BOUDICCA – AMUKAN RATU CELTIC KE ATAS ROM (BAHAGIAN 2)

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (13 September 2014). Boudicca, the Celtic Queen that unleashed fury on the Romans – Part 2. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/boudicca-celtic-queen-unleashed-fury-romans-part-2-002067

Penterjemah: Amir Zayyanid


Ratu Boudicca mempunyai sebab untuk membenci Rom – menjelang tahun 60 Masihi, tanah milik suku Iceni dari Britain ditakluk, masyarakatnya sama ada dibunuh atau dijadikan sebagai tawanan perang, beliau sendiri dicambuk di khalayak ramai dan anak-anak perempuannya dirogol. Namun kelak, Boudicca di ratu pahlawan Celtic, berupaya menggetarkan lutut tentera-tentera Rom.

Selepas anak-anak perempuannya dinodai, Boudicca segera menyeru masyarakatnya agar bangun menentang. Sementara Rom sedang sibuk menangani penentangan druid di bahagian barat Britain dan Wales Utara, Boudicca mengambil kesempatan untuk membalas dendam.

Boudicca menemui para pemimpin suku Iceni, Trinovanti, Cornovii, Durotiges dan suku-suku lain yang masing-masing menyimpan dendam terhadap Rom, antara lain disebabkan pengenaan cukai yang ditinggi, geran diubah menjadi pinjaman, tanah-tanah dirampas, dan amalan keagamaan Celtic ditindas. Mereka merancang untuk menentang dan mengusir tentera-tentera Rom. Boudicca diangkat sebagai ketua.

Senator dan sejarahwan Rom, Tacitus (56-117M) memerincikan bagaimana Boudicca menyemangatkan tentera-tenteranya sambil berdiri di atas pedati sambil kedua orang anak perempuannya berada di sisinya. Beliau berdiri di situ bukan sebagai seorang ratu atau bangsawan yang ingin berjuang demi harta-harta yang dirampas. 

Akan tetapi sebagai insan biasa dan sebagai seorang ibu yang menuntut bela di atas kebebasan yang telah diragut, tubuh yang telah dicambuk dan kedua orang anak yang telah dinodai kehormatannya. Beliau menyuarakan kepada mereka, bahawa tujuan penentangan mereka ini berada di jalan yang benar dan dewa-dewi berada di pihak mereka.

Sejarahwan Rom, Cassius Dio (155-235M) pula mencatatkan bahawa Boudicca melakukan suatu keajaiban, mengeluarkan seekor kelinci dari lipatan bajunya dan menafsirkan arah di mana haiwan itu berlari. Beliau juga menyerukan nama Andraste, dewi kemenangan British. Cassius Dio turut memerincikan sifat dan paras Boudicca semasa beliau berdiri di hadapan para pengikutnya:

“Ketinggian badannya sangat ketara, penampilannya menghadirkan rasa gerun, renungan matanya sangat tajam, dan suaranya pula lantang lagi keras. Rambutnya panjang mengurai hingga ke pinggang, dan di lehernya terdapat sebentuk kalung emas yang besar. Beliau memakai tunik berwarna-warni. Di atasnya pula beliau mengenakan jubah tebal yang diikat menggunakan sebentuk kerongsang.”

Ratu Boudicca menyemangatkan tentera-tenteranya dari atas pedati, sambil kedua orang anaknya di sisinya


Catatan-catatan sejarah menyatakan bahawa Boudicca berjaya menghimpunkan sepasukan tentera yang berjumlah seramai 100 000 orang. Sasaran pertamanya ialah Camulodonum (kini Colchester), sebuah bandar yang menjadi markas tentera Rom dan menempatkan sebuah kuil yang dibina khusus buat Maharaja Claudius. 

Suku Iceni dan sekutu-sekutu mereka menggempur bandar tersebut dan meleburkannya. Mereka turut menghancurkan rumah-rumah, patung-patung dan makam-makam Rom. Seluruh petempatan di situ hangus dibakar. Mereka tidak mengambil seorang pun tawanan perang lantaran kesemua penduduk Rom di situ dibunuh.

Tatkala mendengar berita penyerangan ini, Gabenor Rom yang bernama Gaius Suetonius Paulinus segera menuju ke Londinium (Londom moden). Londinium merupakan sebuah petempatan komersial yang baru berusia 20 tahun, dan ia menjadi sasaran serangan yang seterusnya. 

Namun lantaran pihak Rom mendapati bahawa mereka tidak berupaya untuk mempertahankannya, mereka pun segera melarikan diri dan meninggalkan bandar tersebut. Tentera-tentera Boudicca membakar dan menghancurkan seluruh bandar itu, serta membunuh sesiapa sahaja yang belum beredar. Tidak seorang pun yang terselamat daripada amukan bala tentera ini.

Serangan ketiga dan terakhir Boudicca dihalakan ke Verulamium (kini St. Albans), yang sekali lagi dihancurkan sepenuhnya. Menjelang penamat serangan terakhir ini, dianggarkan seramai 70 000 – 80 000 orang menjadi korban Boudicca. Krisis ini mendorong Maharaja Nero untuk mempertimbangkan keputusan untuk mengundurkan seluruh bala tentera Rom dari Britain. Boudicca meyakini bahawa penghancuran tiga buah kota penting itu dapat membebaskan Britain dari cengkaman Rom. Namun malangnya, jangkaan beliau ini silap.

Boudicca mengetuai tenteranya menentang Rom di Camulodunum, Londinium dan Verulamium


TENTERA-TENTERA ROM MENYUSUN SEMULA KEKUATAN

Selepas berakhirnya serangan Boudicca ke atas Verulamium, Suetonius segera menghimpunkan semula pasukan tenteranya di West Midlands. Pasukan tentera Boudicca selama ini mengharapkan bekalan makanan daripada gudang-gudang makanan Rom yang dirampas, lantaran mereka terpaksa meninggalkan ladang-ladang tanaman mereka demi melakukan penentangan ini. Namun, Suetonius berjaya membakar gudang-gudang makanan tersebut sekaligus mengakibatkan pasukan tentera Boudicca yang kehilangan sumber bekalan menjadi lemah.

Boudicca dan pasukan tenteranya melancarkan sebuah lagi pertempuran, namun tidak meraih kejayaan dalam kesempatan kali ini. Lokasi tepat pertempuran ini tidak diketahui oleh sejarahwan. Namun, dipercayai ia berlaku di sebuah tempat yang terletak di sepanjang jalan Rom yang kini dikenali sebagai Jalan Watling, West Midlands.

Suku-suku Briton ini menghadapi pasukan tentera Rom dengan membawa jumlah tentera yang cukup banyak. Namun, peperangan yang sepatutnya dimenangi dengan penuh bergaya ini bertukar menjadi sebuah malapetaka – pasukan Boudicca terpaksa menyerang musuh yang berada di atas bukit dalam keadaan kepenatan dan kelaparan. 

Malah, pergerakan mereka juga terbatas lantaran medan perang menjadi sempit akibat jumlah mereka yang ramai. Keadaan ini benar-benar menguntungkan pasukan Rom yang mahir dalam pertempuran terbuka lantaran kelengkapan dan disiplin mereka sememangnya jauh lebih unggul.

Tentera-tentera Boudicca tiada pilihan lain kecuali berundur. Namun sebelum memulakan pertempuran, mereka begitu yakin bakal meraih kemenangan sehingga mereka mengajak ahli-ahli keluarga datang menyaksikan pertempuran ini di atas gerabak-gerabak yang diletakkan di sekitar medan perang. Ternyata tindakan ini merupakan suatu kesilapan fatal lantaran gerabak-gerabak tersebut menghalang laluan pengunduran mereka. 

Akibatnya, seramai 80 000 orang tentera termasuk para penonton terbunuh di tangan pasukan tentera Rom. Menurut Tacitus, pihak Rom hanya kehilangan 400 orang sahaja pada hari itu. Pun begitu, ketepatan angka ini dipersoalkan oleh sebilangan sejarahwan.

Bagi melampiaskan kemarahan, pasukan Rom menghukum tentera-tentera Iceni dan sekutu-sekutu mereka. Sebahagian daripada mereka dijadikan sebagai hamba. Tanah-tanah mereka dirampas, ahli keluarga mereka kehilangan tanah pusaka dan penentangan berskala besar ini akhirnya ditamatkan. Rom kemudiannya meningkatkan kawalan tentera mereka di Britain dan tentera-tentera ini kekal berada di sana.

Boudicca memimpin tenteranya dalam pertempuran terakhir, namun tidak meraih kemenangan


Nasib Boudicca sesudah peperangan ini tidak diketahui oleh sejarahwan. Sebilangan pihak berpendapat beliau melarikan diri bersama anak-anaknya ke wilayah Britain yang lain. Di sana, mereka meninggal dunia kerana meminum dari cawan yang beracun. Cassius Dio pula mencatatkan bahawa Boudicca meninggal dunia kerana sakit dan beliau disemadikan dengan penuh mewah. Namun, pendapat ini dibantah dan dianggap sebagai rekaan.

Apapun, Boudicca dan anak-anaknya besar kemungkinan terselamat daripada nasib yang lebih buruk daripada mati. Andai mereka ditangkap, sudah tentu Rom akan mengarak mereka dalam perarakan kemenangan sebelum menyeksa dan mendedahkan tubuh mereka di khalayak ramai. Tempat penyemadian Boudicca sehingga kini masih diselubungi misteri. 

Sebahagian pihak meyakini bahawa beliau disemadikan di Stonehenge, sementara pendapat lain pula menyatakan Norfolk, Hampstead yang terletak di utara London sebagai tempat persemadiannya. Ada juga yang mengatakan bahawa Boudicca disemadikan di bawah platform Stesen Salib Raja-Raja London.


LEGASI BOUDICCA

Kisah Boudicca hampir hilang dari lembaran sejarah, sehinggalah karya Tacitus, iaitu Annals berjaya ditemui semula pada tahun 1360. Hal ini membawa kepada meningkatnya minat masyarakat terhadap sejarah Boudicca dan kempen-kempen ketenteraannya dalam usaha memerdekakan tanahnya dari pemerintahan Rom. 

Pada zaman Victoria, kemasyhuran Boudicca meraih taraf legenda lantaran Ratu Victoria dilihat berkongsi nama dengan Boudicca, di mana nama mereka berdua sama dari segi makna. Pemuisi Victoria, Laureate, Alfred, Lord Tennyson, mengarang sebuah puisi yang berjudul ‘Boadicea’ dan beberapa buah kapal dinamakan bersempena beliau.

Sejak sekian lama, Boudicca dianggap sebagai simbol kebudayaan yang penting di United Kingdom. Sebuah tugu gangsa Boudicca bersama anak-anaknya di atas pedati perang dibina oleh Putera Albert dan pembinaannya diusahakan oleh Thomas Thornycroft. Tugu ini siap didirikan pada tahun 1905 dan kini ia berdiri megah bersebelahan Jambatan Westminster dan Houses of Parliament, yang terletak di kota yang pernah beliau hancurkan.

Tugu Boudicca, si Ratu Iceni, yang kini berdiri bersebelahan Houses of Parliament, London


SUMBER