- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (29 Julai 2018). Calakmul: Ancient Mayan City of the Two Pyramids
and Three Stones. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/calakmul-0010464
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/calakmul-0010464
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Calakmul merupakan
sebuah kota purba tamadun Maya yang hilang. Kota ini terletak jauh terceruk di
hutan tebal Lembangan Peten, di Semenanjung Yucatan. Sejurus selepas ia
ditinggalkan, Calakmul terus sahaja diselubungi tumbuhan sehingga hilang dari
pandangan dan pengetahuan manusia.
Tapak arkeologi ini
berlokasi di Campeche. Calakmul ditemui pada tahun 1931, dan beberapa
penyelidikan telah pun dijalankan di tapak berkenaan pada tahun-tahun
berikutnya. Namun, penerokaan di tapak ini terhenti dan hanya disambung semula
pada 1980an. Pada hari ini, Calakmul diperakui sebagai Tapak Warisan Dunia
UNESCO, dan ia terus dikaji oleh ahli-ahli arkeologi.
PENEMUAN SEMULA KOTA
CALAKMUL
Pada tahun 1931,
seorang ahli botani dari Amerika yang bernama Cyrus Lundell menjumpai runtuhan
sebuah kota Maya ketika menjalankan kerja lapangan di sebuah hutan di Campeche.
Beliau menamakan runtuhan kota tersebut sebagai Calakmul, iaitu perkataan
berbahasa Maya yang membawa maksud ‘Kota Dua Piramid Yang Bersebelahan’. Nama
ini merujuk kepada dua buah piramid yang menonjol di tapak runtuhan ini.
Selepas
melakukan penyelidikan lanjut, ilmuwan mendapati bahawa kota tersebut dikenali
dalam kalangan masyarakat Maya sebagai Ox Te’ Tuun, yang bermaksud ‘Tiga Batu’.
Walau bagaimanapun, nama pemberian Lundell terus digunakan bagi merujuk kota
berkenaan. Sebagai maklumat tambahan, walaupun Lundell bekerja sebagai ahli
botani, beliau turut meminati arkeologi tamadun Maya. Dilaporkan bahawa
sepanjang tahun 1931 hingga 1933, Lundell berjaya menemukan sebanyak 16 buah
runtuhan tamadun Maya.
Pada tahun berikutnya
(1932), satu usaha peninjauan ke atas Calakmul dilakukan oleh Sylvanus Morley
dari Institusi Carnegie, Washington. Kerja-kerja arkeologi di Calakmul
diteruskan sehingga tahun 1938, di mana ia terhenti selama beberapa dekad.
Hanya pada tahun 1982, barulah usaha kajian dilanjutkan di tapak Calakmul, kali
ini di bawah pengendalian William J. Foland dari Universidad Autonoma de
Campeche.
Kajian oleh Folan di Calakmul diteruskan sehingga tahun 1944, di mana
kerja-kerja tersebut diambil-alih pula oleh Instituto Nacional de Antropologia
e Historia (Institusi Antropologi dan Sejarah Kebangsaan).
SIGNIFIKASI CALAKMUL
Berkat usaha-usaha
arkeologi yang dijalankan di Calakmul, pada hari ini kita dapat mengetahui
bahawa tapak berkenaan telah pun dihuni sejak tahun 600 Sebelum Masihi sehingga
tahun 900 Masihi. Kebanyakan bangunan yang ada di tapak berkenaan siap dibina
menjelang tahun 250M, dan kota ini mencapai zaman kemuncaknya sekitar kurun
ke-6 Masihi.
Tempoh kegemilangan ini berpanjangan sehingga kurun ke-9M, di mana
penduduknya ketika itu dianggarkan berjumlah seramai 50 000 orang. Di samping
itu, Calakmul juga sempat melebarkan pengaruhnya ke beberapa buah petempatan
lain, dan bahkan memberikan impak kepada sehingga kira-kira 1.5 juta orang.
![]() |
| Stele 51 dari Calakmul, menggambarkan raja Yuknoom Took’ K’awill, dipamerkan di Muzium Antropologi Kebangsaan di Bandar Mexico |
Walaupun demikian,
Calakmul tetap berhadapan dengan cabaran perebutan kuasa di rantau berkenaan,
di mana seterunya yang dikenal pasti adalah Tikal. Tikal merupakan sebuah lagi
kota Maya yang penting. Ia terletak di selatan Calakmul, atau pada hari ini di
Guatemala. Ahli-ahli arkeologi meyakini bahawa nama Calakmul ada disebutkan di
beberapa buah tapak Maya yang lain, seperti Yaxchilan dan Naranjo.
Kedua-dua
kota ini masing-masing terletak di barat dan timur Tikar. Diandaikan bahawa
pada kurun ke-6 Masihi, Calakmul membentuk pakatan dengan dua buah kota
berkenaan untuk mengepung Tikal, seterusnya membawa kepada kekalahan kota itu
pada tahun 562 Masihi.
Tikal berupaya bangkit
daripada kekalahan ini, dan menurut bukti epigrafi, mereka berupaya membalas
dendam dengan menewaskan Calakmul pada tahun 695M. Namun, keadaan ini tidak
memberi kesan yang besar terhadap dominasi Calakmul di rantau berkenaan.
Calakmul terus mengekalkan kepentingannya sehingga kurun ke-8 Masihi.
![]() |
| Tikal, tahun 2009 |
KEJATUHAN KOTA CALAKMUL
Pada awal kurun
berikutnya, rekod Calakmul mencatatkan bahawa sejarah kota itu berakhir secara
tiba-tiba. Daripada inskripsi-inskripsi yang ditemui di Seibal (sebuah lagi
tapak Maya di sekitar kawasan situ), ahli-ahli arkeologi meyakini bahawa
Calakmul masih dihuni setidak-tidaknya sehingga pertengahan kurun ke-9 Masihi.
Selain itu, Folan mengandaikan bahawa kota itu pernah didiami atau mungkin,
disinggahi pada tempoh antara tahun 1450 hingga 1550M – antara lain bagi tujuan
upacara keagamaan atau budaya.
Pada tahun 2002,
Calakmul diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Memandangkan Calakmul
diselubungi dan dikelilingi oleh hutan setelah ditinggalkan, tapak ini turut
digolongkan bersama hutan-hutan di sekelilingnya. Hutan ini dianggap signifikan
lantaran menjadi kawasan yang memelihara biodiversiti di Mesoamerika. Justeru,
selain mengunjungi runtuhan tamadun Maya, para pengunjung yang melawat tapak Calakmul
turut berpeluang untuk menikmati pengalaman melihat hidupan liar tempatan,
termasuklah pelbagai spesis burung, lelabah dan monyet.
![]() |
| Runtuhan Calakmul |
SUMBER
- Anth507. 2018. The Lowland Maya Site of Calakmul.
- Henze, C. 2018. Cyrus Longworth Lundell.
- Loco Gringo. 2018. Calakmul Ruins – Campeche.
- Lonely Planet. 2018. Calakmul.
- Petrus, M. 2018. Calakmul.
- UNESCO. 2018. Ancient Maya City and Protected Tropical Forests of Calakmul. Campeche.
- Mexico Archaeoloy. 2018. Calakmul.
- Get link
- X
- Other Apps



