang latar belakang dan hari-hari awal Boudicca memandangkan satu-satunya maklumat tentang beliau datang daripada sumber-sumber Rom, terutama sekali Tacitus (56-117M), seorang senator dan sejarahwan dari Empayar Rom, dan Cassius Dio (155-235M), seorang konsul dan sejarahwan Rom. 

Namun apapun, sejarahwan meyakini bahawa Boudicca dilahirkan dalam sebuah keluarga elit yang menetap di bandar purba Camulodonum (kini Colchester) sekitar tahun 30 Masihi. Malah, namanya turut dipercayai diambil bersempena nama dewi kemenangan Celtic, iaitu Boudiga.

Ketika berusia remaja, Boudicca dihantar ke sebuah keluarga bangsawan lain untuk diberikan pendidikan dalam bidang sejarah dan budaya sukunya. Beliau juga diajar tentang seni bertempur. Wanita-wanita Celtic purba sememangnya berperanan baik sebagai pahlawan mahupun pemerintah, justeru kanak-kanak perempuan akan dilatih bermain pedang dan senjata-senjata lain sama seperti budak-budak lelaki.

Kaum wanita Celtic agak menonjol dalam dunia purba lantaran kebebasan dan hak-hak yang mereka nikmati dan kedudukan yang mereka sandang dalam kalangan masyarakat. Berbeza dengan kaum wanita di Yunani dan Rom serta masyarakat-masyarakat purba yang lain, kaum wanita Celtic diberikan lebih banyak kebebasan dalam beraktiviti dan perlindungan undang-undang.

Wanita Celtic dilatih bermain pedang dan senjata-senjata lain


KEHIDUPAN DI BAWAH PEMERINTAHAN ROM

Pada tahun 43 Masihi, sebelum Boudicca mencapai usia dewasa, Rom menyerang Britain dan kebanyakan suku Celtic terpaksa menyerah. Namun, Rom membenarkan dua orang raja Celtic mengekalkan kuasa dan kedudukan mereka lantaran menjadi tradisi Empayar Rom untuk membenarkan kerajaan-kerajaan yang ditakluki itu bebas merdeka selama mana raja mereka pada waktu itu masih hidup. Raja-raja ini kemudian lazimnya bersetuju untuk menyerahkan kerajaannya kepada Rom secara sukarela (mahupun terpaksa).

Salah seorang raja yang dimaksudkan di sini ialah Prasutagus, yang dikahwini oleh Boudicca ketika gadis itu berusia 18 tahun. Perkahwinan mereka berdua diraikan sepanjang siang dan malam. Dalam keraian tersebut, mereka turut memberikan sembah korban kepada dewa-dewi Celtic. Pasangan ini dikurniakan dua orang puteri yang bernama Isolda dan Siora.

Ratu Boudicca dan Raja Prasutagus mempunyai dua orang puteri, Isolda dan Siora


Namun, zaman tersebut mencemburui kehidupan Boudicca dan Prasutagus. Pencerobohan tentera Rom membawa kepada bertambahnya petempatan yang dibangunkan oleh pihak asing, kehadiran tentera yang semakin ramai serta cubaan untuk menindas budaya dan keagamaan Celtic yang lebih membimbangkan. Sejumlah perubahan besar turut berlaku, antaranya termasuklah pengenaan cukai-cukai yang tinggi dan dasar peminjaman wang.

Pada tahun 60 Masihi, kehidupan Boudicca berubah secara drastik lebih-lebih lagi dengan kematian suaminya. Memandangkan Prasutagus memerintah sebagai sekutu Rom yang merdeka walau secara terkawal, beliau meninggalkan kerajaannya itu untuk diwarisi oleh isteri dan para puterinya, serta maharaja Rom. Namun, undang-undang Rom hanya membenarkan pewarisan takhta kepada kerabat lelaki justeru apabila Prasutagus mangkat, kerajaannya diserap sepenuhnya oleh Empayar Rom.

“Kerajaan dan seluruh isi rumah dijarah laksana rampasan perang… Para pembesar Iceni diusir dan tanah-tanah estes mereka dirampas oleh Rom. Kerabat diraja sendiri dilayan seperti hamba sahaya.” - Tacitus

Ratu Boudicca


BOUDICCA MENUNTUT BELA

Demi menghina bekas-bekas pemerintah tempatan, pihak Rom merampas kesemua tanah dan ladang milik Prasutagus, serta menjadikan golongan bangsawannya sebagai hamba sahaya. Boudicca dicambuk di hadapan khalayak, dua puterinya pula dirogol. Keadaan ini menjadi pemangkin buat Boudicca memerangi Rom. Tacitus merekodkan kata-kata yang dituturkan oleh Boudicca semasa beliau mengangkat sumpah untuk membalas dendam terhadap Rom:

Tiada yang terselamat daripada keangkuhan dan kesombongan Rom. Mereka telah menodai kesucian dan meragut keperawanan anak-anak gadis kita. Menangi petempuran ini atau mati kerananya, itulah yang aku, seorang perempuan, mahu dan akan lakukan.”

Dan makanya, Boudicca pun memulakan kempennya menyeru suku-suku Britain untuk memerangi Rom dan membuktikan kepada dunia bahawa tiada amukan yang lebih dahsyat berbanding amukan seorang wanita.

Lukisan berjudul Boadicea Haranguing the Britons oleh John Opie


SUMBER